Browsing Tag

Dahulukan anggota kanan

Dahulukan anggota kanan
Gaya Hidup,

3 Sebab Mengapa Kita Perlu Dahulukan Anggota Kanan

PERASAN atau tidak, dalam setiap perbuatan, kita pasti akan mendahulukan dahulu anggota badan sebelah kanan berbanding kiri.

Bukan sahaja ketika hendak menjamah makanan, tetapi juga ketika memakai kasut, menyisir rambut dan sebagainya.

Ketahuilah bahawa Nabi Muhammad SAW yang menjadi suri teladan kita sememangnya gemar berbuat demikian dalam perkara yang baik dan mulia.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA. Beliau berkata: “Bahawa Rasulullah SAW suka mendahulukan anggota kanan dalam semua perkara yang dibuatnya seperti baginda bersuci, menyikat rambut dan memakai selipar.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dahulukan anggota kanan

JIKA menyikat rambut, sisirlah bermula dengan bahagian yang kanan terlebih dahulu.

Sebenarnya, ada sebab mengapa kita digalakkan memulakan dan mendahulukan anggota tubuh yang kanan, kata pendakwah Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

Berikut penjelasan beliau sebab kita perlu mengutamakan yang kanan:

1. Penduduk ahli syurga ialah orang-orang kanan (ashabul yamin).

Ashabul yamin ialah golongan kanan yang mana mereka akan menerima kitab catatan amalannya di dunia dari tangan kanan.

Mereka inilah golongan soleh, abrar (orang yang berbakti) ataupun muflihun (orang yang beruntung).

2. Orang yang masuk syurga akan mendapat buku amalan dari tangan kanan.

Firman ALLAH SWT: “Kemudian sesiapa yang diberi menerima buku amalannya dengan tangan kanannya, maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan. Dan dia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.” (Surah al-Insyiqaq, ayat 7-9)

3. Amalan baik ditimbang di neraca yang kanan.

Dahulukan anggota kanan

UMAT Islam disunatkan untuk makan dengan tangan kanan dan makruh menggunakan tangan kiri jika tiada keperluan.

Justeru, PU Salman mengingatkan umat Islam agar sentiasa mendahulukan sebelah kanan dalam setiap perkara yang baik dan mulia.

“Kita ber’tafaul’ (ambil tuah) dengan sentiasa mendahulukan yang kanan supaya kita dapat ketiga-tiga perkara seperti yang dinyatakan,” nasihatnya.

Foto: Pexels