Browsing Tag

dunia akademik

Menumpang nama
Isu,

Menumpang nama suatu jenayah akademik, ini sebab-sebabnya

JENAYAH menumpang nama paling kurang disebut dalam dunia akademik berbanding dua yang lain iaitu plagiarisme dan pelanggaran hak cipta (harta intelek).

Dalam Bahasa Inggeris ia disebut free-riderism. Saya istilahkannya sebagai Boncengan Gratis. Boncengan bererti menumpang. Gratis (bahasa Indonesia) bererti percuma. Maknanya, ‘menumpang dengan percuma’. Dua kalimah ini wujud dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

Istilah Boncengan Gratis ini saya perkenalkan melalui tulisan di sebuah akhbar harian pada 4 Julai 2011, sempena Majlis Kongres Profesor Negara 2011. Istilah ini juga diterimapakai oleh Universiti Sains Malaysia.

Baca juga Haram berbohong, kecuali dalam 3 keadaan ini 

Boncengan Gratis dianggap jenayah kerana seseorang – tidak kira pensyarah, pelajar atau sesiapa sahaja – menumpang namanya dalam hasil akademik sedangkan mereka tidak menyumbang apa-apa. Ia adalah pembohongan dan satu kesalahan. Sepatutnya nama dalam hasil akademik menggambarkan bahawa orang itu sama-sama bertungkus-lumus menghasilkan karya.

Menumpang nama

BERSUNGGUH-SUNGGUHLAH dalam melakukan apa jua pekerjaan termasuk dalam hasil akademik dan memberikan sumbangan sehabis baik dalam menyiapkan sesebuah karya ciptaan sendiri mahupun secara berkumpulan. -Gambar hiasan

Tanda kemunafikan

Dalam Islam, pembohongan adalah salah satu sifat orang munafik. Rasulullah SAW bersabda: “Tanda orang munafik ada tiga: berkata bohong, ingkar janji, dan mengkhianati amanah.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalau pun seseorang itu ada sumbangan menghasilkan kerja akademik tersebut, sumbangan itu juga perlu dilihat bentuknya. Kalau setakat memberikan wang daripada geran penyelidikan dan membekalkan bahan-bahan kimia untuk penyelidikan, itu tidak cukup.

Sebaliknya, setiap orang yang ada nama dalam hasil akademik tersebut mesti terlibat secara kolektif dalam proses penghasilannya.

Baca juga Jangan terjebak dengan sifat munafik, besar azab menanti.

Pertamanya, mereka mesti terlibat secara bersama dalam membina protokol atau struktur hasil akademik tersebut.

Kedua, mereka terlibat dalam pembahagian tugas dan menjalankan tugas masing-masing. Ketiga, mereka menyemak hasil penulisan secara bersama.

Manakala keempat, apabila ada komen dan saranan daripada penilai untuk memperkemaskan hasil akademik mereka itu, mereka lakukannya secara bersama. Bagaimanapun, prosedur di atas tidak diikuti oleh pengamal Boncengan Gratis.

Kenapa berlaku demikian?

Pertamanya, Boncengan Gratis seakan menjadi amalan biasa yang diterima umum sebagai bukan satu kesalahan. Malah sebahagian mereka menganggap ia satu budaya akademik yang biasa.

Menumpang nama

GOLONGAN pelajar dan pensyarah terdedah kepada amalan Boncengan Gratis.

Kedua, pihak autoriti sesetengah universiti tidak memandang serius perkara ini, apatah lagi mempunyai garis-panduan dan penalti yang jelas. Secara relatifnya, amalan ini tidak diberikan perhatian sepertimana mereka memberikan perhatian serius kepada plagiarisme dan pelanggaran hak cipta.

Baca juga Rasulullah SAW ikon guru terbaik, berjaya tetapkan piawaian pendidikan ideal sejak 1,000 tahun lalu

Ketiga, pensyarah sendiri mengambil jalan mudah melakukan amalan ini untuk mengumpul kredit (Indeks Prestasi Utama, KPI) bagi kenaikan pangkat dan anugerah berkaitan. Amalan begini mula berleluasa apabila sistem ranking dijadikan ukuran dominasi kecemerlangan universiti, dan Indeks Prestasi Utama pensyarah seperti penyelidikan dan penerbitan menjadi kriteria utama dalam penetapan ranking ini.

Keempat, pelajar memasukkan nama pensyarah kerana berpandangan itu satu keperluan atau menggunakan nama pensyarah yang sudah terkenal untuk memudahkan hasil akademik diterima untuk diterbitkan.

“Saya bimbang jika amalan ini berleluasa, institusi-institusi pengajian kita tidak lagi dikurniakan ALLAH SWT barakah dan rahmah, bahkan tidak mampu melahirkan para sarjana beriman lagi bertakwa, yang menyumbang kepada pembangunan agama, negara dan ummah,” ujarnya.

***Artikel ditulis oleh Prof Muhammad Syukri Salleh, Profesor Kehormat di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia

Foto: Unsplash & 123rf