Browsing Tag

dominasigayahidup

Inspirasi,

5 tokoh wanita Islam yang wajib dijadikan inspirasi dan tauladan kaum Hawa

WANITA sering dimomokkan dengan kata-kata bahawa mereka insan yang lemah dan tidak berdaya.

Walhal sejak zaman peradaban Islam lagi, kaum Hawa sudah memikul tanggungjawab besar dan memainkan peranan signifikan dalam banyak bidang.

Tidak kiralah dalam bidang pendidikan, kebudayaaan, politik ataupun sosial, mereka sudah diberi mandat dan kepercayaan untuk menguruskan segala macam hal.

Bercerita tentang topik ini, terdapat beberapa nama wanita yang signifikan dalam dunia Islam yang masih tidak ramai tahu lagi.

Barangkali inilah masanya kita masing-masing mencelikkan mata dan membuka telinga untuk mengenali tokoh-tokoh wanita agama yang telah menyumbang kepada kemajuan manusia sehingga ke hari ini.

Sewajarnya mereka diiktiraf dan dibukukan dalam lembaran sejarah di peringkat sekolah termasuk universiti. Kalau sudah ada, perhebat dan perkembangkan lagi intisarinya.

Justeru, pada artikel kali ini, SinarPlus senaraikan tokoh wanita Islam dan sumbangan mereka kepada masyarakat untuk sama-sama kita hargai dan kenang buat selama-lamanya.

1.  Sayyida al-Hurra

Mengikut sejarah, beliau dilahirkan di Granada, Sepanyol yang ketika itu kerajaannya dipimpin oleh pemerintah beragama Islam.

Selepas kejatuhan empayar Islam ekoran penaklukan Kristian Sepanyol pada tahun 1492, Sayyida sekeluarga telah berhijrah ke Morocco (Magribi).

Beliau berkahwin dan menetap di kota Tetouan, Utara Morocco.

Sayyida kemudian menjadi pemerintah kota tersebut selepas kematian suaminya sekitar tahun 1515.

Mengikut sejarah, wanita itu seorang yang bijak dalam menguruskan perihal kapal dagang dari negara Sepanyol dan Portugal.

Selang beberapa tahun, beliau mendirikan rumah tangga dengan Raja Morocco pula.

Selepas 30 tahun pemerintahan, beliau dikatakan telah digulingkan oleh salah seorang daripada ahli keluarganya sendiri. Sayangnya!


2. Al-Malika al-Hurra Arwa al-Sulayhi

Dilahirkan pada tahun 1048, Al-Malika yang telah dipelihara oleh bapa dan ibu saudaranya yang merupakan pemerintah negara Yemen setelah kematian kedua orang tuanya.

Pada usia 17 tahun, beliau telah berkahwin dengan seorang putera raja dan telah diangkat sebagai ratu setelah bapa dan ibu saudaranya meninggal dunia.

Beliau diberikan gelaran ‘Ratu Kecil Sheba’ atas kebijaksanaan mentadbir dan meningkatkan tahap ekonomi negara, selain membina sekolah bagi memberi peluang pembelajaran kepada rakyat.

 


3. Lubna

Sekitar abad ke-10, Lubna dilahirkan di Cordoba, Sepanyol.

Beliau telah dijadikan sebagai hamba memandangkan ketika itu aktiviti pemerdagangan manusia adalah satu kebiasaan. Kalau nak tahu, tengok filem Tiga Abdul! 🙂

Biarpun latar belakangnya sebagai hamba, beliau seorang yang pintar dan menjadi salah seorang pejuang sastera ketika zaman pemerintahan kerajaan Andalusia.

Memiliki kemahiran menulis dan membaca, Lubna telah menyandang jawatan sebagai setiausaha kepada Putera Abd Al-Rahman Hakam II Ibn Abdur-Rahman yang merupakan seorang khalifah pada ketika itu.

Kehebatannya bukan sekadar dalam bidang sastera semata-mata, bahkan turut bijak menguasai ilmu matematik dan tulisan kaligrafi.

Wanita itu juga dipertanggungjawabkan menjaga pengurusan perpustakaan Istana Andalusia yang ketika itu memiliki sekitar 500,000 buah buku.

4. Nusaybah Ka’ab

Nusaybah terkenal dengan keberaniannya di medan peperangan dan mahir dalam menggunakan senjata.

