Browsing Tag

Duduk

Tunaikan solat fardu dua kali
Ibadah,

Tertinggal tahiyat awal, perlu duduk semula atau terus berdiri?

WALAUPUN seseorang itu tertinggal tahiyat awal, namun ia tidaklah sampai membatalkan solat seseorang.

Ini kerana ia merupakan sunat ab’adh dalam ibadah berkenaan. Boleh sahaja kita melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Bagaimanapun dalam satu situasi, mungkin ada orang tercicir untuk melakukan tahiyat awal. Namun, tiba-tiba sahaja dia teringat untuk melakukannya sebelum dirinya sempat berdiri, lalu kembali duduk untuk mengerjakannya.

Bagaimanakah status solat individu berkenaan? Adakah ia dikira menjejaskan kesempurnaan solatnya?

Menjawab persoalan itu, Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, individu tersebut boleh duduk semula untuk melakukan tahiyat awal.

USTAZ MUHAMMAD FAHMI

Beliau berhujah dengan pandangan yang dinukilkan oleh Syaikh Nawawi Banten yang menyatakan: “Adapun jika seseorang itu kembali kepada tasyahud awal sebelum dia berdiri tegak, maka ini tidak memudaratkan (tidak membatalkan solat). Kerana dia belum masuk ke dalam yang wajib (berdiri tegak). Bahkan dia disunatkan untuk kembali duduk tasyahud.” (Rujuk Sullam al-Munajaah Syarah Safinah al-Solah)

Baca juga Apa nak buat kalau makmum terkentut pada tahiyat akhir solat Jumaat, adakah perlu solat Zuhur?

Begitupun, situasi berbeza andai seseorang sudah bangkit untuk meneruskan rakaat seterusnya, tetapi kemudian baru tersedar tentang tahiyat awal menyebabkan dia duduk semula.

Dalam keadaan itu, pendakwah tersebut menegaskan, keadaan berkenaan tidak dibolehkan kerana ia merupakan antara perkara yang membatalkan solat.

“Antara perkara yang membuatkan solat batal adalah disebabkan seseorang meninggalkan yang wajib untuk berpatah balik kepada yang sunat secara sengaja. Demikian fakta yang terkandung dalam kitab Safinah al-Solah.

Baca juga Terasa seperti terkentut tapi ragu, perhatikan dua perkara ini sebelum membatalkan solat

“Mudah kata, ia membatalkan solat seseorang sekiranya dia sengaja melakukannya dan tahu hukum,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapannya di Twitter miliknya.

Sewajarnya, jelas Ustaz Muhammad Fahmi, individu berkenaan sepatutnya kekal berkeadaan qiam sedemikian pada rakaat ketiga dan meneruskan solatnya.

Tahiyat awal

ANDAI seseorang sudah bangkit untuk meneruskan rakaat seterusnya dan kemudian baru teringat dirinya terlupa tahiyat awal dan duduk semula, jangan berbuat demikian kerana ia boleh membatalkan solat. -Foto: Pexels

“Cuma sebelum salam, disunatkan pada dirinya untuk melakukan sujud sahwi,” terangnya panjang lebar.

Bagi mereka yang mendirikan solat berjemaah pula, laman web Media Permata mengingatkan agar makmum jangan duduk menunggu imam dengan andaian bahawa ‘ketua solat’ mereka akan duduk kembali untuk mengerjakan tahiyat awal yang tertinggal.

Sebaliknya, mereka wajib bangkit mengikut imam untuk melakukan qiam.

Baca juga Elakkan lipat pakaian ketika tunaikan solat, ini sebab-sebabnya

“Ini kerana perbuatan seumpama itu akan membatalkan solat makmum tersebut kerana melakukan perilaku yang sangat bersalahan (fahsy al-mukhalafah) dengan perbuatan imam.

“Andai makmum tersebut tetap sahaja sengaja menunggu imam dengan andaian bahawa imam akan kembali duduk mengerjakan tahiyat awal, sedangkan dirinya mengetahui bahawa perbuatannya itu akan membatalkan solatnya, maka batallah sembahyangnya jika tidak berniat mufaraqah (berpisah daripada imam).

“Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haithami Rahimahullah, dalam perkara seumpama ini (imam terlupa atau sengaja meninggalkan tahiyat awal), mufaraqah daripada imam itu adalah lebih utama,” katanya sebagaimana dipetik menerusi mediapermata.com.bn.

Andai kata, imam tadi sudah bangkit dan sempurna mengerjakan qiam pada rakaat seterusnya selepas meninggalkan tahiyat awal, lalu dia duduk kembali sebelum makmum mula bangkit untuk berdiri, maka haram bagi para jemaah untuk duduk mengerjakan tahiyat awal bersama ‘pemimpin solat’ tadi.

Tahiyat awal

BAGI mereka yang mendirikan solat berjemaah pula, jika imam terlupa tasyahud awal, makmum jangan duduk menunggu imam dengan andaian bahawa ‘ketua solat’ mereka akan duduk kembali bagi mengerjakan tahiyat awal yang tertinggal.-Foto: 123rf

Baca juga Makmum jangan mendahului imam bila solat berjemaah

“Ketahuilah, wajib ke atas makmum untuk bangkit serta-merta bagi mengerjakan qiam kerana ia wajib ke atas mereka dengan bangkitnya imam itu tadi untuk mengerjakan qiam.

“Jika berlaku perkara seumpama ini, mufaraqah adalah lebih utama daripada menunggu imam tersebut dalam qiam,” ungkapnya.

Tahiyatul Masjid duduk
Ibadah,

Bolehkah solat Tahiyatul Masjid walaupun telah duduk?

Bolehkah solat Tahiyatul Masjid walaupun telah duduk?

APABILA berkunjung ke rumah sesiapa pun, pastinya kita akan memberi salam kepada penghuninya terlebih dahulu sebagai tanda hormat. Tidak boleh terus meluru masuk sahaja, itu biadab namanya.

Jika dengan orang biasa pun ada adab tertentu yang perlu dipatuhi, apatah lagi ketika melawat rumah ALLAH SWT.

Baca juga Laksanakan solat sunat Tahiyyatul Masjid sebagai tanda memuliakan rumah ALLAH

Rasulullah SAW pernah bersabda, sesiapa yang memasuki masjid perlu mengerjakan solat sunat Tahiyatul Masjid terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa.

Maksudnya: “Apabila salah seorang dari kamu memasuki masjid, maka janganlah dia duduk sehingga menunaikan solat dua rakaat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Justeru, kita disunatkan mendirikan solat sunat tersebut sebagai tanda menghormati dan memuliakan masjid sebagai rumah ibadah untuk ALLAH SWT.

Turut disyorkan Islam tidak benarkan memasang pembesar suara masjid dengan kuat di luar waktu solat

Tahiyatul Masjid duduk

RATA-rata ulama berpendapat bahawa setiap umat Islam yang memasuki masjid disyariatkan menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid. Foto: Pexels

Orang yang perlu solat Tahiyatul Masjid

Mengulas tentang solat sunat Tahiyyatul Masjid, terdapat ulama berpendapat bahawa bahawa ibadah itu disyariatkan kepada mana-mana umat Islam yang masuk ke dalam masjid.

Sebahagian ulama pula berpandangan bahawa arahan berkenaan hanya melibatkan orang yang ingin masuk dan duduk di dalam masjid sahaja. Namun, bagi orang yang ingin masuk sebentar tanpa niat untuk duduk, mereka dikira tidak termasuk dalam tuntutan itu.

Baca juga Solat sunat wuduk, antara amalan ahli syurga

Tahiyatul Masjid duduk

SELEPAS memasuki masjid, umat Islam disarankan menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid terlebih dahulu sebelum menegur jemaah lain mahupun melabuhkan punggung ke lantai. Foto: Unsplash

Baca juga Amalan sunat berbaring sebentar selepas menunaikan solat sunat fajar

Namun begitu, bagaimana pula jika seseorang itu masuk ke dalam masjid kemudian telah duduk kerana terlupa mendirikan solat sunat dua rakaat terlebih dahulu? Adakah dia boleh menunaikan semula solat sunat Tahiyatul Masjid?

