Browsing Tag

ekspatriat

2778471-690217138
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Arab Saudi Tamatkan Larangan Masuk Ekspatriat Dari 20 Negara

no comment

SEMALAM Arab Saudi telah menamatkan larangan masuk kepada ekspatriat dari 20 negara yang pernah dibuat sejak Februari lalu untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Agensi Kementerian Luar Negeri untuk urusan konsular mengatakan keputusan itu hanya bagi ekspatriat yang sudah diberikan vaksin sepenuhnya di Arab Saudi sebelum mereka berangkat ke negara asal.

Larangan tersebut dikecualikan kepada warga Saudi, diplomat asing, pengamal kesihatan dan keluarga mereka yang ingin keluar dan masuk ke Arab Saudi.

Pelancong asing yang lengkap dos vaksin juga diberi kebenaran memasuki Arab Saudi. Gambar: Gulf News

Pengumuman itu dibuat ketika Arab Saudi mencatatkan tujuh kematian berkaitan COVID-19 baharu semalam dengan peningkatan jumlah kematian sebanyak 8,497 orang.

Ekspatriat yang ingin kembali ke Arab Saudi harus menjalani semua prosedur kesihatan untuk memastikan mereka bebas daripada jangkitan, kata Agensi itu.

Larangan masuk sebelum ini dikenakan kerana lonjakan global dalam kes yang berkaitan dengan varian yang dikesan di England, Afrika Selatan dan Brazil. Ia berikutan kebimbangan disebabkan pemberian vaksin yang diedarkan ke seluruh dunia mungkin kurang berkesan terhadapnya.

Antara negara yang ditamatkan larangan itu seperti UAE, Mesir, Lubnan, Turki, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Perancis, Itali, Ireland, Portugal, Switzerland, Sweden, Brazil, Argentina, Afrika Selatan, India, Indonesia, Pakistan dan Jepun.

Penamatan larangan itu juga berlaku untuk pelancong yang telah melalui 20 negara dalam 14 hari sebelum kunjungan ke negara itu.

Para pegawai kesihatan Arab Saudi juga memperingatkan bahawa langkah-langkah yang lebih ketat akan dilaksanakan untuk mengekang penyebaran virus tersebut jika masyarakat terus melanggar peraturan mengenai jarak sosial dan larangan mengadakan perjumpaan besar.

Penerbangan masuk dan keluar negara itu dilaksanakan kali pertama sejak 14 Mac 2020, dua minggu setelah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa coronavirus adalah wabak yang merbahaya.

Kementerian Kesihatan mengesahkan 353 kes baharu yang dilaporkan kepada kerajaan dalam tempoh 24 jam sebelumnya menjadikan kes keseluruhan sebanyak 542,707 orang kini dijangkiti wabak itu.

Daripada jumlah kes tersebut, 4,377 masih aktif dan 1,108 dalam keadaan kritikal.

Menurut kementerian, jumlah kes tertinggi dicatat di ibu kota Riyadh dengan 72 kes, diikuti Makkah dengan 66, Provinsi Timur dengan 41, Jazan 34 dan Asir 30 kes.

Kementerian kesihatan juga mengumumkan bahawa 456 pesakit telah pulih daripada Covid-19, menjadikan jumlah pemulihan negara itu sebanyak 529,833 kes.

Lebih daripada 34.46 juta dos vaksin coronavirus telah diberikan Arab Saudi hingga kini melalui 587 pusat pemberian vaksin.

Kementerian menyeru kepada masyarakat untuk mendaftar dengan aplikasi Sehhaty untuk menerima vaksin dan mematuhi langkah-langkah dan mematuhi arahan.

Sementara itu, sekitar 40 orang ditangkap di Hail kerana melanggar tindakan pencegahan yang menetapkan tidak lebih daripada 20 orang dapat berkumpul pada satu masa. Tindakan undang-undang telah diambil terhadap mereka.

Wabak itu telah menjangkiti lebih 213 juta orang di seluruh dunia dan jumlah kematian mencapai sekitar 4.45 juta orang.

Sumber: Arab News