KES dera anak angkat yang berlaku akhir-akhir ini begitu menggalaukan hati masyarakat. Satu demi satu perkhabaran duka itu disiarkan menerusi media utama mahupun laman sosial.
Ketika kes penderaan kanak-kanak istimewa yang dikenali sebagai Bella memuncak dan masih dalam perbicaraan mahkamah, rakyat Malaysia dikejutkan dengan penularan video yang memaparkan seorang wanita memukul anak angkatnya berusia empat tahun menggunakan penyapu gara-gara enggan makan nasi.
Berbicara tentang kes-kes menyentuh emosi ramai itu, penderaan kanak-kanak didefinisikan sebagai satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak mereka untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah, di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Demikian pengertiannya menurut Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara.
Begitupun, perbuatan mencabul hak kanak-kanak itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Lihat sahaja pada statistik yang direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor. Sebanyak 1,910 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak dicatatkan berlaku antara Mac 2020 sehingga Mac tahun lalu.
Menurut kajian researchgate.net berkaitan Statistik Kes Penderaan Kanak-Kanak di Malaysia: Satu Analisis, antara tahun 2013 hingga 2017, kes penderaan di Malaysia menunjukkan peningkatan saban tahun. Tahun 2017 mencatatkan sebanyak 5,537 kes.
Hasil dapatan itu juga menyatakan, ia berpunca daripada institusi keluarga yang bermasalah, masalah kewangan, tekanan di tempat kerja dan kurangnya pengetahuan terhadap agama.
Bukankah anak itu merupakan amanah daripada ALLAH SWT tidak kiralah sama ada dia permata hati daripada zuriat sendiri atau anak angkat?
Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan
Perbuatan yang dikutuk
Bagi mendasari isu berkenaan menurut perspektif Islam, Sinar Islam Plus menemubual Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor, Ustazah Noor Rashidah A Rahman.
USTAZAH NOOR RASHIDAH
Jelas beliau, mendera apalagi mencederakan seorang anak bukanlah suatu sifat yang baik. Bahkan, perbuatan itu amat dikutuk dan begitu hina.
“Anak yang dizalimi dengan ganas akan melahirkan sifat dendam, stres dan mengalami tekanan melampau sehingga membawa kepada kerosakan diri mereka sendiri.
“Ketahuilah, tiada istilah mendidik dalam mendera kerana anak tidak kiralah zuriat sendiri mahupun anak angkat merupakan amanah daripada ALLAH SWT untuk dibimbing, dididik dan dibelai oleh ibu bapa,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.
Pendakwah itu turut memberi teguran terhadap ibu bapa yang hanya memandang tanggungjawab mereka terhadap anak hanya sekadar menyediakan makanan, minuman dan pakaian semata-mata.
Hakikatnya, ujar beliau, si anak memerlukan lebih daripada keperluan tersebut. Antara tugas yang dipertanggungjawabkan kepada penjaga adalah mendidik, mengajar, mengasuh, membimbing dalam amal ibadah dan melarang sebarang bentuk kemungkaran.
Baca juga Anak amanah ALLAH, usah sakiti apatah lagi mendera mereka…
“Ingatlah, soal penjagaan dan pendidikan kanak-kanak, lebih lebih lagi terhadap anak angkat merupakan amanah yang luar biasa. Malah, setiap amanah itu akan dipertanggungjawabkan kepada orang tuanya,” ungkap beliau.
Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis masyhur yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab atas kepimpinannya. Seorang amir (pemerintah, pemimpin atau ketua) akan diminta bertanggungjawab terhadap rakyat yang dipimpinnya. Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin akan ditanya terhadap keluarga yang dipimpinnya. Seorang wanita (isteri) adalah pemimpin terhadap rumah tangga suaminya akan dipertanggungjawabkan terhadap tugasnya. Bahkan seorang hamba (pembantu) juga adalah pemimpin yang dipertanggungjawabkan terhadap barang milik tuannya, juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu semua adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap hal dipimpinnya”. (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bukan umat Nabi Muhammad SAW
Ustazah Noor Rashidah mengingatkan, Rasulullah SAW pernah memberi ancaman terhadap individu yang tidak mengasihi kanak-kanak.
USAH sesekali membezakan
layanan terhadap anak angkat
dengan anak sendiri, sebaliknya
berilah kasih sayang dan perhatian sepenuhnya.