Jawapannya, dia masih boleh menunaikan ibadah tersebut selagi tempoh masa antara dia duduk dan bangun semula itu sebentar sahaja.

Hal itu disandarkan kepada satu kisah yang berlaku pada sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Sulaik al-Ghatafani. Beliau hadir ke masjid pada hari Jumaat, lalu terus duduk.

Rasulullah SAW lantas menyuruhnya bangun dan mengerjakan solat sunat Tahiyyatul Masjid.

DIRIKANLAH solat sunat Tahiyatul Masjid sebagai tanda menghormati serta memuliakan rumah ALLAH SWT. Foto: 123RF

Turut disyorkan Bersendirian di saf belakang atau berada lebih tinggi dari imam, antara posisi makruh makmum perlu elak ketika solat berjemaah

Telah datang Sulaik-Alghatafani pada hari Jumaat, dan Rasulullah SAW sedang duduk di atas minbar. Sulaik duduk sebelum mengerjakan solat, lalu berkata Nabi SAW: “Adakah kamu telah mendirikan dua rakaat?” Sulaik menjawab: “Tidak”. Kemudian Baginda SAW bersabda: “Bangunlah kamu dan tunaikan ia (solat dua rakaat).” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis tersebut menunjukkan, dibolehkan untuk bangun semula menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid.

Dalam pada itu, Imam Al-Nawawi ketika mengulas hadis itu menyebut, jika seseorang meninggalkan solat sunat Tahiyatul Masjid kerana lalai atau jahil, maka dia dituntut semula menunaikannya setelah disedari dengan syarat tempoh antara duduk dan bangun itu tidak lama.

Sumber: Tzkrh 

Foto: 123RF & Unsplash

Cara duduk
Gaya Hidup,

Cara duduk yang dimurkai ALLAH, berikut perinciannya

DUDUK bersandar adalah perkara biasa bagi kebanyakan orang. Malah, setiap individu pasti ada posisi duduk yang mereka gemari.

Begitupun, berwaspadalah apabila kita memilih untuk duduk bersandar. Ini kerana, menurut Rumaysho.com, terdapat satu jenis duduk bersandar yang dilarang dalam Islam.

Kedudukan yang dimaksudkan adalah apabila seseorang duduk dengan meletakkan tangan kiri di belakang dan dijadikan sandaran.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Syirrid bin Suwaid RA. Beliau berkata: “Rasulullah pernah melintas di hadapanku, sedang aku duduk seperti ini, iaitu bersandar pada tangan kiriku yang aku letakkan di belakang. Lalu baginda SAW bersabda: “Adakah engkau duduk sebagaimana duduknya orang-orang yang dimurkai?” (Hadis Riwayat Abu Daud, Syaikh al-Albani mengatakan hadis ini sahih)

Menurut penulis ‘Aunul Ma’bud, apa yang dimaksudkan dengan ‘yang dimurkai’ itu lebih umum, baik orang kafir, orang fajir (gemar maksiat), orang sombong, individu yang ujub dari cara duduk, jalan mereka dan seumpamanya.

Baca juga Sudahlah ditimpa musibah, pahala pula hilang

Dalam kitab Syarh Riyadus Solihin, Syeikh Muhammad bin Sholih al-’Utsaimin menjelaskan: “Duduk dengan bersandar pada tangan kiri disifatkan dengan duduk orang yang dimurkai ALLAH. Adapun meletakkan kedua tangan di belakang badan, lalu bersandar pada keduanya, maka tidaklah masalah. Yang dikatakan duduk dimurkai sebagaimana disifatkan nabi adalah duduk dengan menjadikan tangan kiri di belakang badan dan tangan kiri tadi diletakkan di lantai dan jadi sandaran. Inilah duduk yang dimurkai sebagaimana yang Nabi Muhammad SAW sifatkan.”

