Browsing Tag

doa iftitah

Tahiyat awal
Ibadah,

Pintu-pintu langit terbuka menyambut doa iftitah, jangan terlepas membacanya meskipun hanya sunat ketika tarawih

Pintu-pintu langit terbuka menyambut doa iftitah, jangan terlepas membacanya meskipun hanya sunat ketika tarawih

SEGELINTIR orang sering meninggalkan bacaan doa iftitah ketika menunaikan solat tarawih. Begitu juga dengan sebilangan imam yang memimpin solat berkenaan.

Andai semua tahu betapa besarnya fadilatnya, pasti ramai yang tidak akan melepaskan peluang berbuat demikian.

Pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya menjelaskan, pintu-pintu langit terbuka apabila doa iftitah dibacakan.

PU SALMAN

Pernyataan itu dikukuhkan lagi dengan hadis diriwayatkan daripada Ibn Umar.

Beliau berkata: “Sedang kami solat bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba ada seorang lelaki mengucapkan اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا.

Rasulullah SAW bertanya: “Siapa yang mengucapkan zikir ini?”

Seorang lelaki menjawab: “Aku, ya Rasulullah.”

Baginda kemudian bersabda: “Aku kagum kerana zikir ini menyebabkan pintu-pintu langit terbuka.”

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: “Demi ALLAH aku melihat zikir ini naik sehingga terbuka pintu-pintu langit untuk menyambut zikir ini.”

Sejak itu, Ibn Umar tidak pernah meninggalkan membaca zikir itu dalam solat. (Hadis Riwayat Muslim)

Subhanallah, begitu besar impaknya jika kita mengamalkan bacaan berkenaan.

Baca juga Usah tinggalkan doa iftitah, pembuka bicara dengan ALLAH ketika solat

Lantaran itu, PU Salman menitipkan pesan agar kita membaca zikir tersebut sebelum membaca Surah al-Fatihah waima dalam solat wajib ataupun sunat.

“Jangan kalut sangat hendak habiskan solat tarawih hingga lupa baca zikir ini.

“Tak dapat baca doa iftitah biasa yang panjang, jangan tinggalkan zikir pendek ini,” ungkapnya.

Fakta tersebut turut disokong oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam laman web Maktabah Albakri.

DR ZULKIFLI

Menerusi artikel bertajuk Doa Iftitah Ketika Solat Tarawih, beliau menjelaskan, umat Islam disunatkan membacanya pada setiap awal rakaat sembahyang sunat berkenaan.

“Ia berdasarkan keumuman dalil yang menyaranlan untuk membaca doa iftitah bagi setiap solat tidak kira sama ada ia sembahyang sunat ataupun fardu kecuali orang yang masbuk dan dalam solat jenazah,” katanya.

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu kemudian menukilkan beberapa pandangan daripada para ulama berkaitan perkara itu.

Antaranya Imam an-Nawawi pernah berkata: “Perkara yang disebutkan ini menjelaskan sunatnya membaca doa iftitah bagi setiap orang yang mendirikan solat. Ia termasuk juga solat sunat rawatib, solat sunat mutlak, solat sunat Hari Raya, solat sunat gerhana dan lain-lain pada permulaan qiam yang pertama (rakaat pertama). Bacaan tersebut dikecualikan pada dua tempat (iaitu solat jenazah dan orang yang masbuk).”

Sementara itu, Muhammad Ali ‘Allan dalam kitabnya al-Futuhat al-Rabbaniyah ‘ala al-Azkar an-Nawawiyah menjelaskan: “Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh orang ramai ketika solat tarawih ialah mereka meninggalkan doa iftitah, tasbih dan perkara sunat yang lain. Ia dianggap sebagai bermudah-mudahan dalam meninggalkan perkara sunat. Sedangkan perkara sunat itu membawa kepada kesempurnaan solat.”

Baca juga Bolehkah pejam mata ketika solat untuk tambah khusyuk?

