Browsing Tag

Datuk dan nenek

Untitled design - 2022-09-30T093916.805
Faraid,

Datuk dan nenek boleh dapat faraid dengan syarat tertentu, berikut penjelasannya

KOMUNITI warga emas seperti golongan datuk dan nenek merupakan sebahagian fasa kehidupan yang harus diperakui dalam penciptaan manusia.

ALLAH SWT menerangkan perihal pembahagian fasa kehidupan manusia dan menetapkan warga emas berada di tahap ketiga iaitu penghujung usia menerusi firman-NYA yang bermaksud: “ALLAH yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-NYA, dan DIA-lah jua YANG MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA KUASA. (Surah ar-Rum, ayat 54)

Menyantuni warga emas melalui agihan faraid adalah sangat signifikan kerana hubungan kerabat (nasab) merupakan sebab terpenting yang ada pada mereka. Dalam hal ini, datuk dan nenek merupakan sebahagian warga emas yang menjadi komponen penting asal keturunan sesebuah keluarga dan perlu disantuni melalui agihan faraid.

Penarafan status sah bagi datuk dan nenek

Penentuan status sah bagi datuk dan nenek sebagai waris faraid adalah sangat penting kerana hanya datuk dan nenek yang sah sahaja diperakui sebagai waris ashab al-furud iaitu waris yang memperolehi bahagian tertentu. Manakala jika mereka mempunyai status yang tidak sah atau fasid, maka mereka digolongkan dalam kelompok waris dhawi al-arham yang menjadi perselisihan dalam kalangan fuqaha tentang bentuk pewarisan.

Baca juga Faraid kepada ibu bapa, ihsan yang tidak bertepi

Dalam penarafan status ini, datuk sah ialah hubungannya dengan si mati tidak diselangi oleh orang perempuan seperti datuk sebelah bapa dan ke atas. Manakala nenek yang sah pula ialah hubungan dengan si mati tidak diselangi oleh datuk yang tidak sah seperti ibu kepada ibu dan ke atas.

Datuk dan nenek

DATUK dan nenek akan mendapat faraid apabila perantara antara mereka dengan si mati iaitu bapa dan ibu sudah tiada. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: 123RF

Sebagai cucu kepada datuk dan nenek yang mempunyai dua penarafan iaitu sah atau tidak seharusnya akur dengan ketentuan hukum faraid dan lebih bijak dalam merancang harta sedia ada. Jika cucu tersebut mengetahui bahawa datuknya merupakan waris tidak sah, maka mereka masih boleh menyantuni mereka menerusi hukum hibah atau wasiat. Kebijaksanaan dalam mengurus harta ini perlu didasari dengan ilmu faraid kerana hanya kita sahaja yang tahu tentang bentuk kebajikan terbaik dalam menyantuni keluarga sendiri.

Perlu diingat bahawa datuk dan nenek akan mendapat faraid apabila perantara antara mereka dengan si mati iaitu bapa dan ibu sudah tiada. Jika perantara tersebut masih wujud, maka datuk dan nenek tidak mendapat bahagian daripada pusaka. Hal ini kerana kedua mereka bersambung dengan si mati atas faktor yang sama dengan perantaranya.

Habuan faraid kepada datuk dan nenek

Secara asasnya, kadar pusaka datuk ialah satu perenam (1/6), atau satu perenam bercampur ‘asabah atau menerima ‘asabah sahaja iaitu bahagian yang sama seperti seorang bapa. Tiga bahagian ini akan diperolehi oleh datuk dengan syarat bapa kepada si mati sudah tidak wujud.

Dalam pewarisan datuk ketika bersama adik-beradik si mati, fuqaha berbeza pandangan sama ada datuk berkuasa mendinding saudara si mati (adik-beradiknya) daripada mewarisi harta pusaka sebagaimana kuasa bapa atau datuk akan mewarisi secara bersama dengan mereka.

Baca juga Kenali waris faraid, ini perinciannya.

Dalam hal ini, Abu Bakar (13H) dan Ibn Abbas (68H) berpandangan datuk berperanan mendinding saudara, manakala Zaid bin Thabit (45H) dan Ibn Mas‘ud (32H) berpandangan, mereka mewarisi bersama. Pandangan Zaid bin Thabit ini banyak diterima pakai dalam kalangan fuqaha dan peruntukan undang-undang semasa.

Menurut Zaid bin Thabit, dalam pewarisan datuk bersama dengan saudara, datuk akan mendapat bahagian yang terbaik sama ada secara berbahagi sebagai saudara lelaki (muqasamah), satu pertiga, satu pertiga daripada baki atau satu perenam.

Pewarisan nenek dalam faraid terdiri daripada dua keadaan iaitu mendapat 1/6 atau terdinding daripada pewarisan. Nenek mendapat faraid sebanyak 1/6 ketika bersendirian atau ramai, di mana mereka akan berkongsi antara mereka iaitu apabila penghubungnya dengan si mati tidak wujud. Penghubung yang dimaksudkan ialah ibu dan bapa.

Datuk dan nenek

KENALI waris yang boleh menerima harta pusaka untuk memudahkan proses agihan apabila berlaku perkara tidak diingini pada masa akan datang. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: PEXELS

Manakala keadaan kedua, nenek tidak mendapat faraid apabila penghubungnya dengan si mati masih hidup, iaitu ibu (kedua-dua belah pihak) kerana nenek ialah pengganti ibu dan dihalang oleh bapa sekiranya nenek daripada sebelah bapa. Nenek daripada sebelah ibu tidak akan terhijab dengan kewujudan bapa.

***Artikel ditulis oleh Zahari Mahad Musa, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia