Browsing Tag

Daerah di Palestin

Bangunan Palestin milik Israel
Antarabangsa,

5 daerah di Palestin yang diranapkan dengan kejam, kini berganti bangunan milik Israel

BANYAK daerah di Palestin diranapkan dengan kejam. Cerita penindasan dan penderitaan yang direntas oleh rakyat Palestin bukanlah kisah baru. Ia sudah berlaku sekitar 64 tahun lamanya.

Hari Nakba pada tahun 1948 menyaksikan lebih 500 bandar dan kampung di Palestin dimusnahkan oleh tentera Israel. Nakba yang bermaksud malapetaka itu menyebabkan lebih 700,000 warga Palestin menjadi pelarian.

Rakyat Palestin menganggap Nakba sebagai proses berterusan bermula dengan kedatangan Zionis pada permulaan abad ke-20.

Mengingatkan peristiwa yang berlaku pada 15 Mei itu menyebabkan jiwa dirundung sayu. Masakan tidak, saudara seagama kita diperlakukan sewenang-wenangnya di atas tanah milik mereka sendiri.

Pada tahun berkenaan jugalah Israel dibentuk. Bukan itu sahaja, selepas Deklarasi Balfour pada tahun 1917 dan beberapa dekad pemerintahan ‘mandat’ British, secara perlahan-lahan rakyat Palestin diusir dari tanah asal mereka.

Memetik laporan yang disiarkan portal berita Middle East Eye, ia bermula dengan pembelian tanah oleh rejim Zionis, diikuti pengunduran British dari Palestin dengan kekerasan.

“Episod duka itu menyebabkan ramai keturunan dan rakyat Palestin hidup dalam buangan terutamanya di negara jiran Arab.

“Bukan sekadar pengusiran sahaja, tetapi ia turut disusuli dengan proses penghapusan dan Judaisasi (pengyahudian) kawasan yang baru diambil oleh Israel.

Baca juga Palestin dan Israel mungkin berperang lagi

“Disebabkan itulah banyak mercu tanda dan pekan Israel pada hari ini dibina di kawasan yang pernah menjadi tempat bermastautin rakyat Palestin suatu ketika dahulu,” katanya dipetik menerusi laman web https://www.middleeasteye.net/.

Portal berkenaan turut menyenaraikan lima perkampungan Palestin yang telah dimusnahkan dengan kejam oleh Israel dan gini berganti bangunan milik mereka:

1. Universiti Tel Aviv.

Bangunan Palestin milik Israel

SEBAHAGIAN daripada kampus Universiti Tel Aviv yang luas dibina di perkampungan Palestin, Sheikh Muwannis.

Di sinilah tapak asal Kampung Sheikh Muwannis, Palestin. Ia dinamakan bagi memuliakan makam seorang ilmuan yang terletak di perkampungan tersebut.

Kampung yang dihuni oleh ahli suku Abu Kish itu begitu terkenal dengan buah oren, pisang dan tembikainya. Kebanyakannya ditanam oleh penduduk di kebun milik mereka.

Begitupun, selepas kawasan itu diperuntukkan untuk Yahudi di bawah rancangan awal British dan kemudian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penduduk kampung terpaksa meninggalkan rumah mereka pada bulan Mac 1948 selepas diancam rejim Zionis.

Selepas ketibaan rejim berkenaan, sebahagian besar daripada 2,000 penduduk kampung tersebut melarikan diri ke bandar Qalqiliya dan Tulkarem di Tebing Barat.

Kini, sebahagian Universiti Tel Aviv yang tersergam gah itu merupakan bangunan yang dibina di atas tapak perkampungan berkenaan sejak tahun 1956.

Baca juga Lebih 9,000 kanak-kanak Palestin ditahan Israel sejak 2015

2. Lapangan Terbang Ben Gurion.

Bangunan Palestin milik Israel

LAPANGAN Terbang Ben Gurion.

Semua orang yang akan mendarat di Israel akan melalui lapangan terbang itu. Ia dinamakan sempema nama perdana menteri pertama Israel, David Ben-Gurion.

Menelusuri sejarahnya, sebelum kewujudan lapangan terbang tersebut, tapak berkenaan dikenali sebagai Lydda yang pernah menjadi rumah kepada masyarakat Palestin. Bukan sahaja orang Islam, tetapi juga ia turut didiami oleh komuniti Kristian dan Yahudi dalam kelompok kecil.

Lydda kemudian dinamakan semula untuk menjadi sebahagian daripada negara Arab-Palestin mengikut rancangan PBB. Malangnya ia telah ditawan oleh tentera Zionis sebelum pengisytiharan negara haram Israel.

