Browsing Tag

dabbatul ardh

hari kiamat
Aqidah,

Binatang pelik, boleh bercakap ini akan keluar dari perut bumi pada Hari Kiamat nanti

BINATANG pelik, boleh bercakap ini akan keluar dari perut bumi pada Hari Kiamat nanti…

Ada banyak tanda-tanda kiamat yang diceritakan oleh ALLAH SWT dan Rasul melalui kitab suci al-Quran serta hadis seperti kedatangan Dajjal, turunnya Nabi Isa AS serta kemunculan ad-Dukhan (asap) yang meliputi bumi.

Mungkin ia kedengaran aneh bagi sesetengah orang, namun ingatlah bahawa tiada yang mustahil bagi ALLAH SWT. DIA mampu menghadirkan apa sahaja mengikut kehendak-NYA, termasuk segala perkara yang tidak terjangkau oleh imaginasi manusia

Baca juga Umat Islam terlalu sibuk dengan tanda-tanda kiamat tetapi lupa bersedia menghadapinya

Berbalik kepada tanda kiamat, ada satu yang disebutkan oleh ALLAH secara jelas dalam al-Quran. Ia tentang satu binatang pelik yang akan muncul menjelang kiamat kelak dari dalam bumi dipanggil Dabbatul Ardh.

Perihal Dabbatul Ardh berikut dipetik serta diringkaskan daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan serta portal Tzkrh.

Firman ALLAH SWT, “Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, KAMI keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran KAMI.” (Surah an-Naml, ayat 82)

hari kiamat

TIADA siapa tahu rupa sebenar Dabbatul Ardh. Para fuqaha juga berselisih pendapat mengenai parasnya. Foto: Pexels

Menurut ayat tersebut, binatang yang dikenali sebagai Dabbatul Ardh berkenaan akan diberi kelebihan oleh ALLAH untuk bercakap dengan manusia serta menempelak orang-orang yang tidak beriman apabila ia muncul menjelang hari kiamat nanti.

Dalam satu riwayat marfu’ yang sahih pula, daripada Abu Umamah bahawa Rasulullah SAW ada bersabda bahawa binatang ini juga akan meninggalkan tanda (bekas) pada hidung manusia, dan bilangan manusia yang mendapat tanda tersebut akan bertambah banyak.

Menurut tokoh Islam, al-Hafiz Ibnu Hajar, datangnya Dabbatul Ardh nanti akan membezakan antara orang kafir dan orang beriman. Binatang itu akan memberi tanda di dahi manusia sehingga jelas berbeza antara orang beriman dan orang yang kafir (Lihat Asyrat al-Sa’ah oleh Yusuf bin Abdullah al-Wabil, hlm. 330)

Baca juga Petanda akhir zaman dan kiamat, surutnya air Sungai Furat

Bila Dabbatul Ardh akan muncul?
Kata agamawan, Imam al-Tabari, binatang tersebut akan muncul apabila manusia tidak lagi menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Manakala, Imam Ibnu Kathir pula menyatakan ia akan keluar ketika zaman manusia telah rosak dan meninggalkan perintah ALLAH SWT. Manusia pada waktu itu tidak lagi mengikut agama tetapi kebatilan.

DABBATUL Ardh dikatakan akan keluar dari perut bumi pada waktu duha. Foto: Pexels

Waktu khusus dikatakan Dabbatul Ardh ini akan keluar adalah pada waktu duha sebagaimana yang terdapat dalam hadis berikut:

Sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya tanda-tanda Kiamat yang pertama kali keluar ialah terbitnya matahari dari Barat dan keluarnya binatang (Dabbah) kepada manusia pada waktu Duha…” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Baca juga Amal zikir ringkas ini, dosa akan berguguran seperti daun

Turutan peristiwa keluar Dabbatul Ardh
Selain itu, turutan peristiwa keluarnya Dabbatul Ardh diperbahaskan oleh ulama seperti di bawah:

1. Pendapat Al-Hafiz Ibn Hajar
– Keluarnya Dajjal
– Turunnya Nabi Isa AS
– Terbit matahari dari arah barat
– Keluar Dabbatul Ardh pada hari terbit matahari dari Barat

