Browsing Tag

Derma masyarakat

jumpa duit tepi jalan
Muamalah,

Tak boleh guna hasil derma masyarakat awam sewenang-wenangnya kecuali untuk golongan disasarkan

MENJADI kelaziman masyarakat menderma atas tujuan tertentu iaitu membantu golongan yang memerlukan. Dalam kebanyakan derma atau sumbangan yang diberikan, kita sudah tahu siapakah kelompok sasar yang akan dibantu.

Jarang sekali orang memberikan derma tanpa diketahui siapakah golongan yang akan menerima bantuan tersebut. Ia melainkan mereka menyisihkan wang kepada pihak bertanggungjawab untuk mencari insan yang benar-benar memerlukan tanpa menyatakan secara jelas spesifikasi penerima.

Sebagai pihak yang memegang amanah seperti orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya, sepatutnya wang yang dikutip oleh mereka mesti disalurkan kepada golongan yang disasarkan.

Ia tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan bagi tujuan yang menyimpang atau kelompok sasaran yang lain tanpa pengetahuan individu yang menderma.

Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, dalam hukum fiqh, ada dinyatakan bahawa ‘saluran hasil itu berdasarkan apa yang pewakaf syaratkan’.

DR SYED SHAHRIDZAN

“Ini bermaksud, hasil daripada wakaf jika disyaratkan oleh pewakaf agar disalurkan kepada individu atau kelompok tertentu, maka si wakil tadi wajib melaksanakan apa yang dimaksudkan oleh pewakaf.

“Oleh kerana kedudukan sedekah sama seperti wakaf (walaupun ada perbezaan), maka wakil atau pemegang amanah wajib menunaikan amanah penderma.

“Mudah kata, jika si penderma meletakkan inisiatif agar wang yang didermakan kepada kelompok tertentu, maka ia seumpama syarat yang telah ditetapkan oleh penderma. Maka pemegang amanah wajib menyalurkan apa yang telah diniatkan oleh penderma,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga Telus Isytihar Jumlah Kos Pengurusan Jika Libatkan Wang Sumbangan Orang Ramai

Bukan itu sahaja, ujar Dr Syed Shahridzan, perkara itu juga terpakai dalam bab hibah.

Andai kata seseorang memberi wang kepada rakannya agar membeli sesuatu, katanya, si penerima wajib membeli apa yang telah diamanahkan oleh orang yang memberi.

“Ingatlah, penerima tidak boleh mengingkari tujuan hibah dengan membeli barangan selain daripada apa yang ditetapkan oleh si pemberi, melainkan jika tiada ketetapan ditentukan.

Derma masyarakat

DERMA awam yang dilakukan oleh masyarakat tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa pengetahuan penderma yang telah mensyaratkan penerimanya. -Gambar hiasan

“Justeru, minat dan niat penderma agar wang yang didermakan disalurkan kepada golongan yang telah dijanjikan dapat diketahui melalui maklumat yang tertera menerusi poster, iklan di media sosial dan seumpamanya yang disediakan oleh NGO selaku pemegang amanah. Ini merupakan sighah persetujuan antara kedua-dua pihak,” katanya.

Berdasarkan fakta tersebut, Dr Syed Shahridzan mengingatkan sekali lagi bahawa pemegang amanah wajib menunaikan agihan berkenaan sebagaimana ditetapkan berdasarkan persetujuan bersama.

“Ini kerana demikianlah yang dimaksudkan oleh penderma terhadap wang yang didermakan.

“Jika pihak penderma mempersoalkan atau ambil tahu di mana wang derma disalurkan, bagi saya itu adalah hak mereka dan pemegang amanah perlu bertanggungjawab,” katanya.

Foto: Freepik & Bernama