Browsing Tag

daesh

MIZA (2)
Berita Semasa, Isu, Pilihan Editor,

Pemikiran bahaya Hizbut Tahrir, perlu ditolak

no comment

Laporan artikel daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)

Konsep pemikiran yang dibawa oleh Hizbut Tahrir sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan kumpulan DAESH singkatan bagi perkataan al-Dawla al-Islamiya al-Iraq Wa al-Sham (Negara Islam Iraq dan Sham) atau dikenali juga dengan nama ISIS singkatan bagi perkataan Islamic State of Iraq and Syria (Negara Islam Iraq dan Syria).

Kumpulan yang disebutkan ini mendakwa tentang pentingnya menegakkan khilafah. Namun dari sudut pelaksanaan, mereka memiliki jalan dan cara yang berbeza dalam menegakkan sistem negara khilafah mereka sendiri.

Antara yang dibimbangi dalam mana-mana gerakan atau ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah wujudnya kelompok yang ekstrim dalam memastikan gerakan mereka mencapai matlamat yang diinginkan.

Ini kerana berdasarkan kepada dakwaan Hizbut Tahrir bahawa metodologi dakwah mereka adalah berdasarkan sirah Rasulullah SAW.

Namun begitu jika didalami kembali sirah Rasulullah SAW maka kita akan dapati bahawa kemuncak kepada pejuangan Nabi adalah Jihad. Adakah jihad juga menjadi destinasi kemuncak kepada dakwah Hizbut Tahrir di Malaysia?

 Sejarah awal

Hizbut Tahrir (Parti Pembebasan) merupakan sebuah parti politik antarabangsa berideologi Islam yang bergerak dalam dakwah dan politik.

Pergerakan ini diasaskan oleh Syeikh Taqiyuddin Nabhani (1909-1979 M), kelahiran Ijzim, Haifa, Palestin. Beliau merupakan seorang tokoh dan merupakan alumni al-Azhar, Mesir.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai guru dan hakim di Mahkamah Syariah di Palestin. Hizbut Tahrir menegaskan ia merupakan organisasi politik, bukan organisasi kerohanian, badan ilmiah, institusi pendidikan, dan bukan pula pertubuhan sosial.

Hizbut Tahrir mendakwa metodologi dakwah mereka adalah berdasarkan sirah Rasulullah SAW iaitu melalui tiga tahap berikut:

Tahap Pertama: Tahap Pembinaan dan Pengkaderan (Marhalah At-Tatsqif) Dilaksanakan untuk membentuk kader-kader yang mempercayai pemikiran dan metod Hizbut Tahrir dalam kerangka tubuh parti.

Tahap Kedua: Berinteraksi dengan Umat (Marhalah Tafa’ul Ma’a Al-Ummah) Dilaksanakan agar umat turut memikul kewajipan dakwah Islam hingga umat menjadikan Islam sebagai permasalahan utamanya, agar umat berjuang untuk mewujudkannya dalam realiti kehidupan.

Tahap Ketiga: Tahapan pengambil-alihan Kekuasaan (Marhalah Istilaam Al-Hukm) Dilaksanakan untuk menerapkan Islam secara menyeluruh dan mengembangkan risalah Islam ke seluruh dunia.

Hizbut Tahrir berpendapat, dalam tahap ketiga mereka harus meminta bantuan ketua negara, panglima tentera, pimpinan jama’ah, ketua suku, duta besar atau seumpamanya.

 Keputusan Fatwa Selangor

Pertubuhan Hizbut Tahrir dipantau. Foto: mie.edu

Berdasarkan warta fatwa yang bertarikh 17 September 2015, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahawa:

1.Fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir adalah bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah kerana mengandungi elemen-elemen seperti yang berikut:

a) Bahawa pemerintah, ahli parlimen dan para ulama Islam kesemuanya kar serta harus diperangi kerana menerima sistem kufur;

b) Bahawa negara-negara Islam semuanya negara kar kerana berhukum dengan sistem kufur dan haram menyertai sistem kerajaan sekarang;

c) Menakan istilah “al-Qadha’ wa al-Qadar”;

d) Berpegang kepada fahaman Qadariyyah;

e) Bahawa aqidah Siyasiyyah lebih penting daripada aqidah ruhiyyah;

f) Menolak sumber aqidah melalui hadith Ahad kerana boleh membawa kesesatan berasaskan hadith Ahad itu dalil zanni sedangkan aqidah itu keyakinan; atau

g) Bahawa Nabi dan Rasul tidak maksum sebelum diangkat menjadi Nabi atau Rasul.

2.Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk berpegang dengan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir termasuklah:

a) Menjadi ahli kumpulan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir;

b) Berada di dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir;

c) Mengisytiharkan diri sebagai ahli kumpulan Hizbut Tahrir melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain;

d) Berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir;

e) Melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir sama ada melalui apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir;

f) Mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir;

g) Memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar lem, rakaman audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen, atau menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir di mana-mana harta alih atau tak alih; atau

h) Mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir di negeri Selangor.

3.Mana-mana orang Islam yang telah berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir adalah disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar dan hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah S.W.T.

4.Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru mempunyai persamaan dengan unsur-unsur fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir adalah disifatkan bercanggah dengan aqidah ajaran Islam yang sebenar.

5.Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain adalah diharamkan.

6.Mana-mana orang Islam yang melakukan perkara-perkara di atas adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di negeri Selangor.

 Kesimpulan

 Hizbut Tahrir merupakan sebuah kumpulan berideologi ekstrim dalam membawa pandangan serta pejuangan mereka , sikap melampau kumpulan ini menyebabkan mereka menghukumkan kafir terhadap masyarakat Islam yang tidak menerima doktrin mereka dengan alasan redha atau tunduk di bawah sistem kafir.

Umat Islam di Malaysia khususnya di negeri Selangor perlu menjauhkan diri dari sebarang aktiviti yang mempunyai ciri-ciri yang telah disebutkan di atas serta menjauhkan diri dari segala bentuk ajaran dan fahaman yang meragukan.

Segera laporkan segala aktiviti yang meragukan kepada pihak berkuasa agama bagi membendung penularan ajaran yang boleh merosakkan akidah, syariah serta akhlak umat Islam.