Dalam artikel sama, Dr Zulkifli turut menyenaraikan beberapa lafaz ringkas dan mudah untuk panduan kita sebagaimana berikut:

1. سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، تَبَارَكَ اسْمُكَ، وَتَعَالَى جَدُّكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Maksudnya: “Maha suci ENGKAU, ya ALLAH. Ku sucikan nama-MU dengan memuji-MU. Nama-MU penuh keberkatan. MAHA TINGGI ENGKAU. Tiada Tuhak yang berhak disembah selain ENGKAU.”

2. اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “ALLAH MAHA BESAR dengan segala kebesaran, segala puji bagi ALLAH dengan pujian yang banyak, MAHA SUCI ALLAH, baik waktu pagi dan petang.”

Doa iftitah

PELBAGAI versi doa iftitah yang disebutkan dalam hadis sebagaimana dikongsikan oleh agamawan untuk kita baca ketika solat. -Foto: 123rf

3. الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ

Maksudnya: “Segala puji bagi ALLAH dengan pujian yang banyak, pujian yang terbaik dan pujian yang penuh keberkatan di dalamnya.”

4. اللَّهُ أَكْبَرُ ذُو الْمَلَكُوتِ وَالْجَبَرُوتِ، وَالْكِبْرِيَاءِ وَالْعَظَمَةِ

Maksudnya: “ALLAH MAHA BESAR. Yang memiliki kerajaan besar, kekuasaan, kebesaran dan keagungan.”

Semua doa berkenaan, ujar Dr Zulkifli, ia merupakan pelbagai versi doa iftitah dalam hadis sebagaimana dinyatakan oleh Imam an-Nawawi.

“Hukumnya sunat dalam solat wajib mahupun solat sunat,” jelasnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Pexels

doa iftitah
Ibadah,

Usah tinggalkan doa iftitah, pembuka bicara dengan ALLAH ketika solat

USAH tinggalkan doa iftitah, pembuka bicara dengan ALLAH ketika solat…

Solat fardu lima kali sehari yang diwajibkan ke atas seluruh umat Islam merupakan pasak agama yang mengetatkan iman kita terhadap agama.

Maka, tidak hairanlah mengapa ramai berusaha menyempurnakan solat menjadi tanda ketaatan kepada ALLAH YANG MAHA PENCIPTA.

Ketahuilah bahawa solat yang sempurna tidak terletak pada melunaskan rukun-rukunnya sahaja. Bahkan ia juga terdiri daripada beberapa perkara sunat bertujuan memperindah ibadah yang dilakukan itu.

Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

doa iftitah

BERUSAHALAH menyempurnakan segala ibadah yang dilakukan demi meraih keredaan ALLAH YANG MAHA ESA.

Perkara sunat dalam solat terbahagi kepada dua iaitu sunat ab’adh dan hai’ah. Kedua-duanya berfungsi sebagai pelengkap kepada sebarang kekurangan ada pada solat dan ia dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri dalam ibadahnya.

Jika ditinggalkan perkara-perkara sunat itu, solat yang dilaksanakan tetap sah. Pun begitu, kita digalakkan oleh para ulama untuk melakukannya dengan tujuan mencantikkan ibadah.

Malah ulama Islam, Syeikh Daud al-Fatani dalam kitabnya, Munyatul Musolli menyifatkan perkara sunat ab’adh sebagai anggota badan manakala sunat hai’ah pula adalah seperti rambut. Walaupun manusia mampu hidup tanpa anggota tersebut asalkan masih memiliki nyawa, hakikatnya kedua-duanya penting menyerikan penampilan diri.

Baca juga Rahsia kehebatan pergerakan solat di sebalik sains

Menyentuh tentang sunat hai’ah, ada suatu perbuatan yang sering ditinggalkan oleh umat Islam ketika solat tanpa menyedari fadilat besar yang tersembunyi di sebaliknya.

Perkara sunat yang dimaksudkan itu adalah bacaan doa iftitah.

Doa iftitah pembuka bicara dengan ALLAH

doa iftitah

DR AHMAD SANUSI AZMI

Pensyarah Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, doa iftitah diibaratkan sebagai suatu pembuka bicara dalam pertemuan kita bersama ALLAH SWT ketika solat.

