Browsing Tag

datuk

Pengasuh anak
Isu,

Jadikan ibu bapa sebagai pengasuh anak kita, ketahui hukum-hakamnya

SEGELINTIR orang lebih selesa jika ibu bapa mereka jadi ‘pengasuh’ anak sendiri. Selain menjadi individu dipercayai dan rapat dengan kita, faktor keselamatan juga menjadi sandaran.

Namun, ada juga yang rela menghantar anak kepada orang lain untuk dijaga lantaran memikirkan kudrat orang tua mereka tidak sekuat dulu, selain enggan menyusahkan insan kesayangan masing-masing.

Sebilangannya lagi pula terpaksa juga mengirim anak-anak kepada ibu bapa di kampung kerana ia menjadi kehendak orang tua masing-masing. Barangkali disebabkan sayangkan cucu atau mungkin sahaja kehadiran kanak-kanak itu sebagai peneman kala kesunyian.

Apa jua alasannya, fenomena ibu bapa kita menjadi ‘pengasuh’ kepada cucu seakan menjadi trend pada hari ini. Masakan tidak, rata-rata suami isteri bekerja mencari rezeki demi kelangsungan hidup. Lebih-lebih lagi saat kos sara hidup semakin melambung ketika ini.

Baca juga Jangan jadi anak tak kenang budi, jangan ambil kesempatan atas kebaikan, kemurahan hati ibu bapa

Bagi memastikan anak-anak dijaga dengan baik dan keselamatan si cilik terjamin, mahu atau tidak, ibu bapa perlu menghantar zuriat masing-masing kepada orang lain demi mencari sesuap nasi.

Sekiranya memerlukan bantuan emak dan ayah kita, maka anak-anak perlu mengadakan perbincangan bersama selain meminta izin ibu bapa, melihat keperluan mereka dan tidak menjadikan atau melayan orang tua sebagai ‘pengasuh’ yang dibayar gaji.

Demikian saranan yang diberikan oleh pendakwah Ustaz Muhidin Mokter.

USTAZ MUHIDIN

“Sebagai anak, perlu hargai usaha ibu bapa yang mahu membantu untuk menjaga anak kita yang juga cucu mereka). Jangan pula bila bila memberi upah, kita sewenang-wenangnya marahkan mereka.

“Ingatkan, dalam konsep agama, sekiranya ia bersangkutan dengan hubungan sesama manusia, bukan sekadar hukum-hakam yang perlu dijaga.

“Ya, hukum-hakam itu adalah suatu garis panduan yang perlu diketahui, dipatuhi dan dijadikan sebagai panduan bila berlaku masalah. Namun, di situ sebenarnya ada tolak ansur,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video Tanyalah Ustaz di YouTube TV3 Malaysia Official bertajuk Ibu bapa bukan pengasuh.

Sekiranya ibu dan ayah kita tidak bersedia menjaga cucu mereka, agamawan itu menasihatkan agar kita menerima hakikat tersebut.

“Itu (jaga anak) tanggungjawab kita dan kita perlu mencari alternatif lain untuk mencari orang lain sebagai pengasuh. Memang dalam Islam, harus hukumnya kita meminta bantuan daripada orang lain.

Baca juga Anak jadi nakal sebab doa ibu bapa… Berhati-hatilah bila berkata-kata apalagi ketika sedang marah

“Melihat kepada sirah Rasulullah SAW, menjadi tradisi atau kebiasaan masyarakat Arab untuk memberikan anak kecil kepada pengasuh ataupun ibu susu untuk dijaga,” katanya.

Pengasuh anak

ANDAI ibu bapa sudi membantu untuk menjaga anak kita, jagalah kebajikan dan keperluan mereka juga. -FOTO: FREEPIK

Bahkan, Nabi Muhammad SAW sendiri, kata Ustaz Muhidin, baginda mempunyai ibu susuan, Halimatus Sa’adiah.

“Dalam konsep susuan ini dan ditempatkan dalam persekitaran yang baik, ia sebenarnya akan membantu kepada perkembangan anak-anak itu sendiri.

