Browsing Tag

doa memakai pakaian

syaitan
Aqidah,

Syaitan dan jin boleh melihat aurat kita. Ini cara untuk elak dari dipandang

SYAITAN dan jin boleh melihat aurat kita. Ini cara untuk elak dari dipandang…

Syaitan adalah antara makhluk ALLAH SWT yang tidak dilihat oleh manusia, namun kita wajib percaya akan kewujudannya.

Malah, syaitan adalah musuh nombor satu kepada orang beriman. Ini kerana mereka akan sedaya upaya berusaha bagi menyesatkan anak-anak Adam dengan mendekatkan mereka segala jenis maksiat.

Perkara ini diingatkan berkali-kali oleh ALLAH SWT melalui kitab suci al-Quran. Firman-NYA:

Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup)…” (Surah al-‘Araf, ayat 27)

Baca juga Makanan dan minuman jin yang patut diketahui, serta perlu Muslim hindari

Walaupun kita tidak mampu melihat syaitan dan adakalanya, jin, tetapi mereka sendiri boleh melihat kita, jelas portal Mufti Wilayah Persekutuan. Hal ini ada disebutkan oleh ALLAH dalam kalamullah.

Firman ALLAH: “…Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya KAMI telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Surah al-‘Araf, ayat 27)

Oleh itu, syaitan dan jin sebenarnya mampu melihat kita dalam semua keadaan, apatah lagi ketika kita sedang memakai atau menanggalkan pakaian, mandi, menunaikan hajat di dalam tandas dan lain-lain.

Sehubungan itu, kalimah berkenaan mengingatkan kita agar sentiasa berhati-hati dengan gangguan syaitan. Makhluk tersebut sememangnya dijadikan oleh ALLAH sebagai penolong bagi orang-orang kafir yang tidak menuruti perintah-NYA.

Lantas, bagaimana untuk mengelakkan pandangan syaitan dan jin ke atas kita?

Baca juga Ustazah Asma’ Kongsi Doa Elak Daripada Gangguan Syaitan

Cara halang aurat dilihat jin dan syaitan

Bagi menghalang aurat daripada dilihat oleh jin dan syaitan, Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita beberapa perkara. Antaranya ialah sentiasa mengiringi setiap tindakan dan perbuatan kita dengan doa dan basmalah (bismillah)

Disebutkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Penghalang (hijab) antara pandangan mata jin dan aurat bani Adam ketika membuka pakaian ialah membaca bismillah (dengan nama ALLAH).” (Hadis Riwayat al-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Ausat)

Maka, ulama Islam, Syeikh Sa’id bin Ali Wahf al-Qahtani menganjurkan kita membaca bismillah untuk memohon pertolongan Allah SWT supaya syaitan dan jin tidak melihat aurat diri ketika menunaikan hajat, menanggalkan pakaian dan lain-lain. (Lihat Ithaf al-Muslim bi Syarhi Husni al-Muslim, hlm. 103)

syaitan aurat

SEBAIK-baiknya elakkan mendedahkan aurat walaupun sedang bersendirian jika tiada keperluan khusus. Foto: Unsplash

Dalam masa sama, tegas pihak Mufti Wilayah Persekutuan, elakkan daripada mendedahkan aurat sekalipun kita bersendirian jika tidak ada keperluan tertentu.

Sebenarnya ada juga bacaan doa atau zikir lain yang boleh diamalkan ketika ingin menanggalkan pakaian atau masuk ke tandas sebagai pendinding daripada pandangan jin dan syaitan terhadap aurat kita.

Antaranya adalah doa berikut yang biasa dibaca ketika hendak memakai serta menanggalkan pakaian.

Baca juga 9 doa para nabi yang boleh dijadikan amalan harian kita

Turut disyorkan Penyihir Rusia akui sukar menyihir Muslim yang menjaga solat

Doa memakai dan menanggalkan pakaian

1) Doa memakai pakaian

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهِ وَخَيْرِ مَا هُوَ لَهُ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ وَشَرِّ مَا هُوَ لَهُ

Allaahumma innii as’aluka min khairhi wa khaira maa huwa lahu, wa a’uudzubika min syarrihi wa syarri maa huwa lahu

Ertinya: “Ya ALLAH, sungguh aku memohon kepada-MU kebaikan pakaian ini dan kebaikan sesuatu yang di dalamnya, dan aku berlindung kepada-MU dari keburukan pakaian ini dan keburukan sesuatu yang ada di dalamnya.”

2) Doa menanggalkan pakaian

بِسْمِ اللهِ الَّذِيْ لاَ إِلَهَ إِلأَ هُوَ

Bismillahi ladzi laa ilaaha Illa hu

Ertinya : “Dengan nama ALLAH yang tiada TUHAN selain DIA”

syaitan aurat

MOHONLAH pertolongan ALLAH SWT dengan memanjatkan doa kepada-NYA kerana DIA adalah sebaik-baik PELINDUNG. Foto: Google

Anda juga boleh merujuk kitab himpunan doa seperti Hisnul Muslim (Perisai Muslim) karya Syeikh al-Qahtani, seperti yang disarankan pihak Mufti Wilayah Persekutuan.

Pun begitu, jangan lupa untuk memulakan apa-apa sahaja aktiviti atau perkara dengan basmalah kerana sabda Nabi SAW :

Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan menyebut nama ALLAH (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Pexels, Google & Unsplash