Browsing Tag

dari fail mahkamah syariah

Tarik balik hibah
Dari Fail Mahkamah Syariah,

Hutang penyebab datuk tarik balik hibah kepada cucu, jangan anggap tindakan ini buruk siku

SEORANG datuk mahu tarik balik hibah yang pernah diberikan kepada cucunya. Namun begitu, ramai yang menganggap perbuatannya itu sebagai buruk siku. Demikianlah kisah yang pernah berlaku terhadap Abu Seman Kassim (bukan nama sebenar).

Ceritanya bermula apabila cucu lelaki sulungnya, Ayden Firash Mohamad (bukan nama sebenar) lahir ke dunia. Ketika itu, Abu Seman bersorak kegirangan.

Bibirnya pula tidak putus-putus memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dengan kehadiran cucu lelaki dinanti-nantikan tersebut. Sebelum kelahiran si comel tersebut, lelaki berusia 62 tahun itu sudah dikurniakan sembilan orang cucu perempuan.

Keterujaan mendapat ‘geng baharu’ itu membuatkan Abu Seman sanggup berkorban apa sahaja demi cucu kesayangannya.

Buat pertama kalinya, warga emas tersebut menghibahkan sebidang tanah miliknya yang terletak di selatan tanah air untuk Ayden Firash sebagai tanda kasih sayang seorang datuk terhadap cucunya. Pada masa itu, umur Ayden Firash baru sahaja berusia lima tahun.

Tarik balik hibah

SEBAIKNYA, penghibah digalakkan untuk mengadakan perbincangan antara ahli keluarga atau waris mengenai hibah yang bakal dilakukan supaya ia dalam pengetahuan pihak terlibat.

Maka bermulalah proses hibah dan memindah milik tanah berkenaan. Semuanya dilakukan di Pejabat Tanah Daerah sekitar tahun 2005. Oleh sebab usia cucunya yang masih lagi di bawah umur, maka ibunya, Hashimah Hasyim (bukan nama sebenar) telah dilantik menjadi penjaga amanah kepada anaknya. Proses berkenaan berjalan dengan lancar sehingga harta berkenaan benar-benar menjadi milik Ayden Firash.

Begitupun, selepas lima tahun berlalu, Abu Seman berubah fikiran. Beliau mahu menarik balik hibah tanah yang pernah dihadiahkannya kepada satu-satunya cucu lelakinya.

Ketika itu, fikirannya benar-benar buntu kerana hidupnya diselubungi hutang yang belum habis dilunaskan.

Salah satu cara terbaik untuk melangsaikannya adalah dengan menjual tanah berkenaan. Disebabkan itu, lelaki tersebut membuat tuntutan di mahkamah syariah untuk menarik balik hibah itu.

Baca juga Hibah Tak Boleh Dibuat Secara Paksaan, Ambil Iktibar Daripada Kisah Ini

Mujurlah tanah tersebut tidak pernah dijual atau dipindah milik oleh Hashimah, menantunya. Malah, ia masih dalam keadaan asal sebagaimana ketika proses pindah milik dilakukan lima tahun lepas.

Tarik balik hibah

PROSES penarikan semula hibah itu mesti dilakukan di mahkamah syariah.

Selaku pemegang amanah, Hashimah tidak membantah dengan kehendak bapa mertuanya untuk mengambil semula tanah berkenaan. Beliau merasakan bapa mertuanya wajar mengambil semula tanah berkenaan demi kemaslahatannya.

Setelah meneliti segala keterangan, fakta dan bukti yang dikemukakan, mahkamah berpuas hati dengan proses melakukan hibah itu. Ia memenuhi hukum syarak dan sah. Bahkan, penarikan hibah tersebut juga adalah sah mengikut hukum syarak.

Justeru, hakim memutuskan tanah tersebut kembali semula menjadi hak milik Abu Seman.

Abu Seman berasa lega dengan keputusan tersebut. Bukan niatnya untuk menjadi buruk siku, tetapi beliau terpaksa berbuat demikian kerana hutang itu begitu penting untuk dilunaskan sebelum dirinya dijemput Ilahi.

Hibah tidak boleh ditarik semula melainkan penuhi syarat tertentu

APABILA seseorang sudah menghibahkan hartanya kepada penerima dan disertakan dengan penyerahan serta penerimaan barang (al-Qabd), ia tidak boleh ditarik balik atau diambil kembali.

Begitupun, situasi sebaliknya pula berlaku andai hibah berkenaan dilakukan oleh asal iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas kepada furu’ (anak, cucu dan ke bawah) yang mana ia boleh ditarik semula dengan syarat-syarat tertentu.

Demikian penjelasan daripada Penasihat Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof ketika ditanya Sinar Islam Plus berhubung isu penarikan semula hibah yang dilakukan Abu Seman Kassim terhadap Ayden Firash Mohamad (kedua-duanya bukan nama sebenar).

FAZRU ANUAR

Jelas beliau, mengikut pendapat fuqaha, antara syarat yang mengharuskan proses berkenaan adalah harta yang dihibahkan masih menjadi milik anak atau cucu yang menerima hibah. Pada masa sama, ia masih berada dalam jagaan atau urusan penerima hibah.

“Apatah lagi dalam kes itu, datuk terpaksa menarik semula hibah tersebut bukanlah saja-saja, tetapi demi melunaskan hutang yang merupakan suatu kewajipan.

Baca juga Bapa ubah fikiran tarik balik hibah yang diberikan pada anak. Peguam syarie ini beri penjelasan…

“Apa yang dilakukan oleh Abu Seman Kassim bukanlah suatu kesalahan, malah diizinkan oleh syarak kerana ia melibatkan hibah yang dibuat datuk terhadap cucunya. Paling penting, proses penarikan hibah itu mesti dilakukan di mahkamah syariah,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pengamal undang-undang syariah itu menegaskan, perbuatan mengambil semula pemberian tersebut tidak seharusnya dipandang sebagai perilaku yang tidak elok.

“Yang penting pihak mahkamah berpuas hati bahawa semua rukun-rukun hibah telah dipenuhi mengikut kehendak undang-undang dan hukum syarak,” ujarnya.

Pun demikian, beliau menjelaskan, sekiranya tanah hibah itu sudah diusahakan atau dibangunkan rumah, pemilik asal tidak boleh menuntut semula harta yang sudah dihibahkan.

“Hal ini kerana berlaku pertambahan yang tidak boleh diasingkan atau dipisahkan pada tanah yang telah dihibahkan. Sebagai contoh, penerima hibah menjahit kain yang diterima menjadi baju kemeja.

“Berdasarkan satu riwayat hadis daripada Imam Ahmad, bapa tidak diharuskan menarik semula hibah anaknya yang telah berlaku pertambahan yang tidak boleh diasingkan,” terangnya panjang lebar.

Tarik balik hibah

HIBAH yang dilakukan oleh asal iaitu bapa, ibu, datuk, nenek dan ke atas kepada furu’ (anak, cucu dan ke bawah) yang mana ia boleh ditarik semula dengan syarat-syarat tertentu.

Kepada mereka yang berhasrat untuk melakukan hibah, Fazru Anuar menasihatkan agar semua pihak perlu mengetahui dan memahami konsep hibah dengan sebaiknya.

“Ketahuilah, kesahan sesuatu hibah itu berlaku apabila semua rukunnya iaitu pemberi hibah, penerima hibah, harta yang dihibahkan dan lafaz ijab kabul proses itu sempurna.

“Andai tidak disempurnakan, hibah itu boleh dipertikaikan kelak jika berlaku pertelingkahan. Justeru, digalakkan penghibah untuk mengadakan perbincangan antara waris mengenai hibah yang bakal dilakukan supaya ia dalam pengetahuan pihak terlibat,” nasihat beliau.

Foto: Freepik & Pexels

Rumah tangga
Dari Fail Mahkamah Syariah,

Isteri yang diceraikan tanpa sebab boleh tuntut mutaah daripada bekas suami

TANPA sebab-musabab yang jelas, Zafirah Khairuddin (bukan nama sebenar) diceraikan dengan talak satu. Puas dirinya berfikir di mana silapnya sehingga suaminya, Safwan Sidek (bukan nama sebenar) nekad mengambil keputusan tersebut.

Masakan tidak, usia perkahwinan mereka begitu singkat. Rumah tangga yang dibina atas dasar cinta itu hanya mampu bertahan selama tiga tahun.

Malah, hasil perkahwinan tersebut, kedua-dua mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang begitu comel sekali. Saat penceraian, anak mereka baru berusia dua tahun.

Selepas pengesahan lafaz talak dilakukan, Zafirah tidak mengambil tempoh yang panjang untuk memfailkan tuntutan mutaah kepada bekas suaminya.

Bagi dirinya, ia adalah haknya selepas diceraikan secara mengejut. Apatah lagi, sepanjang perkahwinan tersebut, wanita itu banyak berkorban dan menyumbang kepada keluarga.