Selain itu, doa tersebut juga mengandungi pujian dan tasbih yang mengagungkan ALLAH sehinggakan Rasulullah SAW menyaksikan pintu langit terbuka menyambut munajat tersebut sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis.

Baca juga Jangan terus beredar selepas solat, ini sebab-sebabnya

Menerusi hadis tersebut, Saidina Abdullah bin Umar menceritakan kisah seorang sahabat yang membaca bacaan zikir yang agak kuat di dalam solatnya.

Selesai solat, Rasulullah bertanya: Siapakah lelaki yang membaca zikir yang didengarinya itu. Sahabat tersebut telah mengucapkan lafaz ini:
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا ، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Pada mulanya sahabat tersebut mendiamkan diri kerana bimbang andai beliau telah melakukan kesalahan dalam solat. Namun akhirnya beliau mengaku juga.

Lalu Rasulullah bersabda: “Aku takjub dengan kalimah-kalimah zikir ini kerana pintu langit telah terbuka disebabkan ucapan lafaz (memuji ALLAH ini). (Hadis Riwayat Muslim)

Mendengarkan perkataan Rasulullah ini, Saidina Abdullah bin Umar berazam untuk tidak akan sekali-kali meninggalkan lafaz doa iftitah ini sepanjang usianya.

Baca juga Jangan abaikan 10 adab ini supaya doa dimakbulkan ALLAH SWT

doa iftitah

TERDAPAT lebih kurang 12 jenis doa iftitah yang diriwayatkan dalam pelbagai hadis.  Lafaz iftitah yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia pula adalah berdasarkan anjuran para ulama mazhab Syafie.

Doa iftitah ada pelbagai jenis

Seperti yang diriwayatkan dalam hadis, ada beberapa bentuk bacaan doa iftitah.

Antara bacaan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW pernah ditanyakan oleh Rabi’ah al-Jurasyi dalam sebuah hadis. Beliau berkata: “Aku bertanya kepada Aisyah RA: ‘Apakah yang telah dibaca oleh Nabi SAW sekiranya Baginda bangun beribadah di malam hari? Dengan apakah Baginda beriftitah?’

“Aisyah menjawab: “Baginda bertakbir sepuluh kali, bertasbih sepuluh kali, tahlil sepuluh kali dan beristighfar sepuluh kali, kemudian membaca doa‘اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَاهْدِنِي وَارْزُقْنِي sepuluh kali, kemudian membaca اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الضِّيقِ يَوْمَ الْحِسَابِ sepuluh kali.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Namun, bacaan doa iftitah yang afdal di sisi para ulama Syafie dan kini amalkan oleh kita adalah:

Allaahu Akbaru Kabiiraw

Walhamdu Lillaahi KatSiiRaw

Wa SubHaaNallaaHi Bukrataw-Wa AsiiLa.

WajjahTu WajHiya LillaDzii FaThaRas-                              SaMaaWaaTi Wal Ardh

Haniifam-Muslimaw Wamaa Anaa Minal                                        MusyRikiin.

Inna SolaaTii Wa Nusukii Wa MahYaaYa Wa MaMaaTii Lillaahi Robbil ‘AaLamiin.

Laa SyariiKaLahu Wa BiDzaaLika UmirTu                             Wa Anaa Minal Muslimiin

Maksudnya: “ALLAH MAHA BESAR, segala puji bagi ALLAH. MAHA SUCI ALLAH pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku kepada TUHAN yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan TUHAN. Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi ALLAH, TUHAN yang memiliki alam keseluruhannya. Tidak ada bersekutu dengan-NYA sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku dari golongan muslimin.”

Baca juga 9 doa para nabi yang boleh dijadikan amalan harian kita

Dalam melazimi doa iftitah, jangan lupa juga berusaha memahami makna di sebalik bacaan itu. Selain dapat meningkat khusyuk ketika solat, doa iftitah juga mengandungi pelbagai pujian kepada ALLAH SWT yang mendekatkan diri kita kepada-NYA.

Sumber: Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Facebook Prof Madya Dr Ahmad Sanusi & akuislam.com

Foto: Unsplash, Google, Freepik, & Facebook