Browsing Tag

fiqh banjir

Pengurusan jenazah
Isu,

Bingung urus kematian ketika bah, ketahui pengurusan jenazah fiqh banjir

PENGURUSAN jenazah bukanlah suatu perkara baharu bagi masyarakat. Malah, semua orang bakal menghadapi situasi itu jika ada ahli keluarga, saudara-mara mahupun tetangga yang meninggal dunia.

Namun begitu, dalam musim banjir yang sedang melanda di beberapa kawasan di seluruh negara, situasi itu agak sukar untuk diharungi.

Baru-baru ini, kisah jenazah wanita warga emas yang terkandas selama 14 jam di dalam rumah akibat bah mendapat liputan meluas.

Media tempatan melaporkan, Allahyarham Che Gayah Mohamad, 81, dari Kampung Gaung, Besut, Terengganu meninggal dunia jam 8 malam Ahad lalu akibat sakit tua, selepas terlantar hampir enam bulan.

Jenazah sepatutnya dikebumikan pada malam berkenaan, namun kekangan proses dokumentasi dan air naik secara mendadak di sekitar kediamannya serta hampir masuk ke dalam rumah menyebabkan ia ditunda.

Pada jam 10 pagi Isnin (semalam), jenazah selamat dibawa ke Hospital Besut untuk menjalani beberapa proses sebelum pengebumian, dengan menggunakan sebuah bot persendirian.

Sebenarnya banyak lagi kes sebegini berlaku pada musim banjir. Dalam kejadian Februari tahun ini di Kuala Krai, Kelantan misalnya, terdapat jenazah yang dibawa ke tanah perkuburan menggunakan bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia kerana kawasan kediamannya dilanda bah.

Pengurusan jenazah

SEBELUM ini, terdapat beberapa insiden membabitkan pengurusan jenazah ketika banjir dan ada jenazah yang dibawa menggunakan bot untuk ke tanah perkuburan. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: BERNAMA

Pada Disember 2019 pula, penduduk Kampung Dangar, Rantau Panjang, Kelantan pernah meredah air sejauh 200 meter bagi mengusung jenazah wanita ketika banjir.

Semua situasi itu membuka mata ramai pihak betapa pentingnya untuk kita mengetahui selok-belok pengurusan jenazah ketika bah besar melanda.

Ini kerana setiap dalam kalangan Muslim yang meninggal dunia, jenazahnya perlu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan.

Dalam hal ini, Sinar Islam Plus merujuk kepada aplikasi Fiqh Banjir dikenali sebagai Fiba yang dibangunkan oleh Pengarah Institut Fatwa dan Halal, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Dr Irwan Mohd Subri dan pasukannya pada 2016.

Baca juga Fiqh banjir bantu lerai kemusykilan ibadah ketika bah

Menerusi bab Pengurusan Jenazah Ketika Banjir, Fiba menjelaskan, air banjir boleh digunakan untuk memandikan mayat.

“Dalam urusan memandikan jenazah, lebih utama andai ia diuruskan oleh orang yang sama jantinanya. Bagaimanapun, sekiranya tiada, diharuskan orang yang berlainan jantina menguruskannya.

“Jika pusat penempatan banjir terputus bekalan air atau air hanya cukup untuk keperluan minum sahaja, maka jenazah banjir itu boleh ditayamumkan bagi menggantikan kefarduan mandi jenazah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi aplikasi berkenaan.

Seandainya tayamum tidak boleh dilaksanakan, jenazah tadi boleh terus disolatkan.

Pengurusan jenazah

SETIAP Muslim yang meninggal dunia, jenazahnya perlu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. -FOTO: INTERNET

Tempat pengebumian

Begitu juga halnya dalam urusan mengkafankan jenazah. Perkara itu lebih utama dikendalikan oleh orang yang sama jantina. Jika tiada, maka diharuskan orang yang berlainan jantina menguruskannya.

Menurut Fiba, tujuan kafan sebenarnya adalah untuk menutup jenazah dan disunatkan menggunakan kain berwarna putih.

