Browsing Tag

fesyen

butik fesyen
Antarabangsa,

Gaza disekat bukan penghalang bagi pereka fesyen Palestin ini

DI tengah-tengah pusat bandar Gaza, ada sebuah bangunan dua tingkat mewah dengan nama ‘Nemo Design’ terpampang di atasnya.

Selain syarikat itu, ada beberapa lagi butik fesyen yang melata di kota tersebut. Namun, Nemo Design agak istimewa kerana ia adalah kedai pertama yang mempunyai pemilik wanita.

Butik pakaian itu baru sahaja ditubuhkan oleh Nirmeen Hourani awal tahun ini. Kisahnya bermula apabila Nirmeen memutuskan untuk menceburi bidang fesyen selepas berjaya meraih sebuah geran sebanyak $2,000 (RM 8,900) daripada Institusi Perancis, mengalahkan lebih 40 peserta yang lain.

Dengan hasil kemenangan geran tersebut, Nirmeen membeli sebuah mesin jahit di rumah.

butik fesyen

PERJALANAN Nirmeen Hourani dalam bidang fesyen bermula dari bawah dengan hanya berbekalkan sebuah mesin jahit di rumah.

“Saya mula membuat pakaian dan menjualnya di Instagram. Saya terkejut dengan banyaknya jumlah tempahan yang saya terima. Waktu itu, saya yakin bahawa projek saya akan berjaya dan berkembang,” katanya kepada agensi berita, Middle East Eye.

Walaupun dia bukan satu-satunya pereka fesyen di Gaza, nama Nirmeen dikenali atas hasil karyanya yang unik serta kebolehan menyiapkan baju tempahan khas. Pereka fesyen itu lebih gemar menghasilkan pakaian rekaan sendiri berbanding menggunakan corak yang sedia ada.

Baca juga Pakar ortopedik bantu haiwan terjejas akibat perang di Gaza

“Sejak hari pertama saya menyertai kolej fesyen, saya sudah bertekad mahu membawa perubahan dalam dunia fesyen di Gaza dan bukan sekadar menjadi seorang tukang jahit semata-mata,” tambahnya.

Setelah membuka sebuah butik kecil pada tahun 2017, Nirmeen mula mendapat pelanggan tetap. Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada wanita dari kelas pertengahan yang suka memakai rekaan unik serta banyak bereksperimen dengan gaya.

Setahun selepas pembukaan, beliau berjaya memindahkan kedainya ke bahagian bandar yang lebih mewah sebelum melancarkan butik fesyen yang ada sekarang pada Januari tahun ini.

butik fesyen

TENAGA dan usaha keras dicurahkan ke setiap pakaian yang dihasilkan oleh Nirmeen.

Bagi Nirmeen, saat membanggakan apabila beliau berjaya membangunkan kedai butik tersebut dengan usahanya sendiri. “Saya menggunakan hasil keuntungan daripada butik sebelumnya untuk membuka kedai sekarang yang lebih besar tanpa sebarang bantuan kewangan daripada sesiapa,” katanya. “Saya gembira melihat perniagaan saya berkembang secara semulajadi.”

Setiap pakaian yang dihasilkan memerlukan banyak kemahiran. Terlebih dahulu, Nirmeen akan berjumpa dengan pelanggan bagi mengetahui kehendak mereka. Pada masa sama, beliau juga melakarkan beberapa reka bentuk untuk dipilih oleh pelanggan.

Baca juga Model Di Sebalik Kempen ‘Hands Off My Hijab’ Dilantik Editor Vogue-Scandinavia

Selain menjual pakaian yang siap dijahit, Nirmeen juga menerima tempahan khas.

Pun begitu, perjalanan Nirmeen dalam dunia fesyen tidak selalunya mudah. Sekatan yang dikenakan Israel ke atas pelbagai industri di Gaza sejak 15 tahun lalu telah melumpuhkan ekonomi tempatan dan memberi kesan besar kepada golongan usahawan dan pereka di sana.

butik fesyen

REJIM Israel mengenakan pelbagai sekatan ke atas Semenanjung Gaza yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat Palestin di sana.

Sekatan ke atas Gaza bermula pada tahun 2007 selepas Hamas memenangi pilihan raya parlimen. Setahun kemudian, pertempuran antara pihak Hamas dan Fatah berlaku, menyebabkan Hamas menggulingkan tentera Fatah ke Tebing Barat, dan mengambil alih Semenanjung Gaza.

