Browsing Tag

darjat

Lipat pakaian
Hukum,

Tahajud solat paling utama selepas sembahyang fardu

SAAT terjaga daripada tidur, jam baru sahaja menunjukkan pukul 3 pagi. Masih terlalu awal untuk bangkit. Tambahan pula, orang lain pula masih enak dibuai mimpi.

“Baik aku sambung tidur lagi Lagipun, tak ada apa-apa pun yang nak dibuat waktu-waktu ini.”

Demikianlah hati kita bermonolog. Tidak terlintas langsung dalam fikiran bahawa sebenarnya terdapat amalan yang boleh dilakukan pada waktu berkenaan.

Perkara yang dimaksudkan adalah menunaikan solat sunat tahajud. Meskipun ia hanyalah sekadar solat sunat, namun kelebihan yang ada padanya begitu besar.

Apakah keistimewaan yang dimaksudkan? Benarkah ia merupakan antara solat sunat yang afdal selepas solat fardu?

Waktu terbaik bertahajud

Ketika ditemubual oleh Sinar Islam Plus baru-baru ini, pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Talhah memulakan bicaranya dengan memperincikan tentang maksud sebenar solat tahajud.

USTAZ MOHAMAD HADI

Jelas beliau, tahajud ialah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam selepas waktu Isyak setelah bangun daripada tidur walaupun sebentar sehingga sebelum masuknya waktu Subuh.

“Maksud tidur di sini adalah tidur yang sebenar-benarnya, bukan tidur-tidur ayam. Satu perkara lagi, sebelum mengerjakan solat sunat ini, pastikan diri kita sudah menunaikan solat Isyak terlebih dahulu.

“Dari segi bilangan rakaat pula, tiada jumlah yang khusus. Cuma ia dilakukan dalam bilangan yang genap iaitu dua rakaat satu salam.

“Namun begitu, Rasulullah SAW sering melakukan solat sunat tahajud sebanyak lapan rakaat, diikuti oleh witir tiga rakaat. Baginda tidak pernah meninggalkan langsung solat tahajud walaupun ketika bermusafir,” ujarnya sambil menjelaskan hukum melakukannya adalah sunat muakkad.

Baca juga Terjaga waktu malam, cepat-cepatlah solat tahajud. Ini kelebihannya yang perlu kita tahu

Dalam sebuah hadis masyhur, Aisyah RA berkata: “Nabi Muhammad SAW mendirikan solat malam sehingga kedua-dua kakinya pecah, maka aku berkata kepadanya: “Kenapa engkau melakukan seperti ini, wahai Rasulullah? Padahal dosa-dosamu yang telah lalu dan akan datang telah diampunkan”. Rasulullah SAW menjawab: “Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut beberapa riwayat yang masyhur, Ustaz Mohamad Hadi menjelaskan, solat malam itu boleh dilakukan pada bila-bila waktu waima satu pertiga malam pertama, kedua ataupun ketiga.

“Ini kerana Nabi Muhammad pernah melakukannya pada waktu-waktu berkenaan. Begitupun, waktu paling afdal dilakukan solat sunat tahajud itu padal satu pertiga malam yang terakhir iaitu sekitar jam 3 pagi sehinggalah waktu Subuh.

“Pada waktu berkenaan, ALLAH SWT ‘turun’ ke langit dunia. Itulah detik yang paling mustajab untuk kita berdoa, selain beribadah dan beruzlah dengan ALLAH SWT. Itulah detik untuk kita meminta dan memohon apa sahaja kepada-NYA,” terangnya panjang lebar.

Solat tahajud


MALAM sememangnya detik paling sesuai untuk beribadah dan menghampirkan diri kepada ALLAH SWT.

Angkat darjat 

Menyambung hujah, Ustaz Mohamad Hadi kemudian berkongsi keistimewaan solat sunat tahajud yang tiada tolok bandingnya. Bayangkan, ALLAH SWT akan mengangkat darjat hamba-NYA yang melazimkan diri untuk mendirikan solat berkenaan, ungkapnya.

Ia sebagaimana disebutkan menerusi firman ALLAH SWT: “Dan bangunlah pada sebahagian daripada waktu malam serta kerjakanlah solat tahajud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Isra’, ayat 79)

“Masakan tidak, pada saat orang lain lena dibuai mimpi, kita pula bermujahadah melawan nafsu untuk mengharapkan kebaikan daripada ALLAH SWT.

