Browsing Tag

diskusisinarislam

Bayar zakat walaupun bukan Islam
Isu,

Bekas banduan boleh mohon bantuan zakat jika termasuk kategori asnaf

ISTILAH bekas banduan tidak wujud dalam ‘kamus’ Islam. Justeru, tiada isu golongan tersebut tidak boleh memohon bantuan di bawah institusi zakat andai mereka termasuk dalam lapan senarai kelompok asnaf selagi bergelar Muslim.

Demikian komentar Ketua Unit Pembangunan Asnaf, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP), Ustaz Md Hashrul’din Amdan ketika ditanya berhubung bentuk bantuan kepada bekas banduan untuk kembali meneruskan kehidupan selepas dibebaskan.

Jelas beliau, di bawah skim bantuan zakat MAIP, terdapat banyak jenis bantuan seperti modal dan peralatan, sara hidup, mualaf serta lain-lain.

“Kita tidak memilih waima mereka banduan atau bekas banduan, selagi dia orang Islam dan termasuk sebagai asnaf tidak kiralah sama ada fakir, miskin atau al-gharimin, mereka layak dapat bantuan.

USTAZ MD HASHRUL’DIN

“Cuma kena buat permohonan. Setakat ini, pihak kami tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana bekas banduan atau persatuan tertentu untuk bantuan zakat. Yang ada hanyalah daripada program Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (DiC),” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini. Bukan sahaja bantuan, Ustaz Md Hashrul’din menjelaskan, MUIP mempunyai sebuah penempatan asnaf yang dikenali sebagai Pusat Komuniti Asnaf Bukit Kenau melibatkan sebanyak 80 unit jika mereka memerlukannya.

Baca juga Tunai zakat bukan untuk tambah rezeki? Umat Islam diminta jangan salah faham objektif tunaikan Rukun Islam ke-4 itu

Peluang pekerjaan

Kepada golongan asnaf termasuk bekas banduan dalam kategori berkenaan di Pahang, katanya, mereka boleh cuba membuat permohonan tertakluk kepada kekosongan.

“Jika ada ruang, kami akan hubungi mereka dan panggil menghadiri sesi temuduga untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak boleh mendiaminya secara percuma selagi mana mereka bergelar asnaf.

“Pada masa ini, terdapat 25 unit penempatan dalam proses baik pulih, insya-ALLAH kita akan buat kemasukan baharu pada tahun depan.

“Dalam penempatan itu juga, kami dalam proses untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada komuniti di situ,” katanya sambil menjelaskan antara kriteria pemohon yang dipertimbangkan termasuklah kategori fakir, miskin dan keutamaan diberikan kepada mereka yang berkeluarga serta tiada tempat untuk dituju.

KEPADA kelompok asnaf, mereka boleh mengisi borang permohonan untuk bantuan tertentu sebelum proses saringan dan tapisan dilakukan oleh pihak berkuasa agama di negeri masing-masing. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: FREEPIK

Bagi penceramah bebas, Ustaz Mohamed Sabir Jamaludin, bekas banduan memerlukan rumah perlindungan untuk mereka memulakan kembali kehidupan selepas lama ‘dikurung’.

Lebih-lebih lagi mereka yang sebatang kara, sudah berusia lanjut dan hidup dalam buangan serta langsung tiada sumber kewangan.

Sebagai penceramah jemputan yang terlibat dalam program pemulihan dan rawatan di penjara, beliau melihat peri pentingnya hal perkara tersebut pada masa sekarang.

Baca juga Peluk Islam ketika dalam penjara, bekas banduan kini jadi pendakwah

“Ada dalam kalangan mereka memang benar-benar telah insaf, tetapi tidak diterima oleh masyarakat. Ke mana mereka hendak pergi? Di mana mereka hendak tidur?

“Lebih-lebih lagi bekas banduan yang sudah tua dan tiada sesiapa,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di pejabatnya di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Jati diri bekas penghuni penjara

Meskipun perkara itu kelihatan remeh, namun sewajarnya perkara itu perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini memandangkan ia berkait rapat dengan soal akidah mereka.