“Contohnya, biasa kita lihat anak apabila dengan ibu bapanya, mereka akan bersifat manja, tetapi bila dengan orang lain, dia akan ada perasaan untuk membina keyakinan. Maka dia akan lebih berdikari, mengenali persekitaran. Di situ ada kebaikannya, maka hukumnya adalah harus,” katanya.

Adab minta bantuan ibu bapa

Ustaz Muhidin turut berkongsikan adab-adab yang perlu dipenuhi jika seorang anak memerlukan bantuan orang tuanya untuk menjaga anak mereka sepanjang ketiadaannya.

Perinciannya seperti berikut:

i. Mengucapkan terima kasih kepada ibu dan ayah kita kerana kesudian membantu kita menjaga anak kita sendiri.

ii. Jaga kebajikan ibu bapa.Bayangkan orang tua kita membantu dan menyempurnakan tugasan kita untuk menjaga anak. Mereka bukan pengasuh anak kita. Justeru, kenal pasti dan cuba penuhi segala keperluan mereka ketika menjaga anak-anak kita. Misalnya, sebelum menghantar anak, mandikan dan suapkan mereka makan terlebih dahulu. Jangan lupa tinggalkan keperluan lain seperti susu, duit poket dan sebagainya.

iii. Prihatin dan peka pada ibu dan ayah. Ia termasuklah dari segi kesihatan dan emosi mereka. Kedua-duanya begitu penting supaya tidak berlaku masalah lain seperti pengabaian dan sebagainya.

Pengasuh anak

HARGAI bantuan yang dihulurkan oleh ibu bapa yang menjaga anak-anak kita dan jangan sesekali menyusahkan mereka. -FOTO: 123RF

iv. Jangan sampai membebankan dan menyusahkan orang tua. Kehadiran ibu bapa tadi disebabkan mahu membantu kita. Jangan pula kita menyusahkan mereka.

v. Terima kekurangan ibu bapa yang menjaga anak-anak kita. Usahlah marah ibu bapa sendiri ataupun mengherdik mereka gara-gara tidak berpuas hati dengan bantuan dihulur ketika orang tua menjaga anak-anak kita.
Ingatlah, andai sekali menyakiti ibu bapa, mungkin kita yang akan dimurkai oleh ALLAH SWT dan menjadi anak derhaka!

vi. Beri kegembiraan dan kebahagiaan kepada kedua-dua orang tua.

Apalah salahnya jika kita memberi penghargaan kepada ibu bapa kita. Mereka sudah membantu kita memberi kegembiraan kepada anak-anak kita. Manusia pasti akan rasa seronok apabila menerima penghargaan.

Baca juga Begitu besarnya pahala mendidik anak-anak. Ibu bapa jangan mudah mengeluh, jaga amanah ALLAH dengan sebaiknya

Anak derhaka

Seperkara lagi, Ustaz Muhidin turut mengingatkan agar setiap ibu bapa perlu mengambil sikap ambil tahu tentang perihal anak-anak meskipun mereka dijaga oleh orang tua kita sendiri.

Jika aspek itu diabaikan sehingga menyebabkan ibu bapa sendiri tersinggung dan terasa hati dengan sikap kita itu, jelas beliau, ia boleh menyebabkan seseorang itu boleh jadi derhaka!

Pengasuh anak

AMBIL tahu tentang anak masing-masing sekalipun orang tua kita yang menjaganya agar mereka tidak tersinggung dengan sikap kita. -FOTO: PEXELS

Seperkara lagi, pendakwah itu mengingatkan, apa jua bentuk bayaran yang diberikan kepada ibu bapa kita, usahlah menganggapnya sebagai gaji ataupun upah, sebaliknya ia adalah satu bentuk sumbangan penghargaan.

“Pada pandangan saya, ibu dan ayah ialah orang yang tidak sepatutnya dijadikan sebagai ‘pekerja’ kita kerana tindakan itu boleh menyebkan kita merendahkan martabatnya.