Tidak pernah terlintas pada fikirian Zafirah untuk berpisah dengan suaminya. Malah, beliau sendiri enggan bercerai, tetapi Safwan tetap berkeras mahu menamatkan ikatan suci mereka dengan alasan tiada persefahaman. Walhal, sepanjang perkahwinan, mereka jarang sekali berbalah. Tindakan nekad Safwan akhirnya membuatkan hati Hawanya terpaksa akur dengan ketentuan takdir.

Jika diikutkan, Safwan sebenarnya merupakan seorang usahawan yang memiliki lima buah syarikat. Sudah tentulah pada mata kasar, ramai yang melihat lelaki itu bergaji besar.

Mutaah

ISLAM begitu mementingkan hak-hak setiap insan sekalipun pasangan suami isteri itu sudah bercerai.

Namun begitu, entah mengapa boleh dikatakan semua urusan berkaitan asuhan anak banyak dikendalikan oleh Zafirah yang bekerja sebagai eksekutif kanan di sebuah syarikat swasta. Ia termasuklah dalam perihal pembayaran upah taska.

Malah, Zafirah tidak pernah merungut sepanjang perkahwinan mereka walaupun terpaksa berulang-alik antara rumah ibu bapanya dengan mertuanya secara bergilir-gilir. Ini kerana Safwan tidak mampu menyediakan tempat tinggal berasingan untuk keluarga kecil mereka.

Baca juga Pernah curang dengan suami, tapi tetap tuntut mutaah selepas cerai

Dalam tuntutannya, Zafirah menuntut mutaah sebanyak RM200,000 daripada Safwan. Beliau merasakan usahawan itu mampu memberikan jumlah yang dipohon.

Begitupun, ketika diminta pembuktian tentang kejayaan perniagaan diusahakan bekas suaminya, wanita tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen sokongan.

Pun demikian, Safwan mengakui memang lima syarikat tersebut didaftarkan di atas namanya, cuma tidak aktif kerana dijadikan sebagai dana politik. Malah, ada di antara syarikat tersebut telah mati.

Setelah meneliti segala keterangan dan kemampuan bekas suami, mahkamah syariah memutuskan, Zafirah layak menerima mutaah berjumlah RM15,000 secara ansuran iaitu sebanyak RM500 sebulan selama 30 bulan.

Walaupun sedih rumah tangganya gagal diselamatkan, tetapi mutaah yang diperolehnya sedikit sebanyak mampu mengubati hati walangnya.

Mutaah kembalikan semangat wanita selepas bercerai

MEMANG menjadi hak Zafirah Khairuddin (bukan nama sebenar) untuk menuntut hak mutaah selepas penceraian. Apatah lagi dirinya diceraikan tanpa sebab.

Mutaah itu adalah sebagai saguhati kepada wanita tersebut yang telah menjalankan tanggungjawab dan pengorbanan menjadi isteri kepada Safwan Sidek (bukan nama sebenar) selama tiga tahun.

Demikian komentar peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah dalam kes yang dihadapi oleh pasangan berkenaan.

NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA

Mengulas lanjut tentang definisi mutaah, beliau menjelaskan, ia merupakan suatu pembayaran sagu hati yang diberikan oleh bekas suami kepada bekas isteri selepas mereka bercerai sama ada berupa wang ataupun barang.

Baca juga 7 Hak Wanita Selepas Diceraikan Yang Perlu Kita Tahu

“Sagu hati mutaah ini dikira bayaran yang wajib apabila penceraian itu berlaku bukan disebabkan oleh kesalahan pihak bekas isteri.

“Dari segi jumlah tuntutan, tidak terdapat suatu panduan tertentu yang boleh dijadikan formula tetap untuk menentukan kadar dalam pemberian mutaah daripada seorang bekas suami kepada seorang isteri yang diceraikan,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Meskipun demikian, pengamal undang-undang syariah itu menjelaskan, terdapat prinsip umum yang menyatakan bahawa sesuatu pemberian hendaklah berasaskan kepada kemampuan suami, status pasangan, tempoh perkahwinan dan pengorbanan isteri.

“Tujuannya adalah untuk mengembalikan semangat kepada bekas isteri atas sebab penceraian yang berlaku, memelihara maruah dan kehormatan isteri dan membantu bekas isteri untuk membina kehidupan selepas perceraian.

Mutaah


MUTAAH merupakan suatu pembayaran sagu hati yang diberikan oleh bekas suami kepada bekas isteri selepas mereka bercerai sama ada berupa wang ataupun barang.

“Di samping itu, ia dapat meringankan beban yang ditanggung oleh bekas isteri selepas bercerai, selain menjadi tanda penghargaan bekas suami menghargai bekas isteri selepas berkorban dalam perkahwinan terdahulu dan mengelakkan prasangka buruk bahawa punca perceraian adalah daripada isteri,” terangnya panjang lebar.

Kepada satu soalan, Nurain Akmal Khairunnisa menjawab: “Penentuan kadar mutaah itu dikira sewaktu penceraian berlaku, bukan ketika tuntutan mutaah dibuat.”

Foto: 123rf & Unsplash

Kedekut nafkah anak
Dari Fail Mahkamah Syariah,

Bapa tetap perlu sediakan nafkah anak sekalipun sudah bercerai dengan pasangan

SELEPAS bercerai, Suzana Malek (bukan nama sebenar)  memfailkan tuntutan nafkah anak-anaknya seramai dua orang. Namun begitu, ia hanyalah melibatkan anak kedua dan ketiganya sahaja.

Beliau tidak membuat tuntutan yang sama untuk anak sulungnya kerana kanak-kanak itu merupakan anak yang tidak sah taraf.

Jauh di lubuk hati yang paling dalam, wanita itu sebenarnya enggan membuat tuntutan berkenaan. Namun, beliau terpaksa bertindak sedemikian kerana bekas suaminya, Halim Zainol (bukan nama sebenar) culas memberikan nafkah.

Setiap kali diminta, ada sahaja alasan diberi. Apabila diingatkan pula, lelaki tersebut sering kali mengungkit perihal penceraian mereka sehingga rimas dibuatnya, namun apa yang dituntut tidak juga diperoleh. Sedangkan, Halim mempunyai syarikat sendiri hasil perkongsian dengan rakannya dan mampu menggajikan ramai pekerja.

Sepanjang perbicaraan, baik Suzana mahupun Halim, masing-masing tidak mengemukakan sebarang saksi. Sebaliknya, lelaki berkenaan hanya mengemukakan dokumen yang menyenaraikan jumlah komitmen beliau.

Suzana pula memberikan senarai perincian keperluan anak-anak. Beliau menuntut sebanyak RM2,000 sebulan daripada Halim untuk nafkah dua anak mereka. Antaranya melibatkan makan dan minum, wang saku sekolah, pengangkutan ke sekolah, tempat tinggal dan pakaian, selain keperluan perbelanjaan tahunan seperti pendidikan serta perayaan.

Wanita itu merasakan Halim mampu memberikan jumlah nafkah yang dipohon kerana bekas suaminya itu bukan calang-calang orang.

Nafkah anak


JANGAN sesekali culas membayar nafkah anak yang dipertanggungjawabkan kepada bapa.

Dalam keterangan kepada mahkamah, Halim menjelaskan, pendapatannya tidak menentu dan hanya bergantung kepada keuntungan syarikat. Beliau turut mengemukakan dokumen pengesahan pendapatannya yang jelas menunjukkan bahagian keuntungan diperolehnya tidak seberapa.

Ahli perniagaan itu turut mengepilkan liabiliti yang ditanggungnya seperti penyata pinjaman perumahan, pembiayaan peribadi, baki pinjaman kereta, bil utiliti dan sebagainya.

Meskipun demikian, bibir Halim sentiasa mengomel. Bayangkan ketika perbicaraan, beberapa kali lelaki itu mengaitkan masalah nafkah tersebut berpunca daripada kehendak Suzana yang ingin bercerai. Malah, beliau mendakwa, perniagaannya merudum selepas mereka berpisah.

“Bercerai atau tidak, nafkah anak tetap perlu disediakan berdasarkan kemampuan bapa. Mungkin (masalah) itu teguran daripada ALLAH supaya bapa menjalankan tanggungjawab nafkah kepada anak-anak.”

Demikian antara teguran hakim ketika Halim mengeluh dengan kesukaran yang dihadapi dalam perniagaan sehingga gagal membayar nafkah.

Baca juga Nafkah ikut kemampuan suami, ini kadar yang patut diberikan kepada isteri. Boleh jadikan sebagai panduan 

Setelah meneliti semua dokumen dan keterangan, mahkamah memutuskan, Halim perlu membayar sebanyak RM750 nafkah bulanan bagi dua anaknya, selain nafkah tambahan bagi perbelanjaan awal persekolahan dan Hari Raya Aidilfitri masing-masing sebanyak RM400 setiap tahun.