Baca juga Kesihatan mental kanak-kanak di Gaza merosot akibat 15 tahun ‘dikepung’

Sejak itu, Israel dan pihak antarabangsa telah mengepung dua juta rakyat Palestin di wilayah tersebut. Pada tahun yang sama, Israel juga menyerang loji elektrik utama di Gaza, menyebabkan krisis bekalan elektrik sehingga kini.

Menurut Bank Dunia, kadar pengangguran di Gaza adalah kira-kira 50 peratus dan lebih separuh daripada penduduknya hidup dalam kemiskinan.

Seperti kebanyakan penduduk Gaza yang lain, Nirmeen juga terkesan dengan sekatan terbabit. Menurutnya, beliau perlu membayar jumlah wang yang banyak untuk mengekalkan perniagaannya menerusi penjana elektrik.

butik fesyen

PAKAIAN yang dihasilkan oleh Nirmeen terutamanya terkenal dalam kalangan wanita kelas pertengahan yang tertarik dengan rekaan uniknya.

Walau bagaimanapun, Nirmeen kekal tekad dan percaya bahawa masih ada ruang dalam industri fesyen di sana untuk menerima ideanya.

Selain itu, Nirmeen berharap dapat mengembangkan jenamanya dengan lebih jauh. Beliau kadangkala ke Turki dan cuba menjual rekaannya kepada penduduk tempatan dan wanita Palestin yang tinggal di sana di samping mencari jenis fabrik baharu.

Dalam masa sama, beliau juga aktif dalam usaha memperkasakan wanita. Nirmeensering melawat sekolah-sekolah di Gaza untuk mendidik orang ramai tentang industri tersebut. Malah, kesemua enam kakitangan serta 10 pelatih industri yang sedang bekerja di butiknya adalah wanita.

Baca juga Balerina Simbol Kekuatan Wanita Islam Gaza

Hadeel Shehab, salah seorang bekas pelajar Nirmeen, yang kini bekerja sebagai pelatih di butik itu, berkata Hourani banyak membantu dalam menambah baik reka bentuknya.

“Nirmeen membuatkan saya berani memilih warna terang dan fabrik baharu yang biasanya saya jarang menggunakan. Saya sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan.” katanya.

butik fesyen

NIRMEEN mengharapkan lebih ramai wanita Palestin yang terlibat dalam bidang keusahawanan.

Ujar Nirmeen, beliau ingin melihat lebih ramai wanita berjaya dalam industri fesyen selain berasa gembira dapat berkongsikan pengetahuannya.

“Saya rasa pasaran di Gaza cukup besar untuk menampung semua bakat yang ada. Saya gembira jika lebih ramai wanita di sekeliling saya membuka perniagaan mereka sendiri dan mempunyai sumber pendapatan masing-masing.

“Saya juga akan pastikan hasil karya saya dapat tersebar hingga ke luar sempadan Gaza,” katanya.

Sumber & Foto: Middle East Eye & Unsplash

fesyen
Berita, Berita Semasa,

Ini 10 jenama fesyen, produk kecantikan dunia milik Muslim yang menjadi pilihan sepanjang tahun 2020

RAMAI dalam kalangan kita hanya tahu memakai suatu barangan. Pada pandangan mata kasar, jika barang tersebut berkualiti, sesuai dengan kita dan duit poket, tanpa ragu-ragu lagi ia terus dibeli.

Jika barang makanan pula, kebanyakan kita memang akan membelek status halalnya terlebih dahulu dan tarikh luput sekali. Namun, jarang sekali jika ia berkaitan dengan fesyen dan produk kecantikan.

Apatah lagi mahu mengambil tahu siapakah individu di sebalik tabir yang mengasaskan produk berkenaan.

Barangkali ramai yang tidak sedar bahawa ada beberapa jenama terkemuka dunia diusahakan oleh usahawan Muslim. Ia termasuklah dalam industri fesyen dan produk kecantikan. Kedua-duanya industri itu bukanlah bidang picisan sebagaimana dianggap oleh segelintir orang suatu ketika dulu.

Di sini, SinarPlus kongsikan 10 jenama fesyen dan produk kecantikan terkenal dunia yang dimiliki oleh orang Islam seperti yang dilaporkan oleh portal kecantikan berpengaruh di Korea, allure.com.