Duduk

ELAKKAN diri daripada duduk dengan cara yang dilarang oleh ALLAH SWT dan Rasulullah SAW. -FOTO: CANVA

Begitupun, Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Dr Mohd Khafidz Soroni dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya menjelaskan, meskipun cara duduk sedemikian dilarang, namun hukumnya tidaklah menjadi haram sebagaimana yang dinyatakan.

Ini kerana, katanya, tiada dalil yang lebih keras menegahnya. Umpamanya akan dikenakan suatu azab di dalam neraka atau orang yang duduk seperti itu pasti akan dimurkai ALLAH SWT dan sebagainya.

“Ia hanya disebut sebagai suatu cara duduk ‘orang yang dimurkai’.

“Maksud larangan dalam hadis tersebut adalah tegahan terhadap orang mukmin daripada menyerupai mereka. Maka, hukumnya menurut ramai ulama adalah makruh,” tegas beliau.

Dr Mohd Khafidz juga berhujah, Imam Abu Daud dalam Sunannya telah meletakkan hadis itu pada ‘suatu bab tentang cara duduk yang makruh’.

“Sementelah, Imam al-Baihaqi pula dalam as-Sunan al-Kubra pula telah meletakkan hadis itu pada ‘bab apa yang makruh daripada cara duduk’,” katanya.

Dalam hal itu, Imam as-Suyuti menerusi kitab al-Hawi lil-Fatawi pernah ditanya tentang siapa ‘orang yang dimurkai’ dalam hadis berkenaan. Beliau menjelaskan: “Yang dimaksudkan dengan ‘orang yang dimurkai’ dalam hadis tersebut ialah mereka yang disebutkan dalam Surah al-Fatihah, iaitu orang Yahudi.”

Sementelah, Imam an-Nawawi telah mencatatkannya dalam Syarah al-Muhazzab sebagai dalil atas kemakruhan cara duduk sedemikian kerana ia dilakukan oleh orang Yahudi.

Baca juga Jangan seronok sangat guna aplikasi tukar jantina, hadam dulu penjelasan ini

Beliau mencatatkan sesudahnya hadis al-Bukhari daripada Aisyah RA bahawa beliau benci jika seorang lelaki meletakkan tangannya di pinggangnya (bercekak pinggang) dan beliau berkata: “Sesungguhnya orang Yahudi melakukannya.” Maka, ia menunjukkan bahawa yang dimaksudkan adalah kemakruhan menyerupai orang Yahudi pada cara duduk mereka itu.

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelas Dr Mohd Khafidz, hukum duduk dengan meletakkan tangan kiri di belakang dan dijadikan sandaran itu adalah makruh.

Dalam kes yang serupa, jelas beliau, ulama juga hanya menghukumkan makruh bagi cara duduk (‘uqbah) syaitan sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan lain-lain bahawa Nabi Muhammad SAW melarang daripada ‘uqbah syaitan.

DR MOHD KHAFIDZ -FOTO: HADIS.KUIZ.EDU.MY

Menurut Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim, ‘uqbah syaitan sepertimana yang ditafsirkan oleh Abu ‘Ubaidah dan lain-lain, ‘ia merapatkan punggungnya ke tanah dan menegakkan kedua-dua betisnya serta meletakkan kedua-dua tangannya di atas tanah, sebagaimana duduknya anjing dan lain-lain daripada binatang buas’.

“Imam an-Nawawi berkata lagi, ia adalah makruh berdasarkan kesepakatan para ulama menurut tafsiran yang disebutkan itu.

“Justeru secara jelas, Imam an-Nawawi menukilkan kesepakatan (ijmak) para ulama bahawa cara duduk seperti itu adalah makruh, bukannya haram,” tegasnya.

Begitupun, sebagai orang mukmin, Dr Mohd Khafidz menyarankan agar kita meninggalkan apa yang dilarang oleh Rasulullah SAW.