Turut disyorkan Jangan abaikan 10 adab ini supaya doa dimakbulkan ALLAH SWT

2. Pendapat Imam Suyuti
Beliau berkata, daripada Wahab bin Munabbih, dikatakan susunannya adalah seperti:

– Peperangan dengan Rom
– Keluar Ad-Dajjal
– Keluar Yakjuj Makjuj
– Turunnya Nabi Isa
– Keluarnya al-Dukhan (asap)
– Keluarnya al-Dabbah

3. Pendapat Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi (Kitab al-Tazkirah fi Ahwal al-Dar al-Akhirah)
– Turunnya Nabi Isa AS
– Muncul Imam Mahdi AS
– Muncul Dajjal
– Keluar Yakjuj Makjuj
– Al-Dukhan (asap)
– Dabbatul Ardh
– Api yang menghalau manusia
– Terbit matahari dari Barat

Baca juga Ada nikmat kubur buat orang beriman

MAKKAH al-Mukarramah sering disebut sebagai tempat keluarnya Dabbatul Ardh. Foto: Pexels

Tempat keluar Dabbatul Ardh
Berdasarkan surah an-Naml, ayat 82, tempat keluarnya adalah dari dalam bumi, bukan dari langit dan lain-lain tempat.

Secara khususnya, terdapat banyak pendapat yang menyebutkan di mana binatang ini akan keluar. Antaranya:

1. Makkah
Imam al-Tabari dalam kitab tafsirnya berkata: “Dikatakan bahawa bumi tempat keluarnya al-Dabbah ialah Makkah.” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil ay al-Qur’an, 10/14)

2. Dari rekahan Bukit Safa
Daripada Ibnu Umar RA, katanya: “Dikeluarkan Dabbah dari rekahan di Bukit Safa.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 10/15)

Turut disyorkan Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

3. Ajyad, Makkah (Mengikut riwayat Abu Hurairah, Ibnu Amr, Ibnu Umar dan Aisyah RA)

4. Lembah Tihamah (Pendapat Ibnu Abbas RA)

5. Bukit Abu Qubais, Mekah

6. Qura

7. Masjid al-Haram

8. Rukun dan Maqam (Makkah)

Namun, kebanyakan para ulama menyebut bahawa Dabbatul Ardh akan muncul di Makkah.

Baca juga Ketika hujan turun antara waktu mustajab. Ini antara doa boleh dibaca

SELAGI kita sedang bernyawa, ambillah kesempatan terhadap masa yang dikurniakan ALLAH SWT itu dengan beribadah kepada-NYA. Foto: Pexels

Ciri dan rupa bentuk Dabbatul Ardh

– Haiwan aneh (tidak seperti haiwan biasa)

– Berbulu

– Berkaki empat dan berkuku

– Tidak berekor

– Bertanduk

– Tinggi dan besar

Baca juga Umat Islam Berpeluang Berdamping Dengan Baginda Pada Hari Kiamat Kelak. Berikut Adalah Syarat-Syaratnya…

– Boleh berkata-kata, memahami bahasa manusia serta berbicara kepada orang yang tidak beriman bahawa mereka telah tidak meyakini ayat-ayat Allah (terakam dalam Surah An-Naml, ayat 82)

– Bukan keturunan manusia

– Bukan haiwan yang membiak, tetapi satu haiwan sahaja.

– Bukan dari keturunan haiwan yang sedia ada di muka bumi dan bukan makhluk asing yang datang dari angkasa lepas.

Justeru, Dabbatul Ardh merupakan antara tanda kiamat besar yang akan muncul apabila dunia sudah menjelang pengakhirannya.

Sebagai umat Islam, kita perlu beriman dengan penuh keyakinan terhadap firman ALLAH SWT tentang Hari Akhirat dan tanda-tanda kiamat walaupun ia belum terjadi.

Turut disyorkan Lakukan tujuh amalan ini supaya pahala kekal mengalir setelah kita meninggal dunia

Sumber: Tzkrh  & Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Pexels & manataka.org