Baca juga Anak Derhaka Tak Layak Cium Bau Syurga! Ini Yang Perlu Diketahui

“Dalam hal ini, konsep asasnya adalah seorang anak wajib memberikan layanan terbaik kepada orang tuanya. Dari segi uruf, memang tidak patut untuk menjadikan ibu dan ayah kita sebagai pekerja kita,” tegas beliau.

***Foto: Freepik

Tarik balik hibah
Dari Fail Mahkamah Syariah,

Hutang penyebab datuk tarik balik hibah kepada cucu, jangan anggap tindakan ini buruk siku

SEORANG datuk mahu tarik balik hibah yang pernah diberikan kepada cucunya. Namun begitu, ramai yang menganggap perbuatannya itu sebagai buruk siku. Demikianlah kisah yang pernah berlaku terhadap Abu Seman Kassim (bukan nama sebenar).

Ceritanya bermula apabila cucu lelaki sulungnya, Ayden Firash Mohamad (bukan nama sebenar) lahir ke dunia. Ketika itu, Abu Seman bersorak kegirangan.

Bibirnya pula tidak putus-putus memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dengan kehadiran cucu lelaki dinanti-nantikan tersebut. Sebelum kelahiran si comel tersebut, lelaki berusia 62 tahun itu sudah dikurniakan sembilan orang cucu perempuan.

Keterujaan mendapat ‘geng baharu’ itu membuatkan Abu Seman sanggup berkorban apa sahaja demi cucu kesayangannya.

Buat pertama kalinya, warga emas tersebut menghibahkan sebidang tanah miliknya yang terletak di selatan tanah air untuk Ayden Firash sebagai tanda kasih sayang seorang datuk terhadap cucunya. Pada masa itu, umur Ayden Firash baru sahaja berusia lima tahun.

Tarik balik hibah

SEBAIKNYA, penghibah digalakkan untuk mengadakan perbincangan antara ahli keluarga atau waris mengenai hibah yang bakal dilakukan supaya ia dalam pengetahuan pihak terlibat.

Maka bermulalah proses hibah dan memindah milik tanah berkenaan. Semuanya dilakukan di Pejabat Tanah Daerah sekitar tahun 2005. Oleh sebab usia cucunya yang masih lagi di bawah umur, maka ibunya, Hashimah Hasyim (bukan nama sebenar) telah dilantik menjadi penjaga amanah kepada anaknya. Proses berkenaan berjalan dengan lancar sehingga harta berkenaan benar-benar menjadi milik Ayden Firash.

Begitupun, selepas lima tahun berlalu, Abu Seman berubah fikiran. Beliau mahu menarik balik hibah tanah yang pernah dihadiahkannya kepada satu-satunya cucu lelakinya.

Ketika itu, fikirannya benar-benar buntu kerana hidupnya diselubungi hutang yang belum habis dilunaskan.

Salah satu cara terbaik untuk melangsaikannya adalah dengan menjual tanah berkenaan. Disebabkan itu, lelaki tersebut membuat tuntutan di mahkamah syariah untuk menarik balik hibah itu.

Baca juga Hibah Tak Boleh Dibuat Secara Paksaan, Ambil Iktibar Daripada Kisah Ini

Mujurlah tanah tersebut tidak pernah dijual atau dipindah milik oleh Hashimah, menantunya. Malah, ia masih dalam keadaan asal sebagaimana ketika proses pindah milik dilakukan lima tahun lepas.

Tarik balik hibah

PROSES penarikan semula hibah itu mesti dilakukan di mahkamah syariah.

Selaku pemegang amanah, Hashimah tidak membantah dengan kehendak bapa mertuanya untuk mengambil semula tanah berkenaan. Beliau merasakan bapa mertuanya wajar mengambil semula tanah berkenaan demi kemaslahatannya.

Setelah meneliti segala keterangan, fakta dan bukti yang dikemukakan, mahkamah berpuas hati dengan proses melakukan hibah itu. Ia memenuhi hukum syarak dan sah. Bahkan, penarikan hibah tersebut juga adalah sah mengikut hukum syarak.