Antaranya, baginda SAW bersabda: “Bukanlah daripada golongan kami barang siapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang dewasa.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Dalam satu riwayat lain, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Siapa yang tidak merahmati, nescaya tidak dirahmati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Melihat dua ungkapan hadis berkenaan, penceramah itu menitipkan pesan agar umat Islam mengikuti saranan Rasulullah SAW supaya menjadi individu yang sentiasa menyantuni orang yang lebih muda daripada kita terutamanya kanak-kanak.
Bagi menghindari diri daripada tidak bersikap ihsan terhadap kanak-kanak, Ustazah Noor Rashidah menasihatkan agar masyarakat melibatkan ALLAH SWT dalam segala urusan keduniaan dan akhirat masing-masing.
Masakan tidak, apabila kita mendahulukan-NYA, nescaya DIA juga akan menjaga, mendidik dan membimbing hati kita ke jalan yang diredai-NYA. “Sebagai masyarakat juga, kita perlu cakna dengan keadaan sekeliling terutama isu penderaan kanak-kanak. Jika didapati ada kes, laporkan segera kepada pihak berkuasa.
“Bagi mereka yang berhajat mahu memelihara anak angkat, galilah ilmu berkaitan penjagaan dan pendidikan anak-anak sebelum mengambil keputusan berbuat demikian. Pada masa sama, betulkan niat sebelum membuat keputusan untuk memelihara anak angkat.
“Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian, kita perlu membudayakan perkhidmatan kaunseling atau bimbingan dalam masyarakat. Jangan sesekali berfikir bahawa kaunseling hanya untuk orang bermasalah sahaja. Sebaliknya, perkhidmatan ini lebih menyeluruh kepada sesi pertukaran maklumat, idea dan perbincangan,” ungkap beliau.
Beliau turut menyarankan agar umat Islam mencontohi Nabi Muhammad SAW melayani anak-anak kecil dan berakhlak baik dengan mereka. Antaranya, baginda SAW sentiasa menunjukkan kasih sayang kepada kanak-kanak dan sentiasa menyantuni mereka, selain melayannya dengan lemah lembut.
Baca juga 5 Pendekatan Didik Anak Cara Rasulullah SAW Bagi Membentuk Mereka Menjadi Pemimpin Terbaik Pada Masa Depan
“Ketika anak-anak kecil melakukan kesalahan, Rasulullah SAW menegurnya dengan cara berhikmah dan mendidik dalam bentuk teguran,” katanya.
Menyokong fakta tersebut, pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan menjelaskan, Islam sememangnya mementingkan kasih sayang dan ihsan dalam setiap perkara.
IMAM MUDA HASSAN
“Malah, ALLAH SWT mewajibkan sifat ihsan dan berlaku baik kepada semua bukan sahaja kepada ibu bapa, malah termasuk kanak-kanak dan sebagainya.
“Kadangkala ada orang cakap, dia tidak boleh melihat muka anaknya kerana terasa benci dan menyampah. Pada saya, ia tidak sepatutnya berlaku kerana anak itu adalah rezeki. Ramai orang yang berikhtiar untuk mendapatkan zuriat sendiri, tetapi apabila dikurniakan anak kandung ataupun anak angkat, ada pula manusia yang mudah lupa dengan rezeki yang diberikan,” katanya.
Jadi hamba kepada nafsu antara punca
Menyambung hujah, jelas Imam Muda Hassan, penderaan dalam Islam bukan sahaja dikira dari aspek fizikal semata-mata, tetapi termasuk juga dalam bentuk emosi dan seksual.
Sekalipun tiada kecederaan pada tubuh badan, namun ugutan dengan kata-kata kesat dan menakutkan juga dikira satu bentuk penderaan emosi, terangnya.
Mengapa perbuatan dera itu masih dilakukan walaupun ramai mengetahui bahawa ia tidak baik dan menyalahi undang-undang?
Jawab Imam Muda Hassan: “Dalam kitab al-Hikam, Ibn Athaillah as-Sakandari menyatakan, asal usul punca maksiat atau syahwat termasuklah hendak pukul orang, marah dan seumpamanya, ia berpunca apabila kita menjadi hamba kepada nafsu. Mudah kata, kita tunduk dengan nafsu sendiri. Ini bermakna, nafsunya lebih berkuasa daripada hatinya.
