Browsing Tag

gajet

Peranan ibu bapa
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Perkasakan peranan ibu bapa, usah biarkan gajet kuasai anak-anak

Oleh DR ZAIZUL AB RAHMAN

KITA sering terkejut dengan angka jangkitan Covid-19 yang masih belum reda, tetapi sebenarnya isu ketagihan gajet dalam kalangan anak-anak lebih merisaukan apabila kajian Computers in Human Behavior melaporkan, Malaysia berada di tempat ketiga dalam senarai ketagihan telefon pintar.

Kajian ini merupakan petanda kurang baik kerana menunjukkan rakyat Malaysia menghadapi satu lagi ‘penyakit’ parah selain daripada diburu oleh pandemik Covid 19.

Berdasarkan dapatan Kaji Selidik Kepenggunaan Internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 2020 menunjukkan, peratusan peningkatan kanak-kanak serta remaja berusia lima hingga 17 tahun daripada 18.4 peratus pada 2016 kepada 47 peratus pada 2020. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga merekodkan 78.3 peratus ibu bapa di Lembah Klang sahaja membenarkan anak-anak memiliki gajet pada 2019. Berdasarkan perangkaan, kadar penetrasi internet juga akan meningkat sehingga lebih 89 peratus menjelang 2025.

Dari sudut positif, memanglah ia menunjukkan aspek yang baik penembusan digital dan literasi teknologi yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak di negara ini. Namun begitu, ibu bapa juga perlu melihat kandungan popular yang dilayari anak mereka supaya mengetahui trend penggunaan gajet pintar untuk mengelakkan akses kepada kandungan yang tidak sepatutnya.

Peranan ibu bapa

SEBAGAI ibu bapa, jangan abaikan tanggungjawab kita terhadap amanah yang telah diberikan dan beri pendidikan sempurna kepada anak-anak supaya mereka dapat hidup dengan cara yang dianjurkan Islam.

Asuh hargai masa

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan supaya penggunaan peranti atau masa skrin tidak diberikan kepada kanak-kanak berusia di bawah dua tahun dan tidak lebih daripada satu jam membabitkan kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun.

Baca juga Sikap Anak Adalah Cerminan Ibu Bapa. Didik, Tunjukkan Teladan Baik Sejak Mereka Kecil Lagi

Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang menegaskan tentang peri pentingnya asuhan kepada anak-nak perlu semenjak kecil lagi: “Bekerjalah kamu dengan taat kepada ALLAH dan jauhilah hidup kamu daripada melakukan maksiat kepada ALLAH. Hendaklah kamu mengajar anakmu sejak kecil untuk mentaati perintah ALLAH, larang mereka daripada melihat perkara yang tidak baik. Apabila kamu melakukan sedemikian, kamu sedang menjaga diri kamu dan dirinya daripada dihumban ke dalam neraka.”

Apabila umurnya mencecah tujuh tahun maka anak-anak perlu diajak untuk beribadat kepada ALLAH SWT, iaitu dengan mendirikan solat dan mengenali aurat lelaki dan perempuan yang berbeza antara satu sama lain. Elemen ini juga sederap dengan cadangan yang dikeluarkan American Academy of Pediatrics (AAP) pada 2016 mengikut ketetapan yang sama.

Terdapat kajian mendapati bahawa kanak-kanak yang menghabiskan masa lebih daripada dua jam di hadapan skrin lebih cenderung untuk mengalami masalah psikologi dan perkembangan otak yang tidak sihat.

Kanak-kanak yang terdedah kepada defisit perhatian akan mengalami kelewatan perkembangan kognitif dan membataskan kemampuan mengurus serta mengawal diri. Terdapat kes di mana kanak-kanak mudah marah dan memberontak kerana tidak mempunyai kemahiran mengawal emosi dan ilmu pergaulan yang baik.

Interaksi alam

Terdapat kajian terkini yang menyatakan kurangnya aktiviti bermain di luar rumah dalam kalangan kanak-kanak akan menyebabkan mereka mudah menghadapi permasalahan kesihatan.

Peranan ibu bapa

IBU bapa perlu memantau penggunaan gajet anak-anak supaya tidak mendatangkan natijah yang buruk kepada diri mereka.

Islam menggalakkan umatnya beraktiviti melalui sukan menerusi ayat al-Quran Surah al-Anfal, ayat 60 yang berbunyi: “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa saja yang kamu sanggupi…”.