‘Tiada apa yang menghalang tanggungjawab bapa terhadap anak termasuk soal nafkah‘

TIADA apa yang menghalang tanggungjawab bapa terhadap anaknya walaupun seseorang itu bercerai dengan pasangan sama ada disebabkan oleh dirinya sendiri mahupun bekas isteri. Ia termasuklah dalam perihal nafkah.

Penasihat Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof menjelaskan, menjadi tanggungjawab seorang bapa untuk memberi semua jenis nafkah kepada anaknya.

FAZRU ANUAR

“Tindakan yang diambil Suzana Malek (bukan nama sebenar) adalah wajar dari segi undang-undang kerana bekas suami yang culas dalam pemberian nafkah anak-anak. Ia bertepatan dengan Seksyen 74, Undang-Undang Keluarga Islam Negeri yang mana mahkamah boleh memerintahkan si bapa untuk membayar nafkah anaknya pada bila-bila masa jika dia enggan atau cuai mengadakan peruntukan nafkah dengan munasabah bagi anak atau isteri.

“Perbuatan Halim Zainol (bukan nama sebenar) yang cuai membayar nafkah anak selepas penceraian adalah salah di sisi syarak dan undang-undang keluarga Islam,“ katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika dirujuk pada Seksyen 73(1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017, menjadi kewajipan seorang lelaki untuk menanggung nafkah anaknya seperti tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran.

Namun begitu, jumlah penentuan nafkah tidak dinyatakan secara jelas dalam peruntukan tersebut. Secara tuntasnya, dalam menentukan jumlah nafkah anak di Malaysia, ia bergantung kepada kemampuan pemberi nafkah (bapa), keperluan anak-anak dan perbelanjaan yang mengikut keperluan serta keutamaan.

“Dari sudut kemampuan bapa, mahkamah akan meneliti jumlah pendapatan bulanan, perbelanjaan termasuk yang wajib atau keperluan hariannya, jumlah tanggungan dan apa-apa sahaja perkara yang berkait dengan kewangan bapa sebagai pemberi nafkah.

“Sekiranya jumlah tersebut tidak mencukupi dan bapa tidak mampu memberi lebih nafkah tadi, maka waris yang berkemampuanlah bertanggungjawab membantu memberi nafkah kepada anak tersebut bermula dengan datuk sebelah bapa (bapa kepada bapa), saudara lelaki seibu sebapa dan seterusnya. Paling penting adalah memastikan kebajikan dari segi nafkah anak-anak tidak terabai,“ katanya.

Nafkah anak

SEORANG bapa tetap perlu menyediakan nafkah buat anak-anaknya walaupun mereka sudah bercerai dengan pasangan dan cahaya matanya berada di bawah jagaan orang lain.

Kepada satu soalan, Fazru Anuar menjawab: “Anak tak sah taraf disebut sebagai walad al-zina iaitu anak zina atau anak luar nikah. Justeru, mereka tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka memusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

“Nafkah anak tidak sah taraf adalah di bawah tanggungan ibu kandung anak tersebut. Walaupun anak tersebut adalah hak sepenuhnya ibu kandung, namun tuntutan ke atas bapa yang disangka (bapa biologi) boleh dibuat di Mahkamah Majistret sebagaimana yang dirujuk di bawah Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu) 2017 79 (2).

“Begitupun, jika dilihat dari sudut tanggungjawab dan kemanusiaan, tidak menjadi kesalahan jika bapa biologi anak tersebut turut membantu membesarkan kanak-kanak berkenaan sama ada dari segi kewangan, persekolahan dan sebagainya tanpa mengemukakan sebarang tuntutan dari sebelah pihak ibu.“

Sebelum menoktahkan bicara, peguam syarie itu menitipkan pesanan agar kita mensyukuri nikmat anak yang dikurniakan oleh ALLAH SWT kerana tidak semua pasangan memperoleh anugerah tersebut.

“Kehadiran anak memerlukan ibu bapa memenuhi kebajikan kehidupan mereka. Nafkah anak adalah tanggungjawab bapa berdasarkan kemampuannya.

“Andai bapa sudah meninggal dunia, maka tanggungan tersebut berpindah kepada susunan tertib wali. Ingatlah, bapa perlu sedia maklum akan tanggungjawab nafkah ini. Ia adalah kewajiban ayah berdasarkan firman ALLAH SWT  dan peruntukan undang-undang.

Nafkah anak


SELAIN tempat tinggal tempat tinggal, seorang bapa juga perlu menanggung nafkah pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran anak-anaknya.

“Perkara yang wajib tetap wajib dilunaskan. Ia bukan untuk dipinda atau ditukar milik. Berilah nafkah anak mengikut keperluan dharuriyyatmereka sama ada anak tadi dalam jagaan bapa atau orang lain. Jangan terus meninggalkan tanggungjawab yang satu ini,“ pesannya.

Foto: Pexels & Unsplash

Balu layak dapat harta sepencarian dan faraid
Dari Fail Mahkamah Syariah,

Balu tanpa anak layak dapat harta sepencarian dan faraid, hadamkan kes ini

BUKAN mudah bergelar balu apatah lagi jika ikatan perkahwinan yang dibina tidak dikurniakan sebarang zuriat penyambung keturunan.

Itulah yang dirasakan oleh Hafizah Rashid (bukan nama sebenar). Jodohnya bersama Ariffin Buang (juga bukan nama sebenar) telah tertulis hanya selama 18 tahun sahaja. Suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Lima tahun selepas pemergian pasangan hidup, Hafizah kembali dihambat rasa pilu apabila Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan, dirinya hanya berhak memperoleh 30 peratus terhadap tanah dan sebuah rumah yang didiami bersama arwah suaminya sepanjang tempoh perkahwinan mereka, manakala bakinya 70 peratus lagi adalah bahagian Allahyarham Ariffin.

Benar, rumah itu memang atas nama Ariffin, namun wanita tersebut merasakan dirinya berhak mendapat bahagian yang lebih daripada diputuskan oleh hakim.

Ini kerana beliau yang bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat dan bekerja sambilan dengan mengambil upah menjahit sudah banyak menyumbang keringat membantu arwah suaminya memperoleh harta tersebut sepanjang perkahwinan mereka. Apalagi arwah Ariffin pernah hilang pekerjaan. Siapa lagi yang mahu membantu lelaki itu kalau bukan dirinya?

Balu layak dapat harta sepencarian dan faraid

SIMPAN segala dokumen berkaitan bayaran yang dibuat sepanjang perkahwinan untuk memudahkan proses tuntutan dan undang-undang pada kemudian hari.

Lantas, Hafizah tanpa membuang masa terus memfailkan notis rayuan perintah harta sepencarian di Mahkamah Rayuan Syariah.

Kali ini, beliau tampil mengemukakan bukti kukuh dengan mengepilkan dokumen kos-kos yang pernah dibayarnya berjumlah RM75,000. Ia melibatkan kos pengubahsuaian rumah, ansuran bulanan yang ditanggungnya selepas arwah suaminya hilang pekerjaan selama empat tahun dan bayaran lain.

Ketika perbicaraan terdahulu, wanita itu tidak sempat memperincikannya. Beliau hanya mampu membuktikan pembayaran wang pendahuluan dan kos guaman berjumlah RM18,000 dalam membantu Allahyarham Ariffin memperoleh harta tersebut.

Begitupun, Hafizah sebenarnya sudah mengemukakan tiga orang saksi bagi memberikan keterangan tentang takat sumbangannya, namun barangkali hakim bicara sebelum ini terkhilaf tentangnya.

Baca juga Rumah Atas Nama Sendiri Boleh Jadi Harta Sepencarian? Ini Pencerahan Peguam Syarie

Sementara itu, tiga adik-beradik arwah Ariffin dalam penghujahan bertulis responden menyatakan bahawa keputusan yang diberikan oleh hakim bicara adalah tepat dan sama sekali tidak terkhilaf. Mereka berhujah, keputusan tersebut dibuat setelah melakukan penelitian mendalam dari segenap aspek.

Setelah meneliti catatan perbicaraan dan dokumen berkaitan serta sumpah Hafizah berhubung fakta sumbangannya terhadap rumah berkenaan, maka rayuan balu tersebut diterima. Pihak mahkamah menetapkan kadar pembahagian terhadap harta sepencarian rumah yang pernah didiami bersama pasangan itu adalah 60 peratus buat Hafizah, manakala 40 peratus lagi milik arwah suami wanita itu.

Biarpun terpaksa turun dan naik mahkamah berkali-kali, Hafizah lega mendengar keputusan tersebut. Nasib balu sepertinya terbela dan beliau mahu agar kaum Hawa di luar sana yang menerima nasib sepertinya agar ‘membuka mata’ dalam isu tuntutan harta sepencarian.

Isteri kematian suami layak dapat harta sepencarian, faraid

DALAM kes harta sepencarian, ramai yang cakna bahawa ia boleh dituntut andai berlakunya penceraian dan apabila suami berpoligami.

