Browsing Tag

daging korban siap dimasak

Daging korban siap dimasak
Hukum,

Tak sah bagi daging korban yang siap dimasak?

KADANGKALA tertanya-tanya, tidak bolehkah daging korban diagihkan dalam keadaan sudah siap dimasak? Bolehlah si penerima tadi terus menjamahnya tanpa perlu bersusah payah untuk menyiapkan hidangan.

Ya, itu antara persoalan yang kerap kali diajukan menjelang Hari Raya Aidiladha.

Semua orang sedia maklum bahawa tiada amalan yang lebih disukai oleh ALLAH SWT dan Rasulullah SAW ketika itu selain melaksanakan ibadah korban.

Baca juga Ibadah Korban Kifarat Dosa Kepada Pelakunya, Ia Amalan Yang Dicintai ALLAH Pada Aidiladha

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (hari raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh ALLAH selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda ALLAH SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Daging korban siap dimasak

BAGI mereka yang berkemampuan, lakukanlah ibadah korban yang sangat dituntut untuk mendekatkan diri kepada ALLAH, selain membantu golongan fakir dan miskin merasai kenikmatan daging korban.

Berbalik kepada persoalan tentang sedekah daging korban yang sudah dimasak, Sinar Islam Plus merujuk kepada artikel Irsyad al-Fatwa Haji dan Korban #26 yang pernah disiarkan dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Menerusi artikel bertajuk ‘Hukum memberi sedekah daging korban yang dimasak’, para ulama menetapkan, daging korban wajib disedekahkan kepada golongan fakir miskin dalam keadaan mentah dan bukannya sudah dimasak atau dikeringkan.

Dalam kitab Syarh al-Yaqut al-Nafis, al-Sheikh Muhammad Ibn Ahmad al-Syathiri menjelaskan: “Sahnya daging korban itu adalah dengan disedekahkan dalam keadaan mentah, apa yang tidak rosak, daripada daging korban yang sunat.”

“Tidak memadai untuk memberi sedekah daging korban tersebut dalam keadaan sudah dimasak atau sudah dikeringkan (diawet dengan garam).”

Daging korban siap dimasak

AGIHKAN daging korban mengikut ketetapan yang ditetapkan oleh agama Islam.

Bagi menguatkan lagi hujahnya, artikel tersebut turut memetik pandangan al-Sheikh Ibrahim al-Bajuri dalam Hasyiah al-Bajuri yang menyatakan, disyaratkan supaya daging korban berkenaan diberikan dalam keadaan mentah supaya ia boleh dimanfaatkan penerimanya mengikut apa yang dikehendaki olehnya.

“Sama ada penerima tadi hendak menjualnya atau seumpamanya, sama sepertimana dalam bab kafarah.

“Justeru, tidak memadai memberi sedekah dengan menjadikannya sebagai makanan yang dimasak, kemudian diajak golongan fakir miskin untuk memakannya,” katanya.

Baca juga Tuan Korban Tak Boleh Makan Daging Korban Dalam Keadaan Ini – Azhar Idrus

Dari segi kadar sedekah daripada haiwan korban tersebut pula, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, para ulama tidak menetapkan had tertentu.

“Akan tetapi, dibolehkan untuk memberi sedekah walaupun dengan kadar yang sedikit dan kepada seorang sahaja daripada golongan fakir miskin.

“Selebihnya, daging korban yang berbaki daripada yang disedekahkan tadi, bolehlah ia dimasak dan diadakan kenduri untuk dijamu kepada orang ramai,” jelasnya.

Pembahagian daging korban

Baca juga Cara Terbaik Agihkan Daging Korban

Berhubung perihal pembahagian afdal untuk daging korban, laman web korbanaqiqah.com.my menyenaraikan beberapa cara seperti berikut:

i. Satu pertiga (1/3) untuk orang melakukan korban dan dua pertiga (2/3) pula bagi fakir miskin.

Disunatkan orang yang melakukan ibadah korban untuk mendapat satu pertiga daripada bahagian daging korban dan selebihnya disedekahkan kepada golongan fakir miskin.

Daging korban siap dimasak

DAGING korban perlu diagihkan mengikut ketetapan syarak.

ii. 1/3 untuk orang melakukan korban, 1/3 fakir miskin dan 1/3 golongan kaya.

Antara contoh golongan kaya ialah saudara-mara atau jiran tetangga. Bagaimanapun, lebih afdal jika 2/3 daripada daging korban tadi diagihkan kepada fakir miskin berbanding cara agihan sebegini.

iii. Menyedekahkan semua bahagian.

Itulah cara yang paling dianjurkan iaitu individu yang melakukan korban menyedekahkan keseluruhan bahagian korban dan hanya menjamah sedikit daripadanya sebagai mengambil berkat. Perbuatan itu dianggap sebagai salah satu amalan yang mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan menjauhkan kita daripada sifat mementingkan diri sendiri.

Baca juga Tak boleh simpan daging korban lebih 3 hari? Ini penjelasan agamawan…

Begitupun, semua cara agihan itu tidak boleh dilakukan untuk ibadah korban yang dinazarkan dan korban wasiat (untuk ahli keluarga kita yang sudah meninggal dunia dan meninggalkan wasiat sebelumnya).

Jika melibatkan dua jenis korban wajib berkenaan, maka keseluruhan daging wajib diberikan kepada fakir miskin.

Foto: Bernama & 123rf