“Kita tidak mahu lihat ada pihak lain yang membantu kelompok ini, seterusnya menarik mereka dalam dakyah yang memesongkan,” tegas beliau.

Sebelum ini, bekas Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Ibrisam Abdul Rahman yang kini merupakan Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Jabatan Penjara Malaysia pernah menyuarakan perkara sama pada tahun lalu.

Memetik laporan media tempatan, beliau meluahkan rasa sedih kerana kurangnya pembabitan NGO Islam di negara ini dalam membantu bekas banduan dari aspek pemulihan, sokongan dan mendapatkan pekerjaan, sebaliknya lebih cenderung kepada isu di luar negara.

Perkara itu diberitahu ketika Perbincangan Meja Bulat Mengenai Proses Integrasi Semula Bekas Banduan Dalam Masyarakat secara maya dan turut disertai bekas Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Jerald Joseph serta beberapa NGO lain.

Baca juga Pernah bergelar banduan, bekas guru ini bangkit daripada kisah silam

Selain bekas banduan, Ustaz Mohamed Sabir yang juga Presiden Pertubuhan Alif dan Ketua Pegawai Eksekutif Alif Consultant Plt berpandangan, penghuni penjara juga memerlukan ‘suntikan luar’ untuk memantapkan jati diri mereka apabila dibebaskan kelak. “Mereka bukan hanya perlu solat dan baca al-Quran sahaja, tetapi juga kena memahaminya. Jika tidak tahu inti patinya akan memberi implikasi kepada jati diri mereka.

USTAZ MOHAMED SABIR

“Walaupun para banduan sudah diberikan bimbingan agama oleh kader daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan pegawai penjara, namun kita ada banyak NGO Islam di luar. Mungkin mereka boleh menghulurkan bantuan berbentuk ceramah motivasi kepada penghuni tirai besi.

“Pihak institusi pengajian tinggi pula boleh bantu mereka dari segi cara hidup dengan memberikan sijil-sijil pencapaian tertentu,” sarannya.

MESKIPUN ayah kita sudah meninggal dunia, terdapat pelbagai jenis bakti yang boleh ditunaikan oleh seorang anak.
Panduan,

Jaga adab, pelihara hubungan sesama manusia jika mahu doa kita diperkenankan-NYA

PENDAKWAH terkenal Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau dikenali sebagai Da’i Fuad berkata, ALLAH mendengar doa setiap hamba-NYA, waima individu itu seorang pendosa menerusi sifat-NYA YANG MAHA MENDENGAR.

Ia sebagaimana doa yang dibaca semasa sujud sahwi, ‘MAHA SUCI ALLAH yang tidak tidur dan tidak lupa.’

Jelas agamawan itu, tahap kemakbulan doa sebenarnya berbeza mengikut peringkat.

“Kita perlu memahami, ALLAH SWT tidak terikat dengan kewajipan dan bebas daripada apa-apa (kewajipan) bagi memakbulkan doa kerana ada (doa) yang diawalkan dan ada yang ditundakan,” katanya.

Memberi contoh, Da’i Fuad menceritakan bagaimana hasrat Nabi Ibrahim AS yang mahu Makkah menjadi makmur. Namun demikian, DIA hanya perkenankannya pada zaman Nabi Muhammad SAW.

“Terdapat juga doa yang ALLAH makbulkan secara langsung iaitu doa Nabi Muhammad SAW ketika dalam peperangan Badar. Ada juga doa Nabi Muhammad SAW yang ditunda seperti doa baginda agar umat Islam bersatu hati seperti di Masjid Ijabah yang mana doa itu tidak diambil oleh ALLAH SWT dan menjadi ibadah di sisi-NYA,” jelasnya.

Dalam pada itu, Da’i Fuad berkata, memutuskan silaturahim juga antara sebab doa seseorang tidak sampai. Kata-kata itu diperkukuhkan dalam Hadis Riwayat Ahmad.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah seseorang Muslim memanjatkan doa kepada ALLAH selama tidak ada padanya dosa dan memutuskan silaturahim (antara kerabat) melainkan ALLAH akan beri kepadanya tiga perkara iaitu ALLAH akan segera mengabulkan doanya, ALLAH akan menyimpan baginya di akhirat kelak dan ALLAH akan menghindarkan darinya keburukan yang seumpamanya.”
Para sahabat berkata: “Kalau begitu, kami akan perbanyakkan doa.” Nabi SAW lantas berkata: “ALLAH nanti yang memperbanyak mengabulkan doa-doa kamu.”

