Browsing Tag

Fesyen pelik

Fesyen pelik
Berita Semasa,

Fesyen pelik undang perhatian ramai akan dibakar api neraka

MEMAKAI fesyen pelik yang mengundang perhatian ramai tidak dibenarkan sama sekali dalam agama Islam.

Demikian peringatan yang dibuat oleh pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Perkara itu ada dinyatakan secara jelas dalam hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memakai pakaian yang pelik mengundang perhatian ramai (viral), pada hari kiamat ALLAH akan dipakaikan dia dengan pakaian yang sama, kemudian dimarakkan api neraka padanya.” (Hadis Riwayat Abu Daud – sanad hasan)

Baca juga Lelaki pakai baju kelawar wanita, ini bukan soal kelakar…tapi haram hukumnya berpakaian begitu

Dalam satu lagi riwayat lain, baginda bersabda: “Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia, ALLAH akan memakaikannya dengan pakaian kehinaan pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

PU SALMAN

Menjelaskan maksud pakaian syuhrah, ujar PU Salman, ia merupakan pakaian menyalahi adat yang dibenci kerana akan tular sehinggakan orang mengumpat mereka.

“Ketahuilah, pelakunya juga akan sama-sama mendapat dosa-dosa mengumpat sebagaimana dijelaskan dalam Kitab Mausuah Feqhiah Kuwaitiah.

“Bukan sahaja fesyen, tetapi ia termasuk juga dengan video pelik, nyanyian pelik, konten pelik dan apa sahaja yang pelik dan lapar perhatian juga termasuk dalam hadis ini,” tegasnya.

Sementara itu, memetik artikel yang disiarkan dalam portal muslim.or.id, antara adab berpakaian dalam Islam adalah tidak menyisihkan kebiasaan masyarakat setempat.

Baca juga Biasakan diri kita baca doa ketika sarungkan pakaian baharu, ini kelebihannya yang ramai tidak sedar…

Mudah kata, umat Islam perlu berusaha untuk memakai pakaian yang biasa digunakan oleh masyarakat selagi mana ia tidak melanggar syariat.

Walaupun dalam beberapa hadis sahih menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW gemar memakai gamis dan imamah ketika keluar rumah, tiada masalah jika kita tidak mengkutinya.

Fesyen pelik

TIADA pakaian khusus yang disyariatkan untuk orang Islam, tetapi mestilah menutup aurat, tidak bernajis, tidak menampakkan lekuk tubuh dan tidak memakai pakaian yang berlainan jantina.

Ini kerana tiada jenis pakaian khusus yang disyariatkan oleh ALLAH SWT untuk digunakan oleh Muslim.

“Yang ada adalah kaedah-kaedah dan tanda-tanda daripada ALLAH dan Rasul-NYA dalam berpakaian. Antaranya seperti menutup aurat, tidak bernajis, tidak menghiasi wanita, tidak menampakkan lekuk tubuh dan menyerupai jantina berlawanan serta selainnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal berkenaan.

Baca juga Berwuduk dalam keadaan tidak berpakaian, sah atau tidak?

Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin, seorang ulama era kontemporari yang faqih dalam bidang sains fiqh ketika ditanya tentang hukum memakai imamah, beliau menjelaskan: “Memakai imamah bukanlah sunnah. Bukan sunnah muakkadah ataupun sunnah ghayru muakkadah. Kerana Nabi Muhammad SAW dahulu memakainya dalam rangka mengikuti adat pakaian yang dikenakan orang setempat pada waktu itu. Oleh sebab itu, tidak ada satu huruf pun daripada hadis yang memerintahkannya. Maka memakai imamah termasuk perkara adat kebiasaan yang biasa dilakukan orang-orang.

“Seseorang memakainya dalam rangka supaya tidak terkeluar daripada kebiasaan orang setempat, sehingga kalau memakai selain imamah, pakaiannya malah menjadi pakaian syuhrah. Jika orang-orang setempat tidak biasa menggunakan imamah, maka jangan memakainya. Inilah pendapat yang rajih dalam masalah imamah.”

Baca juga Pakaian anak bernajis, boleh ke terus basuh guna mesin?

Meskipun demikian, andai pakaian yang menjadi kebiasaan masyarakat terdapat perlanggaran syariat, Muslim.or.id menegaskan, umat Islam tidak boleh mengikutinya sama sekali.

Fesyen pelik

JANGAN sesekali memakai fesyen pelik sehingga mengundang perhatian ramai.

“Sebaliknya mereka perlu menyisihkannya walaupun dipandang pelik ataupun menjadi perhatian,” katanya.

Renungkanlah hadis Rasulullah SAW ini: “Barang siapa yang mencari reda ALLAH saat manusia tidak suka, maka akan ALLAH cukupkan dia daripada beban manusia. Barang siapa yang mencari reda manusia namun ALLAH itu murka, maka ALLAH akan biarkan dia bergantung pada manusia.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Foto: Freepik