Browsing Tag

Doa buat adik beradik

Berdoa
Gaya Hidup,

Titipkan Doa Buat Adik Beradik Kita, Ini Sebabnya

SEBAGAI umat Islam, kita dituntut supaya memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Ia bukan sekadar ekspresi memohon dan meminta-minta sesuatu.

Sebaliknya, doa juga merupakan manifestasi dari kebergantungan seorang hamba terhadap Sang Pencipta.

Apatah lagi saat berdoa, kita benar-benar menunjukkan kesungguhan mahukan sesuatu. Ketahuilah, sesungguhnya ALLAH tidak pernah memandang lekeh dan mensia-siakan setiap ungkapan doa daripada hamba-NYA begitu sahaja.

Malah, ALLAH YANG MAHA MENGASIHANI pada hakikatnya memberikan jaminan akan mengabulkan doa kita sebagaimana disebutkan dalam firman-NYA: “Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya mengenai AKU, maka (beritahu kepada mereka); sesungguhnya AKU (ALLAH) sentiasa hampir kepada (kepada mereka); AKU memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-KU. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-KU (dengan mematuhi perintah-KU), dan hendaklah mereka beriman kepada-KU supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Setiap kali menadah tangan, titipkanlah doa buat adik beradik kita sekali, demikian saranan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

DR AHMAD SANUSI

Jelas beliau, perbuatan itu sebenarnya dipelajari daripada kisah-kisah yang dirakamkan dalam al-Quran. Perkara itu dapat dilihat menerusi perlakuan Nabi Musa AS yang mendoakan abangnya, Nabi Harun AS.

Menurutnya, hubungan antara abang dan adik tersebut adalah antara perkara yang menarik untuk diterokai.

“Ini kerana, mereka digambarkan di dalam al-Quran sebagai adik beradik yang saling membantu dalam usaha dakwah.

“Nabi Musa dan Nabi Harun memiliki dua karakter berbeza yang ditampilkan di dalam al-Quran. Nabi Musa orangnya keras, sedangkan Nabi Harun pula sikapnya lembut.

“Ini dapat dilihat daripada peristiwa yang berlaku setelah kaum mereka menyeleweng daripada ajaran Islam, Musa memarahi abangnya Harun dengan menggenggam janggutnya dan menarik rambutnya. Sedang Harun membalas dengan baik,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga 4 Golongan Yang Mendapat Doa Malaikat

Dalam kalam ALLAH, peristiwa itu ada dirakamkan menerusi Surah Taha, ayat 94 yang bermaksud: “Nabi Harun menjawab: “Wahai anak ibuku (Nabi Musa)! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: “Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!” 

Ujar Dr Ahmad Sanusi, Nabi Harun AS digambarkan sebagai seorang yang fasih, sedangkan Nabi Musa barangkali tuturnya tidak berapa lancar.

“Perkara ini diakui sendiri oleh Nabi Musa ketika meminta bantuan daripada ALLAH supaya DIA mengutuskan Harun sebagai pembantunya kerana beliau lebih fasih dalam bertutur sebagaimana disebutkan dalam ayat 34, Surah al-Qasas.

“Menurut al-Imam Ibn Kathir, Nabi Musa mempunyai sejarah yang menyebabkan beliau menjadi sedemikian. Ketika kecil, beliau diberikan pilihan antara tamar dan bara api oleh Firaun untuk menguji anak kecil ini. Musa telah memilih bara lalu diletakkan pada lidahnya yang menyebabkan terdapat gangguan kepada lisan beliau.

Walaupun memiliki karakter yang berbeza, ahli akademik itu menjelaskan, dua beradik tersebut ialah pasangan yang ideal dalam dakwah.

“Ketika ALLAH memerintahkan Nabi Musa untuk berdakwah kepada Firaun, beliau memohon supaya ALLAH melantik Harun, abangnya sebagai pembantu.

“Pelantikan Nabi Harun sebagai pembantu Nabi Musa ini disebut berulang-ulang kali di dalam al-Quran. Ia menggambarkan betapa besar peranan Harun sebagai pembantu misi dakwah tersebut,” katanya.

ALLAH menceritakan dialog Musa di dalam al-Quran. Firman ALLAH SWT: “Dan jadikanlah bagiku, seorang pembantu dari keluargaku. Iaitu Harun saudaraku. Kuatkanlah pendirianku dengan sokongannya. Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku.Supaya kami sentiasa beribadah dan memuji-MU.” (Surah Taha, ayat 30-34)

Doa buat adik beradik

JANGAN lupa mendoakan adik beradik kita saat kita menadah tangan berdoa kepada ALLAH SWT.

Dalam pada itu, ahli akademik itu menambah, nabi-nabi ALLAH SWT itu bukan sahaja saling membantu, malah Nabi Musa juga direkodkan turut mendoakan keampunan buat abangnya.

“Berapa ramai dikalangan kita yang mendoakan sesama adik beradik sendiri?,” soalnya menyedarkan masyarakat tentang realiti kehidupan pada hari ini.

Ungkapan doa Nabi Musa tersebut berbunyi: “Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam syurga.” (Surah al-A’raf, ayat 151)

Melihatkan kepada doa ini, jelas Dr Ahmad Sanusi, alangkah baiknya andai kita sesama adik beradik itu saling mendoakan kebaikan dan keampunan agar mereka sentiasa berada di dalam rahmat ALLAH SWT

“Semoga ALLAH membimbing kita,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.

Justeru apa jua keadaan kita, jangan lalai. Sebaliknya, terus berdoa secara berterusan kerana begitu besarnya kuasa doa kepada kita.

Semoga ALLAH memperkenankan doa hamba-NYA yang tulus.

Foto: Pexels, Freepik & Unsplash