Browsing Tag

doa kesembuhan

Doa untuk orang bukan Islam
Hukum, Soal Jawab Agama,

Harus mendoakan orang bukan Islam sembuh daripada penyakit, ini penjelasannya

SEJAK virus Covid-19 mula dikesan lebih dua tahun lalu, Malaysia melaporkan hampir 4 juta keseluruhan kes setakat artikel ini ditulis.

Melihat angka itu, memang agak menakutkan. Namun, segala ujian yang diberikan oleh ALLAH SWT itu harus diterima dengan hati terbuka, penuh sabar dan reda.

Saban hari, ada sahaja insan di sekeliling kita yang disahkan positif. Sedikit sebanyak hati dihambat rasa gusar melihat seorang demi seorang ‘rebah’.

Pun demikian, sebagai orang Islam yang beriman, kita perlulah menerima segala qada dan qadar yang telah ditentukan oleh-NYA. Percayalah setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

Bercakap tentang wabak corona, sememangnya ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira agama. Bolehkah orang Islam mendoakan kesembuhan orang bukan Islam yang turut dijangkiti penyakit berkenaan?

Doa untuk orang bukan Islam

Agama Islam sememangnya menuntut umatnya supaya berlaku ihsan atau dalam erti kata lain, melakukan kebaikan sesama makhluk.

Ini termasuklah juga sesama manusia. Mudah kata, kebaikan tersebut tidak terhad hanya kepada mereka yang menganuti agama sama dengan kita. Sebaliknya, ia perlu dilakukan tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan lain-lain.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Memetik artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-672: Hukum Mendoakan Kesembuhan Kepada Orang Bukan Islam Yang Dijangkiti Wabak yang disiarkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa keadaan yang mengharuskan umat Islam untuk mendoakan kebaikan kepada orang bukan Islam.

Antaranya seperti berikut:

1. Mendoakan orang bukan Islam dalam perkara-perkara berkaitan keduniaan.

Sebagai contoh, hal yang membabitkan urusan keduniaan seperti diberikan kekayaan dan kesenangan.

Perkara itu pernah dinyatakan oleh Imam Baihaqi tentang kisah ‘Uqbah bin Amir al-Juhani yang berdoa kepada kaum Nasrani dengan lafaz doa:

“Sesungguhnya rahmat dan berkat ALLAH hanya untuk orang-orang mukmin, akan tetapi semoga ALLAH memanjangkan umurmu dan memperbanyakkan hartamu serta anak-anakmu.” (al-Sunan al-Kubra: 19/71)

Baca juga Jaga adab, pelihara hubungan sesama manusia jika mahu doa kita diperkenankan-NYA

2. Berdoa supaya mereka diberi petunjuk dan hidayah.

Ia termasuk antara doa yang dibenarkan. Bahkan, umat Islam disarankan berbuat demikian.

Doa untuk orang bukan Islam

Para ulama mengharuskannya berdasarkan riwayat Abu Hurairah RA: “(Suatu hari) Thufail bin ‘Amr al-Dausi dan para sahabatnya datang kepada Nabi Muhammad SAW, lalu mereka berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya Qabilah Daus telah kufur dan menolak dakwah Islam, maka doakanlah keburukan untuk mereka!” Lalu yang berdoa itu berkata: “Hancurkanlah kaum Daus”. Baginda bersabda: “Ya ALLAH, berilah hidayah kepada Qabilah Daus dan datangkanlah mereka (kepadaku).” (Riwayat al-Bukhari)

3. Berdoa supaya diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik.

Perkara itu diharuskan selagi mana doa tersebut tidak melibatkan keampunan selepas mati.

Demikianlah pandangan majoriti ulama termasuk Imam Ibn Hajar al-Haytami. Dalam karangannya menerusi Tuhfat al-Muhtaj, beliau berkata: “Harus berdoa untuk orang kafir dalam perkara seumpama sihat tubuh badan dan hidayah.”

Melihat kepada semua keadaan tersebut, jelaslah bahawa tiada masalah kita berdoa supaya orang bukan Islam yang dijangkiti Covid-19 agar diberi kesembuhan.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, mendoakan kesembuhan sebenarnya termasuk dalam doa kepada orang yang ditimpa musibah.

“Malah, umat Islam digalakkan berbuat demikian lebih-lebih lagi terhadap orang yang ditimpa musibah dan dijangkiti wabak berbahaya supaya diberi kesembuhan.

“Ia antara salah satu ikhtiar untuk mengangkat wabak ini daripada terus merebak,” ungkapnya.

Foto: Freepik & Unsplash