Browsing Tag

Doa malaikat

'Dekat' dengan ALLAH
Gaya Hidup,

4 Golongan Yang Mendapat Doa Malaikat

no comment

ALANGKAH bertuahnya jika kita sering diingati oleh orang lain, apatah lagi apabila nama kita acap kali meniti pada bibir setiap kali mereka berdoa.

Lazimnya, kita sering kali berdoa demi kesejahteraan diri, ibu bapa, ahli keluarga dan seluruh umat Islam secara keseluruhannya.

Bayangkan andai diri kita sentiasa menerima doa daripada orang lain. Betapa seronoknya kita kerana sering diingati.

Lebih bertuah lagi apabila makhluk ALLAH SWT yang paling taat kepada-NYA iaitu malaikat juga mendoakan diri kita. Sungguh, beruntunglah tuan punya badan.

Rupanya memang ada golongan tertentu yang akan mendapat doa malaikat sebagaimana yang diungkapkan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

DR AHMAD SANUSI

Jelas beliau, terdapat empat golongan yang dimaksudkan dan ia ada dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW seperti berikut:

1. Golongan yang bersedekah.

Orang yang gemar bersedekah akan menerima doa daripada para malaikat.

Sabda Rasulullah SAW: “Tiada satu pagi yang datang melainkan diutuskan dua malaikat dan salah satu malaikat tersebut berdoa: “Wahai Tuhanku, berilah pemberi sedekah gantian (yang lebih baik).” (Riwayat al-Bukhari)

Doa malaikat

AMALAN bersedekah begitu dituntut dalam agama Islam dan golongan berkenaan akan didoakan oleh para malaikat.

Baca juga Sedekah Benteng Diri Daripada Api Neraka

2. Golongan yang menunggu waktu solat.

Ketahuilah kelompok ini sangat istimewa di sisi ALLAH SWT. Ini kerana mereka seakan-akan sentiasa rindu untuk bertemu dengan ALLAH di dalam solatnya.

Golongan ini akan mendapat doa keampunan daripada para malaikat.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya para malaikat mendoakan ke atas mereka yang menunggu solat di tempat solatnya selagi mana dia berada dalam keadaan suci. Doa malaikat: “Ya ALLAH, ampunkanlah dirinya dan rahmatilah dirinya.”(Riwayat at-Tirmizi)

3. Golongan yang mengajarkan kebaikan.

Satu lagi golongan yang amat istimewa di sisi-NYA ialah mereka yang gemar mengajarkan kebaikan.

Bukan sahaja mendapat doa daripada para malaikat, bahkan, ALLAH SWT YANG MAHA AGUNG dan penduduk langit serta bumi mendoakan mereka yang termasuk dalam kelompok tersebut.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat-NYA serta ahli langit dan bumi sehinggakan semut dalam batu dan ikan di lautan mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Golongan yang berziarah kerana ALLAH SWT.

Doa malaikat

SEANDAINYA mendengar perkhabaran kenalan kita dalam kesakitan, ziarahlah jika berpeluang berbuat demikian. Namun, dalam era pandemik kini, seeloknya bertanya khabar menerusi kemudahan teknologi yang ada dan doakanlah mereka walaupun dari jauh.

Meskipun perbuatan itu kelihatan remeh, ketahuilah bahawa imbalannya bukan calang-calang.

Bahkan, Rasulullah SAW turut menjelaskan bahawa orang yang menziarahi orang yang sakit atau menziarahi saudaranya ikhlas kerana ALLAH SWT, maka dia akan memperoleh doa daripada para malaikat.

Sabda baginda SAW: “Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana ALLAH, maka nanti akan diseru dengan kata-kata: “Engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk engkau di syurga.” (Riwayat at-Tirmizi)

Subhanallah, tidak sangka walaupun perbuatan yang kita lihat ‘biasa-biasa’ pada mata kasar, rupanya begitu bernilai di sisi ALLAH SWT dan malaikat.

Justeru, Dr Ahmad Sanusi menasihatkan kita agar merebut peluang menjadi orang yang didoakan oleh-NYA dan para malaikat.

“Semoga ALLAH SWT membimbing kita,” ujarnya.

Mudah-mudahan asbab kita melakukan kebaikan itu, ALLAH SWT akan melorongkan kita ke jalan yang diredai-NYA dan mendapat rahmat-NYA.