Browsing Tag

Duyufurrahman

Duyufurrahman
Berita Semasa,

137 ‘duyufurrahman’ hayati ibadah umrah dengan nilai syukur dan sujud daripada Surah al-Insan

137 ‘duyufurrahman’ hayati ibadah umrah dengan nilai syukur dan sujud daripada Surah al-Insan

SERAMAI 137 peserta duyufurrahman Umrah Legasi 2 Kota menghayati ibadah umrah dengan membawa nilai syukur dan sujud daripada Surah al-Insan, dengan tema ‘Memanusiakan Ummah’ sebagai tema perjalanan kerohanian pada 28 Februari hingga 10 Mac lalu.

Program umrah anjuran Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd (ASISB) dengan kerjasama Hi-Fly Travel Tours Sdn Bhd mengangkat Surah ke-76 yang menjadi surah pilihan bagi World #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) pada 22 Ramadan 1444H bersamaan 13 April ini.

Baca juga Surah al-Insan penawar sifat manusia yang mudah lupa diri

Pengerusi ASISB, Fazrul Ismail berkata jemaah melihat legasi yang dibina oleh Nabi Ibrahim AS di Makkah dan dikembangkan oleh Nabi Muhammad SAW di Madinah. Mereka membina legasi keluarga dalam mewujudkan insan bersyukur dan bersabar yang ditinggalkan di Makkah dan Madinah.

FAZRUL

“Inilah yang perlu diberi perhatian oleh semua jemaah bahawa setiap kehidupan ada ujian dan cabaran. Jika ia diuruskan dengan syukur dan sabar, kita akan mencapai misi dan menjadi legasi.

“Legasi adalah satu perjuangan misi membina insan berjiwa hamba kepada Tuhannya. Jika tiada misi tersebut, akhirnya dia menjadi manusia autopilot yang hanya makan tidur.

“Jika orang Islam itu solat tetapi tidak faham, maka dia tidak menjiwai syukur dan sabar. Perlu ditekankan solat bukanlah tujuan, tetapi ia merupakan medium untuk membina syukur dan sabar,” katanya.

Tambahnya, kehidupan adalah sekitar solat, bukan solat sekitar kehidupan. Perkara tersebut perlu difokuskan agar sekembali daripada umrah, mereka dapat mencapai objektif dengan menjadikan tabiat yang penuh kesedaran. Ini bermaksud, solat menjadikan seseorang itu semakin bersyukur, bersabar dan tidak pentingkan diri sendiri.

“Pihak ASISB menyasarkan lebih banyak organisasi selain individu dan keluarga kepada umrah yang bermodul dan memfokuskan Legasi 2 Kota pada masa akan datang. Harapan saya agar jemaah terus melihat diri sendiri ke dalam kerangka al-Quran ketika dalam perjalanan ini,” katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Hi-Fly Travel & Tours Sdn Bhd, Ustaz Mohd Shazmizan Shahrom berkata, jemaah ditempatkan di hotel berdekatan dengan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dengan jarak kurang 100 meter.

USTAZ MOHD SHAZMIZAN

“Perjalanan rohani jemaah yang bermula di Tanah Suci Kota Suci Makkah, Taif dan Madinah meninggalkan kesan yang mendalam untuk menjadi hamba ALLAH yang bersyukur dan bersabar serta menyantuni orang di sekeliling kita.

“Perbetulkan niat ibadah umrah kerana ALLAH SWT. Syarat diterima ibadah ada dua perkara iaitu ikhlas dan niat ikut sunnah Rasulullah SAW,” ujar beliau.

Para jemaah umrah berpeluang bersedekah dan infak melalui pengurusan pihak Hi-Fly kepada golongan sabil di Kota Suci Makkah, selain wakaf al-Quran dan kerusi. Selain itu, para jemaah berpeluang menziarahi pelbagai lokasi yang bersejarah seperti Jabal Uhud, Jabal Rahmah, Jabal Nur, Masjid Quba, Masjid Hudaibiah, ladang kurma, Taif, Muzdalifah, Mina, Perkuburan Baqi’ dan Muzium Haramain.

Layari facebook : akademisinergi untuk info lanjut program ASISB.

***Artikel & Foto oleh Fouziah Amir