Jom kita tengok satu persatu:

1. Huda Beauty

Jenama Muslim

HUDA KATTAN

Jenama ini diasaskan oleh bekas blogger kecantikan yang juga jurusolek artis, Huda Kattan bersama adik-beradiknya, Mona dan Alya serta suaminya, Chris pada tahun 2013. Ia terkenal dengan produk bulu mata palsu dan lipstik demi-matte, selain beberapa produk lain yang unik.

Memetik hudabeauty.com, bermula dengan blog pada tahun 2010, jenama itu menjadi akaun Instagram kecantikan nombor satu di dunia dengan puluhan juta pengikut.

Tahun 2013, sejarah baharu dicipta apabila Huda mengeluarkan rangkaian produk kecantikannya.sendiri. Kini, Huda Beauty menjadi antara jenama yang cepat berkembang di dunia.

Malah, anak kelahiran Oklahoma, Amerika Syarikat itu pernah diisytiharkan sebagai 10 orang yang paling berpengaruh dalam dunia kecantikan oleh majalah Forbes.

2. Farsali

Jenama Muslim

SAL ALI

Terkenal dengan rangkaian produk penjagaan kulit dan alat solek. Farsali diilhamkan oleh pasangan suami isteri, Sal Ali dan Farah Dhukai.

Memetik artikel yang disiarkan menerusi en.vogue.me, Farah yang juga blogger kecantikan berketurunan India itu dilihat begitu kental dengan perjuangannya melawan jerawat dan kombinasi kulit.

Sal Ali pula dilaporkan membangunkan produk berkenaan sebagai surat cinta buat isterinya bagi menyelesaikan masalah berkenaan. Maka, terhasillah jenama Farsali hasil gabungan nama mereka yang dilancarkan pada tahun 2015.

Antara produk Farsali yang terkemuka ialah dua campuran serum yang digunakan sebelum mengoles alat solek iaitu Rose Gold Elixir dan Unicorn Essence.

3. Louella by Ibtihaj

Jenama Muslim

IBTIHAJ

Koleksi fesyen dan akseskori jenama Louella by Ibtihaj menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna. Label itu dicetuskan oleh pemenang pingat gangsa Olimpik, Ibtihaj Muhammad yang juga rakan kepada selebriti terkemuka tempatan, Neelofa.

Antara produk ditawarkan termasuklah gaun, pakaian dalam dan pakaian sederhana serta bergaya.

Ibtihaj yang merupakan wanita Muslim Amerika pertama yang bertanding untuk pasukan negara berkenaan pada sukan Olimpik 2016 pernah dinamakan sebagai antara 100 orang paling berpengaruh dalam majalah Time.

4. Veronica Collection

Jenama Muslim

LISA VOGL

Lisa Vogl menjadi individu penting di sebalik penubuhan Veronica Collection di pasaran. Idea penubuhannya bermula apabila beliau yang pernah memenangi anugerah jurugambar fesyen antarabangsa itu mendapati, pakaian sederhana yang bergaya sangat mahal dan sukar untuk didapati.

Berdasarkan artikel yang disiarkan menerusi portal havehalalwilltravel.com, pada ketika itu, Lisa baru sahaja memeluk agama Islam sekitar tahun 2011.

Justeru, pada tahun 2015, lahirlah Veronica Collection. Bermula secara dalam talian, Veronica Collection kini beralih kepada runcit dengan membuka kedai di Orlando, Florida.

Jenama itu juga pernah mencetuskan fenomena apabila menjadi butik pakaian Islam yang bekerjasama dengan Macy’s, pemimpin industri dalam peruncitan dan jenama ikonik di Amerika.

5. Nzinga Knight New York

Jenama Muslim

NZINGA KNIGHT

Jenama itu diambil sempena namanya pengasasnya sendiri yang juga pereka fesyen, Nzinga Knight. Banyak pakaian sederhana, tetapi tampak mewah dihasilkan olehnya.

Masakan tidak, pereka fesyen yang terkenal dengan rekaan elegan itu sering kali menampilkan elemen moden dan gaya berseri dalam setiap sentuhannya.

Namun, beliau yang pernah memenangi pertandingan realiti Project Runaway dan menjadi Muslimah berhijab pertama Amerika dalam Anugerah Emmy itu tidak langsung melupakan prinsip-prinsip kesopanan wanita muda Muslim dalam setiap rekaannya.

