Browsing Tag

eksploitasi kucing

Kucing
Isu,

Jangan eksploitasi kucing demi kepentingan peribadi

PENGANIAYAAN kucing bukan sekadar mengabaikan keperluannya ataupun mendera haiwan comel itu. Ia juga berlaku dalam bentuk pengeksploitasian.

Ada pihak tidak bertanggungjawab misalnya sengaja membela si bulus yang sakit dan memohon bantuan orang ramai untuk mengubatinya.

Lantaran itu, Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati dengan taktik penipuan sebegitu.

“Individu berkenaan mempergunakan kucing untuk tujuan peribadi. Malah, adakalanya haiwan itu mati tanpa sempat dirawat, kemudian mereka kembali membela kucing sakit lagi.

“Sedangkan, kucing tidak boleh banyak ‘disimpan’ di rumah, ia bukan barang antik.

KHALID

“Andai benar pihak tersebut mengusahakan tempat perlindungan kucing, sudah tentu mereka akan berikan si manja itu kepada pihak lain untuk dijaga. Ini kerana kucing juga seperti manusia, perlu kasih sayang dan tuan, bukan dikurung sehingga ratusan ekor,” katanya.

Baca juga Tidak boleh sakiti haiwan. Jika membela, penuhi hak beri makan, minum dan rehat

Bukan sekadar beri makan

Bagi memastikan orang ramai tidak mudah terpedaya, Khalid berkongsi tip mengenainya. Caranya adalah dengan menyiasat laman sosial seperti Facebook pihak berkaitan.

“Jika dalam Facebook, mereka kerap buat adopsi (mencari tuan baharu kucing) di mana-mana lokasi seperti pusat beli-belah, maknanya mereka tidak menipu. Jika sebaliknya atau membuat adopsi hanya sekali, fikirkanlah semula untuk menderma,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya turut terlibat dalam agihan bantuan makanan kucing hasil bantuan syarikat dan orang ramai kepada mangsa terjejas banjir di Kota Bharu, Kelantan pada Ahad ini.

Baca juga Makanan digigit kucing, boleh dimakan atau perlu dibuang?

Kepada mereka yang beranggapan mudah untuk membela kucing, boleh nyahkan jauh-jauh tanggapan sebegitu.

Ia bukan sekadar memberi makanan, minuman dan tempat tinggal tetapi juga keperluan lain, ungkapnya.

Jelas beliau, paling penting seseorang itu perlu mempunyai bajet kewangan dan pengetahuan mengurus haiwan berkenaan.

“Selain itu, pastikan kucing divaksin dan dimandulkan, juga aspek kebersihan serta ubatan yang perlu dijaga.

Eksploitasi kucing

BELALAH haiwan peliharaan mengikut kemampuan, bukannya kerana keinginan peribadi. -FOTO: FREEPIK

“Belalah haiwan mengikut kemampuan kita, bukan kerana nafsu peribadi. Lebih baik ia bebas di luar daripada membiarkan makanannya bercatu, dikurung dan tiada ubat,” katanya.

Mengulas kes penganiayaan kucing sehingga terdapat kes kematian akibat dicampak dari bangunan tinggi, Khalid menegaskan, sewajarnya sebagai manusia dikurniakan akal sempurna tidak bertindak sedemikian rupa.

“Binatang itu tidak tahu apa-apa dan sepatutnya disayangi dan bukannya diseksa. Negara kita mempunyai undang-undang dan akta cukup untuk mendakwa mereka yang menindas haiwan comel ini.

Baca juga Tidak boleh sakiti haiwan. Jika membela, penuhi hak beri makan, minum dan rehat

“Kepada ibu bapa, didiklah anak-anak supaya menyayangi dan berlaku ihsan kepada haiwan,” titipnya.

***Foto: Freepik