Browsing Tag

Dean Obeidallah

2631b10a-2e8a-430d-8a6d-a60aa7200a97
Jendela Dunia,

Pelawak Amerika Muslim Bantu Masyarakat Atasi Ketakutan 9/11

no comment

TRAGEDI serangan 11 September cukup memberi kesan yang mendalam kepada semua sehingga melahirkan golongan Islamofobia, malah peristiwa yang telah berlalu 20 tahun itu turut memberi impak besar kepada seluruh umat Islam.

Bagi pelawak Amerika, Dean Obeidallah,51, menulis jenaka selepas serangan 11 September dirasakan sangat peribadi kerana dianggap sebagai stereotaip anti-Muslim, diskriminasi dan bahkan boleh menjadi jenayah kebencian ke seluruh Amerika Syarikat (AS).

Dean Obeidallah tampil di Festival Komedi Arab-Amerika di Gotham Comedy Club di New York. Gambar: Religion News Service

“Pada 10 September, saya tidur sebagai seorang lelaki kulit putih, namun apabila saya bangun daripada tidur pada 11 September, saya telah bertukar menjadi seorang lelaki Arab,” katanya dalam video ketika mempersembahkan ‘stand up comedy’ menerusi program The Dean Obeidallah Show di SiriusXM, New Jersey.

Obeidallah menyesuaikan skrip komedinya daripada lelucon keluarga ke bahan lawak yang menggunakan fakta Timur Tengah yang berat, untuk membantu mengubah persepsi masyarakat yang tidak faham situasi sebenar bagi melawan ketaksuban golongan anti-Arab.

Mentaliti masyarakat khususnya yang bukan beragama Islam cukup terkesan setelah serangan 11 September menyebabkan jenayah kebencian anti-Muslim meningkat 177 peratus mengikut laporan FBI.

“Komedi saya selepas 9/11 menjadi cara untuk menjadi aktivis dalam usaha untuk menjelaskan kepada rakan-rakan Amerika saya mengenai siapa orang Arab yang sebenar. Ia bertentangan dengan betapa teruknya media menggambarkan masyarakat Islam,” kata Obeidallah yang berketurunan Palestin dan Itali.

Zayid ketika mengadakan persembahan ‘stand up comedy’. Gambar: The Buzz Magazines

Bagi pelawak terkenal wanita Muslim, Maysoon Zayid, 47, setelah 9/11 masyarakat Islam di AS merasai diri mereka seperti berada di dalam ‘kepungan’.
“Kami dilabel sebagai pengganas, diawasi oleh pemerintah dan disasarkan oleh kumpulan kebencian,” kata Zayid.

Zayid dibesarkan di New Jersey dan bapanya adalah pendatang dari Palestin. Sebelum ini dia sering melihat Menara Berkembar WTC dari seberang Sungai Hudson.

“Setiap kali saya pergi ke Cliffside Park dari Jersey Shore, melihat menara berkembar menjadi tanda saya hampir sampai ke rumah. Menyaksikan kehancuran Menara itu sangat menakutkan dan ia adalah nyata,” katanya.

Tambah Zayid, dia bergabung dengan Obeidallah sejak tahun 2003 untuk bersama-sama menjayakan Festival Komedi Arab-Amerika New York.

“Komedi saya sama sekali tidak berubah selepas 9/11. Saya selalu memilih topik bebas dan menggunakan penekanan yang tegas serta selalu bercakap tentang menjadi Palestin dan Muslim,” menurutnya.

Pada tahun 2006, Zayid mengadakan persembahan ‘stand up comedy’, Little American Whore yang dipaparkan menerusi dokumentari 2013 The Muslims are Coming!. Dia adalah satu-satunya pelawak wanita Muslim-Amerika yang berani melakukan persembahan dari seluruh selatan AS.

Ditanya mengenai pengajaran yang ambil daripada tragedi 9/11, Zayid memberitahu AS adalah sebuah negara yang bersatu dengan cara yang tidak dapat diikuti negara lain akibat tragedi itu.

“Pelajaran lain yang saya harap kita semua pelajari adalah kita tidak boleh menyerang negara-negara yang tidak ada hubungannya dengan 9/11, sehingga menyebabkan ramai orang awam mati. Itulah yang saya pelajari, ”katanya.

Sumber: The National News