Jasanya yang paling diingati adalah ketika berlakunya Perang Uhud (625 Masihi) apabila beliau diamanahkan untuk melindungi Nabi Muhammad SAW daripada ancaman musuh.

Beliau menjadikan tubuhnya sebagai ‘perisai’ untuk melindungi Rasulullah daripada terkena panahan anak panah dan tombak.

Isteri kepada Zaid Asim itu dikatakan tidak sedarkan diri selepas terkena serangan ke-12.

Biarpun dalam keadaannya yang masih sakit baru saja sedar, soalan pertama dilontarkan ialah: “Adakah Nabi masih hidup?”.


5. Fatima Abi al-Qasim Abdul Rahman

Nama Fatima sangat terkenal sekitar abad ke-12 dan 13 kerana kebijaksanaannya dalam bidang perundangan, kehakiman, tasawuf dan ilmu sains.

Beliau mempelajari kemahiran menghafal pelbagai jenis buku ilmiah dan al-Quran daripada bapanya, Abu Abdullah al-Madwari yang ketika itu merupakan seorang ilmuan hebat.

Wanita itu juga merupakan ibu kepada Abu al-Qasim al-Taylasan iaitu seorang ulama terkenal di Andalusia.

Baca juga Ada sebab mengapa wanita begitu dimuliakan dalam Islam, berikut perinciannya

Wah! Hebatkan kemampuan dan kemahiran wanita di zaman dahulu! Ia secara secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada pembangunan pada hari ini.

Diharapkan barisan wanita ini dapat menjadi inspirasi buat kita semua agar tidak mengalah dalam mengejar ilmu dunia dan akhirat.

Nota: Semoga rakyat Palestin diberikan kekuatan dalam mendepani kekejaman tentera Israel yang menyerang wilayah mereka sejak akhir Ramadan lalu. Amin.

Foto: Unsplash

nordwood-themes-q8U1YgBaRQk-unsplash
Berita Semasa,

Bayar zakat fitrah, lakukan amal jariah di hujung jari sahaja dengan Tulus. Mudahnya…

KINI, pelbagai urusan amal jariah merangkumi zakat, wakaf, infaq dan sedekah mampu disempurnakan melalui pembayaran secara online sahaja.

Lebih-lebih lagi pada era pandemik Covid-19 yang menyaksikan banyak urusan tergendala.

Melihat situasi itu, sebuah syarikat, Tulus Digital Sdn Bhd melancarkan aplikasi Tulus yang merupakan platform pembayaran beretika yang mematuhi asas syariah.

Ia antara lain memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk melaksanakan pembayaran pelbagai urusan berkaitan amal jariah dengan mudah dan telus.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, aplikasi mudah alih berkenaan memberi kemudahan pembayaran secara digital kepada pengguna tanpa mengira masa dan lokasi.

Lebih menarik, Tulus berperanan menggabungkan semua organisasi Islamik yang merangkumi perkhidmatan pembayaran zakat, wakaf, infaq dan sedekah.

“Istimewanya pada bulan Ramadan kali ini, aplikasi Tulus turut menyediakan saluran pembayaran zakat fitrah bagi sembilan negeri di Malaysia yang merangkumi Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Perlis.

“Bukan kemudahan itu sahaja, kami menyediakan pembayaran bagi imbasan kod QR melalui aplikasi SnapNPay yang boleh digunakan untuk pembayaran zakat fitrah untuk kesemua negeri-negeri yang tersenarai tadi termasuk negeri Perak,” katanya sambil menambah, pihaknya menjalin kerjasama strategik dengan Touch ‘n Go eWallet dan Ikhlas.com bagi pembayaran zakat pada bulan Ramadan ini.

Aplikasi tersebut bakal membantu 800,000 sehingga 1,000,000 pembayar zakat.

Dr Mohd Daud menambah, bagi perancangan masa hadapan, mereka berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan yang terdapat di aplikasi melibatkan pembayaran bagi pelbagai urusan amal jariah yang lain termasuk ibadah korban, aqiqah, khairat, takaful dan seumpamanya.

Bertemakan ‘Nak Zakat, Wakaf, Infaq dan Sedekah Online? #TulusJerlah!’, Tulus Digital mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam bersama-sama menggunakan aplikasi tersebut sebagai salah satu cara untuk membuat sumbangan dan pembayaran zakat secara digital.

Jadi, jangan tunggu lagi! Orang ramai boleh memuat turun aplikasi mudah alih Tulus dan SnapNPay daripada Google Play Store dan Apple iOS Store.

