Browsing Tag

dr ahmad sanusi

Tiga kepenatan disukai ALLAH
Isu,

Tiga jenis kepenatan yang disukai ALLAH

HIDUP sememangnya ada fasa pasang surut yang kadangkala memenatkan. Namun, tanpa disedari rupanya ada beberapa jenis kepenatan yang disukai oleh ALLAH SWT.

Kebiasaannya apabila sudah penat, bermacam rungutan terpacul dari bibir. Penat bekerja, penat memasak, penat belajar dan sebagainya.

Sepayah mana pun cabaran yang dihadapi, ingatlah ALLAH tidak akan menguji hamba-NYA melebihi kemampuannya. Ujian yang diberikan oleh YANG MAHA ESA tidak lain hanyalah untuk menguatkan jiwa.

tiga jenis kepenatan

DR AHMAD SANUSI AZMI

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi di dalam hantaran Facebooknya menyatakan bahawa, ALLAH tidak pernah alpa dengan kesungguhan umat-NYA.

Jelas beliau, ada beberapa jenis kepenatan yang disukai ALLAH, iaitu:

1. Ibu bapa yang bekerja menyara keluarga

Kesungguhan ibu bapa yang bekerja pagi dan petang bagi menyara kehidupan keluarga adalah satu kepenatan yang disukai oleh ALLAH SWT. Bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa setiap suap yang diberikan suami kepada isteri akan diberi pahala.

Baca juga Model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran

Sabda Nabi:
Dan tidaklah kamu memberikan nafkah dalam mencari keredhaan Allah melainkan semuanya akan dibalas dengan pahala. Sehinggakan setiap suap yang disuapkan ke dalam mulut isterimu (juga akan diberi pahala).” (Hadis Riwayat Muslim)

Tiga kepenatan

BETAPA mulianya kesungguhan ibu bapa yang mencari rezeki buat keluarganya di mata ALLAH SWT.

Tambahan pula, sebaik-baik nafkah di jalan ALLAH adalah duit yang disumbangkan oleh ibu bapa kepada keluarganya.

Sabda Rasulullah: “Sebaik-baik dinar adalah dinar yang digunakan sebagai nafkah buat menyara keluarganya” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

2. Ibu yang memberi makan kepada anak-anaknya

Seorang isteri dan ibu yang bersungguh-sungguh mendapatkan makanan buat anak-anaknya akan turut diberikan ganjaran pahala besar.

Baca juga 4 amalan ini akan memberatkan amalan di akhirat

Al-Imam Muslim meriwayatkan satu kisah di mana Saidatina Aisyah berkata seorang ibu telah datang ke rumahnya bersama dua orang anak perempuannya untuk meminta makanan.

Namun, tiada makanan lain dalam simpanan melainkan sebiji kurma lalu Aisyah berikan kurma tersebut kepada si ibu. Tanpa berfikir panjang, ibu itu membelah tamar tersebut kepada dua bahagian dan memberikan kepada kedua-dua anaknya tanpa meninggalkan sedikitpun untuk dirinya.

Keadaan itu membuatkan Saidatina Aisyah menangis. Apabila menceritakan peristiwa tersebut kepada Rasulullah SAW, baginda berkata,

Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas ibu tadi syurga (iaitu ibu tersebut pasti akan masuk ke syurga) atau (dengan amalan tersebut) Allah akan membebaskannya dari neraka.” (Hadis riwayat Muslim).

tiga kepenatan

SEMEMANGNYA bukan mudah menjadi ibu yang perlu menyediakan makanan buat keluarganya setiap hari. Namun, ketahuilah bahawa besarnya ganjaran pahala yang diperoleh daripada perbuatan tersebut.

3. Membelikan hadiah kepada isteri

Membelikan hadiah buat isteri juga dianggap sebagai amalan yang terpuji.

Amru ibn Umayyah pernah membeli sepasang kain. Seorang sahabat bertanya, apa yang kamu lakukan kepada kain tersebut.

Lalu Amru menjawab: “Aku telah hadiahkannya kepada isteriku Sukhailah binti Ubaydah dan dia berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesungguhnya sedekah (hadiah) kamu kepada ahli keluargamu akan diganjari pahala sedekah. (Hadis Riwayat Abu Ya’la).