6. Modanisa

Jenama Muslim

KERIM TURE

Melihat jenamanya, tiada siapa menyangka ia diilhamkan oleh seorang lelaki. Benar, Kerim Ture yang mengasaskan platform jenama pakaian online terkemuka Modanisa yang menjangkau pelanggan dari 140 buah negara termasuk di Malaysia.

Modanisa dilancarkan pada Hari Ibu tahun 2011 di Istanbul, Turki. Syarikat itu menjadi platform fesyen Turki pertama yang menawarkan pakaian dalam talian dengan pelbagai jenis pilihan.

Modanisa.com melaporkan, hampir 20 juta pelawat dari seluruh dunia yang menjangkau platform mereka menerusi aplikasi dan destkop pada setiap bulan.

Setakat artikel ini ditulis, terdapat 650 jenama dan 70,000 produk dijual menerusi platform itu.

7. Noon by Noor

Bagi peminat koleksi pakaian dari Bahrain, jenama Noon by Noor pasti sinonim buat mereka. Butik mewah yang diasaskan oleh dua pereka terkemuka ini, Shaikha Noor Al Khalifa dan Shaikha Haya Al Khalifa sering kali menjadi tumpuan ramai termasuk dalam kalangan selebriti.

Malah, sentuhan magis rekaan pasangan sepupu berkenaan pernah dipakai oleh bintang terkenal seperti Jennifer Lopez dan Solange Knowle.

Label Noon by Noor ini mula dibangunkan sejak tahun 2008 lagi.

8. Nominal

Jenama Muslim

AKRAM ABDALLAH

Akram Abdallah ialah pengasas kepada jenama aksesori terkemuka, Nominal. Produk yang ditawarkan begitu unik apabila memperkenalkan rangkaian aksesori minimalis estetika tipografi Arab.

Meskipun baru sahaja berusia lebih dua tahun dalam pasaran, namun, Nominal telah menjadi antara pemimpin dalam industri aksesori Arab.

Adat orang berniaga mahukan keuntungan berganda. Namun, Akram buktikan sebaliknya. Sejak bulan Februari tahun lalu, Nominal telah menjalankan kempen yang dikenali sebagai Deed of The Month.

Nominalx.com melaporkan, pada setiap bulan, pihaknya akan memilih beberapa item untuk dimasukkan sebagai koleksi bagi kempen berkenaan yang mana sebanyak 25 peratus daripada hasil jualannya disumbangkan kepada golongan memerlukan.

9. Austere Attire

Jenama Muslim

MARYA AYLOUSH

Jenama ini diasaskan oleh Marya Ayloush yang mengeluarkan koleksi fesyen dan aksesori berpusat di Los Angeles, California.

Siapa sangka perniagaan ini diusahakan oleh Marya ketika beliau masih menuntut di sekolah menengah lagi.

Namun, Austere Attire kini masih kekal sebagai kedai sehenti digital untuk fesyen sederhana, selain selendang dan aksesori hijab.

10. 786 Cosmetics

Jenama Muslim

IBRAHIM ALI (kiri) dan Iqra.

Terkenal dengan produk pengilat dan penjagaan kuku halal, jenama ini dicetuskan oleh pasangan suami isteri, Ibrahim Ali dan Iqra Isphahani pada penghujung tahun 2017.

Segalanya bermula apabila Ibrahim melihat ada jurang dalam industri kosmetik kepada wanita Muslim kerana sukar mendapatkan pilihan yang benar-benar halal.

Justeru, mereka tampil dengan produk pengilat kuku yang disesuaikan dengan kehendak Islam dan berkualiti. Selain itu, 786 Cosmetics turut mengeluarkan produk rawatan kuku yang diformulasi tanpa alkohol.

Kini, produk berkenaan telah menjangkau lebih 10 buah negara dan berkembang menjadi jenama yang diiktiraf dunia.

Rupanya ramai usahawan Muslim yang kreatif dan berbakat mengeluarkan produk masing-masing dan menjadi terkenal di beberapa negara.

Sumber: allure.com, hudabeauty.com, shop.farsali.com/, en.vogue.me, louellashop.com, havehalalwilltravel.com, noonbynoor.com, nominalx.com, 786.cosmetics.com, Pinterest, zombio.com & Instagram isphahani