“Ya, kita mengeluh apabila ALLAH SWT tidak makbulkan doa yang dipohon, tapi dalam tidak sedar kita langsung tidak menjaga hubungan dan adab sesama manusia. Justeru, peliharalah hubungan kita bersama,” nasihatnya.

BACA JUGA Sebab musabab doa kita kita tidak dimakbulkan oleh ALLAH YANG MAHA ESA. Ini yang selalu kita tak perasan

Antara tertib doa yang boleh diamalkan:

  • Bertaubat kepada ALLAH terlebih dulu dengan mengerjakan solat sunat taubat dan beristighfar.
  • Dirikan solat sunat lain seperti solat tasbih, solat tahajjud dan witir sebelum berdoa.
  • Menadah tadah tangan ke arah kiblat sambil menghadirkan rasa ikhlas di dalam hati dan bersungguh-sungguh untuk memohon hajat ke hadrat ALLAH SWT.
  • Memulakan doa dengan bertasbih seperti alhamdulillah. Kemudian berselawat ke atas baginda.
  • Lafazkan permohonan dengan rasa rendah diri dan suara yang sederhana kuat.
  • Berdoalah dengan sepenuh hati dan yakin bahawa DIA akan memakbulkan doa kita.
  • Ulangi doa sebanyak tiga kali. Akhiri doa dengan memohon keselamatan hidup di dunia dan akhirat, diikuti selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan memuji-NYA.

Antara waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa adalah:

  • Sepanjang bulan Ramadan terutamanya pada malam Lailatul Qadar.
  • Satu pertiga malam iaitu dari waktu tengah malam sehingga waktu fajar.
  • Pada hari wuquf di Arafah.
  • Sepanjang hari Jumaat.
  • Malam dua hari raya iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
  • Setiap kali selepas solat fardhu.
  • Waktu antara azan dan iqamat.
  • Ketika sujud dalam solat fardhu.
  • Selepas solat Asar.
Berita Semasa,

Sifat riak, sombong boleh membuatkan manusia mudah lupa kepada YANG MAHA ESA

MENURUT pendakwah Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, ALLAH SWT sangat membenci hamba-NYA yang bersifat riak.

Mengapa? DIA mengetahui bahawa perbuatan tercela itu akan menyebabkan manusia melupakan-NYA. Ia juga menjadi punca persengketaan sesama manusia sehingga mampu menumpahkan darah jika tidak diatasi sebaik-baiknya.

Disebabkan itulah ALLAH SWT mengutuskan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang mempunyai semua sifat terpuji kepada umat akhir zaman,” kata Timbalan Dekan Jaringan dan Alumni, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Justeru, ujar beliau, seluruh umat Islam disarankan menjauhi sifat riak kerana ia merupakan perbuatan yang amat tidak disenangi oleh ALLAH SWT dan juga Nabi Muhammad SAW.

Daripada Abdullah Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW berkata: “Tidak akan masuk ke dalam syurga, seseorang yang di dalam hatinya (walaupun sebesar zarah) sifat riak (sombong).” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Amalan Ditolak Jika Riak Beribadah


Merujuk kepada hadis berkenaan, beliau berkata, sifat terkutuk berkenaan jika terus diamalkan boleh mengheret seseorang terus ke neraka.
Selain ditimbuni harta yang melimpah seperti yang disebut oleh pendakwah Mohamad Amiro Safwan Mohamad Kamil, penceramah itu berkata, segelintir individu memilih bersikap sedemikian rupa kerana sentiasa berfikir dirinya sahaja yang betul.

Mereka juga dilihat gemar memperlekehkan kemampuan orang lain kerana baginya, hanya dia yang mampu melakukannya. Golongan itu juga rasa tiada orang yang lebih hebat melainkan dirinya saja dan dia memiliki lebih daripada orang lain. Tidak kurang yang sangat berbangga dengan pangkat dan darjat serta keturunan yang dimiliki,” ujarnya.

