Browsing Tag

Demi rakyat

Berita Semasa,

Berkhidmat demi rakyat, antara syarat utama pemimpin

PEMIMPIN dan kerajaan yang sentiasa berjuang demi rakyat, mengutamakan kebajikan mereka dan ikhlas berkhidmat demi masyarakat menjadi dambaan rakyat terutama anak muda.

Demikian pandangan yang dilontarkan oleh Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Mohd Izzuddin Aziz.

Pada pilihan raya umum kali ini, dianggarkan 1.39 juta golongan muda berusia 18 hingga 20 tahun bakal menjalankan tanggungjawab mereka buat kali pertama

Jelas beliau, mereka juga mengharapkan calon pemimpin yang  bebas daripada rasuah serta salah laku berkaitan dengannya.

Baca juga Rakyat wajib pilih pemimpin, berikut perinciannya

“Kami percaya, pemilihan pemimpin yang betul daripada amalan yang membinasakan itu, segala tadbir urus negara boleh dilakukan dengan baik tanpa sebarang ketirisan,” katanya.

MOHD IZZUDDIN

Paling penting, Mohd Izzuddin menegaskan, Gamis begitu mengharapkan kerajaan baharu kelak terus kekal memelihara kesucian agama, kehormatan bangsa dan negara.

“Kami tidak mahu lihat agama Islam dan institusi Raja diancam, begitu juga dengan bangsa sebagaimana yang berlaku dalam kerajaan sebelum ini.

“Semua itu menjadi iktibar kepada kami supaya lebih berhati-hati dalam memilih pemimpin terbaik,” jelas beliau. Dalam pada itu, Mohd Izzuddin yang juga Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Universiti Islam Selangor sesi 2020/2021 itu mengumumkan, Gamis akan melancarkan gerakan Kempen Mahasiswa Mengundi dalam tempoh terdekat.

Baca juga Hati-hati pilih pemimpin, jangan sampai ke neraka bersamanya

“Dengan slogan ‘undi demi negara’, kempen ini akan digerakkan bermula dengan kampus-kampus di sekitar Selangor dan seluruh negeri.

“Kebanyakan mereka yang berusia 18 tahun ialah mahasiswa dan sudah pun masuk ke dalam institusi pengajian tinggi. Mereka menjadi sasaran utama kami untuk turun mengundi pada hari pengundian nanti.

LUANGKAN masa jalankan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi demi kemaslahatan masyarakat dan negara. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: BERNAMA

“Insya-ALLAH kami merancang untuk menyediakan inisiatif kemudahan bas, selain memberi pendedahan tentang pendidikan politik dalam kadar segera supaya semua mendapat kesedaran mengundi,” ungkapnya.

Kepada satu soalan, Mohd Izzuddin menjawab: “Meskipun anak muda sering dilihat mudah terpengaruh dan seumpamanya, tetapi jangan lupa bahawa mereka juga ialah orang yang cerdas dan cergas, selain paling celik dalam media sosial pada hari ini.

“Sebagaimana maklumat yang terkandung dalam media sosial kini, sepatutnya mereka menjadi individu yang cakna dan pandai untuk memilih mahupun menapis sebarang informasi diterima supaya tidak tersalah membuat pilihan pada masa akan datang.”

***Foto: Freepik