Browsing Tag

Faraid kepada ibu bapa

Faraid kepada ibu bapa
Faraid,

Faraid kepada ibu bapa, ihsan yang tidak bertepi

AGIHAN faraid kepada ibu bapa adalah ihsan yang berterusan daripada anak yang menemui ajal lebih awal daripada mereka. Hak mendapat faraid sentiasa terjamin kerana suatu pengiktirafan atas hubungan nasab yang sah, bersambung terus dengan si mati tanpa perantara.

Habuan faraid yang telah ditetapkan kepada ibu dan bapa merupakan sebahagian bentuk ihsan kepada mereka yang selalu diingatkan melalu frasa wa bil walidayni ihsana. Frasa tersebut diulang lima kali dalam al-Quran bagi menetapkan hukum wajib mentaati dan melindungi ibu bapa selagi kedua-duanya patuh kepada ALLAH SWT.

Bersyukurlah wahai ibu bapa yang masih mendapat habuan harta pusaka daripada anak yang meninggal awal sebelum mereka. Mudah-mudahan anak itu digolongkan sebagai anak soleh yang menjadi ‘pencen kubur’ kepada setiap ibu dan bapa.

Faraid kepada ibu

Bahagian faraid kepada ibu si mati terdiri daripada dua yang utama iaitu satu pertiga dan satu perenam. Satu pertiga diberi kepada ibu andai si mati tidak meninggalkan keturunan ke bawah (far’ warith) atau tidak meninggalkan lebih daripada seorang saudara lelaki atau perempuan sama ada adik-beradik kandung, sebapa atau seibu. Sementara itu, bahagian dikurangkan kepada satu perenam apabila syarat yang diperoleh berlawanan dengan situasi sebelumnya iaitu si mati meninggalkan keturunan ke bawah (far’ warith) atau mempunyai lebih seorang adik-beradik.

Baca juga Aidilfitri perkukuh silaturahim adik-beradik menerusi faraid

Perincian faraid kepada ibu digambarkan dalam contoh kes penyelesaian dalam jadual (1).

Jadual (1): Contoh kes bahagian faraid kepada ibu

Faraid kepada ibu bapa

Faraid kepada ibu bapa

Faraid kepada ibu bapa

Faraid kepada ibu bapa

Keempat-empat kes sebelum ini menunjukkan bahawa ibu si mati memperoleh faraid dengan kadar berbeza mengikut situasi. Dengan andaian setiap si mati meninggalkan harta pusaka bernilai RM3,000, maka ibu bagi keempat-empat kes memperoleh nilaian harta pusaka berbeza.

Bagi kes pertama, ibu memperoleh harta RM1,000,manakala kes kedua, ibu memperoleh RM500 iaitu 1/6 daripada harta si mati. Ibu bagi kes ketiga pula memperoleh RM1,000 dan ibu dalam kes keempat mendapat RM500.

Daripada pembahagian faraid tersebut juga menunjukkan ibu dalam hukum faraid hanya berstatus waris ashab al-furud iaitu waris yang hanya memperoleh bahagian tetap (pecahan yang telah ditentukan). Seorang ibu tidak mungkin mendapat pusaka anaknya yang meninggal dunia secara lebihan baki atau sebagai waris ‘asabah.

Faraid kepada bapa

Bahagian bapa dalam faraid meliputi tiga bahagian iaitu mendapat satu perenam secara tetap sahaja, mendapat lebihan baki (‘asabah) sahaja atau mendapat secara dua kombinasi iaitu satu perenam dan ‘asabah secara serentak.

Kepelbagaian bahagian faraid bapa menunjukkan tanggungjawab yang besar sebagai seorang ayah dalam keluarga. Peranan sebagai wali, pelindung dan penjaga anak-anak memberi keistimewaan sehingga melayakkan mereka dijamin dalam agihan faraid. Status bapa yang unik ini juga boleh mendinding adik-beradik si mati daripada memperoleh harta pusaka.

Baca juga Harta pusaka seringkali menjadi pendebatan oleh ahli waris si mati. Berikut antara inti pati yang kita wajib tahu

Bapa mendapat satu perenam jika si mati meninggalkan keturunan lelaki dan ke bawah (merupakan cucu atau cicit ke bawah kepada bapa tersebut). Bahagian bapa secara lebihan baki (‘asabah) pula diperoleh apabila anaknya yang meninggal dunia tidak meninggalkan zuriat sama ada lelaki atau perempuan. Dua kombinasi iaitu satu perenam dan ‘asabah secara serentak akan diberi kepada bapa sekiranya si mati meninggalkan zuriat perempuan.

Perincian bahagian faraid kepada bapa ini ditunjukkan dalam jadual (2).

Jadual (2): Contoh kes faraid kepada bapa.

Faraid kepada ibu bapa

Faraid kepada ibu bapa

Faraid kepada ibu bapa

Ketiga-tiga kes itu menunjukkan bahawa bahagian faraid kepada bapa adalah berbeza-beza. Dalam kes pertama, bapa merupakan waris tunggal iaitu si mati tidak meninggalkan zuriat.

Oleh itu, kesemua bahagian faraid diperoleh bapa tersebut. Bapa dalam kes kedua layak memperoleh 1/6 sahaja kerana si mati ada anak lelaki. Keunikan diberikan dalam kes ketiga iaitu bapa mendapat faraid melalui dua cara kerana si mati meninggalkan anak perempuan. Bapa dalam kes ketiga mendapat faraid 1/6 (menyamai 1/6) dan secara ‘asabah (menyamai 2/6). Oleh itu bahagian bapa dalam kes ketiga berjumlah 3/6.

Perlu difahami tanggungjawab besar yang dipikul bapa dalam kes kedua dan ketiga kerana mengambil alih peranan anaknya yang telah meninggal dunia. Status bapa dalam kedua-dua kes ialah menjadi datuk kepada zuriat si mati. Persis bapa, seorang datuk adalah wali yang bertanggungjawab menjadi pelindung kepada cucunya.

***Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Zahari Mahad Musa

Foto: 123rf & Freepik