Browsing Tag

detik terakhir

kewafatan rasulullah
Aqidah,

Benarkah Rasulullah tidak menyebut “umatku, umatku” tatkala kewafatan Baginda?

BENARKAH Rasulullah tidak menyebut “umatku, umatku” tatkala kewafatan Baginda?

Rasulullah SAW adalah insan terbaik di dunia yang diutuskan oleh ALLAH SWT untuk memimpin seluruh manusia.

Keperibadiannya yang mulia sentiasa menjadi ikutan sepanjang zaman walaupun baginda tiada lagi di dunia. Segala sunnah dan ajaran yang dititipkan menjadi pegangan oleh sekalian umat Islam.

Ramai yang percaya bahawa apabila Nabi SAW menghembuskan nafas terakhir di dunia, baginda menyebut “Ummati, ummati, ummati” yang bermaksud “Umatku, umatku, umatku”.

Namun, perkara ini tidak benar dan apa yang diucapkan oleh baginda adalah kalimah lain.

Sebelum kita mengetahui perkataan yang diucapkan oleh Rasulullah SAW, penting untuk kita telusuri saat-saat terakhir kekasih ALLAH itu sebelum menemui Penciptanya.

Baca juga Empat kisah Rasulullah SAW menitiskan air mata

kewafatan rasulullah

SEGALA sunnah dan ajaran baginda SAW menjadi pegangan umat Islam seluruh dunia sehingga kini.

Memetik portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kisah tersebut ada dinukilkan oleh Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab al-Rahiq al-Makhtum:

Apabila waktu Dhuha semakin meninggi, Fatimah RA dipanggil oleh Rasulullah SAW dan dibisikkan sesuatu di telinganya. Mendengar bisikan tersebut, puteri baginda itu pun menangis.

Baca juga Ustazah Asma’ Harun Kongsi Kehebatan Zikir Fatimah

Fatimah sekali lagi dipanggil dan dibisikkan lagi sesuatu di telinganya.

Tetapi kali ini, Fatimah tertawa. Aisyah RA yang mendengar lantas bertanya tentang hal itu, lalu Fatimah menjawab:

Rasulullah SAW membisikkan kepadaku bahawa baginda akan wafat dengan sakit yang sedang dihadapinya, yang membuatkan aku menangis. Namun kemudian baginda sekali lagi membisikkan kepadaku bahawa aku adalah ahli keluarganya yang pertama akan menyusul selepas daripada baginda,”

Nabi SAW juga menggembirakan hati puterinya itu bahawa dia adalah penghulu wanita di seluruh alam.

Baca juga Bagaimana Rasulullah SAW saat marah? Ini peristiwanya

Ketika Fatimah sedang menyaksikan penderitaan yang ditanggung ayahandanya, dia pun berkata, “Alangkah deritanya ayahanda.”

Baginda kemudiannya bersuara kepadanya, “Selepas hari ini, tidak ada lagi penderitaan ke atas ayahandamu.”

kewafatan rasulullah

MENURUT riwayat, Rasulullah SAW wafat pada 12 Rabiulawal tahun ke-11 Hijrah pada usia 63 tahun. Credit: Unsplash

Tidak lama selepas itu, Rasulullah SAW memanggil dua orang cucu kesayangan baginda iaitu Hasan dan Husain, lalu berpesan kepada mereka dengan kebaikan.

Kemudian para isteri baginda pula dipanggil dan nasihat serta peringatan diberikan.

Disebabkan kesakitan yang dirasai baginda semakin kuat akibat daripada kesan racun daging kambing yang dimakan baginda di Khaibar, baginda berkata: “Wahai Aisyah, aku masih terasa lagi makanan yang aku makan di Khaibar, jadi sekarang ini aku merasai urat leherku seperti hendak terputus disebabkan oleh racun ini.”

Di saat-saat paling akhir kehidupan Rasulullah SAW di dunia, baginda bersandar di riba Aisyah. Dalam hal ini, Aisyah berkata:

Rasulullah SAW wafat di dalam rumahku, semasa giliranku dan dipangkuanku antara leher dan dadaku adalah antara nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT kepadaku. Air liurku dan air liur baginda ketika saat kewafatan baginda juga ALLAH kumpulkan.”

Baca juga 6 sikap romantik Rasulullah yang patut dicontohi

Rasulullah bersugi sebelum wafat

Ketika Aisyah sedang meriba Rasulullah SAW, Abdulrahman bin Abu Bakar telah masuk dengan kayu sugi di tangannya.

Kayu sugi yang dipegang oleh Abdulrahman dipandang oleh baginda. Aisyah yang menyedari perkara itu, bertanya kepada Rasulullah SAW: “Mahukah aku ambilkan kayu sugi untukmu?”

Dengan isyarat kepala daripada Nabi SAW, Aisyah pun mengambil sebatang kayu sugi dan diberikan kepada baginda. Namun, kayu sugi tersebut agak keras lalu Aisyah bertanya, “Mahukan aku lembutkan kayu sugi ini untukmu?”