Bagi jenazah lelaki, disunatkan menggunakan tiga lapis kain, manakala lima lapis kain untuk jasad wanita.

“Jika menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kain mencukupi atau berwarna putih, dibolehkan untuk mengkafankan jenazah sekadar yang termampu dengan tujuan untuk menutup jenazah.

“Kemudian ia wajib disolatkan sama ada secara sendirian atau berjemaah mengikut keadaan. Jenazah yang sudah disembahyangkan wajib dikebumikan di tanah perkuburan yang disediakan oleh pihak berkuasa.

Baca juga Ambillah peluang, tunaikan solat jenazah untuk saudara seagama kita. Ini sebab-sebabnya 

“Sekiranya tidak boleh dikebumikan di situ, dinasihatkan supaya menghubungi pihak berkuasa supaya menguruskan pengebumian,” katanya sebagaimana dipetik dalam aplikasi fiqh banjir berkenaan.

Pengurusan jenazah

KEPADA mereka yang terjejas banjir dan ada kematian berlaku di kawasan mereka, dapatkan bantuan pihak berkuasa untuk urusan pengurusan jenazah dan pengebumian. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: BERNAMA

Andai tidak dapat menghubungi mereka atau pihak berkuasa tidak dapat datang, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan sebagaimana saranan Fiba iaitu:

i. Dikebumikan di mana-mana tanah yang boleh didapati. Selepas banjir surut, jika jenazah perlu dipindahkan ke tanah perkuburan disediakan, maka hendaklah ia diselia oleh pihak berkuasa agama negeri. Atau;
ii. Disimpan dalam tempat yang sesuai selama mana dirasakan ia tidak membusuk sehingga banjir surut dan dikebumikan selepas itu. Atau;
iii. Menghanyutkan jenazah dengan andaian akan ditemui oleh mereka yang berada di daratan dan menguruskan pengebumiannya. Atau;
iv. Melakukan apa-apa alternatif yang boleh mengelakkan bau mayat yang memudaratkan orang awam.

Baca juga Doa-doa khusus di musim banjir, hindari cemas dan putus asa

Semoga perkongsian itu dapat dijadikan panduan oleh orang ramai.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Banjir
Berita Semasa,

Fiqh banjir bantu lerai kemusykilan ibadah ketika bah

MESKIPUN diuji dengan bencana alam seperti banjir, namun perkara berkaitan kewajiban kepada Sang Pencipta tidak boleh dipandang enteng.

Lantaran itu, Pengarah Institut Fatwa dan Halal, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Dr Irwan Mohd Subri mencadangkan pegawai agama atau imam ditempatkan di pusat penempatan banjir untuk membimbing, sekali gus menghidupkan solat berjemaah atau aktiviti kerohanian.

“Andai pusat berkenaan tiada kemudahan surau, Jabatan Agama Islam Negeri boleh mengambil inisiatif mewujudkan kemudahan surau bergerak, khemah sementara dan sebagainya bagi tujuan tersebut.

“Walaupun sudah ada pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, kaunselor atau pegawai psikologi dan Persatuan Bulan Sabit Merah di pusat-pusat penempatan, adakalanya mangsa banjir memerlukan sokongan kerohanian untuk mengurangkan trauma yang dialami,” katanya.

PROF DR IRWAN

Dr Irwan yang pernah terlibat sebagai penyelidik fiqh banjir menjelaskan, pihaknya mendapati banyak isu berkaitan fikah dilontarkan hasil kaji selidik yang dijalankan bermula 2014 hingga 2017.

Antara persoalan fikah berbangkit termasuk dalam perihal bersuci, solat, batasan aurat dan menggunakan harta bukan milik sendiri ketika banjir.

Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir

“Menerusi dapatan berkenaan, kami telah membangunkan satu garis panduan ibadah menerusi aplikasi Fiba (Fiqh Banjir) yang boleh dimuat turun di Play Store secara percuma.

“Ada antara isu berbangkit dalam hal ini sudah diaplikasikan, misalnya kemudahan khemah di pusat penempatan. Saya pernah terlibat dalam pengurusan pusat penempatan banjir di Sekolah Kebangsaan Kota Warisan tahun lalu. Dalam setiap kelas, terdapat empat khemah untuk kegunaan empat keluarga, jadi terpelihara dari segi pergaulan dan isu aurat,” katanya.