Hakikatnya, isteri yang kematian suami juga boleh memperoleh harta sepencarian, di samping mendapat bahagian melalui pengagihan harta pusaka pasangannya.

Baca juga Isteri Berstatus Suri Rumah Layak Tuntut Hak Harta Sepencarian, Namun Masih Ramai Yang Tak Tahu

Demikian komentar peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah terhadap kes yang berlaku kepada Hafizah Rashid dan arwah Ariffin Buang (kedua-duanya bukan nama sebenar).

NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA

Dalam menentukan sumbangan isteri bagi harta sepencarian, jelasnya, terdapat dua jenis sumbangan yang diambil kira meskipun suatu harta itu hanya diletakkan atas nama suami sahaja.

“Ketahuilah, isteri yang ada membuat sumbangan secara langsung seperti perbelanjaan duit ansuran bulanan atau pengubahsuaian dan sebagainya, ia sebenarnya dikira sebagai sumbangan dalam harta tersebut. Ia biasanya dilakukan oleh isteri yang berkerjaya.

“Namun, bagi isteri yang tidak bekerja, mereka tetap dikira mempunyai sumbangan sekalipun harta tersebut diletakkan atas nama suami. Ini kerana sumbangan isteri ini adalah berbentuk sokongan moral seperti penjagaan harta sepanjang dalam perkahwinan, melakukan kerja-kerja pembersihan dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Dari segi pengurusan pula, Nurain Akmal Khairunnisa menjelaskan, menjadi tanggungjawab pentadbir atau pemegang amanah yang dilantik untuk menguruskan segala harta si mati.

“Cara pelaksanaannya sama ada boleh dilakukan seperti menjual harta tersebut dan kemudian hasil jualan tersebut dibahagikan mengikut kadar yang sepatutnya diperoleh atau dinilaikan dengan harga semasa.

Balu layak dapat harta sepencarian dan faraid

SIMPAN segala resit bayaran atau dokumen berkaitan sebagai bukti sekiranya membuat sebarang tuntutan di mahkamah.

“Seandainya isteri mempunyai wang dan enggan menjual harta tersebut, boleh juga membayar bahagian yang selayaknya diperoleh oleh ahli waris. Kemudian membuat penukaran aset tersebut kepada namanya,” terangnya panjang lebar.

Dalam pada itu, pengamal undang-undang syariah itu mengingatkan, harta sepencarian dan faraid adalah isu yang berbeza.

“Maka sebab itulah isteri yang sudah dapat harta sepencarian masih layak mendapat faraid sekiranya bercerai mati dan layak menerima satu perempat (1/4) jika tidak mempunyai anak bersama arwah suaminya. Andai wanita itu mempunyai anak bersama suaminya, maka bahagian yang layak diperoleh adalah satu perlapan (1/8),” jelasnya.

Foto: Unsplash & Pexels

 

Tanah Felda
Dari Fail Mahkamah Syariah,

Tidak boleh tuntut harta pusaka dan harta sepencarian dari tanah Felda? Ini penjelasannya

STATISTIK menunjukkan, hampir RM90 bilion jumlah harta beku dan tidak dituntut di negara ini sebagaimana dilaporkan oleh media arus perdana pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 90 peratus adalah milik orang Melayu. Ya, memang harta tidak boleh dibawa mati, tetapi pengurusan harta yang melibatkan individu sudah meninggal dunia memerlukan tempoh panjang.

Ini kerana proses tersebut memerlukan waris berkumpul dan mendapatkan persetujuan mereka untuk pengurusan harta pusaka serta seumpamanya.

Antara bentuk ‘harta tak alih’ yang sering kali menjadi perbincangan hangat ialah tanah. Bukan semua jenis tanah mudah dituntut sebagai harta pusaka dan seumpamanya kerana perlu melalui proses yang rumit.

Peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah menjelaskan, tanah Felda statusnya tidak sama seperti tanah biasa. Ia tertakluk kepada Akta Tanah (Penempatan Berkelompok) (GSA) 1960 (Akta 530).

NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA

Maka sebab itulah terdapat sekatan-sekatan dari segi perundangan yang terpakai kepada tanah berkenaan, terangnya di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga Kedudukan Harta Sepencarian Mendahului Faraid, Masih Ramai Yang Keliru Tentang Hal Ini

Antara sekatan-sekatan perundangan tersebut adalah:

1. Tanah tapak rumah dan ladang adalah berstatus tanah berangkai.

Ia tidak boleh dipisah dan dibahagikan selama-lamanya. Maknanya, peneroka tidak boleh memisahkan tapak rumah sebagai satu bahagian dan tapak ladang sebagai satu bahagian yang lain.

Kedua-duanya mestilah dimiliki bersekali selama-lamanya. Pada masa sama, ia juga tidak boleh dipecah bahagi kepada tanah lot-lot kecil.

2. Tiada sebarang urusan jual beli, pindah milik, gadaian, sewaan, hibah, wasiat, wakil kuasa (PA) dan sebagainya sah dilakukan ke atas tanah Felda.

Tanah Felda

STATUS hak milik tanah Felda adalah tidak sempurna dan segala transaksi yang berkaitan dengannya mestilah tertakluk kebenaran pihak Felda. -Gambar hiasan

Tidak kiralah sama ada sebahagian atau kesemuanya, perkara tersebut tidak boleh dilakukan melainkan dengan persetujuan bertulis daripada pihak Felda terlebih dahulu.

Ini kerana status hak milik ke atas tanah Felda adalah status pemilikan tidak sempurna. Segala transaksi melibatkan tanah felda mestilah tertakluk kepada kebenaran pihak Felda.

3. Walaupun tanah Felda itu telah dikeluarkan geran individu, tetapi ia tetap tidak boleh dianggap sebagai milikan sempurna oleh peneroka.

Ketahuilah bahawa terdapat perjanjian di antara peneroka asal dan pihak Felda yang mengikat kedua-dua belah pihak. Demikianlah yang menyebabkan milikan itu dianggap bukanlah milikan sempurna oleh peneroka.

Baca juga Harta pusaka seringkali menjadi pendebatan oleh ahli waris si mati. Berikut antara inti pati yang kita wajib tahu

4. Penama di atas geran hendaklah tidak melebihi dua orang sahaja pada satu masa.

Ertinya, sekiranya seseorang peneroka itu ada lima orang anak, maka dia hanya boleh memindah milik bahagiannya dalam geran kepada dua orang anaknya sahaja. Itu pun tertakluk kepada kebenaran bertulis daripada pihak Felda terlebih dahulu.

Tanah Felda

TANAH ialah harta tak alih yang sering kali dituntut sebagai harta sepencarian atau harta pusaka. -Gambar hiasan

6. Dari segi pewarisan harta setelah peneroka tersebut meninggal dunia pula, tanah Felda hanya boleh diletakkan nama dua orang waris sahaja dengan persetujuan daripada semua waris.

Biasanya ia dilakukan dengan cara penama tersebut membeli bahagian hak waris-waris yang lain.

Sekiranya waris-waris tidak bersetuju, pejabat pusaka kecil atau mahkamah berhak melantik dua orang penama di dalam geran sebagai pentadbir harta.

Menjadi tanggungjawab pentadbir harta untuk membahagi-bahagikan hasil dan manfaat yang diperoleh daripada tanah Felda tersebut kepada waris-waris yang sah mengikut bahagian yang telah diputuskan.

7. Tanah Felda boleh dituntut sebagai harta sepencarian.

Bagaimanapun, bahagian peratusan masing-masing adalah tertakluk kepada Mahkamah Syariah untuk tentukannya. Paling penting, bahagian tersebut tidak boleh dipecah bahagikan.

Kepada peneroka dan generasi kedua Felda, Nurain Akmal Khairunnisa berpesan supaya mereka cakna tentang perkara itu.

“Wajib bagi semua memahami perkara ini dan bersedia awal dengan langkah-langkah terbaik dari segi perancangan harta untuk mengelakkan sebarang perbalahan melibatkan tanah Felda pada kemudian hari.

“Sementelah, bagi mereka yang bercadang untuk membeli tanah Felda, fikirlah banyak kali kerana ia satu pembelian yang berisiko,” titipnya.

Foto: Pexels

Perintah hadanah
Dari Fail Mahkamah Syariah, Hukum,

Bolehkah lelaki ubah perintah hadanah apabila bekas isteri sakit mental? Ini penjelasannya

MAHLIGAI cinta yang dibina di antara Mastura Abdullah dan Rashidi Mohamad (kedua-duanya bukan nama sebenar) hanya mampu bertahan selama dua tahun.

Bukan tidak cuba mempertahankan rumah tangga mereka, namun semua usaha ‘menyelamat‘ nampaknya menemui jalan buntu. Boleh dikatakan acap kali mereka bergaduh.

Akibatnya, anak mereka, Eshal Rifqi Rashidi (bukan nama sebenar) yang ketika itu berusia setahun sentiasa menangis tatkala melihat babak mereka bertikam lidah.