Susulan itu, puluhan ribu rakyat Palestin yang juga penduduk Lydda diarak ke sempadan Jordan dalam satu perarakan yang dikenali sebagai Perarakan Kematian Lydda pada Julai 1948.

Akhirnya sebuah landasan kecil dibina di atas tapak berkenaan pada tahun 1973 sebelum berkembang menjadi lapangan terbang antarabangsa.

3. Pusat Kesihatan Mental Kfar Shaul.

Bangunan Palestin milik Israel

Bangunan hospital itu ditubuhkan pada tahun 1951 di tapak perkampungan Deir Yassin dan menggabungkan beberapa bangunan terbiar di kompleksnya.

Bukan itu sahaja, bagi memberi laluan kepada jalan baharu, tanah perkuburan Deir Yassin turut dimusnahkan.

Menurut historiografinya, Deir Yassin begitu terkenal dengan pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap seramai 100 orang penduduk pada April 1948. Lokasi itu berdekatan dengan Baitulmaqdis.

Sejurus pembunuhan tersebut, beberapa orang Yahudi terkemuka berkempen untuk membiarkan Deir Yassin dan tidak dibangunkan kawasan itu. Tujuannya bagi memberi penghormatan kepada mereka yang kehilangan nyawa dalam pembunuhan tersebut.

Bagaimanapun, cadangan itu hanya tinggal cadangan apabila ia tidak diendahkan oleh pihak berkuasa Israel.

Pada hari ini, kawasan pinggiran Bailtulmaqdis itu menjadi sebahagian daripada Har Nof, sebuah daerah kediaman Yahudi Ortodoks.

4. Muzium Etzel.

Bangunan Palestin milik Israel

ETZEL ialah nama lain untuk militan Irgun.

Bangunan muzium yang terletak di Tel Aviv itu merupakan bekas tapak perkampungan Arab Manshiya yang musnah ketika ditawan oleh Irgun (militan Zionis paling tegar sebelum penubuhan Israel) semasa serangan di sekitar kawasan Jaffa pada April 1948.

Penubuhannya dikatakan mempunyai perkaitan dengan dedikasi untuk pertubuhan paramilitari Zionis yang membantu mengusir puluhan ribu rakyat Palestin dari rumah mereka sendiri.

Etzel merupakan nama lain untuk Irgun. Ia terkenal kerana melakukan pengeboman Hotel King David pada tahun 1946 yang mengorbankan 91 nyawa termasuk pegawai British, Palestin dan Yahudi.

5. Taman Negara Nahal Alexander.

Bangunan Palestin milik Israel

WADI al-Hawarith pernah menjadi rumah kepada komuniti besar Badwi di Palestin.

Tanah berkenaan pernah menjadi milik penduduk asal Wadi al-Hawarith, tetapi kemudiannya ia telah diperoleh oleh Jewish National Fund di bawah undang-undang absentee (tidak hadir) sebelum dimasukkan ke dalam Taman Negara Nahal Alexander.

Penduduk asal Palestin terpaksa pergi atas nasihat tentera British dan Arab selepas serangan hendap oleh militan Zionis pada Februari 1948 yang menyebabkan beberapa lelaki Arab mati.

Demikian lima tempat yang pernah menjadi tempat perlindungan penduduk asal Palestin. Bagaimanapun, semua itu hanya tinggal kenangan akibat serangan dan penindasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa Israel.

Ketahuilah, apa yang berlaku di Palestin sememangnya isu yang melibatkan akidah umat Islam. Ia bukan sekadar isu politik dan kemanusiaan.

Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, Profesor Madya Dr Arieff Salleh Rosman ketika ditemu bual Sinar Islam Plus sebelum ini pernah menitipkan pesanan agar umat Islam di seluruh dunia menentang rejim zionis Yahudi yang memimpin negara haram Israel.

DR ARIEFF SALLEH

“Ia merupakan kewajipan setiap Muslim. Sebagai umat Islam, menjadi kewajipan setiap Muslim untuk terus mempertahankan bumi Palestin yang terdapat Masjid al-Aqsa di dalamnya.

Baca juga Bersama Pertahankan Kesucian Bumi Palestin, Berdosa Jika Umat Islam Tidak Ambil Tahu

“Oleh itu, perjuangan mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitarnya iaitu bumi Palestin daripada dijajah oleh rejim Zionis Yahudi merupakan tanda keimanan seseorang Muslim kepada ALLAH YANG MAHA ESA,” tegasnya.

Foto: Middle East Eye