Baca juga Suami Isteri Ibarat ‘Pakaian’, Jaga Aib Pasangan Masing-Masing

Oleh itu, usah terus mengeluh apabila penat bekerja atau menjaga anak-anak kerana sebenarnya ada ganjaran pahala besar yang menanti. Yang penting buat segalanya demi ALLAH, nescaya urusan yang dilakukan akan terasa lebih mudah.

Foto: Pexels & Freepik

empat golongan manusia terbaik di sisi Nabi
Isu,

Empat golongan manusia terbaik di sisi Rasulullah SAW

PASTINYA anda ingin tahu empat golongan manusia terbaik di sisi Rasulullah SAW.

Sebagai seorang Muslim, kita semua mengharapkan agar dihindari seksaan dan ditempatkan di tempat yang baik bersama orang-orang yang bertakwa di akhirat kelak.

Sememangnya untuk menjadi orang yang bertakwa dan mendapat tempat dalam syurga bukan mudah dan memerlukan usaha serta sifat istiqamah. Keimanan dan perilaku yang baik perlu bergerak seiring.

Selain melaksanakan ibadah kepada ALLAH SWT, kita juga diperintahkan agar menjaga hubungan sesama manusia.

Berdasarkan hadis, ada beberapa jenis manusia yang sering dipuji oleh Rasulullah SAW. Mereka diiktiraf dan dianggap sebagai antara golongan terbaik dalam kalangan manusia.

Empat golongan manusia terbaik

DR AHMAD SANUSI

Menerusi suatu hantaran di laman sosial Facebook miliknya, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan bahawa golongan manusia yang dimaksudkan itu adalah:

1.Mereka yang belajar dan mengajar al-Quran.

Rasulullah SAW menggambarkan kepada kita bahawa sebaik-sebaik manusia itu adalah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkan kepada orang lain. Sabda Nabi SAW:

Sebaik-baik kamu adalah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Baca juga Hindari 3 niat ini ketika baca al-Quran

2.Mereka yang berbuat baik kepada keluarga.

Melakukan kebaikan kepada ahli keluarga adalah perbuatan yang sangat terpuji. Rasulullah SAW menyifatkannya sebagai orang yang paling baik di sisi manusia sebagaimana sabda baginda:

Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah orang yang paling baik kepada keluarganya. Dan aku orang yang paling baik bagi keluargaku.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

empat golongan manusia terbaik

AGAMA Islam bukan sahaja mementingkan hubungan manusia dengan Pencipta-nya, bahkan pertalian ukhuwah sesama saudara seagama juga dititikberatkan.

3.Orang yang paling memberi manfaat

Selain itu, manusia yang paling banyak memberikan manfaat kepada orang lain termasuk orang yang paling baik dalam kalangan manusia. Nabi SAW pernah bersabda:

Orang yang paling baik adalah mereka yang paling banyak memberikan manfaat kepada manusia lain.” (Musnad al-Quda’i)

Baca juga 2 Amalan Menjadi Manusia Terbaik

4.Memberi makan dan menjawab salam

Rasulullah juga memuji orang yang suka memberi makan dan menjawab salam.

Orang yang paling baik di kalangan kamu adalah mereka yang memberi makan dan menjawab salam.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Baca juga Apabila berjabat tangan, genggamlah lama sedikit kerana itu lebih baik

Dengan mengetahui empat golongan manusia yang terbaik, diharapkan kita dapat berusaha mencontohi keimanan dan perilaku seperti yang digariskan oleh Nabi SAW.

Insya-ALLAH dengan berbekalkan usaha tersebut, kita akan termasuk antara golongan yang bertakwa kepada ALLAH SWT.

Foto: Freepik & Pexels

model keluarga terbaik disebutkan al-Quran
Berita Semasa,

Model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran

MEMILIKI keluarga bahagia dan harmoni pastinya menjadi dambaan setiap insan. Islam sendiri sangat menekankan institusi kekeluargaan yang baik dalam kalangan umatnya. Tahukah anda, terdapat model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran?

Masakan tidak, keperibadian sesuatu individu bergantung kepada cara dia dibesarkan. Bak kata pepatah Melayu, ‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya’, lahirnya seorang insan soleh yang beriman kepada ALLAH SWT adalah hasil didikan baik daripada ibu bapa.