Selain riak, manusia juga kata beliau, dicegah daripada berperlakuan sombong selama mana mereka bernafas di muka bumi ini.
Dalam Surah Lukman, ayat 18: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong), dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Sesungguhnya, ikhlas beribadah semata-mata kerana ILAHI dengan sendirinya akan memperkuatkan mental kita daripada menjauhi riak, kata Dr Mohd Izhar.

Justeru, bagi menghindarinya, kita dianjurkan membaca doa ‘Allahumma inni a’udzubika an usyrika bika wa ana a’lamu wa astagfiruka lima la a’lam.’

Ia membawa maksud: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada-MU daripada perbuatan menyekutukan-MU di saat aku mengetahui dan aku mohon ampunan dari riak di saat aku tidak mengetahui.”

Foto: Arifur Rahman/Pexels

Teladani cara Uwais al-Qarni menyantuni ibunya yang lumpuh
Inspirasi,

Teladani cara Uwais al-Qarni menyantuni ibunya yang lumpuh. Sesungguhnya, kasih ibu sampai ke syurga

PENGORBANAN wali ALLAH yang dikenali seluruh penduduk langit, Uwais al-Qarni dalam menyantuni ibunya harus menjadi ikutan setiap insan bergelar anak, kata Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Amiruddin Mohd Sobali.

Ujarnya, Uwais ialah seorang anak yatim yang hidup bersama ibunya yang lumpuh. Dalam satu riwayat, mengatakan ibunya buta. Sebagai anak, beliau menggalas setiap tanggungjawab dengan penuh ketaatan.

Pun demikian, terdapat satu permintaan ibunya yang agak berat untuk direalisasikan beliau. Wanita uzur tersebut mahu menunaikan haji, sedangkan hal itu sangat sukar dilakukan kerana mereka serba kekurangan.

Namun, Uwais tidak mengecewakan ibunya. Cuba kita letakkan diri di tempat Uwais yang sanggup berkorban dengan berlatih mengendong lembu di atas belakangnya. Saya pasti pengorbanan itu termasuk dari aspek tenaga, masa dan wang ringgit sukar untuk dilakukan oleh seseorang,“ katanya.

Amiruddin kemudian memetik Hadis Riwayat Imam Ahmad. Seorang sahabat bertanyakan baginda siapakah yang patut dilebihkan baktinya? Kemudian baginda menjawab, ibulah yang perlu diutamakan.

“Jawapan itu diulang sebanyak tiga kali dan diakhiri dengan berbakti kepada bapa. Sesungguhnya, mendahulukan ibu berbanding ayah adalah satu kewajipan dalam Islam. Setiap kewajipan yang dilaksanakan pula amat disukai oleh ILAHI.

“Kecintaan ALLAH SWT akan menarik rahmat-NYA terhadap anak yang mendahulukan ibu. Antara rahmat-NYA adalah dikabulkan doa seperti mana yang berlaku ke atas diri Uwais sehingga Rasulullah SAW memerintahkan Umar al-Khattab RA mencari beliau,“ jelasnya.

Baca juga Anak derhaka tidak akan pernah cium bau syurga. Itu jaminan ALLAH kepada si Tanggang moden

Menyambung kisah Uwais, sebaik pemuda berhati mulia dan ibunya sampai di hadapan Kaabah, beliau terus berdoa memohon ALLAH SWT mengampunkan segala dosa-dosa ibu dan tiada langsung doa untuk dirinya sendiri.

Wanita itu bertanya kepada anaknya, kenapa tidak berdoa untuk diri sendiri? Jawab Uwais, beliau mengharapkan reda ALLAH SWT. Lihat, betapa Uwais berusaha sedaya mungkin untuk tidak mencalarkan hati ibunya.

“Menyakiti hati dan perasaan ibu bapa sudah dikira berdosa besar, maka menyakiti mereka secara fizikal jauh lebih besar. Perkara ini wajib diketahui oleh setiap Muslim jika mahu hidup sentiasa dilimpahi keberkatan dan kebaikan daripada ALLAH SWT,“ katanya.

Foto: kalam.sindonews.com