Akhirnya, mereka bercerai dengan cara baik di Mahkamah Syariah pada tahun 2008. Kedua-duanya juga bersetuju untuk meletakkan hak hadanah kepada Mastura memandangkan Eshal Rifqi ketika itu masih menyusu badan.

Atas persetujuan bersama, mahkamah memerintahkan hadanah diberikan kepada Mastura secara hakiki. Sementelah, Rashidi pula diberi akses berpatutan untuk melawat Eshal Rifqi pada hari Selasa dan Jumaat.

Sepanjang tempoh tiga tahun, Rashidi tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap anaknya. Malah, lelaki itu juga akan melawat si kecil itu mengikut waktu yang ditetapkan.

Perintah hadanah

UNDANG-UNDANG keluarga Islam ada menggariskan susun atur penjaga anak-anak bagi kes hak penjagaan anak-anak selepas pasangan suami isteri bercerai.

Namun begitu, keadaan kesihatan Mastura semakin tidak mengizinkan. Beliau mengalami penyakit mental yang agak serius akibat tekanan kerja dan menerima rawatan di hospital.

Disebabkan itu, segala urusan penjagaan anaknya banyak dikendalikan oleh bekas ibu mertuanya, Kamsiah Ali (bukan nama sebenar).

Melihat keadaan tersebut, Rashidi memfailkan ubah perintah hadanah kepada pihak Mahkamah Syariah kerana berasakan bekas isterinya hilang kelayakan menjaga anak mereka. Beliau mahu hak hadanah diberikan kepadanya, selain hak lawatan dan bermalam yang munasabah kepada Mastura.

Ketika perbicaraan, Kamsiah yang menjadi saksi kepada Mastura mengakui anaknya itu mengalami sakit mental dan menerima rawatan. Begitupun, beliau tidak pernah mensia-siakan keperluan dan memberi kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada cucunya.

Pada masa sama, Kamsiah menjelaskan, Rashidi tidak pernah dihalang untuk mengambil anaknya dan dikembalikan semula kepadanya. Oleh sebab itu, Kamsiah memohon kepada mahkamah agar hak penjagaan itu diberikan kepadanya. Pada masa sama, beliau tidak mahu melihat Mastura tertekan jika hak hadanah Eshal Rifqi diberikan kepada Rashidi.

Setelah meneliti alasan undang-undang dan hukum syarak serta keselesaan kanak-kanak tersebut, mahkamah memutuskan hadanah Eshal Rifqi yang berusia empat tahun ketika itu diserahkan kepada nenek sebelah ibu iaitu Kamsiah.

Sementelah, Rashidi pula diberi hak melawat pada setiap masa yang munasabah dengan memaklumkan terlebih dahulu kepada penjaga. Begitu juga dengan hak mengambil anak tersebut pada hari Sabtu dan Ahad setiap minggu.

Kamsiah bersujud syukur mendengar keputusan itu. Sekurang-kurangnya keberadaan Eshal Rifqi akan menjadi sumber kekuatan kepada Mastura untuk sembuh daripada penyakitnya.

Baca juga Sudahlah ceraikan isteri talak tiga, lepas itu tak mengaku anak sendiri pula…

KOMENTAR PEGUAM

Kebajikan anak-anak asas utama kes hadanah

DALAM kes berkaitan hadanah atau penjagaan anak selepas perceraian ibu bapa, asas utamanya adalah kebajikan si anak.

Peguam syarie, Raihan Mustafa Kamal menjelaskan, seandainya penjaga utama hilang kelayakan, maka kebajikan anak-anak perlu dipertimbangkan dalam menentukan penjaga baharu, selain rujukan undang-undang.

Perintah hadanah

RAIHAN

Sekiranya ibu kandung hilang kelayakan, jelas beliau, Seksyen 82 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memberi keutamaan kepada nenek sebelah ibu kandung dalam susunan penjagaan kanak-kanak. Ia diikuti oleh bapa kandung seterusnya nenek sebelah bapa kandung, terangnya.

“Namun, ia adalah garis panduan undang-undang dan bukan bersifat absolute (mutlak). Jika si bapa dapat membuktikan bahawa apabila beliau menjadi penjaga, kebajikan kanak-kanak tersebut lebih terjamin berbanding di bawah jagaan nenek sebelah ibu kandung, tidak mustahil bapa tersebut boleh mendapat hak jagaan tersebut.

“Sekalipun berlakunya pertukaran dengan penjaga yang asal, hak akses dan hak bersama bagi pihak yang tidak mendapat hak jagaan tadi tidak dinafikan,“ katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa seorang penjaga yang hilang kelayakan dalam hak hadanah sebenarnya bukanlah bersifat automatik.

Sebaliknya, jelas beliau, ia perlu dibuktikan oleh pihak yang mendakwa bahawa penjaga asal hilang kelayakan tersebut dalam tuntutan kes berkenaan.

“Begitupun, jika kes tersebut sudah ada perintah hadanah yang ditetapkan sebelum ini, satu permohonan ubah perintah hendaklah dipohon oleh mana-mana pihak yang ingin membatalkan atau mengubah perintah hadanah sedia ada sebagaimana kes yang dinyatakan di atas.

“Dalam peruntukan undang-undang, Seksyen 84 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa terdapat lima keadaan yang boleh menyebabkan seseorang penjaga itu hilang kelayakan.

“Antara lain iaitu apabila seorang perempuan itu berkahwin lain dengan seseorang yang tiada pertalian dengan kanak-kanak tersebut, perempuan tersebut berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka, wanita itu menukar tempat tinggalnya dengan tujuan mencegah si bapa daripada menjalankan pengawasan ke atas kanak-kanak melainkan mereka pulang ke tempat asal selepas penceraian, ibu kandung murtad atau jika wanita tersebut mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak berkenaan,“ jelas Raihan.

Foto: 123rf, Unsplash & Pexels

Nusyuz
Gaya Hidup,

Nikah Tidak Sah Gara-Gara Enggan Bapa Jadi Wali. Berikut Penjelasan Peguam Syarie

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

TIADA pasangan yang tidak mahukan anak selepas berkahwin. Zuriat yang lahir itu nantilah yang akan menjadi penyambung legasi keluarga. Namun, ketentuan ALLAH, tiada siapa yang boleh nafikan.

Dilema tiada waris turut dialami oleh Jefri Salleh, 45, dan Zuraidah Kassim, 44. Kedua-duanya bukan nama sebenar.

Disebabkan sikap penyayang Jefri dan Zuraidah yang sukakan kanak-kanak, keinginan mereka untuk memiliki cahaya mata sendiri semakin membuak-buak dari semasa ke semasa.

Maka, pelbagai usaha yang mereka dilakukan baik perubatan moden mahupun tradisional. Malangnya, selepas lima tahun, belum ada tanda-tanda rezeki menyebelahi mereka. Pun demikian, mereka tidak pernah berputus asa. Namun, pertemuan bersama pakar sakit puan memberi khabar duka apabila Zuraidah disahkan mengalami penyakit berkaitan dengan rahim dan peluang untuknya hamil agak tipis.

Namun, jika sudah ketentuan- Nya, tiada siapa boleh menolak. Zuraida tidak menyangka, akhirnya dia hamil meskipun kehamilan itu mempertaruhkan nyawanya sebagai galang ganti.

Baca juga Jangan Sewenang-wenangnya ‘Jatuh Hukum’ Sendiri Tentang Status Perkahwinan, Buruk Padahnya

Berkat doa, anak beliau selamat dilahirkan, namun suri rumah itu lumpuh separuh badan.

Situasi tersebut membuatkan Jefri berang. Bukan sahaja sukar menerima keadaan isterinya, malah jurutera itu menyalahkan anak yang baru lahir sebagai punca Zuraidah menjadi cacat.

Lebih teruk lagi, wanita itu diceraikan. Terbiarlah ibu dan anak yang dinamakan sebagai Zara (bukan nama sebenar) terkontang-kanting.

Zara dibesarkan tanpa belaian kasih sayang daripada bapanya. Beliau tidak pernah dilayan secara baik oleh Jefri. Sambutan Hari Raya Aidilfitri sekali pun, lelaki itu tidak datang menjengah, apatah lagi memberi buah tangan untuk anak kandungnya.

Paling menyedihkan, selepas berkahwin dengan isteri baharu, nafkah cahaya mata yang sangat ditunggu-tunggu dulu diabaikan begitu sahaja.

Masa silih berganti, Zara semakin membesar dan meluahkan hasrat kepada ibunya untuk berkahwin.

Enggan bapa jadi wali

ANDAI bapa masih hidup dan sihat, mintalah supaya bapa tadi menjadi wali bagi perkahwinan anak perempuannya.

Namun yang paling membuatkan hati Zuraidah menjadi tidak keruan apabila gadis berkenaan tidak mahu Jefri menjadi wali pernikahannya.