Dalam pencarian model keluarga yang boleh diteladani, ALLAH sudah pun memberikan contoh-contohnya menerusi kalamullah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Model keluarga dalam al-Quran

AHMAD SANUSI AZMI

Bagi contoh keluarga yang soleh, ALLAH ada menampilkan kisah keluarga Imran di dalam al-Quran. Perkara ini dikongsikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi melalui laman sosial Facebook miliknya.

Nama diabadikan dalam al Quran

Imran adalah bapa kepada Saidatina Maryam. Menurut Ibn Asyur, beliau dilihat sebagai lelaki yang soleh dalam kalangan Bani Israel (rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir, 3/84).

Ali Imran bukanlah seorang nabi atau rasul dan sebaliknya, hanyalah seorang hamba ALLAH yang biasa. Hebatnya beliau sehingga dimuliakan oleh ALLAH SWT dengan namanya diabadikan dalam kitab al-Quran.

Isteri beliau turut digambarkan sebagai ibu dan isteri yang solehah. Ini dapat difahami melalui dialog (doa) beliau ketika mengandungkan Maryam. Isteri Imran bernazar agar anak yang dikandungnya menjadi seorang yang melindungi agama dan mengabdikan dirinya hanya untuk ALLAH (rujuk al-Tabari, Jami’ al-Bayan).

Model keluarga dalam alquran

INSTITUSI kekeluargaan baik adalah yang mentaati ajaran agama seperti keluarga Imran yang diceritakan menerusi kalamullah.

Berkat doa ibu yang solehah serta ayah yang soleh, mereka dikurniakan anak yang solehah iaitu Maryam.

Bukan itu sahaja, atas takdir yang ditentukan oleh ALLAH, guru yang mendidik Maryam juga adalah yang soleh, iaitu Nabi Zakaria

Dalam masa sama, kisah ringkas dalam al-Quran ini juga menggambarkan kepentingan gabungan peranan ibu bapa dan guru dalam mendidik serta menghasilkan pelajar yang baik.

Baca juga 5 Pendekatan Didik Anak Cara Rasulullah SAW Bagi Membentuk Mereka Menjadi Pemimpin Terbaik Pada Masa Depan  

Walaupun Maryam diuji dengan ujian yang amat sukar apabila beliau mengandung tanpa berkahwin, beliau berjaya melalui ujian ini dengan tenang.

Kehebatan keluarga ini menjadikan nama mereka dipatrikan sebagai salah satu nama surah di dalam al-Quran, iaitu surah Ali Imran.

Yang menariknya, ALLAH turut memberikan contoh keluarga yang tidak baik, yang berlawanan dengan kisah keluarga Imran.

Model keluarga dalam alquran

ALLAH telah memberikan banyak contoh sama ada baik mahupun buruk dalam al-Quran sebagai garis panduan membina sebuah keluarga harmoni.

Kedudukan paling hina

ALLAH mengkhususkan satu surah untuk keluarga Abu Lahab, menggambarkan kedudukan mereka sebagai contoh keluarga yang teruk di dalam al-Quran.

Surah ini dimulakan dengan lafaz ‘tabbat’ (celaka) buat Abu Lahab kerana dia banyak menyakiti Rasulullah dan memusuhi Islam. Bahkan, isteri serta anaknya turut membantu dalam perkara ini.

Ummu Jamil, isteri Abu Lahad dikatakan bukan sahaja mencaci Rasulullah, malah menabur duri di jalan yang dilalui oleh Rasulullah.

Baca juga Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

Anak mereka yang berkahwin dengan puteri Rasulullah, Utbah (yang berkahwin dengan Ruqaiyah) serta Utaybah (yang berkahwin dengan Ummu Kalthum) disuruh pula menceraikan isteri mereka (iaitu anak-anak Rasulullah).

Kejahatan Abu Lahab serta ahli keluarga mereka dalam memerangi Islam diabadikan di dalam al-Quran di dalam satu surah sebagai suatu pedoman bagi Muslim.

Semoga perkongsian ini bermanfaat dalam usaha kita mewujudkan sebuah keluarga sakinah yang beriman dengan perintah-NYA.

Foto: Pexels, Freepik & Unsplash