Justeru, hakim memutuskan tanah tersebut kembali semula menjadi hak milik Abu Seman.

Abu Seman berasa lega dengan keputusan tersebut. Bukan niatnya untuk menjadi buruk siku, tetapi beliau terpaksa berbuat demikian kerana hutang itu begitu penting untuk dilunaskan sebelum dirinya dijemput Ilahi.

Hibah tidak boleh ditarik semula melainkan penuhi syarat tertentu

APABILA seseorang sudah menghibahkan hartanya kepada penerima dan disertakan dengan penyerahan serta penerimaan barang (al-Qabd), ia tidak boleh ditarik balik atau diambil kembali.

Begitupun, situasi sebaliknya pula berlaku andai hibah berkenaan dilakukan oleh asal iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas kepada furu’ (anak, cucu dan ke bawah) yang mana ia boleh ditarik semula dengan syarat-syarat tertentu.

Demikian penjelasan daripada Penasihat Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof ketika ditanya Sinar Islam Plus berhubung isu penarikan semula hibah yang dilakukan Abu Seman Kassim terhadap Ayden Firash Mohamad (kedua-duanya bukan nama sebenar).

FAZRU ANUAR

Jelas beliau, mengikut pendapat fuqaha, antara syarat yang mengharuskan proses berkenaan adalah harta yang dihibahkan masih menjadi milik anak atau cucu yang menerima hibah. Pada masa sama, ia masih berada dalam jagaan atau urusan penerima hibah.

“Apatah lagi dalam kes itu, datuk terpaksa menarik semula hibah tersebut bukanlah saja-saja, tetapi demi melunaskan hutang yang merupakan suatu kewajipan.

Baca juga Bapa ubah fikiran tarik balik hibah yang diberikan pada anak. Peguam syarie ini beri penjelasan…

“Apa yang dilakukan oleh Abu Seman Kassim bukanlah suatu kesalahan, malah diizinkan oleh syarak kerana ia melibatkan hibah yang dibuat datuk terhadap cucunya. Paling penting, proses penarikan hibah itu mesti dilakukan di mahkamah syariah,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pengamal undang-undang syariah itu menegaskan, perbuatan mengambil semula pemberian tersebut tidak seharusnya dipandang sebagai perilaku yang tidak elok.

“Yang penting pihak mahkamah berpuas hati bahawa semua rukun-rukun hibah telah dipenuhi mengikut kehendak undang-undang dan hukum syarak,” ujarnya.

Pun demikian, beliau menjelaskan, sekiranya tanah hibah itu sudah diusahakan atau dibangunkan rumah, pemilik asal tidak boleh menuntut semula harta yang sudah dihibahkan.

“Hal ini kerana berlaku pertambahan yang tidak boleh diasingkan atau dipisahkan pada tanah yang telah dihibahkan. Sebagai contoh, penerima hibah menjahit kain yang diterima menjadi baju kemeja.

“Berdasarkan satu riwayat hadis daripada Imam Ahmad, bapa tidak diharuskan menarik semula hibah anaknya yang telah berlaku pertambahan yang tidak boleh diasingkan,” terangnya panjang lebar.

Tarik balik hibah

HIBAH yang dilakukan oleh asal iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas kepada furu’ (anak, cucu dan ke bawah) yang mana ia boleh ditarik semula dengan syarat-syarat tertentu.

Kepada mereka yang berhasrat untuk melakukan hibah, Fazru Anuar menasihatkan agar semua pihak perlu mengetahui dan memahami konsep hibah dengan sebaiknya.

“Ketahuilah, kesahan sesuatu hibah itu berlaku apabila semua rukunnya iaitu pemberi hibah, penerima hibah, harta yang dihibahkan dan lafaz ijab kabul proses itu sempurna.

“Andai tidak disempurnakan, hibah itu boleh dipertikaikan kelak jika berlaku pertelingkahan. Justeru, digalakkan penghibah untuk mengadakan perbincangan antara waris mengenai hibah yang bakal dilakukan supaya ia dalam pengetahuan pihak terlibat,” nasihat beliau.

Foto: Freepik & Pexels