Browsing Tag

Dedah aib sendiri

Dedah aib sendiri
Gaya Hidup,

Usah Ghairah Dedah Aib Sendiri Dan ‘Berkempen’ Maksiat

SEJAK akhir-akhir ini, terdapat segelintir orang seperti tidak kisah menzahirkan perbuatan dosa yang dilakukan.

Malah, ada yang begitu berbangga dengan tindakannya itu sehinggakan tanpa segan silu mendedahkannya menerusi platform media sosial masing-masing.

Senario itu benar-benar satu keabnormalan yang berlaku pada hari ini. Hakikatnya, menyembunyikan kesalahan sebenarnya adalah fitrah manusia kerana kita dikurniakan perasaan malu.

Andai perbuatan buruk itu dilakukan sendirian tanpa membabitkan orang lain, tidak mengapalah kerana dosanya akan dimasukkan ke dalam ‘tabung’ dosa sendiri.

Namun, jikalau sampai mempromosikan maksiat, itu sudah cerita lain pula. Tindakan itu seolah-olah mengajak atau menggalakkan orang lain melakukan perbuatan maksiat pula.

Pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid memberi peringatan tegas agar umat Islam tidak mengajak orang lain berbuat kemungkaran.

HABIB ALI ZAENAL ABIDIN

Ini kerana, katanya, mereka yang melakukan sedemikian akan mendapat ‘saham’ dosa individu yang mengikutinya melaksanakan perbuatan yang dilarang oleh agama Islam.

Baca juga Suami Isteri Ibarat ‘Pakaian’, Jaga Aib Pasangan Masing-Masing

“Ini termasuklah jika individu terbabit menyebarkan fesyen untuk hal-hal yang mungkar, mempromosikan khamr (arak) dan seumpamanya.

“Ya, memang yang melakukannya (kemungkaran) memang berdosa, tapi perbuatan dosa si pengikut tadi dikenakan kepada orang yang mempromosikannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Sekalipun seseorang itu tergelincir melakukan dosa dan maksiat, Habib Ali memberi nasihat supaya golongan tersebut tidak mendedahkan sewenang-wenangnya dalam laman sosial seperti Facebook dan seumpamanya.

“Maka terpeliharalah kehormatannya kecuali mereka yang mendedahkannya sendiri.

“Pada hari ini, kita lihat ada orang tanpa rasa bersalah buat kempen lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kempen kebebasan perkahwinan lelaki dengan lelaki, lelaki berpakaian perempuan dan sebagainya.

“Ingatlah kempen-kempen seperti itu mengundang bahaya yang lebih besar daripada dosa yang dilakukan secara bersendirian,” ungkapnya.

Dedah aib sendiri

JAUHI perbuatan maksiat yang boleh menjebakkan diri ke lembah kebinasaan.

Sememangnya Islam mengajar umatnya agar tidak mendedahkan aib diri kepada orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali mereka-mereka yang menunjuk-nunjuknya dan sesungguhnya di antara menunjuk-nunjukkan (dosa) adalah seorang hamba yang melakukan suatu perbuatan di waktu malam. Sementara ALLAH telah menutupinya kemudian di waktu pagi dia berkata: “Wahai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu, padahal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya. Ia pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya dan di pagi harinya ia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh ALLAH.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sesungguhnya, seorang manusia itu dilihat sempurna pada mata orang lain adalah disebabkan ALLAH SWT menutup aibnya.

Justeru, usah sekali-kali kita berbangga dengan maksiat yang dilakukan, apatah lagi mendedahkannya secara terbuka.

Foto: Pexels