Sekali lagi baginda mengiyakan dengan gerak kepalanya, lalu kayu sugi tersebut dilembutkan oleh Aisyah. Rasulullah pula meminta agar baginda disugi.

kewafatan rasulullah

BERSUGI antara cara menjaga kebersihan diri yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. Credit: Shutterstock

Satu riwayat lain mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersugi dengan cara yang lebih baik daripada itu.

Pada waktu itu, baginda mencelupkan tangannya ke dalam bekas air yang ada di hadapan Nabi SAW lalu disapu pada muka dengan berkata, “Tidak ada TUHAN selain ALLAH, sesungguhnya kematian itu kesakitan-kesakitan.”

Sebaik sahaja selesai bersugi, baginda SAW mengangkat tangannya atau jarinya, lantas mendongak ke atas diikuti dengan bibir yang bergerak-gerak.

Melihatkan perkara itu, Aisyah RA merapatkan telinganya kerana ingin mendengar apa yang diucapkan oleh Baginda SAW:

Bersama orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka daripada kalangan para nabi, orang-orang benar (orang yang beriman), orang-orang syahid dan orang-orang soleh. Ya ALLAH, ampunilah aku dan rahmatilah aku serta pertemukan aku dengan Teman Yang Tertinggi, Ya ALLAH, Kekasih Yang Tertinggi.”

Kalimah tersebut diulangi oleh Rasulullah SAW sebanyak tiga kali, sebelum tangan baginda terkulai layu menandakan kekasih ALLAH itu telah meninggalkan dunia dan pergi menghadap-NYA. (Rujuk al-Rahiq al-Makhtum, 430-432)

Baca juga 12 amalan ringkas Rasulullah SAW. Rupanya senang nak dapat pahala

“Umatku, umatku” bukan ucapan terakhir Rasulullah SAW

Daripada Aisyah RA berkata: “Adapun ucapan terakhir yang diucapkan oleh Baginda SAW: اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya ALLAH, Kekasih Yang Tertinggi).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut portal itu, hadis di atas telah disepakati oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim sebagai ucapan terakhir Nabi Muhammad SAW sebelum baginda wafat. Tambahan pula, perkara ini diucapkan oleh Aisyah RA di mana Rasulullah wafat di rumah dan dalam pangkuannya.

Oleh itu, dakwaan bahawa kata-kata terakhir Nabi SAW sebagai “umatku, umatku” adalah tidak benar kerana tiada sumber yang sahih mengenainya.

Baca juga [VIDEO] Neraka menanti pencipta hadis palsu

Turut disyorkan Lima hadis popular ini rupanya hadis palsu

kewafatan rasulullah

SEBELUM memetik hadis tertentu, pastikan maklumat yang diperoleh itu sahih terlebih dahulu. Ini kerana hukumnya haram menyandarkan sesuatu kepada Rasulullah SAW sedangkan baginda tidak pernah melakukan perkara tersebut.

Daripada Mu’az bin Jabal, bahawa Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang ucapan terakhirnya “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (Tidak ada TUHAN melainkan daripada ALLAH).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis berikut, kita diajarkan oleh Rasulullah SAW agar mengucapkan kalimah tauhid iaitu “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (Tidak ada TUHAN melainkan daripada ALLAH)” sebagai ucapan terakhir apabila meninggalkan dunia.

Sesiapa yang berjaya mengucapkannya, maka baginya atau dia berhak untuk dimasukkan ke dalam syurga.

Baca juga Gagal bersyahadah saat meninggal kerana bercakap ketika azan? Berikut penjelasannya

Turut disyorkan 10 tanda kematian yang baik

Sarjana Islam, Imam Ibn Hajar al-Asqalani berkata, kalimah yang diucapkan oleh baginda ketika menghembuskan nafas terakhir iaitu “ اللَّهُمَّ الرَّفِيقَ الأَعْلَى (Ya ALLAH, Kekasih Yang Tertinggi)” mengandungi tauhid (iaitu mengesakan ALLAH) dan ia (tauhid) diucapkan di dalam hati.

Secara tidak langsung, perkara ini menunjukkan rukhsah (keringanan) kepada orang lain bahawa tidak disyaratkan untuk mengucapkan kalimah tauhid dengan lidah ketika ingin meninggal dunia.

Ini kerana ada sebahagian manusia yang tidak mampu atau terhalang daripada mengucapnya dengan lidah. Yang paling utama, hatinya sudah terkandung kalimah tauhid tersebut. (Rujuk Fath al-Bari)

Sumber: Irsyad al-hadith siri ke-311: Ucapan terakhir Nabi SAW & Kisah Ucapan Terakhir Rasulullah SAW Sebelum Wafat

Foto: Pexels, Shutterstock & Unsplash