Sebaliknya, Zara memilih bapa saudaranya.

Walaupun dihalang, Zara tetap dengan pendiriannya gara-gara rasa benci terhadap bapanya yang masih berbekas.

Tidak sah pernikahan berwalikan bapa saudara jika bapa masih hidup dan sihat

PEGUAM Syarie daripada Tetuan Firdaus Abd Jalil & Associates, Abdullah Firdaus Abd Jalil berpendapat, hubungan antara bapa dan anak iaitu Jefri Salleh dan Zara merupakan satu hubungan yang agak kompleks.

Sejarah silam dan layanan yang diberikan si bapa kandung menjadi faktor silaturahim menjadi renggang dan wujudnya aura negatif.

Menurut Abdullah Firdaus, dalam kes berkenaan, jelas menunjukkan bahawa Jefri tidak menunaikan tanggungjawab sebagai bapa dengan baik sehingga menimbulkan perasaan benci dalam diri anaknya.

Natijahnya, Zara mengalami kesan psikologi yang sangat mendalam. Beliau berterus terang bahawa dirinya berkecil hati dan tidak menyukai bapa kandung sendiri. Mudah kata, beliau memusuhi lelaki itu kerana mengabaikan ibunya yang tidak sempurna.

“Hak seorang bapa kepada seorang anak walaupun setelah berpisah dengan ibunya tetap sama. Tidak ada apa-apa perkara yang boleh memisahkan hubungan anak dan bapa.

“Tanggungjawab untuk menjaga anak dengan baik, memberi kasih sayang yang secukupnya dan memberi nafkah tetap perlu ditunaikan, walaupun berlaku penceraian,“ katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdullah Firdaus berkata, perkahwinan adalah amanah ALLAH SWT. Justeru, ia perlu direalisasikan dengan lima rukun iaitu calon suami, calon isteri, wali, dua saksi, lafaz ijab dan kabul.

ABDULLAH FIRDAUS

Jelasnya, jika kekurangan salah satu rukun itu, maka perkahwinan tidak sah.

Ujar peguam itu, salah satu isu penting yang sering timbul dan menjadi bahan perbualan dalam masyarakat kita adalah bidang kuasa wali.

Wali ujar beliau, bererti teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki terdekat kepada pengantin perempuan. Wali merupakan salah satu rukun dalam perkahwinan. Terdapat beberapa firman ALLAH SWT yang menunjukkan betapa mustahaknya wali dalam sesebuah perkahwinan.

“Mengikut tertib wali, bapa hendaklah menjadi wali bagi semua perkahwinan anaknya. Jika bapa tidak ada kerana meninggal dunia, maka hak wali berpindah kepada datuk pengantin perempuan itu.

Sekiranya datuk meninggal dunia, maka hak wali berpindah kepada saudara lelaki seibu sebapa kepada pengantin perempuan dan begitulah bidang kuasa wali mengikut tertib susunannya,“ ungkap beliau.

Menjawab tindakan Zara yang mahu berwalikan bapa saudara, Abdullah Firdaus berkata, hak bapa selaku wali mujbir kepada anak perempuannya tetap kekal.

“Wali mujbir bermaksud wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan atau dara tanpa meminta izin perempuan itu terlebih dahulu.

“Zara perlu mendapatkan bapanya kerana masih lagi hidup dan boleh dihubungi. Oleh yang demikian, bapanya mempunyai hak ke atas Zara.

“Perlu diingatkan bahawa Zara tidak boleh berkahwin berwalikan bapa saudaranya kerana bapa kandung masih ada. Sekiranya Zara tetap dengan keputusannya maka perkahwinan beliau tidak sah,“ tegasnya.

Foto: 123rf & Freepik 

Duduk sebumbung walaupun bercerai
Gaya Hidup,

Natijah Duduk Serumah Walaupun Sudah Bercerai, Peguam Syarie Kongsi Nasihat Berguna

SAZIANA Zahari dan Fazrin Ahmad (kedua-duanya bukan nama sebenar) bersyukur apabila mereka selamat diijab kabul dalam satu majlis gilang-gemilang. Maklum sahajalah, kedua-duanya merupakan anak tunggal.

Selepas disatukan, pasangan itu hidup berasingan daripada keluarga masing-masing. Kasih di antara mereka semakin bertaut selepas dikurniakan tiga orang cahaya mata yang comel.

Namun, kebahagiaan yang dikecapi tidak bertahan lama. Selepas 10 tahun memadu kasih, hubungan cinta Saziana dan Fazrin semakin goyah dan kerap bergaduh walaupun hanya melibatkan perkara remeh-temeh.

Puas dicari di mana silapnya, namun tidak berjumpa titik penyelesaian. Sebagai langkah awal, kedua-duanya memutuskan untuk tidur di bilik berasingan.

Kadangkala anak-anak bertanya perihal keberadaan ibu dan ayah mereka, namun baik Saziana mahupun Fazrin bijak mencipta alasan. Akhirnya, kalimah yang paling ditakuti terluncur jua dari bibir Fazrin.

“Saya ceraikan awak dengan talak satu.“ Demikian kata lelaki tersebut di hadapan Saziana. Ketika itu, masing-masing berada di rumah yang didiami bersama.

Keesokannya, mereka tidak bertegur sapa dan hanya menguruskan tiga anak ke taska dan sekolah.

Selepas 10 bulan berlalu, rutin mereka masih lagi begitu. Biarpun tidak pernah berkomunikasi di antara satu sama lain dan tidak tinggal sebilik, tetapi Saziana dan Fazrin masih duduk serumah.

Pada suatu hari, mereka bergaduh besar disebabkan tidak sependapat dalam urusan anak-anak. Sekali lagi, Fazrin melafazkan talak.

Sungguh, Saziana berasa sedih dan tertekan. Akhirnya beliau menceritakan kemelut rumah tangganya kepada seorang rakan sepejabat yang dipercayai. Sahabat beliau terkejut mendengar kisah berkenaan.

Wanita itu kemudian dinasihatkan untuk memfailkan kes di mahkamah syariah. Dipendekkan cerita, sehari selepas mengucapkan lafaz talak, Fazrin keluar dari kediaman mereka.

Duduk serumah walaupun bercerai

SEBARANG masalah yang dihadapi sepanjang perkahwinan sama ada tidak sengaja melafazkan talak dan sebagainya perlukan pengesahan perceraian di mahkamah syariah.

Kemudian, Saziana nekad memfailkan kes perceraian mereka selepas sedar kesilapannya yang berdiam diri selama ini.

Selepas mendengar semua keterangan dan bukti berkaitan, mahkamah mendapati, sepanjang 10 bulan selepas talak pertama dilafazkan, Fazrin tidak pernah merujuk kembali dengan isterinya dalam waktu idah sama ada secara perkataan mahupun perbuatan.

Maka, mahkamah mengganggap bahawa pasangan berkenaan sudah merujuk melalui perbuatan yang mana menurut Mazhab Syafie, ia adalah tidak sah dan hukumnya haram.

Justeru, hakim memutuskan bahawa lafaz talak kali pertama pada bulan Februari 2012 adalah sah. Namun begitu, Saziana diarahkan untuk beridah dengan idah muasyarah bermula daripada suaminya keluar rumah kelamin mereka iaitu pada bulan Disember 2012 selama tiga kali suci.

Pada masa sama, mahkamah memerintahkan kepada hakim bicara untuk memanggil semula Fazrin bagi memberikan keterangan berhubung dakwaan Saziana bahawa telah berlaku talak kali kedua ketika mereka dalam idah bermuasyarah.

Mendengar keputusan itu, Saziana menarik nafas lega. Beliau berharap kisahnya menjadi teladan kepada mereka di luar sana.

Baca juga Isteri Berstatus Suri Rumah Layak Tuntut Hak Harta Sepencarian, Namun Masih Ramai Yang Tak Tahu

Segera buat permohonan pengesahan cerai di mahkamah

APA jua permasalahan yang dihadapi dalam perkahwinan sama ada tidak sengaja lafazkan talak dan pelanggaran taklik oleh isteri, pihak terlibat perlu segera membuat permohonan pengesahan penceraian di mahkamah syariah.

Perkara itu tidak boleh dipandang enteng kerana ia bukan sahaja memberi implikasi dari konteks undang-undang, malah dari sudut syarak juga.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof menjelaskan, Islam begitu mengambil serius perihal talak sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis.

FAZRU ANUAR

Rasulullah SAW bersabda: “Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah dan secara gurauan juga akan menjadi sah: nikah, talak dan rujuk.“ (Riwayat Abu Daud)

Begitupun, jelas pengamal undang-undang itu, segelintir masyarakat masih menganggap bahawa talak hanya jatuh apabila dilafazkan di dalam mahkamah dan penceraian yang disahkan oleh badan kehakiman.