Selain kaedah itu, bayaran zakat ke setiap negeri juga boleh dibuat secara dalam talian di laman web app.tulus.my. Selamat berpuasa!

Foto: Unsplash

pexels-rodnae-productions-7249346
Berita Semasa, Gaya Hidup,

[VIDEO] Bersabarlah bila ditimpa ujian. Begitu besar rupanya hadiah orang yang bersabar…

TATKALA dihimpit dengan ujian, jiwa mudah gelisah dan hati menjadi resah. Runsing memikirkan keadaan diri.

Bukan itu sahaja, ada segelintir orang pula mudah melenting dengan ujian yang diberikan oleh ALLAH SWT. Masakan tidak, ketika itu memang emosi kita agak rapuh.

Apatah lagi jika ia melibatkan ujian yang besar dalam hidup. Benar, kita hanyalah manusia biasa. Perasaan sedih itu memang menjadi lumrah bagi setiap insan.

Namun begitu, usahlah kita terus-terusan bersedih apalagi seolah-olah bersikap menyalahkan takdir.

Islam sebenarnya sudah menyediakan garis panduan dalam kita menghadapi ujian.

Ujar Pengurus Syariah Unit Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abd Rahman, tiada masalah untuk kita melihat semula ujian yang dialami.

AHMAD HUSNI

Namun, pada masa sama, beliau mengajak kita berfikir ke hadapan kerana itulah sebenarnya yang harus kita perbaiki.

Firman ALLAH SWT: “Demi sesungguhnya! KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

“Jika dilihat, semua ujian itu ada disebut dalam al-Quran termasuklah perihal perbendaharaan, kekayaan dan perniagaan.

“Semua perkara itu berkait rapat dengan kehidupan kita dan dengan perkara itu jugalah setiap manusia akan diuji,” katanya.

Baca juga Covid-19: Perbanyakkanlah sedekah, wakaf, hibah, infak, zakat dan hadiah bantu golongan terjejas

Andai kita mendapat ujian, Ahmad Husni menasihatkan agar umat Islam tidak memaki hamun waima melenting dengan sewenang-wenangnya.

“Setelah itu, kita tiba-tiba mengaku ‘mujur saya sabar’. Ketahuilah, itu bukan sabar dalam erti kata sebenar.

“Sebenarnya, sifat sabar itu perlu ada saat pertama kali kita ditimpa ujian berkenaan.

Ditimpa ujian

BERSABARLAH andai diri ditimpa dengan ujian.

“Ketika itu, kita berfikir dan kembali kepada ALLAH SWT kerana segala perkara yang direncanakan itu adalah hak ALLAH,” ujarnya.

Justeru, beliau menitipkan pesan agar kita hiasilah diri dengan sifat sabar kerana ganjarannya yang bakal diraih bukan calang-calang.

“Mereka yang bersabar itu bukan sahaja akan mendapat pujian ALLAH, bahkan akan memperoleh rahmat-NYA.

“Satu lagi bonus, golongan itu bakal diberikan hidayah untuk keluar daripada masalah tersebut,” katanya.

Subhanallah, begitu besarnya imbalan kepada mereka yang sabar dan reda atas ujian yang diberikan. Mudah-mudahan kita dikurniakan sifat sabar yang tinggi dalam setiap perkara.

Foto: Freepik & Pexels

boris-stefanik-wxJscL5ZzDA-unsplash
Agama, Gaya Hidup,

Benarkah roh orang jahat tak diterima bumi dan merayau-rayau? Ini penjelasannya…

Oleh: NURULFATIHA MUAH

CERITA tentang hantu dan roh orang jahat memang tidak lari daripada radar perbualan masyarakat.

Apatah lagi, kawasan perkuburan sering menjadi tempat laluan utama penduduk di kawasan setempat.

Apabila begitu situasinya, memang sukar untuk kita elak daripada berbicara mengenainya.

Kemudian, mulalah timbul cerita orang itu ‘diganggu’ ketika melalui kawasan perkuburan terutama pada waktu tengah-tengah malam.

Tidak kurang pula yang mengaitkan perihal itu dengan roh jahat yang berkeliaran akibat tidak diterima oleh bumi. Benarkah pernyataan itu?

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Azhar Idrus menjelaskan, tidak disebut secara jelas perihal tentang roh yang merayau-rayau akibat tidak diterima oleh bumi sama ada ia melibatkan orang Islam atau kafir.

