Browsing Tag

Dihukum sebatan

Dihukum sebatan
Antarabangsa,

Seorang lelaki tua dihukum 119 sebatan kerana kesalahan rogol di Aceh

Seorang lelaki tua dihukum 119 sebatan kerana kesalahan rogol di Aceh

SELEPAS dibuktikan bersalah atas kesalahan rogol, seorang lelaki tua dijatuhi hukuman 119 sebatan di Aceh, Indonesia.

Menurut portal berita berpengaruh di negara itu, Republika, warga Kota Sabang, Aceh yang berasal dari Gampong Balohan itu didakwa melanggar pasal 48 Kanun Aceh No 6 Tahun 2014 berkaitan hukum jinayat selepas kesnya terbongkar pada September tahun lalu.

Hukuman tersebut dilaksanakan di perkarangan Masjid Besar Babussalam, Kota Sabang, sambil disaksikan oleh Pejabat Kesihatan Kota Sabang untuk penyediaan doktor, hakim pembimbing Mahkamah Syariah dan Forum Koordinasi Pimpinan Daerah (Forkopimda) Sabang serta orang ramai.

Menurut Ketua Kejaksaan Daerah Sabang, Milono Raharjo, denda berupa sebatan itu selaras dengan keputusan Mahkamah Syariah Kota Sabang pada 7 Februari lalu.

“Individu berkenaan dijatuhkan hukuman 125 sebatan, tetapi oleh sebab defendan sudah menjalani hukuman penjara enam bulan, hanya 119 sebatan dikenakan selepas tempoh penjaranya dipotong,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal Republika.com.

Dihukum sebatan

SEORANG lelaki tua dikenakan hukuman 119 sebatan di Aceh, Indonesia atas kesalahan rogol. -Foto: Banten News

Beliau berharap agar hukuman itu menjadi contoh kepada masyarakat sebagai antara satu sekatan sosial yang mendisiplinkan.

“Barangkali keperitan dirotan masih boleh ditanggung, tetapi bagi sekatan sosial pula, ini adalah yang paling berat buat masyarakat,” katanya.

Baca juga Walaupun disebat dengan cemeti, Imam Malik teguh pertahankan fatwa dikeluarkannya

Aceh satu-satunya bahagian di Indonesia yang mempunyai populasi Muslim terbesar di dunia dan dibenar melaksanakan undang-undang syariah dengan hukuman sebatan terbuka atas kesalahan zina, arak serta judi.

Sebatan di khalayak diperkenalkan di provisi berkenaan pada 2005 dan disokong ramai penduduk wilayah berkenaan.

Bagaimanapun, sejak April 2018, Wilayah Aceh tidak lagi menjalankan hukuman sebat di khalayak ramai atau membenarkan denda seumpana itu dirakamkan.

Sementara itu, Penolong Pentadbiran Awam Sekretariat Wilayah Kota Sabang, Rinaldi Syahputra menjelaskan, sebelum ini sudah banyak denda sebegitu dilakukan di wilayah berkenaan.

“Kerajaan Kota Sabang kesal dengan kejadian ini. Namun, dalam menegakkan syariah Islam yang berkuat kuasa di Aceh khususnya di Sabang, perkara seperti ini harus kita tegakkan dan menjadi tumpuan kami pada masa hadapan.

“Kami berharap pelaksanaan hukum sebat ini menjadi pengajaran kepada masyarakat agar perkara yang melanggar syariat Islam tidak berulang di Kota Sabang,” ungkapnya.

Dihukum sebatan

HUKUMAN sebat di khalayak diperkenalkan di Aceh pada 2005 dan disokong ramai penduduk wilayah berkenaan.-Foto: Republika

Sebatan dalam Islam

Hukuman sebat sememangnya ada dalam syariat Islam.

Bahkan, menurut Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerusi laman webnya menjelaskan, ia merupakan sebahagian daripada hukum yang diturunkan oleh ALLAH SWT.

“Ia bukanlah semata-mata untuk menghukum, menyakiti apalagi mencederakan seseorang. Sebaliknya, tujuannya adalah untuk memberikan pengajaran di samping amaran kepada umat Islam agar menjauhi diri daripada perkara dilarang ALLAH SWT,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web mais.gov.my.

Antara kesalahan dikenakan hukuman tersebut termasuklah hudud.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat.” (Surah an-Nur, ayat 2)

Begitu juga dalam satu lagi dalil yang mana ALLAH SWT berfirman: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Surah an-Nur, ayat 4)

Dihukum sebatan

MESKIPUN merotan sememangnya ada dalam syariat Islam, jangan sewenang-wenangnya merotan anak tanpa mengambil kira adab yang telah diajarkan oleh agama Islam.

Selain itu, kata MAIS, terdapat situasi-situasi tertentu yang dibenarkan oleh Islam untuk memukul atau menyebat seseorang dengan tujuan untuk mendidik.

Baca juga Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

Ia bertepatan dengan firman ALLAH SWT: “…Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya)…” (Surah an-Nisa’, ayat 34)

Begitu juga dengan hadis masyhur tentang mendidik anak-anak yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Suruhlah anak-anak kamu yang berumur tujuh tahun untuk mendirikan solat, dan pukullah mereka (apabila dia tidak mahu mendirikan solat) apabila berumur 10 tahun.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Begitupun, MAIS menegaskan, pukulan tersebut dilakukan selepas melalui proses pendidikan. Andai tidak ‘jalan’, maka barulah hukuman sebat itu dikenakan dengan syarat tidak mencederakan atau menyeksa.

Baca juga Nabi larang sekeras-kerasnya memukul wajah isteri

Seperkara lagi, sebatan syariah jauh berbeza dengan sivil. Paling ketara, sebatan syariah tidak boleh mencederakan pesalah dan berbeza dari segi hayunannya.

“Bagi sebatan syariah, hayunannya agak perlahan seolah-olah buku yang diletakkan di bawah ketiak tidak boleh jatuh semasa hayunan dibuat.

“Dari segi saiz rotan yang digunakan juga berlainan. Sebatan syariah menggunakan ukur lilit rotan yang agak kecil berbanding pelaksanaan sebatan sivil.

“Satu lagi, pesalah dikenakan pakaian yang menutupi anggota badan termasuklah bahagian yang disebat. Ia berbeza dengan sebatan sivil,” katanya.