Browsing Tag

darifailmahkamahsyariah

Dari Fail Mahkamah Syariah, Hukum, Isu,

Jatuhkan talak guna alat komunikasi moden kaedah yang tidak tepati adab penceraian

PEGUAM Syarie dari Tetuan Wan Rosmawai & Associates, Wan Rosmawati Wan Ali berkata, lafaz cerai melalui WhatsApp dikategorikan sebagai lafaz cerai kinayah, sama ada ia (lafaz) jelas atau tidak.

Ujar Wan Rosmawati, berdasarkan undang-undang syariah, untuk mensabitkan lafaz cerai sah atau tidak, perlu merujuk kepada niat si mati atau orang yang melafazkan cerai tersebut atau sekurang-kurangnya si mati telah menzahirkan lafaz tersebut secara lisan di hadapan saksi-saksi.

Di mahkamah syariah, lafaz cerai yang dibuat seumpama ini memerlukan pengakuan suami.

“Lafaz cerai tidak disabitkan sah jika suami tidak mengaku dan mengatakan tiada niat, hatta telah menulis ‘aku ceraikan kau‘ dan kemudian terus menghantar mesej itu menerusi WhatsApp kepada pasangan,“ terang beliau ketika dihubungi baru-baru ini.


Dalam kes di antara Syazwan Abdillah dan Fadilah Mohd (kedua-duanya bukan nama sebenar), peguam syarie itu menjelaskan, terdapat sedikit keraguan memandangkan mesej tersebut tidak menggambarkan bahawa Ali benar-benar menceraikan Fadilah.

Kebiasaannya di mahkamah, suami akan disiasat sama ada setelah menaip lafaz cerai tersebut, dia ada membaca semula dengan lisan lafaz ditaip tersebut sebelum menekan butang hantar atau sama ada suami membaca sambil menaip lafaz tersebut dan kemudian terus hantar. Penting untuk mengetahui pengakuan suami itu kerana menjadikan lafaz yang dihantar sah atau sebaliknya. Ini kerana lafaz yang ditulis dan dibaca kemudian dihantar sah, meskipun suami menafikan berniat semasa hantar lafaz tersebut,“ katanya.

Baca juga 7 Hak Wanita Selepas Diceraikan Yang Perlu Kita Tahu

Wan Rosmawati menambah, suami memainkan peranan sangat penting dalam hal-hal sebegitu kerana kesan yang akan ditinggalkan kepada waris-waris yang sah adalah bergantung kepada tindakan yang dibuat olehnya.

“Justeru dalam kes ini, Fadilah selaku isteri kedua masih lagi waris yang sah kepada Ali, melainkan mahkamah mengesahkan lafaz yang dibuat oleh Syazwan kepada isteri kedua sah dan jatuhkan talak. Kesilapan yang dilihat kecil, tetapi memberi impak begitu besar dalam kehidupan waris,“ ujarnya.

 


Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menulis dalam ruangan Al-Khafi li al-Fatawi: 1014 bertajuk Cerai Menggunakan Aplikasi WhatsApp berkata, talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden (seperti Whatsapp) adalah kaedah yang tidak menepati adab penceraian yang digariskan syarak.

Hal itu kata beliau, bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59 yang menyatakan bahawa talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, pesanan ringkas, e-mel dan sebagainya adalah talak secara kinayah. Ia sah sekiranya disertai dengan niat.

Foto: burak kosta/Pexels

Berita Semasa,

Suami sempat tulis lafaz cerai kepada isteri kedua melalui WhatsApp sebelum meninggal dunia

MESKIPUN pertemuan di antara Syazwan Abdillah, 55, dan Khadijah Abu Kasim, 42, (bukan nama sebenar) singkat, mereka memutuskan untuk berkahwin.

Nampaknya, hubungan kedua-duanya cukup bahagia dan kasih sayang semakin bertaut apabila pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata yang comel.

Pun demikian, selepas 20 tahun membina mahligai, rumah tangga Syazwan dan Khadijah dilanda badai.

Itu semua gara-gara kehadiran orang ketiga, Fadilah Mohd yang telah mencuri hati Syazwan. Bapa kepada dua anak tersebut tanpa rasa bersalah bermain cinta dengan janda dua anak.

Episod kecurangan lelaki itu akhirnya sampai ke pengetahuan Khadijah. Walau berkali-kali dipujuk, Syazwan tetap dengan pendiriannya untuk menikahi Fadilah yang 15 tahun lebih muda daripadanya.

Akhirnya, dengan penuh rasa pasrah, Khadijah merelakan keputusan suaminya bagi mengelak lelaki tersebut terus ‘dihurungi‘ maksiat.


