Browsing Tag

Doa qunut

Doa qunut
Isu,

Jangan Tinggalkan Baca Doa Qunut Ketika Tunaikan Solat Witir Mulai Malam Ini

no comment

PADA hari ini, kita sudah pun memasuki separuh awal bulan Ramadan. Ini bermakna, malam ini bermulalah separuh terakhir bulan Ramadan.

Lazimnya, bermula malam 16 Ramadan hinggalah bulan mulia itu berakhir, kita akan membaca doa qunut dalam solat sunat witir yang dikerjakan.

Barangkali ada yang tertanya-tanya mengapa kita perlu membaca doa qunut berkenaan dalam solat sunat tersebut. Sedangkan, ia sering kali dibacakan setiap kali menunaikan solat Subuh.

Dalam hal itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, hukum membaca doa qunut dalam solat witir adalah sunat sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi.

Doa qunut

WALAUPUN sunat membaca doa qunut ketika rakaat terakhir witir, sebaiknya biasakan diri untuk mengamalkannya sebagai usaha agar kita dipertemukan dengan malam lailatulqadar.

“Ketahuilah, dalam Mazhab Imam Syafie, disunatkan bagi mereka yang melakukan solat witir untuk membaca doa qunut witir pada separuh yang terakhir dari bulan Ramadan iaitu bermula pada malam yang ke-16 Ramadan.

“Ia termasuk sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan malam lailatulqadar dengan berhujahkan sebuah hadis: “Maka carilah ia (malam al-Qadr) pada separuh yang terakhir (dari bulan Ramadan)”,” katanya dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya ketika menjawab pertanyaan warganet berhubung perkara itu baru-baru ini.

Baca juga 10 Puasa

Sementara itu, Muhammad Fahmi turut memetik pandangan yang dinukilkan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali yang mana beliau berkata: “Oleh kerana itulah – wallahualam – Ubai Ibn Ka’b RA dahulu membaca doa qunut dalam silat witir pada malam-malam separuh yang terakhir (dari bulan Ramadan) kerana diharapkan padanya berlaku malam al-Qadr.” (Rujuk Latha’if al-Ma’arif, Ibn Rajab (1/176)

Bagaimana pula bacaan qunut solat witir itu?

Doa qunut

TIDAK kiralah kita menunaikan solat sunat tarawih dan witir secara berjemaah atau bersendirian, sebaik-baiknya jangan lupa baca doa qunut witir bermula malam ini sehingga penghujung Ramadan.

Merungkaikan jawapannya, Muhammad Fahmi menjelaskan, ia sama seperti bacaan qunut pada waktu solat Subuh.

“Bahkan, sebenarnya bacaan qunut Subuh itu diambil daripada qunut witir.

“Ia hendaklah dibaca pada rakaat terakhir dalam solat witir. Jika kita menunaikan satu rakaat (solat witir) sahaja, maka bacaan qunut dibuat selepas bangun daripada rukuk.

“Jika kita tunaikan solat witir tiga rakaat, maka bacaan qunut witir adalah pada rakaat yang terakhir,” jelas beliau.

Tidak kiralah sama ada kita solat solat tarawih dan witir sama ada bersendirian atau secara berjemaah, jangan lupa untuk membaca doa qunut yang disunatkan ketika solat sunat witir.

Semoga kita dipertemukan dengan malam lailatulqadar yang dikhabarkan dalam al-Quran bahawa ia lebih baik daripada 1,000 bulan.

Foto: Bernama & Freepik