Browsing Tag

Ganjaran pahala

Ganjaran pahala
Aqidah,

Adakah terdapat ganjaran pahala bagi orang bukan Islam? Ini penjelasannya

GANJARAN pahala menanti buat mereka yang melakukan kebaikan walaupun hanya sekecil hama. Semua itu ada kiraannya di akhirat kelak.

Malah, timbangan al-Mizan ALLAH SWT tidak sama seperti neraca kita pada kaca manusia. Setiap daripada kita akan dihisab dengan seadilnya.

Bagi orang bukan Islam dan tidak beriman dengan ALLAH, bagaimanakah amalan kebaikan mereka? Adakah terdapat ganjaran pahala buat mereka yang melakukan kebaikan ketika di dunia?

Baca juga Empat amalan kecil tetapi besar ganjarannya

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, orang kafir yang berbuat kebaikan akan dibalas di dalam dunia sahaja seperti dimurahkan rezekinya asbab amalan yang dilakukan.

“Pada hari akhirat kelak, dia tidak lagi mendapat sebarang balasan kebaikan melainkan azab yang berkekalan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

solat 3 kali

USTAZ AZHAR IDRUS. Foto: Google

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH tidak akan menzalimi orang mukmin pada amal baiknya. Akan diberikan kebaikan dengan sebabnya di dunia dan dibalas dengan sebab kebaikannya itu pada akhirat. Adapun orang kafir, maka direzekikannya dengan sebab segala amal baiknya yang telah dia lakukan di dalam dunia sehingga sampai di negeri akhirat nanti tidak ada lagi bagi orang kafir itu pembalasan pahala sebab amal baiknya itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sementara itu, memetik artikel Al-Afkar #115: Adakah Orang Bukan Islam Dapat Ganjaran Kebaikan dan Pahala Jika Berbuat Baik di atas Dunia yang disiarkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, amalan orang bukan Islam di atas dunia akan dibalas dengan kebaikan di dunia juga sebagai bukti sifat ALLAH SWT yang MAHA PENYAYANG dan kasihkan hamba-NYA.

Dalam Surah al-Furqan, ayat 23, ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenius amal (yang mereka pandang baik), iaitu KAMI jadikan ia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”

Baca juga Kebaikan Kecil Yang ‘Berbuah Manis’, Berikut Penjelasannya

Menurut Imam al-Qurtubi dalam Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran, beliau menyatakan, ayat itu menerangkan keadaan orang kafir pada hari akhirat kelak yang mana amalan baik golongan berkenaan atau bukan Islam tidak akan dihitung oleh ALLAH SWT kerana tiada manfaat.

“Ini kerana mereka hidup dalam keadaan batil dan kafir, maka setiap amalan kebaikan akan menjadi debu seperti tanah yang asalnya kelihatan, namun apabila ditiup debunya berterbangan dan hilang begitu sahaja.

Ganjaran pahala

ANDAI seseorang hidup dalam keadaan batil dan kafir, maka setiap amalan kebaikan akan menjadi debu seperti tanah yang asalnya kelihatan, namun apabila ditiup debunya berterbangan dan hilang begitu sahaja.-FOTO: PEXELS

“Sementara itu, Prof Dr Wahbah az-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir menyatakan, amalan baik orang bukan Islam seperti memuliakan orang lain, bersedekah, membebaskan tahanan, memberi perlindungan kepada mereka yang memerlukan dan amalan kebaikan lain tidak akan dapat menyelamatkan mereka di akhirat kelak.

“Sebaliknya, jelas ulama berkenaan, ALLAH SWT menjadikan amalan-amalan tersebut hancur lebur sehingga tidak bermanfaat dan memberi kebaikan sama sekali, lantaran mereka tidak memiliki syarat secara syariat untuk diterima sesuatu amalan – iaitu mengerjakannya kerana ALLAH SWT dan sesuai dengan syariat-NYA,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web pejabat mufti berkenaan.