Browsing Tag

duduk yang dimurkai

Cara duduk
Gaya Hidup,

Cara duduk yang dimurkai ALLAH, berikut perinciannya

DUDUK bersandar adalah perkara biasa bagi kebanyakan orang. Malah, setiap individu pasti ada posisi duduk yang mereka gemari.

Begitupun, berwaspadalah apabila kita memilih untuk duduk bersandar. Ini kerana, menurut Rumaysho.com, terdapat satu jenis duduk bersandar yang dilarang dalam Islam.

Kedudukan yang dimaksudkan adalah apabila seseorang duduk dengan meletakkan tangan kiri di belakang dan dijadikan sandaran.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Syirrid bin Suwaid RA. Beliau berkata: “Rasulullah pernah melintas di hadapanku, sedang aku duduk seperti ini, iaitu bersandar pada tangan kiriku yang aku letakkan di belakang. Lalu baginda SAW bersabda: “Adakah engkau duduk sebagaimana duduknya orang-orang yang dimurkai?” (Hadis Riwayat Abu Daud, Syaikh al-Albani mengatakan hadis ini sahih)

Menurut penulis ‘Aunul Ma’bud, apa yang dimaksudkan dengan ‘yang dimurkai’ itu lebih umum, baik orang kafir, orang fajir (gemar maksiat), orang sombong, individu yang ujub dari cara duduk, jalan mereka dan seumpamanya.

Baca juga Sudahlah ditimpa musibah, pahala pula hilang

Dalam kitab Syarh Riyadus Solihin, Syeikh Muhammad bin Sholih al-’Utsaimin menjelaskan: “Duduk dengan bersandar pada tangan kiri disifatkan dengan duduk orang yang dimurkai ALLAH. Adapun meletakkan kedua tangan di belakang badan, lalu bersandar pada keduanya, maka tidaklah masalah. Yang dikatakan duduk dimurkai sebagaimana disifatkan nabi adalah duduk dengan menjadikan tangan kiri di belakang badan dan tangan kiri tadi diletakkan di lantai dan jadi sandaran. Inilah duduk yang dimurkai sebagaimana yang Nabi Muhammad SAW sifatkan.”

Duduk

ELAKKAN diri daripada duduk dengan cara yang dilarang oleh ALLAH SWT dan Rasulullah SAW. -FOTO: CANVA

Begitupun, Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Dr Mohd Khafidz Soroni dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya menjelaskan, meskipun cara duduk sedemikian dilarang, namun hukumnya tidaklah menjadi haram sebagaimana yang dinyatakan.

Ini kerana, katanya, tiada dalil yang lebih keras menegahnya. Umpamanya akan dikenakan suatu azab di dalam neraka atau orang yang duduk seperti itu pasti akan dimurkai ALLAH SWT dan sebagainya.

“Ia hanya disebut sebagai suatu cara duduk ‘orang yang dimurkai’.

“Maksud larangan dalam hadis tersebut adalah tegahan terhadap orang mukmin daripada menyerupai mereka. Maka, hukumnya menurut ramai ulama adalah makruh,” tegas beliau.

Dr Mohd Khafidz juga berhujah, Imam Abu Daud dalam Sunannya telah meletakkan hadis itu pada ‘suatu bab tentang cara duduk yang makruh’.

“Sementelah, Imam al-Baihaqi pula dalam as-Sunan al-Kubra pula telah meletakkan hadis itu pada ‘bab apa yang makruh daripada cara duduk’,” katanya.

Dalam hal itu, Imam as-Suyuti menerusi kitab al-Hawi lil-Fatawi pernah ditanya tentang siapa ‘orang yang dimurkai’ dalam hadis berkenaan. Beliau menjelaskan: “Yang dimaksudkan dengan ‘orang yang dimurkai’ dalam hadis tersebut ialah mereka yang disebutkan dalam Surah al-Fatihah, iaitu orang Yahudi.”

Sementelah, Imam an-Nawawi telah mencatatkannya dalam Syarah al-Muhazzab sebagai dalil atas kemakruhan cara duduk sedemikian kerana ia dilakukan oleh orang Yahudi.

Baca juga Jangan seronok sangat guna aplikasi tukar jantina, hadam dulu penjelasan ini

Beliau mencatatkan sesudahnya hadis al-Bukhari daripada Aisyah RA bahawa beliau benci jika seorang lelaki meletakkan tangannya di pinggangnya (bercekak pinggang) dan beliau berkata: “Sesungguhnya orang Yahudi melakukannya.” Maka, ia menunjukkan bahawa yang dimaksudkan adalah kemakruhan menyerupai orang Yahudi pada cara duduk mereka itu.

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelas Dr Mohd Khafidz, hukum duduk dengan meletakkan tangan kiri di belakang dan dijadikan sandaran itu adalah makruh.

Dalam kes yang serupa, jelas beliau, ulama juga hanya menghukumkan makruh bagi cara duduk (‘uqbah) syaitan sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan lain-lain bahawa Nabi Muhammad SAW melarang daripada ‘uqbah syaitan.

DR MOHD KHAFIDZ -FOTO: HADIS.KUIZ.EDU.MY

Menurut Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim, ‘uqbah syaitan sepertimana yang ditafsirkan oleh Abu ‘Ubaidah dan lain-lain, ‘ia merapatkan punggungnya ke tanah dan menegakkan kedua-dua betisnya serta meletakkan kedua-dua tangannya di atas tanah, sebagaimana duduknya anjing dan lain-lain daripada binatang buas’.

“Imam an-Nawawi berkata lagi, ia adalah makruh berdasarkan kesepakatan para ulama menurut tafsiran yang disebutkan itu.

“Justeru secara jelas, Imam an-Nawawi menukilkan kesepakatan (ijmak) para ulama bahawa cara duduk seperti itu adalah makruh, bukannya haram,” tegasnya.

Begitupun, sebagai orang mukmin, Dr Mohd Khafidz menyarankan agar kita meninggalkan apa yang dilarang oleh Rasulullah SAW.