Browsing Tag

Doa sebelum keluar rumah

Baca doa sebelum keluar rumah
Gaya Hidup,

Biasakan Diri Baca Doa Sebelum Keluar Rumah, Ini Sebabnya

BERBAKI lagi 20 hari untuk memasuki tahun baharu 2022, barangkali ramai yang mengambil peluang untuk menghabiskan cuti tahunan masing-masing.

Apatah lagi sekarang sudah bermulanya cuti persekolahan. Pastinya pelbagai perencanaan siap sedia diatur bersama keluarga tercinta selepas sekian lama ‘berkurung’ di dalam rumah akibat wabak Covid-19 yang belum berkesudahan lagi.

Tidak kiralah apa jua aktiviti yang mahu dilakukan, ingatlah tuntutan agama di mana sahaja kita berada.

Begitu juga ketika kita meninggalkan rumah waima hanya sebentar cuma untuk mencari rezeki atau atas sebarang urusan, bacalah doa yang dianjurkan oleh agama Islam.

Pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, agama mengajar kita untuk bersikap tafa’ul iaitu optimis.

MUHAMMAD FAHMI

Justeru, saat keluar dari rumah, beliau menyarankan agar kita membaca Bismillahi tawakkaltu ‘alallah, la haula wala quwwata illa billah (Dengan nama ALLAH, aku bertawakal kepada ALLAH. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan ALLAH).

“Ketahuilah bahawa doa ini begitu dituntut untuk kita membacanya kerana ia mengajar kita untuk menyerahkan segala urusan diri kepada ALLAH SWT.

“Malah, sifat tawakal itu sendiri meliputi usaha dan serah diri,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Maka sebab itulah apabila seseorang itu keluar rumah, semua akan mengambil langkah keselamatan seperti menutup pintu dan tingkap, mengunci pagar dan bertawakal kepada ALLAH SWT.

“Kita tidak keluar rumah dengan iktikad hari tertentu atau arah tertentu. Malah, kita tidak keluar rumah kerana terdapat padanya malang atau sial.

“Hakikatnya, semua itu adalah warisan jahiliyah,” tegasnya.

Baca doa sebelum keluar rumah

DOA yang dibaca sebelum keluar rumah mengajar kita untuk menyerahkan segala urusan diri kepada ALLAH SWT.

Justeru, Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengajak seluruh umat Islam supaya berpegang teguh dengan warisan Rasulullah SAW.

“Baginda mengajar kita supaya bersifat optimis, husnuzon (bersangka baik) kepada ALLAH dan bertawakal.

“Semua ini meliputi usaha dan penyerahan diri mutlak kepada ALLAH SWT,” pesannya.

Foto: Freepik