Baca juga Didik anak-anak melalui teladan, ibu bapa kena tunjuk contoh yang baik kepada anak-anak…

Rasulullah SAW juga bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai ALLAH daripada mukmin yang lemah.”

Kesan hubungan dengan alam semula jadi secara tuntasnya boleh menghasilkan mood dan tingkah laku yang baik, mengurangkan tekanan serta membentuk kemahiran sosial dan interpersonal kanak-kanak.

Memang gajet pintar banyak membantu pengajaran serta pembelajaran dalam dunia tanpa sempadan hari ini. Itu kita akui, hampir semua maklumat sudah berada di hujung jari dan boleh dicapai pada bila-bila masa, namun bagaimana jika tiada kawalan?

Ibu bapa mempunyai peranan yang amat besar dan mereka wajar sama-sama celik teknologi. Hal ini kerana mereka perlu sentiasa menetapkan garis panduan kepada anak-anak kerana dikhuatiri si kecil itu akan mengakses kandungan tidak sepatutnya seperti pornografi.

Dihantui kesal

Penggunaan gajet secara berlebihan akan mewujudkan jurang interaksi antara kanak-kanak dengan ibu bapa. Ini berlaku apabila anak anak mungkin menggunakan hanya sedikit masa untuk berinteraksi dengan ibu bapa kerana terlalu leka dengan gajet di tangan.

Masa yang berkualiti antara ibu bapa dan anak-anak adalah sesuatu yang amat penting kerana masa pembesaran anak anak yang sihat memerlukan fokus daripada ibu bapa.

Jangan pula nanti dihantui kesal seumur hidup gara-gara gagal memanfaatkan masa yang amat pantas berlalu. Akhirnya, kita akan kehilangan anak-anak dirampas oleh gajet yang tidak mengenal erti kemanusiaan. Ingatlah diri yang alpa, walaupun ‘kehilangan’ ini kelihatan remeh, namun kesannya amatlah hebat.

Tetapi sedarkah kini, majoriti ibu bapa turut ketagih gajet? Bagaimana mungkin si anak dapat mengikut jejak positif ibu bapa mereka kalau didikan yang diberi oleh orang tua mereka ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul? Ironinya, kanak-kanak akan meniru tingkah laku ibu bapanya ini secara tidak langsung.

Justeru ibu bapa perlu menilai semula tingkah laku, aspek pengurusan masa dan kesan penggunaan gajet pintar kanak-kanak sebelum nasi menjadi bubur.

Peranan ibu bapa

ANAK-ANAK akan memerhatikan tingkah laku ibu bapa mereka dan menjadikan sebagai contoh.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiap-tiap kanak-kanak itu dilahirkan dalam keadaan suci, maka ibu bapanyalah yang menjadikan ia Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Hadis ini menerangkan bahawa ibu bapa memainkan peranan terpenting dalam pendidikan awal seperti membentuk asas-asas perkembangan diri anak dan bukannya ibu bapa sendiri yang membawa contok yang tidak baik kepada mereka.

***Dr Zaizul Ab Rahman ialah Penolong Dekan HEP, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia & Kaunselor Berdaftar Kementerian Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat

Foto: 123rf, Unsplash & Pexels

mindful-muslim
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Aplikasi Rohani

no comment

Percaya kepada qada dan qadar adalah pegangan iman yang dituntut dalam Islam dengan membawa maksud sesuatu perkara yang telah diputuskan Allah SWT terhadap hambanya. Seperti situasi pandemik yang melanda dunia sejak tahun lalu yang telah memberi impak yang sangat mendalam kepada masyarakat dunia.

Pergerakan terbatas undang tekanan perasaan

Tanpa iman dan semangat rohani yang kuat, nescaya seseorang itu akan mudah menyalahkan takdir yang seterusnya akan membawa kepada perkara di luar batasan akal seperti mencedera atau membunuh diri.

Apabila dunia mengisytiharkan ‘total lockdown’, rakyat diarahkan untuk berkurung sekali gus memutuskan hubungan dengan dunia luar, ketika itu ramai yang menganggap dunia ini bakal berakhir di sini. Bagi yang membimbangkan ketidaktentuan kesihatan, kewangan serta bebanan di tempat kerja sehingga menyebabkan ramai terkesan dan berdepan masalah psikologi. Tanpa sedar, ramailah individu mula mencari alternatif untuk mengisi ruang hati yang kosong dengan pelbagai aktiviti baik fizikal mahupun rohani bagi mengelak gangguan kesihatan mental serius.

