Browsing Tag

‘Dekat’ dengan ALLAH

'Dekat' dengan ALLAH
Isu,

Teladani cara Rasulullah SAW dan solafussoleh ‘dekat’ dengan ALLAH

RAMADAN sebagai bulan yang melatih diri menjadi insan bertakwa seharusnya membuatkan kita semakin mudah dan istiqamah untuk menjaga perkara wajib serta melaksanakan amalan soleh pada hari-hari mendatang.

Pendakwah Ustazah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, ia bersangkut paut dengan konsep hamba rabbani, bukan hamba Ramadan.

Oleh itu, beliau menitipkan pesan agar kita menjadi hamba rabbani yang merasakan bahawa setiap tingkah laku kita di mana sahaja dan pada bila-bila masa diperhatikan oleh ALLAH SWT.

Baca juga Biar beramal sedikit, jangan terus tinggalkan begitu sahaja. Ini antara solusi ampuh untuk istiqamah

“Bukan itu sahaja, didiklah diri juga untuk menjaga dan menitikberatkan perkara fardu, selain tidak meninggalkan amalan seperti membaca al-Quran, bersedekah dan berzikir.

“Kita ada 24 jam sehari. Berilah masa untuk roh dan jiwa kita berehat daripada kesibukan dunia. Andai melakukan dosa secara sedar ataupun tidak, segerakanlah bertaubat dan banyakkanlah beristighfar. Usah tunggu bulan Ramadan atau Syawal berikutnya,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

DA’I SYAFIQAH

Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW begitu memberi penekanan supaya kita menjaga solat fardu lima waktu, menghormati ibu bapa dan selainnya dalam kehidupan seharian. Amalan itu tidak tertakluk semata-mata pada bulan Ramadan atau Syawal sahaja.

Malah, katanya, Nabi Muhammad SAW turut mengajarkan doa agar hati kita tetap teguh dalam melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT. Doa itu berbunyi: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agamamu.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

“Justeru, perbanyakkanlah membaca doa ini agar kita diberikan kekuatan untuk beramal soleh,” ungkapnya.

Selain itu, para ulama juga memberi panduan tentang perbuatan baik yang boleh kita lakukan agar kita kekal istiqamah dalam beribadah.

“Pertama sekali, kita perlulah sentiasa tajdid niat iaitu ikhlas dalam melakukan setiap amalan.

“Kemudian, carilah jemaah atau sahabat yang suka beramal soleh iaitu melakukan kebaikan. Dengan adanya sahabat begini, mereka boleh mengajak kita untuk melakukan kebaikan dan menegur apabila kita melakukan kesalahan.

“Contohilah kerajinan dan semangat para sahabat dan Rasulullah SAW sendiri yang mana walaupun mereka telah dijamin syurga, tetapi tetapi bersemangat melakukan amal soleh kepada ALLAH SWT,” katanya.

'Dekat' dengan ALLAH

BERDOALAH kepada ALLAH SWT agar ditetapkan hati untuk terus istiqamah beribadah dan taat kepada perintah-NYA.

Beliau kemudian memperincikan amalan para salafussoleh sebelum kedatangan Ramadan dan selepas bulan mulia itu berlalu. Sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Imam Ibn Rejab al-Hanbali dalam Lataif al-Ma’arif yang menukilkan ungkapan kata seorang ulama tabiin bahawa enam bulan sebelum kedatangan Ramadan, para sahabat berdoa supaya dipertemukan dengan bulan mulia itu. Selepas enam bulan sesudahnya, mereka berdoa agar ALLAH SWT menerima amal masing-masing pada bulan Ramadan lalu.

Baca juga Bimbang ibadah tak diterima, bolehkah kita ganti puasa Ramadan?

Ini kerana, Da’i Syafiqah berkata, amalan itulah yang akan membuatkan mereka istiqamah dan beramal soleh serta dapat menjaga diri daripada perbuatan yang sia-sia.

“Justeru, ayuh kita mencontohi amalan para salafus soleh untuk mendekatkan diri dengan cinta ALLAH SWT,”sarannya.