Browsing Tag

demokrasi

ABC7 San Francisco
Jendela Dunia,

Keadilan Terhadap Islam Selepas 11 September

no comment

PADA Sabtu ini, dunia akan memperingati ulang tahun ke-20 peristiwa serangan ke atas menara berkembar World Trade Center (WTC) New York, Amerika Syarikat (AS).

Serangan berani mati oleh Al-Qaeda pada pagi 11 September itu membabitkan 19 orang anggotanya. Bermula dengan merampas empat buah kapal terbang penumpang lalu merempuh beberapa bangunan penting di New York sehingga mengorbankan beratus orang awam.

Rentetan daripada peristiwa itu, negara-negara di Timur Tengah telah dianggap sebagai kawasan berbahaya. Namun, itu hanya selepas awal abad ke-21. Sebelum itu, Timur Tengah tidak mempunyai banyak konflik atau serangan pengganas.

Keiko Sakai

Pakar Sejarah Politik, di Universiti Chiba, Jepun, Profesor Keiko Sakai, berkata pada 11 September 2001, serangan pengganas di AS sama sekali berbeza dengan masalah Timur Tengah yang diketahui sebelumnya.

“Ia jelas berbeza seperti konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin. Bagi kumpulan bersenjata yang berasal dari Timur Tengah, AS adalah musuh mereka kerana ia adalah penyokong kuat Israel. Mereka menyerang kemudahan AS di negara mereka tetapi tidak merancang untuk menyerang tanah besar AS.

“Idea menyerang secara langsung AS berpunca daripada Perang Teluk. Ramai yang menentang kehadiran pasukan AS di Arab Saudi dengan mengadakan tunjuk perasaan di negara mereka dan dikenakan hukuman berat, termasuk pengusiran.

“Kejadian seperti itu meninggalkan kesan dalam pemikiran bahawa mereka tidak akan mendapat perhatian dunia kerana AS adalah kuasa besar yang memiliki pengaruh yang dominan.

“Pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden yang memulakan serangan 9/11 percaya bahawa komuniti Islam menjadi mangsa penganiayaan oleh Eropah dan AS serta memutuskan mereka harus menyelamatkan orang Islam yang menjadi mangsa ketidakadilan dunia.

“Oleh itu, jaringan pejuang berskala global dibentuk di luar negara asal mereka. Kumpulan negara Islam dan kumpulan radikal yang memperjuangkan tanah asal umat Islam yang tidak mendapat perhatian terus berkembang ke seluruh dunia,” katanya.

Seorang pemandu teksi wanita mengambil penumpang di Tehran pada bulan Ogos 2011. Lebih 500 wanita memandu untuk syarikat Teksi Wanita yang hanya melayani penumpang wanita sahaja. 

Menurut Sakai, kumpulan militan IS mula mendekati umat Islam yang pernah belajar atau berhijrah ke negara-negara Eropah dan AS untuk menyertainya. Sebagian besar telah bersama dengan imam (pemimpin) mereka untuk bersatu dan menarik masyarakat setempat yang turut berhadapan dengan masalah diskriminasi dan prasangka buruk oleh bukan Islam terhadap Islam.

“Sebaliknya, selepas peristiwa 9/11, AS menegaskan bahawa pendemokrasian Timur Tengah sangat penting untuk mewujudkan keamanan dunia.

“Pentadbiran AS yang diketuai oleh Presiden George W. Bush ketika itu menghantar dan menempatkan pasukan tentera di Iraq dan Afghanistan dengan mendakwa bahawa terdapat kumpulan militan yang telah bertapak di negara itu dan berusaha untuk membantu mengubah institusi politik dan sosial mereka,” tambahnya.

Katanya lagi, sudah tentu, masyarakat antarabangsa tidak hanya berdiri di luar ketika Afghanistan memerlukan bantuan untuk mencapai kestabilan. Beberapa negara dan organisasi, termasuk Jepun dan Badan Kerjasama Antarabangsa Jepun, mengambil tindakan menyokong, tetapi mereka gagal mengkoordinasikan usaha untuk mendukung demokrasi.

“Dasar-dasar untuk Timur Tengah, di mana pembangunan semula tidak berlaku setelah kehancuran, meninggalkan ruang bagi kumpulan Islam Taliban untuk mendapatkan kembali kuasa di Afghanistan.

“Adakah demokrasi akan berakar di Timur Tengah? Sebenarnya, demokrasi yang menghormati kebebasan dan persamaan individu tidak semestinya tidak sesuai dengan Islam yang mengajarkan ‘persamaan di hadapan Tuhan’,” menurutnya.

Presiden AS, Joe Biden pada 8 Julai lalu ketika dia membincangkan sebab-sebab penarikan tentera AS dari Afghanistan, berkata apa yang penting bagi AS adalah untuk menghapuskan ancaman keganasan dengan membantu menstabilkan wilayah Timur Tengah, bukan untuk membina negara demokratik.

“Kami tidak pergi ke Afghanistan untuk membangunkan negara itu. Dan itu adalah hak dan tanggungjawab rakyat Afghanistan sahaja untuk menentukan masa depan mereka dan bagaimana mereka ingin mengurus negara mereka,” katanya.

Sumber: Nikkei Asia