Browsing Tag

Dasar aparteid Israel

Palestin
Berita Semasa, Dalam Negara,

JPAF sahut seruan Setiausaha Agung OIC lawan dasar aparteid Israel

DASAR aparteid Israel terhadap rakyat Palestin dan serangan di Baitulmaqdis sukar untuk diterima oleh akal fikiran yang waras.

Masakan tidak, penindasan berterusan yang dilakukan ‘negara haram’ Israel itu sememangnya begitu menjengkelkan.

Disebabkan itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha lantang menyeru anggota OIC supaya mengukuhkan semangat perpaduan dan bersama-sama menentang jenayah serangan Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak pernah tamat.

HISSEIN BRAHIM TAHA

“Perbuatan haram ini secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa yang berkaitan perjanjian dan resolusi,” katanya ketika berucap pada sesi ke-48 Mesyuarat Menteri-Menteri Luar OIC di Islamabad, Pakistan, Selasa lalu.

Menyahut seruan tersebut, Justice for Palestine Action Front (JPAF) tampil menyokong penuh kenyataan yang dibuat oleh Hissein.

Menerusi kenyataan medianya kepada Sinar Islam Plus, JPAF turut mengecam penindasan Israel yang bertindak membunuh dan merampas hak rakyat Palestin sewenang-wenangnya, sekali gus menyokong pendirian Hissein dalam hal itu.

“Ingin kami tegaskan bahawa dasar aparteid dan pembersihan etnik oleh rejim Zionis ini perlu dihentikan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Pengerusi JPAF, Prof Emeritus Datuk Abang Abdullah Abang Ali menjelaskan, perpaduan dalam kalangan rakyat Palestin, negara-negara Islam dan masyarakat dunia amat diperlukan bagi menghentikan insiden pencerobohan dan kezaliman rejim Israel.

ABANG ABDULLAH

Baca juga Insiden Roboh Rumah Penduduk Palestin Dikiritik Secara Meluas, Dianggap Sebagai ‘Jenayah Perang’

Bayangkan penindasan terhadap Palestin itu sudah berlangsung selama lebih 74 tahun sejak insiden Nakba pada tahun 1948, jelasnya.

“Sehingga kini, pelbagai siri rundingan dan dialog untuk mengangkat hak dan menyokong aspirasi rakyat Palestin telah dilaksanakan, tetapi ia berakhir dengan jalan buntu.

“Pelanggaran perjanjian dan resolusi, pencerobohan serta penindasan yang berterusan terhadap rakyat Palestin seolah-olah sudah menjadi rutin rejim Zionis Israel,” katanya.

Palestin

INSIDEN perobohan rumah penduduk milik penduduk Palestin di Sheikh Jarrah di timur Baitulmaqdis baru-baru ini.

Justeru, JPAF yang merupakan inisiatif strategik untuk membantu Palestin akan terus menyokong segala usaha untuk membela mereka.

“Tindakan dan perhatian daripada seluruh masyarakat dunia terutama masyarakat Islam amat perlu. Ini kerana isu Palestin merupakan isu kemanusiaan dan global yang tidak patut dipandang enteng.

Baca juga Bersama Pertahankan Kesucian Bumi Palestin, Berdosa Jika Umat Islam Tidak Ambil Tahu

“Ia demi mewujudkan dunia yang aman dan bebas daripada penindasan serta kezaliman,” katanya.