Browsing Tag

dominas gaya hidup

pexels-fariz-hermawan-3812943
Hukum,

Batalkan puasa dengan makan atau minum bertujuan jimak elak kafarah. Boleh ke?

“BETULKAH sekiranya kita membatalkan puasa dengan makan dan minum dahulu bagi tujuan berjimak (persetubuhan suami isteri) pada bulan Ramadan ini, tidak perlu membayar kafarah? Adakah dibolehkan seperti itu?”

Mari kita ikuti perkongsian pendakwah, Ustazah Asma’ Harun ini.

“Dari sudut bahasa kafarah bermaksud menutup manakala dari sudut istilah ialah perbuatan menunaikan kewajipan berbentuk harta atau tubuh badan disebabkan meninggalkan sesuatu tanggungjawab atau kewajipan hukum syarak.

“Terdapat banyak jenis kafarah yang telah ditetapkan syarak seperti kafarah sumpah, kafarah nazar dan sebagainya.

“Namun, kali ini kita menyentuh kepada kafarah bersetubuh di siang hari pada bulan Ramadan, iaitu membebaskan hamba, berpuasa dua bulan berturut-turut dan memberi makan 60 orang miskin,” tulisnya di Facebook.

Kata Ustazah Asma’, berbuka puasa dengan sengaja pada bulan Ramadan adalah dosa yang amat besar.

“Perlu diingati bahawa berbuka puasa dengan sengaja di siang hari pada bulan Ramadan adalah haram dan merupakan dosa yang amat besar.

“Daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada Ramadan tanpa sebarang rukhsah (keringanan) yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekali pun dia qada’ puasa tersebut walaupun selama-lamanya.” (HR Abu Daud)

“Imam Ibnu Hajar al-Haithami juga menyebutkan bahawa betapa besarnya kesalahan meninggalkan puasa dengan sengaja terutamanya di bulan Ramadan.

Baca juga Awas, suami isteri bermesra siang hari bulan Ramadan boleh jatuh makruh, batalkan puasa

“Hal ini jelas seperti yang disebutkan beliau yang bermaksud “Dosa besar yang ke 140 dan 141, meninggalkan puasa pada salah satu hari daripada hari-hari dalam bulan Ramadan, dan berbuka puasa padanya dengan persetubuhan atau selainnya tanpa sebarang keuzuran seperti sakit atau bermusafir.”

“Dan di dalam kitab Fiqh Manhaji juga menyebutkan “Puasa Ramadan adalah salah satu daripada rukun Islam dan perkara fardu dalam agama yang mesti diketahui. Oleh itu, sesiapa yang mengingkari kewajipan, akan menjadi kafir dan disuruh bertaubat sebagaimana orang murtad,” jelas beliau.

Menurut Ustazah Asma’, perbuatan membatalkan puasa dengan makan dan minum menjadi perbincangan ulama dan telah menghasilkan dua pendapat.

1. Pendapat pertama: Tidak dikenakan kafarah

Pendapat ini adalah pendapat mazhab Syafiah dan merupakan pendapat yang masyhur dalam kalangan masyarakat kita.

Hal ini adalah bersumberkan daripada Syeikh Wahbah Zuhaili di dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu yang menyatakan, sekiranya membatalkan puasa dengan makan, kemudian melakukan jimak maka tidak ada kafarah baginya.

Beliau juga menyatakan di dalam kitabnya yang lain, kitab al-Muktamad Fi al-Fiqh al-Syafie, bagi orang yang sengaja berbuka puasa dengan makan dan minum terdahulu sebelum berjimak adalah tidak dikenakan kafarah sebaliknya hanya diwajibkan qada puasa sahaja.

Tidak dikenakan kafarah kerana berdasarkan kepada beberapa keadaan seperti berikut;

  1. Membatalkan puasa kerana berada dalam keadaan uzur.
  2. Terlupa bahawa ia sedang berpuasa kemudian melakukan jimak.
  3. Jahil tentang pengharamannya (bersetubuh di siang Ramadan).
  4. Membatalkan puasa dengan makan dan minum kemudian melakukan jimak.
  5. Bermusafir kemudian melakukan jimak.
  6. Membatalkan puasa bukan di bulan Ramadan.