“Cuma yang disebut dalam hadis itu adalah roh orang beriman akan dinaikkan ke langit.

“Dalam satu lagi hadis berkaitan roh yang jahat, para ulama ada berbeza pendapat mengenainya. Ada pendapat menyatakan, ia hanya melibatkan roh orang kafir yang tidak dibenarkan naik ke langit.

“Malah, ada juga ulama yang berpendapat, roh jahat itu termasuklah orang Islam yang banyak melakukan kejahatan.

“Maka, para ulama bersepakat, kedua-dua roh berkenaan tidak boleh naik ke langit,” jelasnya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram @serantaumuslim.

Di manakah roh berkenaan ‘duduk’ jika tidak dapat naik ke langit?

Ujar Azhar Idrus, terdapat tiga tempat roh berkenaan ‘duduk’ sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih.

Tempat berkenaan termasuklah di bumi (ada pendapat yang menyatakan di dalam kubur), telaga Barhut (di Yemen) dan duduk di dalam lubang pada bumi.

“Tiada tafsiran hakikat mana satu yang detil. Justeru, kita perlu beriman dengan perkara ini.

“Begitupun, tanggapan yang menyatakan roh balik rumah atau jadi zombie, ja tidak boleh diterima sama sekali. Itu tidak sahih,” tegasnya.

Seandainya kita melihat sesuatu di tanah perkuburan, tegas Azhar Idrus, ia merupakan roh dan bukannya hantu.

“Andai ia melibatkan kubur milik orang Islam, segelintir ulama menyatakan bahawa ua adalah roh orang Islam yang jahat kelakuannya hingga tidak naik ke langit. Contohnya, roh orang bunuh diri, dosanya sangat besar dan roh orang yang tidak pernah menunaikan solat, tidak suka agama dan seumpamanya.

“Ingatlah, apa yang ada di kubur bukanlah syaitan, tetapi roh. Jika kita lalu di kawasan berkenaan, nampak (kelibat) atau dengar suara orang menangis, jangan lari. Itu adalah roh, biarkan dia menangis,” ujarnya.

Andai kata, kita berada di luar rumah ketika waktu Maghrib, ujar beliau, itu adalah kerja syaitan kerana itu waktu mereka berkeliaran.

“Bahkan, Nabi Muhammad SAW menyuruh kita membawa anak-anak masuk ke rumah sebelum Maghrib kerana syaitan berkeliaran pada waktu berkenaan.

“Seperkara lagi, jangan lupa untuk membaca bismillah apabila masuk ke dalam tandas. Ia supaya aurat kita terpelihara daripada pandangan syaitan ketika sedang membuang air kecil atau besar,” nasihat beliau.Sumber: Instagram @serantaumuslim

Foto: Unsplash
Berita Semasa,

Ini sebabnya kenapa kita perlu celik dengan ilmu faraid

RASANYA ramai yang sedia maklum tentang faraid dan pengurusan harta pusaka. Acap kali juga ia jadi topik perbincangan ramai bila ‘naik’ isu-isu hangat apatah lagi jika ia membabitkan individu yang dikenali dalam negara.

Ia bukanlah perkara baharu lagi. Meskipun begitu, masih ada lagi segelintir pihak yang memandang remeh perkara ini. Bagi individu ini, mereka merasakan urusan faraid ini hanya penting bila seseorang telah meninggal dunia.

Hakikatnya, ilmu itu harus dipelajari oleh semua orang. Itu yang kadangkala berlaku kes perebutan harta pusaka dalam kalangan adik-beradik selepas kematian ibu bapa.

Paling menyedihkan, bertahun-tahun masa diambil untuk selesaikan kes tersebut hinggakan ada waris yang terlebih dulu dijemput Pencipta-NYA.

Sebenarnya, baik yang muda mahupun yang sudah berusia, semuanya kena sedia maklum dengan ilmu faraid ini.

Bukan apa, ia akan mudahkan pembahagian urusan harta pusaka orang yang meninggal dunia kepada waris terlibat.

Urusan akan bertambah mudah lebih-lebih lagi bila si mati tadi sempat meninggalkan wasiat atau melakukan perancangan harta pusaka ketika masih hidup.

Malangnya, walaupun ramai yang sedar tentang hakikat ini, tetapi tiada tindakan susulan diambil. Orang kata, hanya sedar pada nama saja. Selebihnya hanya berserah tanpa berbuat apa-apa.

