Browsing Tag

Doakan keburukan

doakan keburukan
Gaya Hidup,

[VIDEO] Jika orang doakan keburukan untuk diri kita, lakukanlah perkara ini…

JIKA orang doakan keburukan untuk diri kita, lakukanlah perkara ini…

Setiap kali berdoa, lazimnya kita akan memohon kebaikan untuk kehidupan kita sama ada di dunia dan di akhirat.

Jarang sekali kita doakan keburukan atau mendoakan suatu perkara yang buruk. Apalagi ia bersangkutan dengan diri kita.

Masakan tidak, hanya kepada ALLAH SWT sahajalah tempat kita meminta, mengadu dan segala-galanya. Hanya kepada-NYA tempat kita bergantung harap.

Baca juga Jangan Lupa Berdoa Ketika Senang, Ini Sebabnya

Begitupun, ada segelintir orang yang tanpa rasa bersalah mendoakan keburukan untuk orang lain. Meskipun bunyinya agak pelik, namun hakikatnya perkara itu ada juga berlaku dalam dunia realitinya.

Ia membuatkan kita sedikit gentar apabila mendengar orang mendoakan yang buruk-buruk untuk kita.

Jika kita berada dalam situasi itu, apakah tindakan yang perlu dilakukan?

Pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah berkata, semua sedia maklum bahawa doa merupakan senjata orang Mukmin.

DA’I SYAFIQAH

Namun, katanya, kita perlu tahu bahawa tidak semua doa buruk yang diucapkan oleh manusia itu akan dikabulkan oleh ALLAH SWT.

Baca juga Sentiasa amalkan doa ini, mohon dilindungi dan dijauhkan bahaya

“Dalam situasi yang dizalimi, ‘senjata’ mereka untuk berhadapan dengan orang yang zalim adalah doa,” jelasnya.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang mana baginda bersabda: “Takutlah kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana sesungguhnya tiada antara doa itu dengan ALLAH sebarang dinding.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Da’i Syafiqah turut mengemukakan pandangan yang dinukilkan oleh Ibnu Abbas RA yang menyatakan, ALLAH tidak suka seseorang mendoakan keburukan ke atas seseorang yang lain melainkan dirinya dizalimi.

“Berdasarkan ungkapan itu, jelas bahawa doa yang buruk kepada orang lain hanya dibolehkan jika ada sebab iaitu jika dirinya dizalimi.

“Berbalik kepada soalan tadi, jika ada orang lain mendoakan keburukan untuk diri kita, sedangkan kita tidak berbuat salah atau menzaliminya, maka letakkan pergantungan dan tawakal kepada ALLAH SWT.

“Tidak perlu bimbang kerana yang menerima dan memakbulkan doa hanyalah ALLAH SWT selagi mana kita menjaga akhlak, adab dan tidak menzalimi orang tersebut,” jelas beliau mengakhiri perkongsian ilmunya.

Justeru, usah gentar andai ada orang lain yang mendoakan keburukan kita. Sesungguhnya, ALLAH MAHA BERKUASA. Kepada-NYA tempat kita memohon perlindungan-NYA.