Browsing Tag

Ditimpa ujian

rachid-oucharia--5KiYzyuqV8-unsplash
Aqidah,

Diuji hingga jatuh berkali-kali, kembali kepada ALLAH, pasti ada solusi menanti

Diuji hingga jatuh berkali-kali, terus bertahan, jangan patah hati. Kembalilah kepada ALLAH, pasti ada solusi menanti

 

HIDUP manusia tidak akan sunyi dari ujian. Kata orang, dugaan yang hadir mematangkan diri. Ada orang mungkin diduga dari segi kewangan, kehilangan orang tersayang, perkahwinan yang tidak bahagia dan sebagainya.

Hakikatnya, ujian bukan sekadar perkara yang nampak negatif sahaja, bahkan perkara yang elok pun adalah ujian buat Muslimin. Contohnya anda dikurniakan kerjaya yang stabil, rumahtangga yang sangat harmoni atau anak – anak yang meningkat usia dewasa namun sangat mengambil berat kepada orang tua. Ujiannya ialah agar sentiasa istiqamah menjaga amanah yang ALLAH berikan itu.

Firman ALLAH yang bermaksud,“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa apabila dikatakan kepada kamu, ‘Berangkatlah untuk berperang di jalan ALLAH’, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Adakah kamu lebih menyukai kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini hanyalah sedikit dibandingkan dengan kehidupan di akhirat. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya ALLAH akan menghukum kamu dengan azab yang pedih dan menggantikanmu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan merugikan ALLAH sedikit pun. Dan ALLAH MAHA BERKUASA atas segala sesuatu.” (Surah At-Taubah, ayat 38-39)

Ujian seringkali menuntut pengorbanan. Keikhlasan hati tatkala mendepani tribulasi dan cekalnya anda mengharungi segenap onak ranjau itu pasti akan membuahkan hasil yang tidak terkira hebatnya.

empat kisah rasulullah menangis

ADAT kehidupan, diduga dengan ujian, masalah dan segala pancaroba Sabar adalah kuncinya. Kembalilah kepada ALLAH, semoga ditunjukkan jalan keluar

 

Baca juga:

Ubati segera penyakit hati, jangan dibiarkan melarat kelak menyusahkan emosi dan fizikal

Tanda taubat diterima akhlak berubah baik, mudah lakukan ibadat

Sahabat Nabi sanggup tebus nyawa..

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW juga telah melalui mehnah yang serupa tatkala hidayah menyapa diri mereka.

Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil, Editor Kanan Penerbitan al-Quran Karya Bestari, menceritakan betapa tingginya nilai pengorbanan yang dicurahkan oleh salah seorang sahabat Nabi.

Ustaz Mohamad Amiro Safwan

Satu peristiwa ketika berlangsungnya peperangan Uhud menjadi bukti semangat pengorbanan itu. “Anas bin Malik menceritakan kehebatan peribadi bapa tirinya Abu Talhah al-Ansari, salah seorang sahabat Nabi. Ketika umat Islam dibadai Perang Uhud, ada tentera Muslimin bertempiaran lari. Namun salah seorang perajurit Muslim bernama Abu Talhah dengan penuh berani menerpa tempat perlindungan Rasulullah SAW.

“Kalimah pertama yang beliau ungkapkan ialah: “Ya Rasulullah, aku tebus nyawamu dengan nyawa ayah dan ibuku (bermaksud: aku lebih rela ayah dan ibuku mati di depanku tapi aku tak sanggup tengok kamu mati). “Ayuh Nabi ALLAH, kamu kekal di belakangku, jangan angkat kepalamu yang menyebabkan musuh melihatmu. Tidak mengapa kalau aku dipanah musuh kerana kematianku tidak meninggalkan kesan apa-apa kepada agama, tetapi kalau kamu mati Islam akan rugi.

“Begitu teguh sekali iltizam para sahabat. Mereka bukan beretorik dengan jejeran ungkapan pengorbanan bahkan sanggup ke depan demi membuktikan kecintaan kepada Rasulullah,“ ungkapnya lagi.

Pengorbanan hanya kerap diingati ketika Hari Raya Haji dan Hari Kebangsaan, bagaimana pula cara untuk Muslimin mengekalkan aura, momentum pengorbanan serta pengabdian terhadap Islam dalam jiwa?

Berkongsi pandangannya berhubung isu ini, Ustaz Amiro berkata, “ALLAH SWT telah mengajarkan, kalau kita letakkan sepenuhnya pergantungan serta bertawakkal kepada-NYA, maka insya-ALLAH, DIA akan sediakan solusi dalam setiap musibah yang dilalui,“ jelasnya.

Beliau memetik firman ALLAH dalam surah at-Talaaq, ayat 2 dan 3 yang bermaksud : “Dan sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH (dengan mengerjakan suruhan-NYA dan meninggalkan larangan-NYA), nescaya ALLAH akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada ALLAH, maka ALLAH cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya ALLAH tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-NYA. ALLAH telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

 

Hanya kalimah ALLAH bersemadi

“Ayat ini menerangkan bahawa ALLAH ingin mendidik kita bahawa rezeki bukan di tangan manusia. Bahkan ALLAH yang mengizinkan rezeki sampai sama ada melalui ikhtiar kita dan perantaraan orang lain,“ jelas beliau lagi.

Apabila momentum dan jiwa rela berkorban meresap di dalam diri, hanya kalimah ALLAH kekal bersemadi. Melanjutkan bicara, Ustaz Amiro menyelak sebuah lagi kisah tentang Asmai‘e, seorang sasterawan Arab yang hidup pada era tabiin (generasi selepas sahabat nabi).