Namun, perlu diingati bahawa perbuatan ini tetap berdosa besar seperti yang disebutkan oleh Imam al-Baijuri di dalam kitab Hasyiah juga menyatakan:

“Dikecualikan (kafarah) dengan melakukan jimak (bersetubuh) apabila membatalkan puasanya dengan makan dan minum. Helah ini hanya menghilangkan kafarahnya sahaja bukan menghilangkan dosanya.”

2. Pendapat kedua: Wajib dikenakan kafarah

Mazhab Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad menyatakan wajib dikenakan kafarah sekiranya membatalkan puasa dengan makan dan minum terdahulu sebelum melakukan jimak (bersetubuh).

Imam Ibnu Qayyim meletakkan ia perlulah melihat kepada maqasid dan tujuan perbuatannya iaitu sengaja berbuka puasa dengan makan dan minum untuk melakukan jimak (bersetubuh).

Inilah disebutkan sebagai helah daripada dikenakan kafarah.

Walau bagaimanapun, melakukan helah untuk melakukan jimak ini tidak menggugurkan kewajipan membayar kafarah kerana melihat kepada tujuan asalnya.

Banyakkan puasa, rebut amalan bulan Syaaban

Selain itu, orang yang telah membatalkan puasa perlu imsak atau tidak?

Imsak bermaksud menahan diri daripada melakukan perbuatan makan, minum dan berjimak pada siang hari bulan Ramadan.

1. Pendapat pertama: Perlu imsak

Pendapat ini menyatakan perlu imsak (menahan diri) daripada melakukan jimak (persetubuhan) sekalipun telah membatalkan puasa. Ini adalah berdasarkan dalil yang disebutkan di dalam al-Quran:

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa untuk bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu.” (Surah al-Baqarah : 187)

Dalil ini adalah berlafaz umum tentang keharusan berjimak (bersetubuh) di malam hari bulan Ramadan. Daripada dalil ini juga, telah menghasilkan satu hukum disebaliknya iaitu pengharaman berjimak (bersetubuh) di siang hari bulan Ramadan.

Maka, sekalipun seseorang itu telah membatalkan puasanya, dia tetap perlu menahan dirinya daripada melakukan jimak di siang hari Ramadan berdasarkan dalil di atas. Hal ini kerana, bagi menjaga kesucian bulan Ramadan yang tidak membenarkan melakukan jimak di siang hari.

2. Pendapat kedua: Tidak perlu imsak

Pendapat ini berpegang kepada tidak perlu imsak (menahan diri) daripada melakukan jimak (persetubuhan) kerana melihat kepada puasanya yang telah batal. Sekiranya dia menahan dirinya daripada melakukan perbuatan tersebut, ia tetap tidak memberi kesan kerana puasanya telah terbatal.

Walau bagaimanapun, seseorang itu tetap perlu menjaga dirinya daripada melakukan perbuatan tersebut di hadapan khalayak ramai termasuklah perbuatan makan dan minum.

Baca juga Status puasa orang pengsan akibat dibius

Justeru, kesimpulannya, ya betul, tidak dikenakan kafarah jika membatalkan puasa dengan makan dan minum terlebih dahulu kerana ingin melakukan jimak (persetubuhan) di siang hari pada bulan Ramadan mengikut pandangan Syafieah.

Namun, terdapat lagi satu pandangan ulama yang menyatakan tetap wajib dikenakan kafarah bagi orang yang sengaja membatalkan puasa dengan makan dan minum bagi tujuan melakukan jimak.

Orang yang telah berbuka puasa dengan makan dan minum di siang hari bulan Ramadan perlulah imsak iaitu menahan dirinya daripada melakukan perbuatan jimak (bersetubuh) sepertimana orang berpuasa sehinggalah masuknya waktu azan Maghrib sebagai menghormati kesucian di bulan Ramadan.

Berdosa besar bagi mereka yang sengaja membatalkan puasa di siang hari bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan oleh syarak.

Semoga bermanfaat.

Foto: Pexels