“Dari segi undang-undang yang berfungsi merekodkan perceraian, perkara tersebut adalah benar. Namun begitu, dari sudut pandang agama, Islam telah menggariskan bahawa apa-apa lafaz talak yang baik di dalam atau di luar pengetahuan mahkamah boleh mengakibatkan terputusnya sesebuah ikatan perkahwinan. Secara tuntasnya, status perkahwinan tersebut hanya sah di sisi undang-undang sahaja, tetapi tidak di sisi syarak,“ ujarnya.

Di bawah Seksyen 127 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017, Fazru Anuar menjelaskan, sesuatu perceraian atau lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah adalah dikira sebagai satu kesalahan yang boleh dikenakan penalti.

Duduk serumah walaupun bercerai

ISLAM begitu mengambil berat tentang hal nikah, talak dan rujuk kerana ia memberi implikasi besar kepada diri seseorang.

“Antara tujuan utama peruntukan tersebut dan peruntukan-peruntukan lain berkaitan perceraian adalah untuk memastikan tiada kezaliman berlaku seperti si suami bermain-main dengan talak, selain untuk merekodkan kesahihan sesuatu lafaz talak yang akan memberi kesan kepada perkara-perkara lain. Contohnya, status perkahwinan seseorang, pengiraan idah, perihal rujuk dan sebagainya,“ katanya.

Seandainya pasangan terbabit tidak memfailkan perceraian mereka, kata beliau, mahkamah tidak akan dapat merekodkan perceraian tersebut.

Dampaknya, jika dibiarkan begitu sahaja, pasangan tersebut dikhuatiri akan lupa butiran talak yang dilafazkan.

“Umpamanya, jika ketepatan tarikh lafaz talak gagal dinyatakan, ia akan memberi kesan kepada pengiraan idah dan status rujuk. Apa yang lebih dibimbangkan jika talak dilafazkan secara kerap, ia boleh menyebabkan jatuhnya talak tiga tanpa disedari yang memberi kesan mendalam.

“Dari satu sudut lain, pasangan yang dikhuatiri telah bercerai sepatutnya tidak boleh tinggal sebumbung kerana boleh mengundang pelbagai mudarat. Antaranya seperti perbuatan khalwat dan zina.

“Perkara tersebut boleh memberi kesan kepada nasab keturunan. Justeru, perkara pertama yang perlu dilakukan apabila terlafaznya talak adalah mengasingkan tempat tinggal suami isteri dan terus ke mahkamah untuk sahkan perceraian tersebut,“ tegasnya.

Foto: 123rf, Pexels & Unsplash

Status perkahwinan
Gaya Hidup,

Jangan Sewenang-wenangnya ‘Jatuh Hukum’ Sendiri Tentang Status Perkahwinan, Buruk Padahnya

no comment

DALAM usia yang begitu muda, Amri Din dan Zulaiha Adam (kedua-duanya bukan nama sebenar) diijabkabulkan dalam satu majlis pernikahan di negara jiran dengan berwalikan hakim.

Ketika itu, masing-masing berusia 20 tahun. Barangkali desakan hati dan cinta membuatkan mereka lupa dengan implikasi yang bakal ditanggung.

Selepas setahun berkahwin, Amri dan Zulaiha berjaya juga menamatkan pengajian mereka. Sepanjang tempoh itu, kedua-duanya tidak pernah tinggal bersama.

Situasi itu menyebabkan Zulaiha sangsi dengan perkahwinannya bersama Amri. Malah, wanita itu juga berasakan dirinya tidak lagi terikat dengan Amri. Apatah lagi selepas mereka pulang ke menetap bersama keluarga masing-masing.

Zulaiha pula semakin sibuk selepas ditawarkan bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat terkemuka. Di tempat kerjanya itu, wanita itu jatuh cinta dengan seorang pemuda bernama Hadif Ali (bukan nama sebenar).

Oleh sebab samar-samar dengan status dirinya, Zulaiha menganggap bahawa perkahwinannya di negara jiran sebelum ini tidak sah apatah lagi tidak pernah didaftarkan di negara ini.

Lalu, tanpa ragu-ragu Zulaiha menerima pinangan Hadif. Malah, keluarganya juga bersetuju dengan pilihan hatinya.

Berita pernikahan Zulaiha sampai ke pengetahuan Amri. Walaupun dirinya dan Zulaiha tidak pernah tinggal bersama dan menjalankan tanggungjawab sebagai pasangan suami isteri, namun lelaki itu terpanggil untuk memperbetulkan keadaan.

Lelaki itu kemudian memfailkan permohonan daftar nikah dirinya dan Zulaiha. Pada masa sama, beliau turut membuat tuntutan faraq nikah terhadap Zulaiha dan ‘suami baharunya‘ di mahkamah syariah.

Mahkamah memutuskan untuk mendengar kedua-dua kes itu dalam satu prosiding. Justeru, Amri mengemukakan keterangan dokumen dan saksi termasuk catatan keterangan nikah, surat Majlis Agama Islam dari negara tempat mereka bernikah kepada Konsulat Jeneral Malaysia dan surat Konsulat Jeneral Malaysia berhubung pengesahan perkahwinan.

Status perkahwinan

RUJUKLAH pihak yang sepatutnya seperti mahkamah syariah jika ada masalah berhubung status perkahwinan.

Selain itu, beliau juga membawa afidavit daripada seorang pegawai Jabatan Agama Islam di negara ini termasuk surat yang dikeluarkan jabatan agama tersebut bagi pengesahan wali bertauliah di Majlis Agama Islam negara berkenaan.

Malangnya, sepanjang perbicaraan berlangsung, Zulaiha dilihat lebih banyak berdolak-dalik dengan mengemukakan versi cerita yang berbeza. Malah, beliau turut mengemukakan saksi termasuk ibu bapa dan adik beradiknya untuk menyokongnya bahawa dirinya masih bujang.

Pun demikian, mahkamah percaya catatan nikah dari Majlis Agama Islam dari negara jiran itu tidak dikeluarkan sewenang-wenangnya tanpa upacara pernikahan di sana.

Justeru, hakim mensabitkan bahawa pernikahan antara Amri dan Zulaiha adalah sah menurut hukum syarak serta diperintahkan untuk didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah.

Pada masa sama, mahkamah memutuskan pernikahan antara Zulaiha dan ‘suami‘ yang baru dinikahinya itu tidak sah dan batil serta difaraqkan serta-merta.

Mendengar keputusan itu, fikiran Amri terasa lapang. Sekurang-kurangnya dirinya sempat memperbetulkan keadaan sebelum menjadi bertambah parah.

Baca juga Bayi Jadi Mangsa Anak Tak Sah Taraf Gara-Gara Sikap Ibu Bapa Kahwin Terburu-buru

Perkahwinan poliandri diharamkan dalam Islam

WALAUPUN undang-undang di Malaysia mengiktiraf pernikahan yang dilangsungkan di luar negara seperti Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla dan Pattani, Thailand, pasangan tetap perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia.

Ia perlu dibuat menerusi Jabatan Agama Islam berhampiran tempat tinggal masing-masing tidak kiralah sama ada perkahwinan itu dilakukan dengan kebenaran atau sebaliknya.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof menegaskan, tindakan itu penting dan bukan untuk menyusahkan pasangan, tetapi demi kebaikan mereka pada masa akan datang.

FAZRU ANUAR

“Pendaftaran perkahwinan juga perlu untuk memastikan perkahwinan yang dijalankan di negara jiran adalah sah, bukannya hasil daripada pernikahan sindiket yang kebanyakannya adalah tidak sah dan batil.

“Pasangan yang menjalin hubungan yang tidak sah dan batil ini adalah bersekedudukan tanpa nikah dan hidup dalam penzinaan,“ jelasnya.

Dalam kes Zulaiha Adam dan Amri Din (kedua-duanya bukan nama sebenar), peguam syarie itu menjelaskan, meskipun perkahwinan mereka tidak pernah didaftarkan dan tidak hidup bersama, wanita tersebut tidak boleh terus menjatuhkan ‘hukum‘ atas keabsahan perkahwinan berkenaan.

“Kes ini sepatutnya dirujuk kepada pihak yang lebih arif sama ada pegawai di Pejabat Agama Islam ataupun mahkamah syariah.

“Disebabkan sikap Zulaiha yang terus menghukum itulah menimbulkan masalah baharu dengan berakhir perkahwinan kali kedua walaupun berstatus isteri orang atau disebut sebagai poliandri.

“Ketahuilah, poliandri adalah diharamkan dalam Islam berdasarkan Surah an-Nisa‘, ayat 24. Mujurlah Amri mengambil tindakan pantas dengan segera memfailkan tuntutan faraq nikah antara Zulaiha dan ‘suami baharunya‘ itu,“ katanya.

Kepada satu soalan, pengamal undang-undang syariah itu menjawab: “Suatu perkahwinan itu dikira sah jika telah memenuhi rukun-rukun yang telah ditetapkan oleh syarak.

