Browsing Tag

enakmen kesalahan jenayah syariah

Jenayah agama
Isu,

Jenayah Agama Di Alam Siber Semakin Membimbangkan, Ini Syor Pengamal Undang-Undang

Teks & Foto BERNAMA

PADA era milenial yang serba maju, penggunaan media sosial menjadi begitu signifikan sebagai platform berkongsi maklumat dan menyebarkan perkara yang positif.

Namun, entah di mana silapnya, terdapat segelintir individu yang menyalahgunakan medium tersebut untuk melakukan jenayah termasuklah kesalahan berkaitan agama.

Antaranya seperti menghina junjungan besar Nabi Muhammad SAW, memperkecilkan Islam, menyebar dakyah ajaran sesat, memuat naik dan turun bahan pornografi termasuk mengaib dan memalukan orang lain secara terbuka.

Tambah menyedihkan apabila pelakunya itu seorang yang beragama Islam.

Ia sebagaimana kes yang dilaporkan pada bulan Mac lalu yang menyaksikan seorang penganggur didenda RM10,000 atau denda 12 bulan penjara oleh mahkamah sesyen di ibu negara.

Individu tersebut didakwa memuat naik hantaran bersifat jelik menghina baginda dan Islam.

Jenayah agama


BUKAN sekadar menjaga pertuturan, tetapi umat Islam juga perlu memelihara jari-jemari daripada melakukan jenayah yang menyalahi syariat di media sosial.

Malangnya, sehingga kini, peruntukan jenayah di alam siber menggunakan media elektronik tidak dimasukkan ke dalam bidang kuasa mahkamah syariah.

Hakikatnya jika diteliti semula, semua contoh yang dinyatakan tadi jelas sekali menyimpang daripada tuntutan agama.

Firman ALLAH SWT: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).“ (Surah Qaf, ayat 18)

Berdasarkan kalamullah berkenaan, Islam mengajar umatnya agar berlumba-lumba melakukan kebaikan dan meninggalkan perkara yang buruk. Ini kerana setiap perbuatan yang dilakukan akan dicatit untuk perhitungan di akhirat kelak.

Justeru, adakah wajar jenayah media sosial yang berkaitan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah? Apakah perkara yang perlu dilakukan bagi membendung kemelut itu?

Baca juga Menghina Islam di Media Sosial, 11 Remaja Lain Pula Dijatuhkan Hukuman

Tiada tapisan

Ketika dilontarkan pertanyaan itu, peguam syarie, Ahmad Jailani Abdul Ghani berpendapat, jenayah berkaitan agama wajar diletakkan di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

AHMAD JAILANI

Ia bagi memastikan keadilan dapat dicapai berdasarkan perspektif syariah supaya jenayah tersebut dapat dibendung atau dikawal daripada terus berleluasa.

“Jenayah berkaitan agama terutama yang melibatkan dalam talian perlu dipandang serius berikutan terdapat kes yang dilihat belum diambil tindakan oleh penguatkuasa agama disebabkan faktor kekurangan tenaga kerja,“ katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ujar beliau, terlalu banyak perbuatan jenayah syariah dalam talian yang dilakukan.

Sebagai contoh, menyebarkan berita palsu, mencerca patung-patung agama bukan Islam, menulis komen jelik dengan cara mertertawakan bentuk ibadah dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, penyebaran ajaran sesat atau doktrin yang bertentangan dengan akidah Islam juga berlaku dalam talian, selain kandungan elektronik yang mengubah dan menokok tambah asas ibadah dalam agama.

“Tidak ketinggalan juga terdapat banyak status dan komentar dalam media sosial yang dikhuatiri akan membawa perkara yang menyesatkan dan mengkafirkan sesama Islam tanpa bukti yang benar.

“Semua bentuk kesalahan itu sewenang-wenangnya dilakukan individu tidak bertanggungjawab kerana pemilik sesebuah akaun tidak perlu melalui sebarang proses tapisan.

“Apa sahaja yang ingin dikongsikan sama ada tulisan, gambar, video dan seumpamanya, mereka boleh terus hantar dan pada detik yang sama bahan tersebut dapat diakses oleh pengguna internet seluruh dunia,“ ujarnya.

Justeru, pihak berkuasa agama perlu bertindak tegas dalam hal berkenaan, sarannya.

Baca juga Manfaat Teknologi Siber, Perkukuhkan Hubungan Kekeluargaan

Hak autonomi

Setakat ini, Ahmad Jailani berkata, beliau difahamkan masih belum ada negeri di Malaysia yang meluluskan Enakmen Undang-Undang Syariah khusus berkaitan kesalahan secara elektronik.

Jenayah agama

PELIHARA diri daripada menaip sesuatu yang boleh menjebakkan kita ke lembah kebinasaan.

“Sudah sepatutnya langkah lebih proaktif dilakukan untuk menggubal enakmen undang-undang berkaitan.

