Browsing Tag

Deposit

Deposit
Hukum,

Tuan rumah guna wang deposit penyewa tanpa izin, ini hukumnya yang wajib kita tahu

MENJADI kelaziman penyewa untuk membayar sejumlah deposit rumah jika ingin menyewa suatu kediaman. Kebiasaannya ia melibatkan wang pendahuluan sewaan dan juga bayaran utiliti seperti air serta elektrik.

Tujuannya sebagai satu bentuk cagaran sekiranya terdapat sebarang tunggakan, kerosakan, pelanggaran kontrak dan seumpamanya sepanjang tempoh sewaan tersebut.

Namun, sejak kebelakangan ini, pelbagai cerita kurang enak kedengaran berkaitan deposit rumah sewa. Ada kes yang mana bekas penyewa diniayai oleh tuan rumah apabila enggan memulangkan deposit tadi walaupun tidak melanggar perjanjian yang dimeterai bersama sebelum ini.

Ketahuilah bahawa pemilik rumah hanya berhak mengambil wang deposit yang diberikan oleh penyewa kepada mereka tanpa izin andai berlaku pembatalan sewaan dan pelanggaran akad yang dipersetujui bersama.

Sebagai penyewa pula, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, mereka tidak boleh menuntut semula wang deposit berkenaan andai pembatalan pembelian atau sewaan itu berpunca daripada mereka, bukannya daripada kehendak penjual.

Baca juga Penting ada cagaran ketika berhutang, ini sebab-sebabnya

“Ini kerana wang deposit diletakkan sebagai bukti komitmen berdasarkan kesepakatan bersama. Namun begitu, deposit yang akan menjadi milik tuan rumah itu merupakan ganti rugi atas risiko kerugian yang ditanggung oleh mereka seperti mencari penyewa baharu bagi mengisi baki masa sebelum kontrak tamat tempoh.

Deposit

WANG deposit perlu dikekalkan statusnya sebagai harta cagaran sehinggalah tempoh akad berakhir atau berlaku pembatalan akad kerana dikhuatiri terdapat beberapa kemungkinan akan berlaku berkaitan hak-hak penyewa dan tuan rumah. -FOTO: 123RF

“Jika masih terdapat lebihan wang pendahuluan selepas ditolak jumlah kerugian sebenar, penjual digalakkan untuk memulangkan kembali lebihan wang tersebut kepada penyewa. Pendekatan ini lebih bersifat adil dan ihsan sesama manusia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel bertajuk Irsyad al-Fatwa Siri ke-543: Hukum Tuan Rumah Menggunakan Wang Deposit Tanpa Izin.

Sekiranya tiada pelanggaran atau pembatalan akad, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, hukumnya adalah haram dan tidak sah jika tuan rumah menggunakan wang pendahuluan tadi tanpa izin penyewa.

“Maka menjadi tanggungjawab pemilik rumah untuk menggantikan semula duit cagaran, bahkan tuan rumah dianggap berhutang dengan penyewa dalam hal ini.

“Penetapan sebegini dibuat kerana sekiranya ia diharuskan penggunaan duit itu tanpa izin pemilik asal, maka hilanglah konsep jaminan dan cagaran yang dibuat, apatah lagi apabila melibatkan sejumlah wang yang besar,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.

Baca juga Tak boleh guna duit haram untuk bayar sewa rumah, beli pakaian dan seumpamanya. Ini penjelasannya

Bagaimanapun, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pengharaman tersebut dikecualikan andai pemilik rumah mempunyai wang lain mencukupi sebagai ganti kepada duit deposit yang telah digunakan.

Deposit

PATUHI akad yang disepakati bersama antara tuan rumah dan penyewa ketika menyewa kediaman. -FOTO: CANVA

“Ini kerana wang ringgit boleh dikategorikan sebagai harta mithli (mempunyai persamaan dengan harta lain dari segi bentuk dan nilai seperti gandum, padi, telur dan sebagainya). Tambahan pula, duit deposit yang berada dalam pegangan tuan rumah tidak bersifat spesifik.

“Apa pun, wang deposit tersebut perlu dikekalkan statusnya sebagai harta cagaran sehinggalah tempoh akad berakhir atau berlaku pembatalan akad kerana dikhuatiri terdapat beberapa kemungkinan akan berlaku berkaitan hak-hak penyewa dan tuan rumah (sepanjang tempoh sewaan),” katanya.

***Foto: Canva & 123rf