Banjir

KEMUDAHAN khemah yang disediakan pihak NADMA bukan sahaja memberikan privasi kepada mangsa banjir, tetapi juga menjaga batasan aurat sesama bukan mahram. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: BERNAMA

Mengambil contoh situasi bah yang menenggelami kampung, pusat pemindahan mahupun air banjir yang melimpah sama ada dari sungai atau longkang dan mengalir di jalanan, Dr Irwan berkata, penggunaan air banjir untuk bersuci ketika itu diharuskan andai ia tidak memudaratkan kesihatan dan keselamatan pengguna.

“Secara asasnya, air banjir kategori ini dianggap air mutlak kerana kuantitinya yang banyak (lebih daripada dua kolah) dan perubahan warna, bau serta rasanya berlaku dengan sendiri dan sukar dielakkan,” ungkapnya.

Baca juga Jumpa Harta Benda Tidak Diketahui Pemiliknya Ketika Banjir, Berikut Tatacara Menguruskannya

Tangguh pilihan raya jika kawasan banjir

Bagaimana pula dengan peranan pemerintah dalam pengurusan banjir jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan ketika negara dilanda banjir?

Menjawab persoalan itu, Pensyarah Kanan, Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali menjelaskan, kerajaan sementara ketika ini masih boleh menjalankan tugas pentadbiran seperti biasa termasuk pengurusan bencana.

DR MAZLAN

Dalam hal itu, ujar beliau, jentera yang berkait rapat dalam persediaan menghadapi bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia masih berfungsi.

“Cuma kita bimbang andai banjir berlaku dalam suasana pilihan raya bermula seperti kempen dan sebagainya, sepatutnya pihak keselamatan perlu memberi fokus padanya. Sebagai contoh, pihak polis mesti digerakkan untuk mengawal orang awam semasa berkempen.

“Apabila berlaku bencana, pihak keselamatan terpaksa dikerah menguruskannya,” katanya.

Pada masa sama, jelas Dr Mazlan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menangguhkan pengundian bagi kawasan tertentu yang terjejas teruk akibat banjir sehingga keadaan pulih tetapi ia mestilah dijalankan sebelum tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

Baca juga Ibrah kisah Zulqarnain, pemimpin yang penuh sifat qawwam 

Bagaimanapun, katanya, langkah itu akan meningkatkan kos jika pilihan raya kawasan berkenaan diadakan pada hari lain. “Sudah pasti akan menimbulkan masalah tidak fokus dan kurangnya keberkesanan pihak berkuasa bagi menangani pilihan raya serta bencana alam pada masa sama.

Banjir

RAKYAT dituntut bersiap siaga hadapi bah. -FOTO: BERNAMA

“Di situ mungkin akan berlaku kelemahan dan seumpamanya. Justeru, pihak berkaitan perlu meneliti lanjut dengan menambah pegawai dan pelan kontingensi. Ia penting kerana bencana alam melibatkan nyawa rakyat,” katanya sambil mengingatkan pihak terlibat agar sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Pada 3 Oktober lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, seramai 76,336 pegawai dan anggota agensi tindak balas di semua peringat termasuk daerah diarah berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang boleh mengakibatkan banjir.

Persediaan itu turut melibatkan sejumlah 22,622 aset meliputi darat, air, udara dan perubatan.

Bukan sahaja kerajaan yang memainkan peranan tetapi masyarakat juga perlu menggembleng tenaga bagi menghadapi situasi bencana kelak.

Ahli akademik itu mengingatkan mereka yang terlibat di kawasan diramal banjir perlu bersedia dan mendengar arahan pihak berkuasa.

Baca juga Musibah banjir tanda peringatan buat manusia

“Simpan dokumen penting di tempat selamat. Jika perlu berpindah segera, sila patuhi arahan pihak berkuasa.

“Dengan ini risiko kemalangan jiwa dapat diminimumkan,” ujarnya.