“Sebab itulah Imam al-Ghazali menyebut bahawa manusia mempunyai elemen yang tidak nampak dalam dirinya iaitu akal, nafsu dan hati. Satu lagi ialah roh.
“Nafsu ini ada banyak tingkatannya, cuma jika kita diserang sifat marah sehingga membawa kepada perbuatan dera, ia dipanggil ammarah bissu’ (nafsu yang mendorong kepada kejahatan).
Baca juga Jangan Tunduk Pada Hawa Nafsu
“Kata Imam al-Ghazali, hati itu ibarat raja. Ia mempunyai dua penasihat iaitu akal dan nafsu. Andai akal yang berdasarkan ilmu itu menguasai, kita tahu apa yang hendak dilakukan apabila marah sepertimana ajaran Nabi Muhammad SAW. Namun, jika nafsu yang menjadi penasihat, sebab itulah orang melakukan maksiat kerana dia kalah dengan nafsunya sehingga mendorongnya melakukan perkara tidak betul,” jelas beliau.
HINDARI sifat marah yang boleh menjebakkan manusia mudah dikuasai syaitan sehingga hilang pertimbangan diri. -Gambar hiasan
Kepada satu soalan, pendakwah itu menjelaskan: “Walaupun anak angkat itu bukan darah daging sendiri, tetapi kita wajib bersifat ihsan dengannya. Sekiranya kita sudah mengambil keputusan untuk menjaganya, maknanya kita sudah tekad untuk menjaga amanah tersebut.
“Maksudnya, kita perlu memberikan nafkah kepadanya dan menjaga maruahnya. Kalau tidak sanggup, jangan sesekali kita mengambil tanggungjawab itu.
“Apabila kita mengambil amanah, kelak kita akan dipertanggungjawabkan dan akan disoal kelak sekalipun dia anak angkat kita.”
Dalam pada itu, Imam Muda Hassan menasihatkan agar sesiapa yang menanggung amanah memelihara anak angkat agar menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.
“Berilah kasih sayang sepenuhnya dan anggap anak itu macam anak sendiri. Kadangkala dengan kehadiran anak angkat, itulah caranya ALLAH SWT hendak meluaskan rezeki dan menambah kasih sayang dalam keluarga kita.
Baca juga Begitu besarnya pahala mendidik anak-anak. Ibu bapa jangan mudah mengeluh, jaga amanah ALLAH dengan sebaiknya
“Jika bukan darah daging kita dijaga dengan baik, pasti ALLAH SWT akan menggantikannya dengan lebih baik. Barangkali suatu masa apabila kita dapat menantu dan sebagainya, ALLAH SWT akan memberikan yang terbaik kepada kita.
“Mungkin kita tidak nampak perkara ini kerana ramai yang melihat tindakan itu menyusahkan diri, walhal itulah caranya ALLAH SWT hendak memberikan rezeki lain kepada kita kerana kesanggupan kita untuk menjaga orang yang bukan darah daging kita,” ungkapnya.
ANEKDOT
Hak anak angkat menurut undang-undang Malaysia
- Pengambilan anak angkat bagi keluarga Islam boleh didaftarkan mengikut AKTA PENDAFTARAN ANAK ANGKAT 1952.
- Permohonanan pengesahan anak angkat di bawah peruntukan ini dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya selepas dua tahun anak itu berada di bawah penjagaan keluarga angkat.
- Pengambilan anak angkat secara sendiri perlu dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) mengikut SEKSYEN 35(1) AKTA KANAK-KANAK 2001, tidak lewat seminggu selepas pengambilan.
- Sekiranya gagal memaklumkan dan jika disabitkan kesalahan, pasangan atau individu berkenaan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dihukum penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
- Maklumat proses pengambilan anak angkat ini penting supaya segala prosedur dapat dipatuhi dan pengangkatan seorang anak itu sah di sisi undang-undang.
Sumber: Dr Abidah Abdul Ghafar, Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia, ‘Celik undang-undang pelihara anak angkat’
Kewajipan penjaga terhadap anak angkat
- Memberi dan menjaga nafkah keperluan harian anak angkat
- Mendidik dan mengasuh mereka untuk menyara diri
- Memberi layanan kasih sayang yang sama seperti anak sendiri
- Penurunan wasiat kepada anak angkat mengikut syarat tertentu
Sumber: Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan , “Janganlah dera…Ketahui peranan, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak angkat”.
Foto: 123rf, Freepik & Unsplash
Baca Lagi