Browsing Tag

gempa bumi cianjur

gempa bumi Cianjur
Antarabangsa,

Gempa bumi Cianjur: 2 pelajar khatam al-Quran, guru yang dihempap kubah masjid terselamat

DUA pelajar dan seorang guru di sebuah pondok dilaporkan terselamat selepas terlibat dalam insiden runtuhan kubah masjid, susulan gempa bumi yang melanda daerah Cianjur, wilayah Jawa Barat pada Isnin.

Ketika kejadian, Purnama dan Yajid masing-masing sedang mengkhatamkan al-Quran di hadapan seorang guru dan empat pelajar lain di pondok Pesantren Al Kausar yang terletak di Jalan Gatot Mangkrupraja, Desa Bonjet, Jawa Barat.

Salah seorang tenaga pengajar Pesantren Al Kausar, Ahmad Aburrohman memberitahu Warta Kota, kedua-dua mereka baru sampai juz ke-10 apabila masjid itu tiba-tiba bergoyang.

Baca juga Kod QR, mural hadis: Qatar perkenalkan Islam kepada peminat Piala Dunia FIFA 2022 

Empat pelajar lain yang turut serta dalam majlis berkenaan berjaya melarikan diri sebelum masjid itu runtuh.

Bagaimanapun, Purnama dan Yajid serta seorang guru itu tidak sempat menyelamatkan diri. Mereka ditimpa kubah masjid.

“Kedua-dua pelajar dan guru terbabit sudah diselamatkan dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Mereka mengalami patah tulang di bahagian tangan akibat dihempap bangunan,” katanya.

Gempa bumi Cianjur

Dua hari selepas bencana itu, penduduk masih mencari barangan berharga milik mereka termasuk foto keluarga, buku agama dan sijil perkahwinan. Foto: AFP

Insiden malang itu turut menyebabkan salah seorang daripada penghafaz al-Quran tersebut terperangkap di bawah runtuhan masjid yang mengalami kerosakan 80 peratus selama beberapa jam selepas gempa bumi berlaku.

“Ketika ini, dua pelajar dan seorang ustaz berada di hospital untuk menerima rawatan. Alhamdulillah, semuanya selamat,” kata Ahmad ketika ditemui wartawan Warta Kota di lokasi kejadian pada Rabu.

Ahmad juga meluahkan rasa kagum terhadap ketabahan kedua-dua pelajar melalui saat dihempap kubah masjid.

Tambahnya, anak-anak murid Pesantren Al Kausar tersebut selamat atas ketentuan ALLAH SWT.

“Sungguh luar biasa kehendak Tuhan, menyelamatkan dua nyawa yang sedang menyembahnya,” kata Ahmad yang menyaksikan keajaiban itu di depan matanya sendiri.

Terbaharu, Buletin TV3 melaporkan seramai 270 orang telah terkorban akibat gempa bumi sekuat 5.6 skala richter yang melanda Cianjur, Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini.

Angka korban dijangka akan meningkat sementara operasi mencari dan menyelamat diteruskan.

OPERASI mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi masih berlangsung. Foto: AFP

Penduduk Indonesia mohon bantuan

Dalam pada itu, penduduk yang terselamat susulan gempa bumi terbabit memohon bantuan makanan dan minuman.

Salah seorang penduduk di Kampung Gasol yang dikenali sebagai Mustafa, 23, berkata, meskipun ada bantuan yang sampai, namun ia tidak mencukupi.

“Kami menerima beras, mi segera, air mineral tetapi ia tidak cukup.

“Kami juga tidak mempunyai pakaian dan sudah tidak bertukar pakaian sejak beberapa hari, jadi saya mencari di sebalik runtuhan untuk mencari pakaian,” katanya dipetik menerusi AFP.

Walaupun Kerajaan Indonesia sudah menghantar khemah dan barangan keperluan ke Cianjur untuk penduduk yang hilang tempat tinggal, namun penduduk masih berharap lebih banyak bantuan disalurkan.

Seorang lagi penduduk, Yunisa Yuliani berkata: “Anak saya demam dan dia tidak boleh makan. Ada banyak kanak-kanak dan orang tua di sini. Kanak-kanak memerlukan susu, lampin, makanan dan ubat.”

Gempa bumi pada Isnin itu adalah gempa bumi terburuk di Indonesia sejak bencana sama pada 2018 yang menyebabkan tsunami dan membunuh kira-kira 4,000 orang di Sulawesi.

Sumber: Warta Kota Live & Harian Metro

Foto: Warta Kota Live & AFP