Sedangkan, pendidikan faraid ini begitu penting dan ditekankan dalam agama Islam. Demikian jelas Safirah Khan dari Universiti Malaysia Terengganu.

Jom baca perkongsian beliau tentang kepentingan pendidikan faraid ini.

“Ilmu faraid ialah ilmu yang membincangkan kaedah asas yang perlu diketahui dalam pembahagian harta pusaka kepada waris yang berhak.

Ia disebut juga sebagai ilmu tarikah iaitu ilmu yang berkait dengan hukum kaedah fiqh dan matematik iaitu pengiraan yang membolehkan kita mengetahui hak dan bahagian-bahagian harta peninggalan atau harta pusaka seseorang waris.

Hukum mempelajari ilmu faraid merupakan fardu kifayah, tetapi boleh ‘jatuh’ fardu ain dalam keadaan tiada orang yang mempelajarinya.

Tujuan mempelajari ilmu faraid adalah untuk mengetahui bahagian yang bakal diperoleh oleh setiap ahli waris daripada harta peninggalan si mati atau harta pusaka.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkan ia kepada orang lain. Sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu, ia adalah ilmu yang dilupakan dan ia merupakan suatu ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku.” (Riwayat Ibnu Majah, al-Hakim dan Baihaqi)

Rasulullah SAW menggesa umat Islam mempelajari ilmu faraid secara terperinci kerana baginda bimbang umatnya leka untuk mempelajarinya selepas kewafatannya.

Tambahan pula, ilmu ini merupakan ilmu pertama yang akan diangkat daripada manusia sebagaimana dijelaskan oleh hadis di atas.

Kelalaian dan kealpaan umat Islam mempelajari ilmu faraid akan menyebabkan ilmu ini hilang selepas kematian para ulama, guru agama, ustaz, ustazah yang pakar dan mahir dengannya.

Pihak Amanah Raya Berhad yang diberi kuasa sebagai pengurus dan pentadbir harta pusaka di Malaysia telah melaporkan bahawa kurangnya pemahaman dan pengetahuan tentang hukum serta ilmu faraid dan kurang kesedaran untuk mempelajarinya menjadi faktor banyak isu kepada keruntuhan institusi keluarga dan isu sosial berkaitan harta pusaka berlaku kepada umat Islam pada masa ini.

Ilmu faraid sangat penting untuk dipelajari dan diamalkan dalam kehidupan umat Islam. Pembahagian harta menggunakan kaedah faraid sedikit sebanyak dapat memberi bantuan kepada waris yang berhak untuk menerima harta pusaka bagi meneruskan kehidupan selepas kematian ahli keluarga.

Umat Islam mendapat pengetahuan mengenai sesuatu perkara bergantung kepada sumber ilmu pengetahuan yang diperoleh mereka sama ada secara formal atau tidak formal. Pendidikan berkualiti merupakan ‘Sustainable Development Goals’ yang keempat.

Penting bagi umat Islam untuk mendapatkan pendidikan berkualiti adalah untuk memenuhi asas pembangunan lestari.

Di samping itu, akses kepada pendidikan dan ilmu juga dapat membantu melengkapkan penduduk setempat dengan kemudahan pendidikan dan ilmu faraid yang diperlukan untuk membangunkan ihsan serta meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan masyarakat.

Begitu juga dengan ilmu faraid. Ilmu ini penting untuk disampaikan agar kehidupan umat Islam sentiasa mendapat jaminan dan keadilan bagi meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

Faraid

ILMU faraid penting kepada semua orang untuk menjamin keadilan dan memelihara kesejahteraan keluarga. 

Penyebaran ilmu faraid dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam dari segi ekonomi dan juga sosial. Ilmu faraid semakin giat diajar oleh pihak yang pakar sama ada secara dalam talian, kuliah harian, pembelajaran dan pengajaran di sekolah menengah dan juga kuliah di masjid dan surau.

Tidak lupa juga sesetengah pihak universiti yang semakin cakna telah mula memasukkan silibus ilmu faraid dalam kursus berkaitan agama Islam. Ini juga membuktikan bahawa kepentingan ilmu faraid dari segi pendidikan semakin disedari oleh pihak pendidik dan semakin disebarkan ke pelbagai lapisan umat Islam sama ada remaja, dewasa dan warga emas.