Pun demikian, selang beberapa tahun, Syazwan meninggal dunia akibat penyakit jantung. Ketika bergelar suami isteri, Syazwan dan Fadilah tidak memiliki cahaya mata.

Sebelum menutup mata, rupa-rupanya lelaki tersebut sempat menulis mesej di aplikasi Whatsapp mengenai pengakuannya yang telah menceraikan isteri kedua, Fadilah dengan menggunakan lafaz cerai.

Bagaimanapun, wanita itu tidak tahu menahu dirinya diceraikan. Malah, sebaik pemergian Syazwan, Fadilah terus mendaftarkan namanya bersama anak-anak (zuriat bersama bekas suami pertama) sebagai waris sah untuk menerima pencen arwah.

Selang beberapa ketika, hal tersebut menjengah ke telinga Khadijah.

Bagaimanapun, selepas meneliti Whatsapp Allahyarham suaminya, wanita itu mendapati, tiada langsung perkataan cerai yang boleh menjatuhkan talak kepada madunya.

Namun, beliau bukanlah orang yang layak menentukan semuanya. Sehubungan itu, Khadijah mengambil keputusan untuk merujuk ke mahkamah syariah.

Beliau antara lain membuat permohanan agar mahkamah menyekat wang pencen Ali daripada terus diterima oleh Fadilah dan dua anaknya.

BACA KOMENTAR PEGUAM terhadap permasalahan ini dengan klik di sini Jatuhkan talak guna alat komunikasi moden kaedah yang tidak tepati adab penceraian

Foto: Torsten Dettlaff/Pexels

 

Berita Semasa, Dari Fail Mahkamah Syariah, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Hukum,

‘Ikatan perkahwinan tidak terlerai sendiri melainkan dengan kematian’ – Peguam Syarie

Oleh NURULFATIHA MUAH

KOMENTAR PEGUAM
ABDULLAH ANUAR SAHRI
Peguam Syarie

 

Baca cerita asal ini dulu Suami ‘hilang’ lebih 20 tahun, tiada khabar berita, apalagi beri nafkah. Akhirnya isteri…

KES yang berlaku kepada Salamah Tukiran dan Harun Abdullah (kedua-duanya bukan nama sebenar) membuktikan masih ada lagi masyarakat yang tidak tahu tentang tanggungjawab suami isteri dalam perkahwinan.

Peguam syarie, Abdullah Anuar Sahri berkata, sedar atau tidak, sikap itu menyebabkan berlakunya perlanggaran hukum syarak dari segi pengabaian tanggungjawab dalam perkahwinan.

“Sekiranya dibiarkan berlarutan, maka kesalahan demi kesalahan akan terus bermaharajalela sehingga menyebabkan penganiayaan dalam rumah tangga,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Seandainya Salamah terus berdiam diri tanpa mengadu di mahkamah syariah untuk memohon perceraian menerusi fasakh atau taklik, Abdullah Anuar dari Tetuan Anuar Taufeq Junid Associates menjelaskan, ikatan perkahwinan wanita itu akan kekal walaupun beliau diistilahkan ibarat digantung tidak bertali.

“Ini kerana suatu ikatan perkahwinan tidak akan terlerai dengan sendirinya kecuali dengan kematian. Maka, Salamah perlu mengambil langkah untuk membubarkan perkahwinan di mahkamah.

“Ketahuilah, hanya mahkamah atau hakim syariah sahaja yang berhak membubarkan perkahwinan beliau. Jika tidak, Salamah akan kekal statusnya sebagai isteri orang walaupun sedar dirinya seolah digantung tak bertali,” ujarnya.Mengulas lanjut tentang fasakh, pengamal undang-undang syariah itu menjelaskan, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan setelah isteri meminta cerai melalui pengadil (hakim)” ujarnya.

Katanya, fasakh hanya boleh dilakukan oleh pihak berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab tertentu. Antaranya disebabkan kehilangan suami tanpa diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati ataupun salah seorang daripada suami atau isteri murtad dan sebagainya.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa fasakh adalah jalan terakhir yang terpaksa dipilih oleh seseorang isteri sekiranya tidak lagi dapat meneruskan kehidupan bersama dengan suami.

 

“Seperkara lagi, terdapat perbezaan antara fasakh dan talak. Fasakh adalah pembatalan akad daripada asas dan menghilangkan sifat halal yang menjadi kesan ke atasnya. Ia berlaku sama ada dengan sebab hal-hal mendatang ke atas akad yang menafikan perkahwinan atau perkara-perkara berhubung kepada akad yang menyebabkan ia tidak lazim daripada hukum asal. Lagi satu, fasakh tidak mengurangkan talak yang dimiliki oleh suami.