“Ya, bukan mudah untuk bangun malam, tetapi untuk membiasakan diri, kita perlu memaksa diri untuk melakukannya. Jika tidak melakukannya pada setiap malam pun tidak mengapa, cuba bangun untuk tiga malam dalam seminggu dan mendirikan solat sunat tahajud.

“Lama-kelamaan kita dapat menyesuaikan diri. Akhirnya kita berasa suka untuk melazimkan amalan ini sebagai  rutin sehingga terdetik rasa sayang apabila meninggalkannya,” katanya berkongsi tip untuk bertahajud.

Solat tahajud


RUMAH yang dihidupkan dengan amalan solat malam tidak akan terasa sunyi seperti kubur. Malah ia akan memberikan kedamaian kepada para penghuninya.

Beliau mengakui, proses mentarbiah diri memerlukan tempoh masa yang panjang kerana manusia secara fitrahnya memang sukakan kesenangan dan keseronokan.

“Percayalah setiap keletihan, kelelahan dan kesukaran yang kita rentas itu pasti ada ganjarannya di sisi ALLAH SWT.

“Benar, memang seronok jika dapat berhibur melakukan perkara yang dilarang dan seumpamanya, tetapi ingatlah keseronokan itu hanya bersifat sementara sahaja, tetapi dosa maksiatnya berkekalan,” pesannya.

Bukan itu sahaja, agamawan itu menjelaskan, orang yang bangun malam semata-mata untuk beribadah kerana ALLAH SWT, wajahnya nampak bercahaya dan berseri-seri, selain syurga menjadi tempatnya pada hari akhirat kelak dengan syarat solat fardu tidak pernah ditinggalkan.

“Paling penting, rumah orang yang bangun solat malam tidak jadi seperti kubur. Sebaliknya, ia dihidupkan dengan amal ibadah pada sebelah malamnya. Apa tidaknya, kubur bukan tempat sesuai untuk mendirikan solat atau membaca al-Quran. Bayangkan jika rumah kita sunyi tanpa solat dan alunan bait-bait kalam ALLAH, ia ibarat seperti di kubur.

“Seperkara lagi, solat malam atau tahajud ini juga menjadi amalan para sahabat apabila mereka hendak berperang sehinggakan pada zaman Saidina Umar al-Khattab, beliau tidak membenarkan orang yang tidak solat malam untuk menyertai peperangan,” terangnya panjang lebar.

Solat paling utama selepas sembahyang fardu

Senada dengan Ustaz Mohamad Hadi, Ketua Pusat Pengajian (Pendidikan & Pengajian Islam), Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat mengakui tahajud merupakan solat yang begitu istimewa dan unik berbanding solat-solat sunat lain.

DR MOHD NOR

“Selain waktunya yang spesifik, ia adalah satu-satunya solat yang disyaratkan mesti tidur terlebih dahulu. Meskipun hukumnya adalah sunat muakkad, tetapi solat tahajud ini dianggap solat teras dalam qiamullail,” katanya kepada Sinar Islam Plus ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Bahkan, kata ahli akademik itu, solat sunat tahajud dianggap sebagai solat yang paling utama selepas solat fardu. Rasulullah SAW bersabda: “Solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat tahajud.” (Hadis Riwayat Muslim)

Di sebalik solat sunat tahajud, Dr Mohd Nor menjelaskan, terlalu banyak kelebihan yang ada padanya.

Paling utama, katanya, ia menjadi penguat peribadi dan mengukuhkan jiwa kita.

“Ketahuilah bahawa orang yang bertahajud ialah mereka yang dekat dengan ALLAH SWT. Malah mereka sanggup bangkit meninggalkan keasyikan tidur semata-mata untuk menghadap ALLAH pada waktu yang paling disukai dan penuhi dilimpahi rahmat-NYA.

“Mengambil contoh Sultan Muhammad Al-Fateh yang terkenal sebagai panglima tentera yang menawan Konstantinopel dan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi yang membuka semula Palestin, kedua-duanya memilih barisan hadapan tentera dengan mensyaratkan hanya mereka yang bangun bertahajud malam. Peribadi tentera begini lebih kental dan kukuh keberaniannya sehingga mereka mampu mengalahkan tentera musuh yang sangat kuat,” jelasnya.

Suatu perkara tentang keistimewaan tahajud yang menarik perhatian Sinar Islam Plus apabila pensyarah itu menyebut bahawa amalan tersebut mampu menjadikan tubuh badan kita lebih sihat.

