Browsing Tag

fiqh

Imam Nawawi
Personaliti,

Imam Nawawi mengabdikan diri dengan ilmu sehingga sanggup tidak berbaring ketika tidur

NAMA Imam Nawawi tidak asing lagi pada halwa telinga ramai. Begitu juga saat kita menelaah karya-karya ilmiah Islamik. Masakan tidak, beliau antara ulama tersohor dalam Mazhab Syafie yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

Terlebih dahulu, perlu diketahui bahawa panggilan Nawawi hanyalah jolokannya sahaja. Sebaliknya, nama penuh ulama itu ialah Abu Zakaria Mohiuddin Yahya Ibn Sharaf Al-Nawawi.

Menurut salasilahnya, beliau dilahirkan pada bulan Muharam 631 Hijrah (1233 Masihi) di Kampung Nawa, berhampiran ibu kota Damsyik, Syria. Kalimah an-Nawawi sebenarnya diambil berdasarkan kepada kampung halamannya.

Sesungguhnya, kisah kehidupan cendekiawan Islam hebat yang zuhud itu begitu menarik untuk ditelusuri dan diinsafi. Suatu perkara yang menarik perhatian Sinar Islam Plus apabila diriwayatkan bahawa kehidupan Imam Nawawi tidak seperti kanak-kanak lain.

Bayangkan pada usianya yang masih mentah, beliau ‘membenci’ sebarang aktiviti yang menjauhkan dirinya daripada menghafaz al-Quran!

Baca juga Sahih Al-Bukhari Karya Imam Al-Bukhari Jadi Rujukan Utama Selepas Al-Quran

Demikian fakta yang dilaporkan oleh islamicfinder.org. Malah, figura masyhur itu acap kali menumpukan perhatiannya kepada pelajarannya.

Imam Nawawi


KETINGGIAN akhlak dan ilmu Imam Nawawi dikagumi ramai.

“Sehinggakan pada suatu ketika, apabila kanak-kanak memaksanya bermain dengan mereka, Imam Nawawi akan menangis kerana masa yang disia-siakanya.

“Maka tidak hairanlah beliau mampu menghafaz al-Quran pada usia yang masih muda lagi,” katanya dipetik daripada laporan laman sesawang berkenaan.

Menjadi resam ilmuan sentiasa berasa tidak cukup dengan ilmu di dada. Begitu juga yang dirasakan oleh Imam Nawawi. Beliau hanya tinggal di Nawa sehingga umurnya mencecah 18 tahun.

Ulama masyhur itu kemudian berhijrah ke Damsyik. Di situlah beliau menggali ilmu hadis, fiqh dan prinsip Islam daripada ramai ulama besar Islam.

Antara yang pernah menjadi gurunya ialah Ishaaq ibn Ahmad al-Maghrabi al-Maqdisi, Abdul Rahmaan al-Anbari dan Abdul Azeez al-Ansaari. Malah, beliau juga berkesempatan belajar Sahih Muslim daripada Abu Ishaaq Ibrahim al-Waasiti.

Keperibadian mengagumkan

Imam Nawawi


SEPANJANG hidupnya, Imam Nawawi mengabdikan diri dengan menggali ilmu dan mengajar.

Pada usia 24 tahun, Imam Nawawi mula mengajar di Mazhab Ashrafiyah. Ketinggian ilmu dan reputasi kecemerlangannya sebagai ulama mula terserlah selepas itu.

Baca juga Rupanya karya Imam Al-Qurtubi pernah dibakar oleh musuh Islam 

Malah, ia turut diperakui oleh para ulama dan penduduk Damsyik. Tidak keterlaluan dikatakan, beliau mengabdikan diri dengan menguasai ilmu. Apa tidaknya, seluruh hidupnya hanya dihabiskan untuk belajar dan mengajar sahaja.

Malah, ada kisah yang menyatakan, Imam Nawawi tidak berbaring ketika tidur melainkan dengan berehat di atas bukunya sahaja. Seperti kebanyakan ilmuan lain, ulama yang menjadi rujukan ramai itu menguasai pelbagai disiplin ilmu pengetahuan.

Namun begitu, beliau begitu mahir dalam ilmu fiqh dan hadis. Istimewanya, beliau juga diketahui mampu menghafaz fiqh Mazhab Syafie, hukum fiqh, usul dan furu’.

Bukan itu sahaja, kemampuan beliau mengetahui secara terperinci tentang mazhab-mazhab sahabat dan tabiin beserta kesilapan para ulama, pandangan dan ijmak membuatkannya dikagumi ramai. Malah, Imam Nawawi juga tahu mana satu pendapat yang popular dan tidak.

Ketokohannya begitu terserlah. Lihat sahaja dalam bidang hadis, Imam Nawawi digelar sebagai Sayyid Hadzihi at-Tabaqah (ketua ahli hadis kontemporari). Bahkan, beliau turut dikenali sebagai pengamal sunah Nabi Muhammad SAW kerana berzuhud dengan apa yang diperoleh hasil keringatnya sendiri.

Imam Nawawi

KITAB Riyadhussolihin antara karya agung Imam Nawawi.

“Ketika menjadi guru di Darul Hadith al-Asyrafiyah, beliau tidak mengambil gaji dan hanya berpuas hati dengan wang pemberian ibu bapanya,” kata portal Republika. Walaupun Imam Nawawi tidak sempat berkahwin dan mempunyai zuriat, namun pemergiannya meninggalkan khazanah yang tidak ternilai iaitu hasil karya kitab-kitabnya yang menjadi rujukan seantero dunia sehingga pada hari ini. Antaranya Riyadhussolihin, al-Minhaj bi Sharh Sahih Muslim, Sharh Sahih al-Bukhari, Minhaj at-Talibin dan banyak lagi.

Menurut riwayat yang sahih, beliau meninggal dunia dalam usia 45 tahun di kampung halamannya, Nawa iaitu pada 24 Rejab 676 Hijrah (1277 Masihi).

PROFIL

Imam Nawawi

ILUSTRASI potret Imam Nawawi.

Nama penuh: Abu Zakaria Mohiuddin Yahya Ibn Sharaf an-Nawawi.

Gelaran: Imam Nawawi, Imam an-Nawawi dan Sayyid Hadzihi at-Tabaqah.

Asal: Nawa berhampiran kota Damsyik, Syria.

Tahun kelahiran: 631 Hijrah.

Tahun kematian: 676 Hijrah.

Karya agung: Riyadhussolihin, al-Minhaj bi Sharh Sahih Muslim, Sharh Sahih al-Bukhari dan Minhaj at-Talibin.

Sumbangan:

–    Menyaring pendapat-pendapat dalam Mazhab Syafie. –    Sumbangan beliau dalam menghasilkan Sahih Muslim yang ditulis dua tahun sebelum kematiannya sangat luar biasa hingga menjadi rujukan sehingga hari ini.

Foto: Islam.ny.or.id, Kalam.sindonews.com, Republika.co.id & Alikhla.scrm.or.id