Sementelah, talak pula adalah menamatkan akad dan sifat halal masih kekal kecuali setelah talak ba’in (talak tiga). Talak tidak berlaku kecuali berdasarkan akad yang sahih dan lazim,” katanya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Pixabay/Pexels

Berita Semasa,

Suami ‘hilang’ lebih 20 tahun, tiada khabar berita, apalagi beri nafkah. Akhirnya isteri…

Oleh NURULFATIHA MUAH

MELIHAT anak terunanya berkerjaya tetap dan dikurniakan kesenangan hidup walaupun tidak mewah, sudah cukup membuatkan Salamah Tukiran (bukan nama sebenar) berasa bangga.

Terasa penat lelah selama membesarkan satu-satu anak tunggalnya berbaloi. Di sebalik rasa gembira dan syukur, wujud satu perasaan yang begitu mencengkam sanubari wanita berusia 52 tahun itu.

Salamah kesal apabila anaknya, Asyraf Harun (bukan nama sebenar) tidak mendapat menerima belaian kasih seorang insan yang bergelar bapa.

Bayangkan selama 23 tahun, Salamah ditinggalkan bersendirian terkapai-kapai meneruskan kehidupan tanpa suami di sisi! Selama tempoh tersebut, kehidupan beliau seolah-olah digantung tidak bertali kerana dirinya tidak pernah memohon perceraian.

Bukan itu sahaja, suaminya juga tidak pernah memberikan nafkah kepada mereka, apatah lagi bertanyakan khabar mereka. Mujurlah Salamah mempunyai kemahiran menjahit. Hasil upah itulah yang digunakan untuk menyara kehidupan mereka berdua selama ini.

Cerita Salamah, segalanya bermula suaminya, Harun Abdullah (bukan nama sebenar) menerima pelawaan seorang rakannya untuk bekerja di ibu kota. Sebelum itu, lelaki itu hanya bekerja kampung sahaja dengan pendapatan tidak tetap.

Hidup mereka ibarat kais pagi, makan pagi dan kais petang, makan petang. Namun, perkahwinan mereka tetap diulit bahagia walaupun ia diatur oleh orang tua masing-masing.

Namun, disebabkan mahu mengubah nasib keluarga dan melangsaikan hutang arwah ibu bapanya, Harun sebagai anak tunggal terpaksa mengambil keputusan nekad itu.

Dengan berat hati, Salamah merelakan pemergian suami tercinta demi tanggungjawabnya kepada keluarga. Jadi, beliau dan anaknya terpaksa ditinggalkan di rumah pusaka keluarga Harun.

Lelaki itu berjanji untuk membawanya tinggal bersama apabila pendapatannya stabil kelak. Namun, janji hanya tinggal janji. Harun bukan sahaja tidak dapat dihubungi, malah jejaknya juga tidak dapat dikesan. Beliau juga tidak dapat berhubung dengan rakan suaminya. Entahkan hidup, entahkan mati, getus Salamah.

Lebih dua dasawarsa lamanya, Salamah menyembunyikan kisah itu. Kepada Asyraf, beliau hanya menyatakan Harun sudah meninggal dunia. Hanya setelah Asyraf berusia 28 tahun, barulah beliau mempunyai kekuatan menceritakan hal sebenar.

Asyraf terkejut bukan kepalang mendengarnya. Sungguh, beliau tidak menyangka ibunya menahan derita zahir dan batin selama ini. Beliau mencadangkan supaya Salamah menuntut fasakh. Baginya, cukuplah penderitaan ditanggung ibunya selama ini.

Akhirnya, Salamah akur dan memfailkan kes fasakhnya sendirian. Beliau kemudian melantik peguam. Sepanjang perbicaraan, Harun tidak pernah hadir walaupun saman sudah dikeluarkan di alamat terakhirnya dikesan.

Pada masa sama, wanita itu turut mengemukakan dua orang saksi iaitu sepupunya. Bagi mengelakkan tohmahan akibat Harun tidak hadir saat pembelaan, mahkamah memerintahkan Salamah bersumpah Yamin Istisyhar.

Akhirnya, mahkamah mensabitkan Harun telah menghilangkan diri gagal memperuntukkan nafkah kepadanya selama tempoh 23 tahun.
Hakim meluluskan permohonan Salamah untuk membubarkan dan memfasakhkan pernikahannya serta memerintahkan wanita itu beridah selama tiga kali suci.

Saat itu, Salamah merasakan beban yang selama ini berada di pundaknya seolah-olah sudah tiada. Hatinya terasa lapang kerana tidak terikat lagi sebagai seorang isteri.

Baca komentar peguam ‘Ikatan perkahwinan tidak terlerai sendiri melainkan dengan kematian’ – Peguam Syarie

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Pexels