Browsing Tag

diplomatik

Republika
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Sentimen Generasi Muda Arab masih Tebal memihak kepada Palestin

no comment

SOKONGAN dipamerkan jutaan generasi muda Arab yang rata-rata mengutuk serangan Israel terhadap Gaza bulan lalu, membuktikan sentimen pro Palestin masih tebal di Asia Barat.

Ia sekali gus menyangkal naratif bahawa golongan muda Arab tidak hirau lagi kepada nasib rakyat Palestin dan juga menyukarkan usaha Israel untuk meluaskan jalinan hubungan dengan lebih banyak lagi negara Arab.

Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan mengiringi Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika berkunjung ke UAE tahun lalu. Gambar: Middle East Eye

Tahun lalu, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah menjalin hubungan diplomatik dengan Tel Aviv dalam langkah yang dirancang oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perkembangan itu diikuti dengan Bahrain, Maghribi dan Sudan yang masing-masing turut bersetuju menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Namun pertempuran terbaharu bulan lalu mungkin membantutkan agenda AS-Israel ini.

Penganalisis Politik Arab, Sami Hamdi. Gambar: aHaber

“Peperangan yang berlaku di antara Israel dan Hamas baru-baru ini menunjukkan bahawa UAE tidak sewenang-wenangnya dan tidak berkuasa untuk menghentikan pencerobohan Israel dan membela nasbi rakyat Palestin,” kata Penganalisis Politik Arab, Sami Hamdi kepada TRT World.

Berjuta aktivis muda Palestin termasuk pelajar dari seluruh dunia mengadakan demonstrasi jalanan dan mengutuk kekejaman Israel dan menerusi media sosial membantah pencerobohan rejim Zionis sejak bulan lalu.

Dalam tempoh 11 hari bulan lalu, tentera Israel melepaskan ribuan peluru berpandu ke arah wilayah Palestin khususnya di Gaza hingga membunuh 256 orang Palestin, termasuk 66 kanak-kanak. Sekurang-kurangnya 72,000 orang Palestin cedera ketika serangan itu.

“UAE tampak kurang berpengaruh di mata penduduk Arab sejak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel,” kata Hamdi, yang juga ketua Kepentingan Antarabangsa, Kumpulan Analisis Risiko Politik.

“Aspirasi serantau UAE telah menghadapi beberapa kegagalan tahun lalu, terutama di Yaman hingga memaksa mereka membawa pulang tenteranya.

“Sebelum konflik berlaku antara kumpulan Israel dan Hamas, UAE masih mempunyai pengaruh di wilayah Yaman hingga ke Libya, tapi itu mungkin akan berubah selepas ini, kata Hamdi.

Emiriyah telah menyokong agenda Trump dengan harapan orang Palestin dapat dipujuk dengan insentif kewangan.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, gambar-gambar orang Israel menghiasi media sosial dari UAE dan menjadi viral. Sebilangan pelayar internet mengatakan generasi baharu Arab seolah tidak lagi berminat dengan perjuangan Palestin.

Prof Dr. Sami al Arian. Gambar: Tampa Bay Times/ZUMAPRESS.com)

Tidak ada yang lebih jauh dari kebenaran.

Seorang Profesor Palestin-Amerika yang terkenal, Sami al Arian berkata penentangan Palestin terhadap pencerobohan Israel telah membimbangkan UAE, kerana ia akan menghindar negara-negara Teluk lain memulihkan hubungan dengan Israel.

“Sikap berlembut yang diambil terhadap Israel tidak disokong oleh rakyat mereka sendiri,” kata Arian kepada TRT World.

Walaupun ada kelebihan ketenteraan yang disokong oleh bantuan Amerika Syarikat dengan sumbangan bernilai berjuta dolar, Israel tidak dapat menindas kumpulan penentang Palestin.

“Itu telah menyebabkan lebih ramai masyarakat di dunia Arab mempersoalkan rasionalisasi mengadakan normalisasi hubungan dengan Israel, kata Arian.

Seorang lelaki Emirat, yang memakai topeng pelindung dengan bendera Amerika, Israel dan Emirati, melihat kedatangan delegasi AS dan Israel di Abu Dhabi, 31 Ogos 2020. (Christopher Pike / Arkib Reuters)

Mitos normalisasi

Hamdi pula berkata, sebelum ini ada yang melihat normalisasi hubungan UAE dengan Israel sebagai usaha yang boleh membawa kedamaian segera di rantau itu. Namun pandangan itu kini terbukti satu mitos.

Pakar penganalisis itu berkata konflik terbaharu membuktikan tidak wujud jurang pandangan antara penduduk Arab generasi baharu dan lama yang rata-rata pro Palestin.

“Naratif yang menyatakan generasi muda tidak lagi menghirau nasib rakyat Palestin adalah mitos sama sekali,” katanya.

Bahkan orang yang dekat dengan pemerintah UAE, seperti Abdul Khaleq Abdulla, seorang profesor sains politik yang berpusat di UAE, memberi amaran mengenai bahaya kehilangan sokongan popular dalam isu Palestin.

Dalam ciapan tweetnya, Abdulla mengatakan Abu Dhabi memerlukan usaha untuk memenangkan pendapat masyarakat Arab dengan agenda Emiriyah yang moden, meyakinkan dan berpengaruh.

Menurut Hamdi, walaupun ada desakan untuk mempromosikan agenda normalisasi, perjuangan Palestin masih memiliki sokongan berdasarkan naratifnya sendiri di media sosial.

“Penyokong kuat Palestin telah membuktikan bahawa naratif orang Arab tidak lagi berminat dengan Palestin hanya sekadar mitos,” kata Hamdi.

Sumber: TRT World