Status perkahwinan

PENTING untuk pasangan suami isteri mendaftarkan perkahwinan mereka di Jabatan Agama Islam berhampiran sekiranya bernikah di luar negara atau dalam negara sama ada dengan kebenaran atau tidak.

“Jika pernikahan dilangsungkan di dalam kawasan adanya wali mujbir tersebut, seharusnya keizinan perlu diperoleh daripada wali tersebut.“

Namun, jika wanita berkenaan berada di luar kawasan mastautin atau lebih dua marhalah daripada wali mujbir dan bernikah tanpa keizinannya, perkahwinan itu adalah sah.

Hal itu katanya, dapat dilihat melalui Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52.

Ia antara lain memutuskan hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat pernikahan itu mengikut rukun nikah, pernikahan itu melebihi dua marhalah, tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak di tempat dia bermastautin.

“Pernikahan itu juga dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan yang mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim,“ terang Fazru Anuar.

Foto: Unsplash & 123rf

Suami berpoligami tak adil
Gaya Hidup,

Isteri Boleh Tuntut Fasakh Kalau Suami Berpoligami Bersikap Tak Adil

no comment

TEMPOH perkahwinan antara Junaidah Ali dan Roslan Kahar (kedua-duanya bukan nama sebenar) sudah menginjak 22 tahun. Namun, hubungan mereka berdua semakin renggang.

Sebelum perasaan negatif itu wujud, mereka pernah mengecap rasa bahagia. Perasaan itu semakin bertaut dengan kehadiran lima cahaya mata berusia antara lapan dan 20 tahun.

Namun begitu, sejak dua tahun kebelakangan ini, hubungan suami isteri itu berantakan selepas Roslan menyatakan hasrat untuk mengahwini seorang wanita dari Indonesia.

Alasannya hanyalah untuk membantu meringankan beban janda beranak dua itu. Walaupun rela dalam keterpaksaan, Junaidah merestukan perkahwinan kedua suaminya selepas bibir lelaki itu acap kali mengungkapkan janji untuk berlaku adil.

Begitupun, janji hanya tinggal janji. Roslan telah mengingkarinya. Sudahlah pulang ke rumah hanya dua minggu sekali, itu pun sekadar mampir sahaja. Tepat jam 6 petang, dia kembali semula ke rumah isteri kedua yang baru dinikahi.

Pada awalnya, Junaidah mampu menahan sabar, ditambah melihat anak-anak yang semakin membesar.

Pun demikian, selepas tiga bulan, nampaknya perlakuan si suami masih lagi tidak berubah. Lebih memeritkan, nafkah dirinya dan anak-anak langsung tidak diberikan sejak Roslan berkahwin lain.

Suami berpoligami tak adil

SETIAP pihak yang bercerai dijamin hak mereka oleh undang-undang syariah di setiap negeri di Malaysia.

Junaidah sebenarnya suri rumah sahaja. Wanita itu sebelum ini mempunyai kerjaya bagus dan berjawatan tinggi, tetapi terpaksa berhenti selepas melahirkan anak bongsunya.

Dengan wang simpanan hasil kerja kerasnya sebelum ini dicampur dengan pendapatan hasil berniaga online yang tidak seberapa, Junaidah menggunakan simpanan itu sebaiknya untuk membayar ansuran rumah dan menyara anak-anaknya yang rata-rata masih bersekolah.

Selepas dua tahun dimadukan, wanita tabah berkenaan mula rasa dirinya terus diabaikan.

Berbuih juga mulutnya meminta wang nafkah, namun lelaki itu tetap tidak mengendahkannya. Pandai menabur janji, namun tidak sekali pun ditepati!

Sesekali wanita itu mengambil peluang mengadu dengan bapa mertuanya tentang perihal Roslan. Namun, orang tua itu enggan masuk campur urusan rumah tangga mereka.

Tidak tahan dengan keadaan tersebut, Junaidah membuat permohonan fasakh di mahkamah syariah. Beliau mendakwa suaminya tidak memberikan nafkah zahir dan batin selama dua tahun. Wanita itu turut mengemukakan dua saksi bagi menyokong dakwaannya.

Sepanjang proses prosiding sehingga hujahan berlangsung, Roslan gagal hadir untuk membuat pembelaan dan hujahan balas. Kes berkenaan dibicarakan hanya sebelah pihak sahaja, walaupun segala prosedur penyampaian saman secara gantian terhadap Roslan telah pun disempurnakan.

Mahkamah mendapati, Junaidah tidak pernah disabitkan nusyuz sebelum ini. Justeru bagi melengkapkan dakwaan berkenaan, hakim mengarahkan wanita itu melakukan sumpah istizhar.

Tujuannya sebagai menguatkan lagi keterangannya dalam mahkamah dan menolak segala tohmahan. Selepas itu, mahkamah memutuskan pembubaran perkahwinan susulan aduan yang dilakukan Junaidah terhadap Roslan yang gagal dan cuai menyediakan nafkah selama dua tahun berturut-turut.

Pada masa sama, hakim mengarahkan wanita tersebut menjalani tempoh idah selama tiga kali suci bermula tarikh pembubaran perkahwinan.

Junaidah menerima keputusan mahkamah dengan hati yang lapang. Baginya, biarlah segala derita yang dipendam selama ini pergi begitu sahaja. Wanita itu mahu memulakan hidup baharu dengan aman.

Boleh tuntut harta sepencarian walau bercerai secara fasakh

DALAM melayari kehidupan berumah tangga secara poligami, ilmu pengetahuan dan pegangan agama yang kukuh begitu penting. Ia bagi mengelakkan hubungan suci yang dibina kecundang pada kemudian hari sekali gus menyebabkan pensyariatan sunah Rasulullah SAW yang satu itu dipandang serong.

Demikian komentar Peguam Syarie, Abdullah Anuar Sahri ketika mengulas mengenai kes yang berlaku terhadap Junaidah Ali dan Roslan Kahar (kedua-duanya bukan nama sebenar).

ABDULLAH ANUAR

Mengulas tentang tuntutan fasakh antara pasangan tersebut, pengamal undang-undang daripada Tetuan Anuar Taufeq Junid Associates itu menjelaskan, permohonan boleh dibuat mengikut Seksyen 52 Akta Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Seksyen 53 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Sembilan) dan (Selangor) 2003.

Menurutnya, alasan-alasan permohonan fasakh itu antara lain adalah tidak mengetahui keberadaan suami selama lebih satu tahun, suami cuai dan tidak memberikan nafkah selama tempoh tiga bulan, suami dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih, suami tidak menunaikan kewajipan perkahwinan (nafkah batin) tanpa sebab munasabah selama satu tahun dan lain-lain.

“Ia termasuk juga jika seseorang itu mempunyai isteri lebih daripada seorang dan tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak hukum syarak.

“Begitupun, dalam apa jua permohonan yang dibuat, pembuktian amat penting. Hakim tidak boleh membuat keputusan dengan baik sekiranya pihak-pihak tidak mengemukakan bukti.

“Dalam kes fasakh, pihak yang mendakwa (plaintif) perlu mengemukakan bukti. Misalnya, suami tidak memberi nafkah yang mencukupi selama lebih lima bulan.

“Maka, pembuktian melalui dokumen seperti penyata akaun plaintif, (pembuktian) melalui lisan seperti saksi dalam kalangan ahli keluarga, saudara-mara, sahabat atau jiran diperlukan,” jelasnya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Kepada satu soalan, Abdullah Anuar menjawab: “Isu tuntutan fasakh bukan dikira soal berpoligami atau tidak. Perkara utama yang perlu difahami adalah apabila seorang suami gagal memperuntukkan nafkah wajib seperti tempat tinggal, makan, minum, pakaian dan perubatan.

“Maka si isteri berhak untuk mengadu kepada mahkamah atau terus memfailkan tuntutan cerai secara fasakh.

Suami berpoligami tak adil

PEMBUKTIAN amat penting dalam apa jua tuntutan di mahkamah. Jika suami tidak memberi nafkah yang mencukupi selama lebih lima bulan, kemukakanlah dokumen seperti penyata akaun atau saksi bagi menyokong dakwaan.

“Namun begitu, sekiranya isteri reda dan ingin meneruskan perkahwinan walaupun suami tidak memberikan nafkah dengan sewajarnya, semua itu terpulang kepada diri masing-masing.”

Begitupun, beliau menjelaskan, setiap pihak yang bercerai dijamin hak mereka oleh undang-undang syariah di setiap negeri di negara ini.

“Justeru, isteri atau pihak yang menuntut perceraian secara fasakh tidak perlu khuatir hak mereka hilang untuk menuntut harta sepencarian.

Baca juga Rumah Atas Nama Sendiri Boleh Jadi Harta Sepencarian? Ini Pencerahan Peguam Syarie

“Sebetulnya, mereka masih berhak ke atasnya (harta sepencarian) dengan memfailkan tuntutan tersebut di mahkamah syariah yang mempunyai bidang kuasa mendengar tuntutan tersebut,” jelas beliau.

Foto: 123rf & Freepik