“Asmai‘e ketika itu dalam permusafiran dan di pertengahan jalan bertemu seorang Arab Badwi. Seketika mereka bertanya khabar, Asmai‘e menjelaskan, beliau berasal dari daerah yang dibacakan ayat-ayat ar-Rahman (ayat al Quran).

Orang Badwi itu meminta Asmai‘e membacakan ayat al-Quran kepadanya, lalu Asmai‘e memilih untuk membaca ayat 1 hingga 22, daripada surah az-Dzariyat iaitu ayat-ayat tentang rezeki. “Usai mendengar kalamullah, si Arab Badwi terus turun dari untanya lantas menyembelih haiwan itu.

“Dia mengajak Asmai‘e membantu mengagihkan daging unta kepada orang ramai, sehingga pedang dan senjata miliknya ditumpulkan untuk dihadiahkan kepada sesiapa sahaja yang ditemui.

 

Lazimkan membaca al-Quran, rujuk terjemahan dan tafsir, ia akan memberi kemanisan kepada jiwa. Yakinlah, apabila kebergantungan kepada ALLAH semakin kuat. ALLAH akan sediakan jalan keluar. Seterusnya didikan ALLAH akan sampai kepada kita

 

“Asmai‘e sangat takjub dengan ketakwaan lelaki itu. Detik hatinya, “si Arab Badwi itu baru sahaja mendengar ayat tersebut buat pertama kali tetapi begitu beriman dengannya. Sedangkan aku sudah membacanya ratusan kali tetapi tidak berbekas sedikit pun dihati. Demi ALLAH aku bersaksi, apabila ALLAH menyebut, ‘apabila dibaca ayat-ayat-MU maka bertambahlah keimanan,“ ceritanya panjang lebar.

USAH mengeluh kerana ALLAH SWT tidak akan menguji hamba-NYA melebihi kemampuan mereka. Foto: Google

Baca juga: Al-Quran Mukjizat Teragung dan Abadi

Nyata di sini, kata Ustaz Amiro, al-Quran adalah kaedah mendidik hati kerana saban hari kita melihat peristiwa dalam al-Quran, apa yang berlaku, yang tersirat daripada maksud ayat-ayat al-Quran, justeru inilah perkara yang perlu diambil manfaat.

“Demi mengekalkan vibe dan jiwa pengorbanan terhadap agama, sentiasalah melazimi (membaca) al-Quran, rujuk kepada terjemahan dan tafsir, ia akan memberi kemanisan kepada jiwa. Yakinlah, apabila kebergantungan kepada ALLAH semakin kuat. ALLAH akan sediakan jalan keluar. Seterusnya didikan ALLAH akan sampai kepada kita,“ ujarnya mengakhiri bicara.

pexels-rodnae-productions-7249346
Berita Semasa, Gaya Hidup,

[VIDEO] Bersabarlah bila ditimpa ujian. Begitu besar rupanya hadiah orang yang bersabar…

TATKALA dihimpit dengan ujian, jiwa mudah gelisah dan hati menjadi resah. Runsing memikirkan keadaan diri.

Bukan itu sahaja, ada segelintir orang pula mudah melenting dengan ujian yang diberikan oleh ALLAH SWT. Masakan tidak, ketika itu memang emosi kita agak rapuh.

Apatah lagi jika ia melibatkan ujian yang besar dalam hidup. Benar, kita hanyalah manusia biasa. Perasaan sedih itu memang menjadi lumrah bagi setiap insan.

Namun begitu, usahlah kita terus-terusan bersedih apalagi seolah-olah bersikap menyalahkan takdir.

Islam sebenarnya sudah menyediakan garis panduan dalam kita menghadapi ujian.

Ujar Pengurus Syariah Unit Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abd Rahman, tiada masalah untuk kita melihat semula ujian yang dialami.

AHMAD HUSNI

Namun, pada masa sama, beliau mengajak kita berfikir ke hadapan kerana itulah sebenarnya yang harus kita perbaiki.

Firman ALLAH SWT: “Demi sesungguhnya! KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

“Jika dilihat, semua ujian itu ada disebut dalam al-Quran termasuklah perihal perbendaharaan, kekayaan dan perniagaan.

“Semua perkara itu berkait rapat dengan kehidupan kita dan dengan perkara itu jugalah setiap manusia akan diuji,” katanya.

Baca juga Covid-19: Perbanyakkanlah sedekah, wakaf, hibah, infak, zakat dan hadiah bantu golongan terjejas

Andai kita mendapat ujian, Ahmad Husni menasihatkan agar umat Islam tidak memaki hamun waima melenting dengan sewenang-wenangnya.

“Setelah itu, kita tiba-tiba mengaku ‘mujur saya sabar’. Ketahuilah, itu bukan sabar dalam erti kata sebenar.

“Sebenarnya, sifat sabar itu perlu ada saat pertama kali kita ditimpa ujian berkenaan.

Ditimpa ujian

BERSABARLAH andai diri ditimpa dengan ujian.

“Ketika itu, kita berfikir dan kembali kepada ALLAH SWT kerana segala perkara yang direncanakan itu adalah hak ALLAH,” ujarnya.

Justeru, beliau menitipkan pesan agar kita hiasilah diri dengan sifat sabar kerana ganjarannya yang bakal diraih bukan calang-calang.

“Mereka yang bersabar itu bukan sahaja akan mendapat pujian ALLAH, bahkan akan memperoleh rahmat-NYA.

“Satu lagi bonus, golongan itu bakal diberikan hidayah untuk keluar daripada masalah tersebut,” katanya.

Subhanallah, begitu besarnya imbalan kepada mereka yang sabar dan reda atas ujian yang diberikan. Mudah-mudahan kita dikurniakan sifat sabar yang tinggi dalam setiap perkara.

Foto: Freepik & Pexels