Kualiti pendidikan masyarakat atau umat Islam meningkat apabila kita sendiri diajarkan atau disampaikan dengan ilmu yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Apabila ilmu faraid dipelajari dan diamalkan, ia dapat menjamin kelangsungan ilmu ini, seterusnya dapat melindungi ilmu faraid daripada dilupakan dan pupus ditelan zaman.

Bukan itu sahaja, para waris juga dapat bertanggungjawab dan prihatin dalam pengurusan harta pusaka. Kebijaksanaan waris menguruskan harta pusaka menjurus kepada keharmonian dan kesejahteraan keluarga serta menunjukkan pendidikan berkualiti telah mula diaplikasikan dalam kalangan umat Islam.

Sebagai contoh, dapat diambil iktibar daripada isu hangat mengenai faraid selepas peninggalan seorang selebriti terkenal awal pada awal tahun ini.

Ketahuilah bahawa betapa pentingnya ilmu faraid dalam kalangan umat Islam. Sekiranya umat Islam diterapkan dengan ilmu faraid yang lengkap, maka masalah keruntuhan institusi keluarga dapat dikurangkan dan masalah sosial antara umat Islam dapat dicegah, bak kata peribahasa mencegah lebih baik daripada mengubati.

Oleh itu, ilmu faraid sangat penting dan penyebarannya sangat dituntut dalam agama Islam. Tanpa mengira lapisan umur masyarakat Islam, penyebaran ilmu ini penting sebagai persediaan menghadapi masa hadapan.

Natijahnya, ilmu faraid dapat meningkatkan kualiti umat Islam, memelihara institusi kekeluargaan dan sekali gus menyumbang kepada pendidikan berkualiti untuk umat Islam sejagat,” jelas beliau.

Ingat ya, pendidikan ini tidak mengira usia. Mahu atau tidak, kita kena ambil tahu tentang ilmu faraid kerana kita semua akan meninggalkan dunia ini dan tak boleh bawa masuk harga yang disimpan selama ini ke dalam liang lahad.

(Sumber: Safirah Khan, Universiti Malaysia Terengganu)

Berita Semasa,

Berubat perlu diiringi dengan perkara ini…

BERMACAM cerita timbul saat semua orang sedang ‘bergelut’ menghadapi wabak koronavirus (Covid-19) sejak akhir-akhir ini.

Selain berkongsi aktiviti yang dilakukan di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak kurang juga orang yang tidak bertanggungjawab melanggar arahan supaya duduk di rumah, membuat telahan pandemik dengan ayat al-Quran dan sebagainya.

Begitu ‘kreatif’ masyarakat kita sebenarnya. Baru-baru ini pula, kita dikejutkan dengan seseorang yang mendakwa sebagai ‘pengamal perubatan Islam’ berjaya ‘menangkap dan mengurung’ virus Covid-19.

Apakah pandangan Islam tentang perkara ini? Bagaimana asas untuk berubat mengikut perspektif agama?

Ikuti jawapannya bersama pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki:

USTAZ MUSTAFAR

“Dari sudut Islam, secara asasnya kita diminta untuk berlindung kepada ALLAH SWT daripada segala penyakit.

Ia sepertimana doa-doa sunah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW seperti dalam riwayat Imam Abu Dawud: “Ya ALLAH, aku berlindung daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Di samping itu, manusia juga diperintahkan untuk mengambil asbab sepertimana langkah pencegahan, berubat dan sebagainya.

Ia berdasarkan hadis sahih daripada Nabi SAW “Sesungguhnya ALLAH SWT ketika menciptakan penyakit, diciptakan juga penawar, maka berubatlah.” (Riwayat Ahmad)

Berubat tidak sekali-kali menafikan tawakal kita kepada ALLAH SWT.

Adapun wabak Covid-19 adalah sejenis virus bukan daripada gangguan jin atau syaitan. Kaedah rawatan dan nyah kuman sudah tentu dengan cara melalui kaedah saintifik oleh pakar-pakar perubatan bertauliah.

Justeru, kami menyeru masyarakat agar sentiasa peka dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan arahan pemerintah.

Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan utama para doktor dan pegawai-pegawai perubatan yang berkorban serta bertungkus lumus dalam meghadapi Covid-19 ini,” jelas beliau.

Ya, memang kita dituntut untuk berubat apabila sakit. Pada masa sama, teruskan berdoa dan bertawakal kepada-NYA agar diberikan kesembuhan.