Solat tahajud

ANDAI diri dihambat keresahan dan kesedihan, cubalah bertahajud serta mengadu segalanya kepada ALLAH SWT. Sesungguhnya, DIA MAHA MENDENGAR keluhan para hamba-NYA.

Perkara itu ada dinyatakan dalam hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan-MU, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari amalan dosa dan dapat menghalangi penyakit.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Bagi mereka yang berdepan dengan keresahan, kesempitan atau masa sukar, beliau menyarankan supaya individu berkenaan bangun mendirikan solat tahajud dan bermunajat kepada ALLAH SWT.

“Keheningan waktu malam ditambah dengan rendahnya sayap rahmah ALLAH pada waktu tersebut menjadikan me time kita dengan ALLAH, pastinya memberi kekuatan serta menambah ketenangan kepada diri kita.

“Tahajud juga menjadi jambatan mustajabnya doa kita. Ini kerana waktu tahajud adalah waktu doa paling mustajab yang mana ALLAH janjikan untuk mengabulkan apa sahaja yang kita pohon. Ditambah dalam sujud kita, tahap mustajab doa kita adalah berganda,” ungkapnya.

Baca juga Sebab musabab doa kita kita tidak dimakbulkan oleh ALLAH YANG MAHA ESA. Ini yang selalu kita tak perasan

Kepada satu soalan, Dr Mohd Nor menjawab: “Suami isteri yang mendirikan solat tahajud, membangunkan rumah dengan ibadah malam, memastikan solat dan bacaan al-Quran sentiasa berterusan dalam rumah, pastinya menjadikan rumah mereka sentiasa penuh dengan rahmah.

“Rumah yang penuh dengan rahmah menghasilkan suasana ahlinya sentiasa dalam sakinah, mawaddah dan rahmah. Ingatlah, hubungan yang dihiasi dengan rahmah ALLAH dapat mengelakkan rasa tegang atau marah antara suami isteri.

“Selain itu, doa sinergi daripada suami isteri secara bersama adalah lebih tinggi potensi dimakbulkan. Ketahuilah, sangat rugi bagi pasangan suami isteri yang menginginkan pelbagai impian dan kebahagian dalam hubungan, tetapi tidak bangun bertahajud pada tengah malam. Malah ia juga menjadikan hubungan kita lebih akrab dengan aktiviti bersama, berimamkan suami sebagai simbolik imam keluarga dan imam yang memandu semua ahli keluarga ke syurga.”

Solat tahajud

JANGAN lepaskan peluang untuk bertahajud kerana terlalu banyak imbalan yang bakal diraih.

ANEKDOT

Baca juga 4 langkah mudah bangun tahajud dan qiamullail

4 langkah mudah bangun tahajud dan qiamullail

 1. Berniat dan berazam.

Apabila seseorang berazam mahu bangun, dirinya pasti melakukan pelbagai usaha supaya boleh bangkit dan mendirikan solat. Ini kerana, tanpa azam kuat, orang yang terjaga malam pun belum tentu kuat mendirikan solat sunat dua rakaat sekalipun.

2. Tidur sebentar pada waktu siang.

Jika boleh, luangkan masa untuk qailullah atau tidur sebentar pada waktu siang sebelum ataupun selepas Zuhur selama 15 hingga 30 minit. Tujuannya adalah untuk merehatkan diri dan menghilangkan kantuk akibat keletihan serta tidak cukup tidur.

3. Berwuduk sebelum tidur.

Menerusi sebuah hadis masyhur Rasulullah SAW berpesan kepada supaya kita membiasakan diri dengan wuduk bukan sahaja ketika hendak mendirikan solat, tetapi juga sebelum tidur.

Ketahuilah, berwuduk sebelum tidur akan membuatkan perasaan seseorang menjadi lebih tenang dan tenteram. Bahkan, ia berupaya menjadikan otot-otot badan lebih tenang dan kualiti tidur juga akan sentiasa terjaga.

4. Menjaga pemakanan.

Kepada mereka yang mahu bangun malam, elakkan makan terlalu banyak terutama hidangan yang berat. Ini kerana makanan yang diambil pada waktu malam terutama selepas Isyak memaksa sistem pencernaan bekerja keras sepanjang malam untuk memprosesnya. Sudah tentu banyak tenaga digunakan sehinggakan ia memberi impak kepada orang yang makan banyak. Mereka cenderung berasa begitu letih sehingga tertidur dengan nyenyak.

Sumber; https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/uncategorized/4-langkah-mudah-bangun-tahajud-dan-qiamullail/

Foto: 123rf, Freepik & Unsplash