Jiwa yang kosong memerlukan makanan rohani.

Dalam ruang lingkup yang sangat terhad, masyarakat hanya terdedah dengan alat telekomunikasi untuk mengetahui dunia luar. Lanjutan daripada itu, lahirlah sebuah aplikasi Mindful Muslim yang dilancarkan bagi penggunaan gajet berkonsepkan elemen Islam pertama di dunia.

Di fahamkan, sejak dilancarkan tahun lalu, semakin ramai pengguna telefon pintar memuat turun aplikasi itu di telefon pintar masing-masing sebagai mencari ketenangan jiwa dengan mendekatkan diri pada Allah SWT, rasa bersemangat dan memulihkan emosi.

Menariknya Mindful Muslim adalah aplikasi penenang jiwa berkonsepkan Islam pertama di dunia tampil menyediakan perkhidmatan seperti bacaan al-Quran, doa rukyah dan ceramah motivasi.

Ia diiringi dengan bunyi alam semula jadi seperti hujan, ombak dan air terjun yang menggantikan muzik dalam menimbulkan rasa tenang kepada penggunanya.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Mindful Muslim, Mohamad Akhtaar Abdul Ghani,

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Mindful Muslim, Mohamad Akhtaar Abdul Ghani, berkata, aplikasi dalam bahasa Inggeris itu yang dilancarkan pada tahun lalu itu kini mempunyi 50,000 pengguna di serata dunia.

“Objektif utama pembangunan aplikasi ini adalah untuk membantu meningkatkan kesihatan mental umat Islam yang berdepan pelbagai cabaran pada masa kini dengan elemen Islamik.
“Bermula seawal pagi selepas solat Subuh, mereka boleh mendengar ceramah motivasi pagi untuk memulakan hari dengan penuh semangat menerusi aplikasi ini,” katanya.

Menurutnya, idea memperkenalkan aplikasi berkonsep Islamik Mindful Muslim bermatlamat membantu umat Islam seluruh dunia dalam mendepani masalah tekanan jiwa.
Berkongsi idea membangunkan aplikasi tersebut, Mohamad Akhtaar memberitahu, ia bermula apabila dirinya berasa tertekan dengan kerja yang terlalu banyak dan memenatkan.
Susulan itu dia mencari platform untuk meredakan tekanan tetapi tidak menemui yang berkonsep Islamik dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

“Saya sering berasa tertekan sehingga sukar tidur akibat beban kerja yang terlalu banyak dan melayani pelbagai kerenah pelanggan.
“Justeru, saya cuba mencipta sesuatu sebagai terapi untuk diri sendiri dan menyedari bahawa perkara ini perlu diperluaskan kerana ia sangat berguna untuk membantu saudara Islam memulihkan semula emosi mereka,” katanya.

Mohamad Akhtaar yang juga Pengarah Agensi Pemasaran Digital di ALQ Creative Pte. Ltd. berkata, Mindful Muslim mempunyai beberapa ciri istimewa iaitu bacaan ayat suci al-Quran, zikir, kisah-kisah para Nabi, ceramah motivasi, bacaan rukyah, doa-doa khas untuk menghilangkan tekanan dan pelbagai bunyian alam semula jadi.

“Aplikasi ini memiliki 51 kisah para Nabi dan setiap bulan akan dimuat naik tujuh cerita baharu.
“Pengguna juga boleh mendengar cerita ini dengan diiringi pelbagai pilihan bunyi alam semula jadi mengikut cita rasa masing-masing yang akan membuatkan perasaan berasa tenang,” ulasnya yang kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Komunikasi di Auckland University of Technology (AUT), New Zealand.

Beliau berkata, menerusi kisah-kisah dan ceramah motivasi yang santai itu mengajar kita untuk lebih kuat, sabar dan yakin bahawa setiap ujian itu mempunyai hikmah tersembunyi.
Pengguna boleh memilih pelbagai surah, doa, ceramah motivasi serta kisah para Nabi untuk diletakkan di dalam senarai pemain dan mendengarnya sebelum melelapkan mata pada waktu malam. Menariknya, aplikasi tesebut juga mempunyai versi suara wanita dan lelaki agar pengguna boleh mendengarnya dengan lebih selesa mengikut jantina masing-masing.