“Pada masa sama, siri latihan profesional kepada semua anggota dan pegawai serbuan, tangkapan, siasatan dan pendakwaan perlu dibuat secara lebih serius,“ tegasnya.

Kepada satu soalan, beliau menjawab: “Malaysia mempunyai dwisistem perundangan dan kehakiman iaitu sivil dan syariah. Keunikan sistem tersebut adalah perundangan dan kehakiman sivil berada dalam bidang kuasa Persekutuan, manakala perundangan dan kehakiman syariah berada dalam bidang kuasa negeri.

“Ada baiknya jikalau sebahagian daripada jenayah syariah secara dalam talian ini diuruskan di mahkamah sivil dengan menggunakan undang-undang sivil.

“Ini disebabkan terdapat pesalah yang bukan beragama Islam. Kelompok ini tidak boleh didakwa dan dibicarakan mengikut undang-undang syariah kerana mahkamah syariah tidak diberi bidang kuasa untuk membicarakan tertuduh yang bukan beragama Islam.

“Sebagai contoh, penghinaan terhadap agama Islam, tetapi dilakukan oleh orang bukan Islam. Malaysia mempunyai undang-undang yang cukup untuk mengenakan tindakan terhadap pesalah seperti ini khususnya berdasarkan kepada undang-undang sivil seperti Kanun Keseksaan, Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Kanun Tatacara Jenayah,“ katanya.

Menyambung hujah, Ahmad Jailani menjelaskan, memperkasakan undang-undang dan mahkamah syariah untuk menangani kes kesalahan jenayah agama dalam talian khususnya bagi penjenayah beragama Islam sangat signifikan.

“Berbanding dengan undang-undang sivil, usaha ini agak ketinggalan. Ini disebabkan bidang kuasa undang-undang syariah sebagai undang-undang negeri tidak berpusat sebagaimana undang-undang Persekutuan.

“Setiap negeri memiliki hak autonomi mereka masing-masing yang wajib dihormati,“ ungkapnya.

Kaji semula enakmen

Sementara itu, peguam syarie, Ahmad Munawir Abdul Aziz berkata, pihak Majlis Agama Islam Negeri yang bertanggungjawab mentadbir hal ehwal agama negeri masing-masing perlu mengkaji semula Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

AHMAD MUNAWIR

Begitu juga dengan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah dan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah yang perlu dikaji dan digubal semula. Ia merupakan usaha untuk mengemas kini undang-undang dengan perkembangan semasa, terangnya.

“Dengan bantuan dan kerjasama Pejabat Pendakwa Raya dan Peguam Negara serta pakar perundangan Islam di negara ini, satu kajian semula perundangan Islam yang berkaitan dengan kesalahan jenayah syariah dalam talian dapat dicapai.

“Antara lain, satu kajian semula dan rombakan atau pindaan kepada undang-undang sedia ada termasuk akta/enakmen tatacara jenayah syariah yang memperuntukkan prosedur jenayah dalam kes jenayah atau dalam akta/enakmen keterangan syariah yang menyediakan undang-undang berkaitan keterangan dalam perundangan syariah di mahkamah perlu dikaji dalam usaha memartabatkan pentadbiran agama Islam di negara ini,“ katanya.

Ahmad Munawir yang juga Peguambela & Penguamcara Mahkamah Tinggi Malaya berkata, perkara sama dibuat dalam undang-undang jenayah sivil dengan mengemaskinikan Kanun Tata Cara Jenayah dan Akta Keterangan 1950.

“Undang-undang itu digubal oleh pihak kerajaan Persekutuan dalam usaha berdepan dengan perubahan masa dan aktiviti jenayah yang semakin berleluasa di alam maya,“ jelasnya.

Jenayah agama


PIHAK berkuasa berkaitan perlu diberikan autoriti untuk mengambil tindakan dan menangkap pesalah jenayah syariah.

Mengulas lanjut tentang penguatkuasaan jenayah dalam talian berkaitan agama, pengamal undang-undang itu berpandangan, mahkamah syariah bukannya badan yang bertanggungjawab dalam menguatkuasakan jenayah syariah yang dilakukan di alam siber.

“Sebaliknya yang memiliki kuasa dalam menangani masalah ini adalah Jabatan Ketua Pendakwa Syarie atau Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing yang bertanggungjawab dan diberi kuasa penuh dalam membawa sesuatu kes untuk didakwa dan diadili oleh mahkamah syariah sebagai badan pengadilan,“ ungkapnya.

Secara umumnya, jelas beliau, jenayah siber itu adalah lebih luas dan merangkumi kesalahan khusus di bawah Akta Multimedia dan/atau Kanun Keseksaan jika sesuatu kesalahan tersebut jatuh dalam kesalahan di bawah akta-akta tersebut.

Foto: Bernama, Pexels & Unsplash